“ORKED, ingat Luthfi lagi tak?”
Laju sahaja soalan itu keluar dari mulut Hajah Zaleha ketika dia menyambut kedatangan aku dan tok wan di depan pintu rumahnya. Mendengarkan nama itu membuatkan aku terpaksa mencari gali semula nama-nama yang pernah diakses di dalam kepala otak aku.
“Luthfi?” Aku bertanya kembali untuk kepastian. Aku perhatikan sahaja Hajah Zaleha yang sedang tersenyum manis.
“Ya, Luthfi. Cucu Nek Za. Orked ingat lagi tak?” tanyanya lagi.
Aku terdiam seketika. Masih lagi cuba untuk mengingati gerangan yang disebut oleh wanita tua itu.
Kaki aku melangkah masuk ke dalam rumah Hajah Zaleha sambil otak memikirkan tentang lelaki yang bernama Luthfi.
Diam-diam bibir aku menyebut nama itu berulang kali. Luthfi? Hmmm...
Oh! Lelaki itu?
“Ingat.” Aku menjawab perlahan.
Pertanyaan daripada Hajah Zaleha itu menimbulkan rasa tidak senang di hati aku. Tiba-tiba sahaja bertanyakan soal cucunya.
“Kalau Orked nak tahu, sekarang Luthfi ada dekat kampung. Orked tak nak jumpa Luthfi ke?” Nada suaranya begitu gembira sekali.
Belum sempat aku menjawab, Hajah Zaleha terlebih dahulu memanggil nama cucu lelakinya itu. Hati aku sudah dilanda rasa tidak enak.
Untuk apa aku harus bertemu cucunya? Rasa-rasanya, urusan aku ke rumah ini langsung tiada kaitan dengan lelaki bernama Luthfi itu.
“Luthfi!”
Selepas beberapa kali Hajah Zaleha berteriak memanggil nama cucunya, barulah lelaki itu muncul. Tangan wanita tua itu tidak lepas daripada menggamit cucunya supaya mendekati kami.
Tok wan yang sudah duduk di sofa menepuk-nepuk ruang yang kosong di sebelahnya. Laju sahaja aku mengambil tempat di sebelah tok wan.
Sempat mata aku merenung wajah tok wan, meminta penjelasan. Tok wan hanya tayang senyum. Lagi bertambah kemusykilan di hati aku.
“Luthfi, duduklah sini. Nenek nak kenalkan Luthfi dengan seseorang,” ujar Hajah Zaleha dengan senyuman lebar.
Aku perhatikan sahaja gelagat dua beranak ini. Luthfi sudah duduk di sebelah neneknya dengan wajah terpaksa.
“Luthfi, ingat Orked lagi tak?”
“Ingat,” jawabnya sepatah.
Sempat mata kami bertentangan seketika sebelum aku melarikan pandangan.
Dia ingat pada aku? Wow, boleh tahan kuat juga ingatan cucu Hajah Zaleha ini. Padahal, rasanya sudah lama dia tidak pulang ke kampung.
“Orked dengan Luthfi borak-boraklah dulu. Nenek dengan tok wan nak tengok kain batik sekejap.”
Laju sahaja dua sahabat itu meninggalkan aku terkulat-kulat seorang diri di sofa. Luthfi menghela nafas berat sebelum memandang aku. Aku turut memandangnya. Dan sekali lagi aku melarikan pandangan apabila mata kami bertemu.
Aku lihat Luthfi sudah mengurut belakang tengkuknya. Nampak sangat dia pun tiada topik mahu dibualkan bersama aku.
Ya Allah, janggalnya suasana ini.
Krik, krik sahaja.
Aku nak cakap apa dengan mamat ni? Nak tanya dia sihat ke tak? Dah makan belum? Atau... Hai, Luthfi. Saya Orked.
Eh, dia dah tahulah nama aku. Apalah aku ni. Hmmm. Nak cakap apa ni?
Seumur hidup, inilah saat paling janggal yang aku rasa. Kalau ada anugerah situasi paling awkward, aku rasa saat ini sudah boleh dinobatkan sebagai juara.
Si Luthfi ini pun macam tak ada inisiatif untuk mulakan perbualan. Bisu ke apa? Geram pulak aku.
“Ehem...” Aku berdehem kecil.
Laju sahaja Luthfi memandang aku. Sedari tadi, pandangannya asyik dilontar ke luar rumah. Aku tahulah semua ciptaan Tuhan ini indah. Tapi, pandanglah aku jugak. Aku pun elok untuk dipandang. Yang duduk depan kau ni bukannya tunggul kayu.
“Sihat?” Aku beranikan diri untuk memulakan perbualan.
Lantaklah dia mahu jawab atau tidak. Sekurang-kurangnya, aku berusaha untuk menghilangkan rasa janggal ini. Sungguh aku tak selesa duduk berdua-duaan di ruang tamu ini bersama Luthfi.
“Sihat.” Luthfi menjawab dengan nada mendatar.
Eleh!
Kedekutnya nak bagi orang dengar suara dia. Itu aje jawapan dia? Mentang-mentang aku tanya satu patah perkataan, dia pun jawab satu patah juga. Takkan aku nak karang ayat berjela-jela baru dia nak jawab panjang.
“Dah lama ke balik kampung?” Sekali lagi aku mencuba.
“Tak adalah lama sangat. Dua hari lepas.”
Yes! Ada perubahan. Macam ni rupanya permainan kau. Kemain ya nak soalan panjang-panjang.
“Kau tak kerja ke hari ni?” soal Luthfi setelah kami berdiam diri seketika.
Mata aku terkebil-kebil mendengar Luthfi bertanya soalan itu kepada aku. Eh, pandai rupa-rupanya tanya soalan.
“Kerja, tapi nurseri tutup sekejap. Waktu rehat,” jawab aku dengan senyuman manis.
“Kerja nurseri?”
Entah kenapa suara Luthfi kedengaran kerek sahaja pada pendengaran aku. Atau jiwa aku yang terlalu sensitif? Dia tayang wajah seolah-olah tak percaya dengan pekerjaan yang aku lakukan.
“Ha'ah, kerja nurseri, jual anak-anak pokok.”
“I see...”
Aku lihat Luthfi sudah menyandarkan badannya ke sofa dan memeluk tubuh. Postur badannya kelihatan seperti mahu berlagak sahaja. Dan matanya itu! Kenapa dia pandang aku atas bawah? Teruk sangat ke kerja di nurseri?
Hati aku sedikit membengkak apabila menangkap senyuman sinis yang terukir di bibirnya. Ini pasti dia ejek aku dalam diam. Sakit pulak hati aku!
Sejurus itu, aku terus bangun dari sofa kerana aku tidak betah untuk meneruskan perbualan kami.
Menyesal pula aku datang ke rumah ini!
BUNYI taburan baja ke tanah bagaikan satu nikmat bagi aku. Rasa macam bagi anak sendiri makan pun ada. Aku menabur baja itu dengan penuh berhati-hati dan mengikut sukatan yang betul.
Mulut sudah mula menyanyikan lagu Korea yang sering kali menjamah halwa telinga. Kalau bukan sebab adik aku peminat tegar lagu-lagu K-Pop, tak adanya aku turut terjebak sekali. Balik-balik lagu BabyMonster juga yang didengarnya. Dasar peminat bayi raksasa!
Aku bangun dan menyimpan kembali plastik baja ke tempat asal. Aku mengambil pemotong kecil untuk memotong dahan. Sepatutnya dari semalam lagi aku siapkan tugasan untuk mengahwinkan anak pokok bunga kertas ini.
Tetapi, itulah. Tiba-tiba sahaja ada kerja lagi penting yang perlu aku selesaikan. Terlampau penting seolah-olah tiada hari esok. Macamlah penting sangat.
“Orked! Ooo... Orked Latifa!”
Telinga aku menangkap suara tok wan memanggil.
Ya, itu nama aku. Orked Latifa binti Jalil. Biasanya keluarga aku dan orang-orang kampung panggil aku dengan nama Orked sahaja.
Aku diam sahaja di sebalik celahan pokok. Punggung mula rapat ke tanah, menanti tok wan berlalu. Macam tak ada masa lain nak cari aku.
“Orked? Mana pulak budak bertuah ni? Tadi baru aku nampak terjoget-joget dekat sini.”
Suara tok wan yang mendekat membuatkan aku terus meniarap di atas tanah. Buruk betul perangai aku. Punyalah malas nak jumpa dengan tok wan sampaikan aku sanggup meniarap di atas tanah.
Aku hela nafas lega apabila derap kaki tok wan mula menjauh. Aku tahu sebab utama tok wan datang cari aku di nurseri ini. Apa lagi kalau bukan mahu mengajak aku ke rumah Hajah Zaleha lagi.
Maklumlah, cucu Hajah Zaleha yang berkelulusan luar negara itu baru pulang ke kampung. Tok wan mahu aku mengenali cucu wanita tua itu dengan lebih dekat. Inilah kerja penting semalam.
Hidup-hidup aku kena tipu dengan tok wan. Bukan main lagi tok wan pujuk aku supaya temankan dia ke rumah sahabatnya itu. Tok wan siap puji melambung lagi, cakap yang aku ni pandai pilih corak kain batik yang sesuai dengan dia. Sampai aku sanggup gadaikan waktu rehat aku.
Maklumlah, Hajah Zaleha itu pemborong kain batik. Katanya banyak stok kain batik yang baru sampai. Aku pula yang suka makan puji, memang mudah tertipu dengan muslihat tok wan.
Beria-ia Hajah Zaleha mahu kenalkan aku dengan cucunya yang sama spesies macam pokok Rafflesia itu. Padahal, bukannya aku tak pernah jumpa cucu dia pun.
Dua perkataan sahaja yang terlintas dalam fikiran aku apabila terbayangkan wajah kerek cucu wanita tua itu. Busuk dan beku.
Kenapa aku cakap dia busuk?
Eh, suka hati akulah!
Beku pula?
Umpama Refflesia yang jarang mekar dan memberikan kesan ‘beku’ atau tidak mudah didekati. Dalam konteks manusia, apa yang aku boleh cakap adalah cucu Hajah Zaleha itu memang tak ramah. Susah untuk diajak berbual dan dia akan tonjolkan diri dalam waktu yang sangat terbatas.
Like a Refflesia.
Dan yang penting, dia busuk! Busuk!
Satu lagi yang buat aku tak puas hati, bila cucu Hajah Zaleha itu pandang aku atas bawah bila aku beritahu dia yang aku ni kerja di nurseri.
Aku tahulah aku kerja tanam pokok saja, tapi tak perlulah pandang aku macam tu. Kurang asam betul.
Derap kaki yang semakin menghampiri membuatkan aku kembali ke alam nyata. Secara automatik, aku rebahkan badan ke atas tanah.
Buk! Sakitnya dagu aku! Aku mengaduh perlahan.
Sia-sia sahaja dagu aku dapat makan pasir hari ini. Dagu yang sakit itu aku gosok berulang kali. Tok wan ni memang saja mahu mendera aku hari ini. Berapa kali agaknya dia mahu mencari aku?
Aik? Sejak bila tok wan pakai kasut kulit dengan seluar slek pulak ni?
Aku angkat wajah untuk melihat tok wan yang berdiri di hadapan aku. Mata aku terkedip-kedip beberapa kali.
“Cik? Awak okey tak ni?”
Suara garau itu mengembalikan aku ke alam nyata.
Automatik aku tongkat tangan di atas tanah dan bangun daripada meniarap. Aku menepuk-nepuk tangan yang berpasir pada apron kerja yang aku pakai. Darah mula menyerbu ke muka aku. Hangat sahaja rasanya.
“Awak okey tak ni?” Lelaki itu melambai-lambaikan tangan di hadapan muka aku berulang kali.
Aku tersentak.
“Okey. Saya okey. Encik nak beli pokok apa?”
Aku cuba berlagak selamba walaupun muka sudah merah padam. Malunya, ya Allah! Kalau muka ni boleh ditukar, sekarang juga aku tukar muka.
“Oh, baguslah kalau awak okey. Saya nak cari pokok bunga kertas. Ada?” soal lelaki berkemeja corak batik itu.
Aku segera memandang keratan pokok bunga kertas yang sudah ada di kaki aku. Mata lelaki itu turut memandang tempat yang sama.
“Saya nak yang dalam pasu. Kalau boleh, tak nak yang keratan batang tu. Ada tak?” Lelaki itu bersuara sambil menilik sekeliling nurseri.
Mulut aku terasa kering. Aku berdehem beberapa kali untuk menghilangkan rasa gugup.
“Ada, ada. Sekejap ya,” ujarku tersekat-sekat.
Mulut aku ni, masa nilah mahu tergagap-gagap.
Aku berjalan mendahului lelaki itu dan menunjukkan deretan pasu yang memuatkan pokok bunga kertas yang pelbagai warna.
Aku tinggalkan lelaki itu sendirian untuk memilih pokok yang dia mahukan.
Apa punya malang nasib aku hari ini. Itulah, derhaka lagi dengan tok wan. Tak pasal-pasal Tuhan bayar cash. Aku menepuk-nepuk seluar aku yang sudah kotor dengan debu dan tanah. Pasti melekat semasa aku meniarap tadi.
“Awak? Cik Nurseri?”
Suara garau itu sekali lagi memanggil aku.
Mata aku terkebil-kebil memandang lelaki yang sudah mengangkat pasu pokok bunga kertas itu.
“Encik nak pokok ni ke?” tanya aku terpinga-pinga.
Jarang betul orang yang membeli angkat sendiri pokok pilihan mereka. Sudahlah pakai baju lawa. Tak takut baju kotor ke?
“Ya. Saya nak yang ni. Berapa harganya? Saya nak cepat ni.” Lelaki itu terkial-kial mengeluarkan not RM50 dari poketnya.
Aku segera ambil dan berlalu ke kaunter. Belum sempat aku keluarkan baki, lelaki itu sudah berlari anak menuju ke keretanya di seberang jalan.
“Encik! Duit baki!” jeritku, laju mengejar langkah lelaki itu hingga ke luar nurseri.
Aku mengangkat tangan ke udara, menunjukkan duit baki yang berada di tangan aku. Aku teragak-agak mahu melintas jalan. Kaki aku mengeras. Rasa pening mula singgah apabila melihat kereta yang lalu-lalang di atas jalan raya. Maklumlah, nurseri aku terletak di jalan utama, walaupun berada di kawasan kampung.
Bunyi pintu kereta ditutup, membuatkan aku kembali fokus kepada lelaki itu. Dia baru sahaja selesai memasukkan pokok bunga kertas ke dalam kereta.
“Cik Nurseri! Esok saya datang ambil baki ya. Terima kasih!” jeritnya sambil melambai-lambai kepada aku.
Aku terpaku melihat senyuman manisnya. Senyumannya itu mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihat. Aku perhatikan sahaja kereta Mini Cooper putih itu bergerak menyusuri jalan raya.
“Mak! Orang rasa tak lama lagi mak akan dapat menantu,” gumamku sambil memegang erat duit itu ke dada.