AIRA memandang kosong skrin komputer. Tugas yang diberi oleh Doktor Halina belum disiapkan. Doktor Halina adalah pemilik Pusat Terapi Nadi Insan.
Aira melirik jam pada skrin komputer. Sudah lewat sepuluh minit. Kenapa doktor belum muncul? Biasanya wanita itu akan datang awal sepuluh minit.
Telefon berdering. Gagang diangkat.
“Helo, Pusat Terapi Nadi Insan.”
“Aira, saya ni.”
Aira tegakkan tubuh. Panggilan daripada maji-kannya, Doktor Halina.
“Ya, doktor.”
“Saya tak masuk klinik hari ni. Anak saya kemalangan. Awak tolong batalkan janji temu saya dengan Puan Amberlyn.”
Loceng berbunyi menandakan ada pengunjung. Figura yang berdiri di sebalik pintu lut sinar dipandang.
Aira menggeleng kesal. “Puan Amberlyn dah sampai pun, doktor.”
Loceng ditekan berkali-kali. Kelam-kabut Aira menekan butang untuk membolehkan wanita itu masuk.
Doktor Halina berpesan agar Aira mengatur sebuah janji temu yang baru. Talian dimatikan.
“Mana Doktor Halina? Saya nak jumpa dia.”
Suara Amberlyn melengking kuat. Cermin mata hitam bersaiz besar menutup sebahagian besar wajah-nya. Amberlyn menonong ke bilik Doktor Halina.
“Doktor Halina ada kecemasan. Dia tak datang kerja hari ni. Kita terpaksa tunda janji temu puan.”
“I tak kira. I nak jumpa Halina. Sekarang jugak!”
“Macam yang saya kata tadi, Doktor Halina...”
“Saya tunggu dalam bilik dia,” ujar Amberlyn seraya membawa langkah ke bilik Doktor Halina.
Aira kematian kata apabila melihat kedegilan Amberlyn.
Sudah dua kali Amberlyn mendapatkan khidmat kaunseling rumah tangga daripada Pusat Terapi Nadi Insan. Dua kali jugalah dia menjadi saksi perangai kerek perempuan bajet model ni.
AIRA menghantar secawan kopi kepada Amberlyn.
“Puan perlukan apa-apa lagi? Kalau puan lapar, saya boleh belikan makanan.”
“Kalau nak makan, I akan pergi ke restoran. Buat apa nak datang sini? I perlukan terapi. You tengok ni.”
Amberlyn menanggalkan cermin mata. Kelopak mata wanita itu yang biru kehitaman membuatkan Aira terkejut. Buntang matanya memandang wajah cantik Amberlyn yang telah dicemari kesan lebam.
“Allahu!” ujar Aira.
“Ini semua kerja Zafran.” Amberlyn menyam-bung kata.
Aira kenal suami wanita itu. Pasangan itu pernah hadir untuk sesi kaunseling pertama. Selepas itu, Amberlyn datang tanpa ditemani suaminya. Zafran adalah ahli perniagaan yang disegani. Doktor Halina pernah bercerita tentang latar belakang pasangan itu.
“Apa yang terjadi ni puan? Kenapa dia sanggup buat puan sampai macam ni sekali?”
Amberlyn mula menangis.
Aira kalut. Dia memang mempunyai latar bela-kang dalam bidang kaunseling. Tetapi tidaklah sampai ke tahap untuk memberi kaunseling kepada klien.
Aira melabuhkan duduk di sisi Amberlyn. Bahu wanita itu diusap.
“I tak tahu apa lagi yang dia nak. Dia yang curang, tetapi dia tuduh I main cinta dengan lelaki lain. Selama ini, I yang berkorban untuk famili. Dia hanya tahu keluar pagi dan balik malam. Pantang silap cakap, I akan makan sepak terajang dia.”
Aira mengetap bibir. Ada lagi jantan dayus kaki pukul perempuan pada abad ini. Dia memandang sim-pati wajah Amberlyn. Maknanya sesi kaunseling yang diberikan oleh Doktor Halina tak berkesan, desis hati Aira.
“Sudahlah Syafi tu berpenyakit. Tak habis-habis menyusahkan. Ayah pula perangai mengalahkan setan.”
Aira menelan liur. “Selalu ke dia pukul puan?”
“Awak rasa?”
Sekali lagi Aira menelan liur. Ambik kau. Tadi kan dia dah cakap, silap sikit makan terajang laki dia!
Tiba-tiba Amberlyn memeluk Aira. Wanita itu menangis.
“Sabar, puan. Semua masalah ada jalan penye-lesaiannya.” Aira memujuk.
“Saya dah tak boleh bersabar. Kalau saya tak lari semalam, rasanya dia dah bunuh saya.”
“Kalau macam tu, kita mesti buat laporan polis. Orang macam ni tak boleh dibiarkan.”
“Macam mana kalau dia lebih marah?”
“Puan tak pernah buat laporan polis kan sebelum ni?”
Amberlyn geleng.
“Tengoklah! Sebab tu perangai dia menjadi-jadi. Puan cantik, malah model pula tu. Kita tak perlukan lelaki macam tu sebagai suami. Lelaki yang curang dan kaki pukul tak payahlah dijadikan suami.”
Berapi-api Aira memberikan nasihat. Bukan untuk menjernihkan keadaan, tetapi bakal mengeruh-kan lagi hubungan suami isteri itu.
Amberlyn memandang Aira tanda berkedip. Semangat sungguh melontarkan pendapat.
“Puan patut tinggalkan sahaja lelaki macam ni. Minta cerai daripada dia. Kita boleh hidup tanpa lelaki spesies macam ni. Lepas ni, terus buat laporan polis. Semua ni penting sebagai bukti di kemudian hari.”
Itu adalah ayat terakhir yang keluar dari mulut Aira setelah hampir setengah jam bersyarah.
Amberlyn menggenggam jemari Aira. Dia ang-guk bersungguh-sungguh. Dia berasa seolah-olah diberikan talian hayat untuk bersemuka dengan Zafran.
“Awak ni baguslah. Malah, lebih bagus daripada Doktor Halina. Saya lega selepas berbual dengan awak. Apa nama awak?”
Aira tersenyum kambing. Kembang kuncup hati-nya menerima pujian. Tidak sia-sia dia belajar bidang bimbingan dan kaunseling. Dalam kes Amberlyn, dengan yakinnya Aira menggunakan teori William Glasser sehingga wanita itu semakin kuat mempercayai bahawa perceraian adalah jalan terbaik untuk keluar daripada masalah rumah tangganya.
“Amaira Nalani bt Abbasy Abdul Aziz.”
“Keturunan Arab ke?” tanya Amberlyn.
Wajah gadis di hadapannya mempunyai iras wanita Arab. Hidung mancung dan kulit putih kemer-ahan dan sepasang mata bulat Aira dipandang.
Aira tayang sengih sambil angguk.
“Keluarga ayah saya berasal dari tanah Arab. Berapa umur anak puan?”
“Tiga tahun.”
“Kalau puan berpisah dengan suami nanti, macam mana dengan anak puan?”
“Saya tak nak anak tu. Biar Zafran yang jaga dia. Saya tak nak ada kena-mengena dengan mereka lagi selepas ini.”
Aira mengerutkan kening. Wajah Amberlyn dipandang dalam-dalam. Perempuan di hadapannya ini tidak kasihkan anaknya ke? Biasanya pasangan yang bercerai-berai berebutkan anak. Tetapi, Amberlyn tidak kisah untuk berpisah dengan anaknya.
Mungkin kerana terlalu marah dan bencikan Zafran yang kaki pukul. Aira meneka.
“Saya balik dulu. Terima kasih sebab ringankan kepala saya ni.”
Amberlyn menarik tubuh Aira lalu dipeluk kemas.
Aira terasa dihargai. Dia membalas pelukan Amberlyn.
“Kalau awak perlukan kerja sambilan, boleh cari saya. Muka awak ni kalau conteng sikit-sikit, dah bolehlah jadi model part time.”
Aira sengih. Rasa macam dipuji. Tetapi bila difikirkan semula mimik wajah Amberlyn dan per-kataan bolehlah yang digunakan, rasa macam bukan pujian. Akhirnya Aira tersenyum kelat.
“Okeylah. Saya pergi dulu,” ujar Amberlyn yakin.
Amberlyn menyarungkan semula cermin mata-nya. Beg tangan dicapai lalu beberapa keping not seratus dikeluarkan.
“Nah, ambil ni sebagai bayaran khidmat awak kepada saya.”
Aira menolak dengan sopan.
Amberlyn menyumbat kembali wang ke dalam beg tangan sebelum dia menyangkut beg itu ke bahunya.
“Sampaikan salam saya kepada Doktor Halina.”
Aira angguk sambil tersenyum manis.
“Thank you dear sebab sudi dengar masalah saya. Awak dah banyak membantu saya hari ini. Thank you.”
“Wa iyyak,” ujar Aira.
Sengaja bertutur dalam bahasa Arab untuk mem-beritahu wanita itu yang cerita ayahnya berketurunan Arab bukan cerita auta.
“Apa tu?”
“Sama-sama.”
Amberlyn angguk. Dia melangkah keluar dari bilik Doktor Halina.