Tuan Perasan Maco

BAB 9

  • Art
  • Shazie Kamaruzaman

DARI lepas subuh lagi Ben tak berhenti WhatsApp aku. Tak lain tak bukan sebab nak ingatkan aku pasal tentatif hari ini.

Jangan lupa pelan kita.
10.00 pagi sharp!
Mesej I sebelum you pilih nak pakai baju apa nanti.

Ayat terakhir Ben buat aku tertarik. Kenapa pula aku nak kena mesej dia dulu?

Sebab?

Ben tak balas mesej aku yang itu.

Jam dah menginjak 9.00 pagi. Aku baru selesai mandi. Tengah tegak berdiri di depan closet, nak pilih pakai baju apa. Bila tengok baju, baru aku teringat WhatsApp Ben tadi. Apa lagi, lajulah aku capai fon dan taip.

Saya tengah tenung closet ni.

Tak sampai lima saat, mesej aku dah dapat blue tick. Eh, laju pula dia baca kali ni.

Cover yourself. I nak FaceTime dengan you ni.

Jadahnyaaa! Dahlah aku pakai bathrobe saja sekarang. Tak sempat nak tukar, fon aku dah berbunyi. Dengan pantasnya aku capai tuala untuk tutup kepala dan leher.

Kening kanan Ben terjongket sikit sebaik saja panggilan video kami bersambung. Sah-sahlah sebab dia nampak aku pakai bathrobe!

“You nak menggoda I ke apa ni?”

“Isy, diamlah. Saya tak sempat tukar baju tadi. Hah, yang awak nak FaceTime bagai ni kenapa?”

“Tunjuk dekat I closet you.”

Terbuntang biji mata aku. Buang tabiat ke apa Ben ni?!

Macam tahu-tahu saja apa yang aku fikirkan, pantas saja keluar jawapan dari mulut Ben.

“Hari ni, I akan pilih baju apa yang you kena pakai kejap lagi. Cukuplah sekali I keluar dengan maskot TV3, Amee. No more.”

Ben buat muka tak boleh blah.

Eee, tak habis-habis nak menyindirlah dia ni.

“Cepat, Amee. Masa berjalan ni. Tik tok tik tok. You tu dahlah bersiap lambat. Show me now.”

“Ugh, yalah, yalah.” Ruang closet aku tuju.

Nasib baiklah aku dah kemas lawa-lawa. Baju-baju yang Ben hantar semalam pun aku dah siap sumbat sekali ke dalamnya.

“Hah, pilihlah cepat.”

Kamera fon aku halakan ke arah deretan baju yang bersangkut. Di sebelahnya pula, ada ruang bertingkat untuk bahagian seluar, tudung dan shawl yang dah dilipat.

“Depanlah sikit. Tak clear sangat.”

“Isy, banyak songehlah awak ni, Ben.” Aku bergerak ke depan lagi.

Tiba-tiba...

“Whoa, whoa. Wow. Thanks, Amee. Belanja I hari ni.”

Aku tukarkan kamera ke arah aku semula. Muka Ben yang tengah mengetap bibir seperti tahan senyum itu aku pandang pelik.

“Belanja apanya? Awak ni dah kenapa, Ben?”

Haih, tak fahamlah aku dia ni. Fiil aneh-aneh.

“Tengok balik closet you tu. Ruang kanan, bahagian paling bawah sekali. You akan nampak longgokan kerang dan segi tiga bermuda.”

“Hah? Apa benda awak merepek ni?”

Aku garu kepala. Tak ada masa nak panjangkan cerita, aku layankan saja apa Ben kata. Saat mata aku terpandang...

“Yep. Itulah.”

Ben terangguk-angguk di paparan skrin dengan muka bahagia.

“Aaaaaa! Ben, tutup. Tutup mata awak sekarang!” Kelam-kabut aku lari keluar dari ruangan closet.

“It was too late, sugar.”

Perlahan-lahan dan makin lama makin kuat tawa Ben dari dalam video.

Wuarghhh! Macam manalah aku boleh terlepas pandang nak simpan tiga pasang baju dan seluar kecil aku tu? Aduhhh! Malunyaaa!

“Ingatkan you suka pakai terang-terang dekat luar aje. Bahagian dalam pun sama ya. Wau.”

“Isy, diamlah, Ben!”

Makin geram aku bila Ben masih tak henti-henti membahan. Seronok betul dia eh!

“Oh, God. Otak I tak boleh padam memori apa yang I tengok tadi, Amee. Oren, hijau muda, pink, ungu... dah macam color Luna. Harap I tak mimpi ngerilah malam ni.”

“Eee, Ben! Saya tak nak jumpa awak hari ni!”

Tut tut tut. Aku terus putuskan talian. Hari ini punya pelan kensel! Memang taklah aku nak serah diri kepada Ben untuk disakat sepanjang hari!


“SAMPAI bila you tak nak tengok muka I ni?”

Ben betul-betul dah buat aku annoying ke tahap maksima. Kalau boleh, bukan setakat muka saja, suara dia pun aku tak nak dengar.

“Cepatlah pilih frame mana yang you berkenan.”

Aku buat pekak badak. Tak ada mood nak melayan.

Tadi kata tak mahu jumpa Ben, tapi apa kes sekarang ni? Macam ini alkisahnya.

Walaupun aku dah kata tak mahu jumpa Ben hari ini, tapi dia pergi buat kerja gila bunyikan hon macam orang tak ada sivik di depan rumah aku tadi. Selagi aku tak keluar, selagi itulah dia buat perangai.

Nak tak tak nak, memang terpaksalah aku ikut dia. Dan, di kedai cermin mata inilah kesudahannya.

“Sugar.” Ben seru guna nama lain pula.

Aku terus jeling Ben. Haisy, dahlah hati tengah panas, dia pergi siram minyak pula!

“Move on, Amee. Benda dah jadi pun. You tak sengaja tunjuk, I tak sengaja tengok. Simple, kan?”

Eh, senang saja dia cakap. Dah puas bantai gelak dalam kereta sepanjang perjalanan tadi, pandai dia suruh aku lupakan macam itu saja.

“Fine, I minta maaf. Tu yang you nak dengar I cakap sebenarnya, kan?”

“Hah, pandai pun minta maaf. Ingatkan tak sedar yang diri tu dah buat salah.”

“Well, orang lelaki memang biasa dah kena macam ni. Minta maaf pasal benda yang sah-sah bukan salah kami.”

Ben tarik senyum sinis.

Aku yang tengok ni... Eee!

“Dah, dah. Sekarang fokus. Pilih bingkai specs mana yang you nak.”

Buang masa saja bertekak dengan Ben. Baik aku perhatikan deretan bingkai yang ada. Cepat pilih, cepat siap, cepat balik, cepat tak payah hadap muka Ben dah.

“Saya nak yang tu.”

Aku tunjuk ke satu bingkai warna gold. Macam yang aku pakai sekarang.

“No. Pilih yang lain.”

Aku julingkan mata ke atas. Sudahnya...

“Yang tu.”

“No. Macam budak-budak.”

“Yang ni.”

“No. Mak cik-mak cik sangat.”

Nampak? Semua yang aku pilih, semua tak kena di mata Ben. Baik tak payah tanya. Menyampahlah aku.

“Awak ajelah pilih. Buat sakit hati aje macam ni.”

“Haih, I lupa you tu tak ada taste.”

Tengok tu. Sempat lagi mengutuk aku.

“Bagi I yang tu dengan yang tu.” Ben meminta pembantu jualan itu mengeluarkan dua contoh bingkai.

Satu design round frame ala-ala Moscot warna peach. Satu lagi design square frame versi budak nerd warna hitam.

“Try pakai.” Ben menyuruh sambil mula melipat tangan ke sisi. Bersedia nak melihat hasil pilihannya.

Aku pun pakailah versi frame budak nerd dulu.

“Okey, cun. Next.”

Design ala-ala Moscot pula.

“Okey, comel. Kita ambil dua-dua ni” Keputusan dah keluar dari mulut Ben.

“Isy, tak naklah. Macam budak nerd aje.”

“Bukan you memang nerd ke?”

Ada juga lubang hidung yang kena rodok dengan besi bingkai ni karang!

“Sebab tulah you comel. You kan nerd.”

Eh, jadahnya. Elok-elok perli aku tadi, sekarang nak memuji pula.

“You tahu tak lelaki suka perempuan yang ala-ala ulat buku ni. Nerd tapi seksi.”

“Seksi tang mananya? Specs tu pakai kat mata, bukannya kat badan. Entah manalah awak dapat teori mengarut macam tu.”

Confirm dia auta aku ni!

“Seksi dekat matalah. You apa tahu. You perempuan.”

Ah, yalah tu.

“Bukan lelaki aje, perempuan pun suka tengok lelaki pakai specs ala-ala nerd macam ni. Nampak smart dan hot dalam masa yang sama. Macam Henry Cavill jadi Clark Kent.”

“Henry Cavill tu dah memang handsome. Tak boleh kata apa dahlah.”

Terus aku terbayang abam Superman yang terlajak sado itu. Lagi-lagi bila dia berlakon watak antagonis dalam filem Mission: Impossible - Fallout. Sooo panas gitu!

“Okey, nak contoh paling dekat, you tengok aje I ni. Smart and hot, kan?”

Aku baru nak buat muka menyampah, terus tak jadi. Bila mata tepat ke arah Ben, pandangan aku bagai kena paku. Bila Ben pakai specs... Ditambah dengan senyuman sengetnya... Nampak sangat-sangat...

Wait. Kenapa macam terlajak kacak ni?!

Dan, tak pasal-pasal... Pang!

“What the heck, Amee? You dah kenapa?!”

Suara Ben yang sedikit meninggi itu buat aku tersedar. Terkebil-kebil mata bila tengok tangan aku masih melekap ke pipi Ben. Dan, kepala Ben terteleng sedikit.

“Kenapa you tampar I ni? What’s wrong with you, Amee?”

Cepat-cepat aku tarik tangan sendiri. Ben pula dah menggosok-gosok pipinya perlahan.

Erk, apa aku dah buat ni?

“Errr, sorry. Ada nyamuk tadi. Saya pukul nyamuklah.”

“Nyamuk? Seriously, Amee? Ke you nak balas balik sebab I tepuk mulut you hari tu?”

Oh, ya! Malam Ben jumpa baba tu.

“Ha’ah, memang pun. Padan muka awak!”

Bedallah apa-apa alasan pun. Yang penting, aku lepas.

“Tu you nak pergi mana pulak tu?”

“Errr... Errr... toilet! Saya nak pergi toilet kejap.”

Laju macam Woola aku buka langkah. Tak sanggup nak tengok pipi Ben yang dah merah gara-gara makan penampar aku.

Kalaulah Ben tahu aku kasi sedas tadi sebab aku terkejut tengok dia handsome, memang bertambah tinggilah level perasan dia tu!