BEBERAPA kali Safiyya membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Tersenyum Haryanti memandangnya.
“Nampak macam cemas saja,” cetus Haryanti sambil tersenyum dengan gelagat sahabatnya itu.
Safiyya berpaling memandang Haryanti.
“Okey tak?” tanya Safiyya.
“Ada yang tak okey ke?” soal Haryanti dengan dahi berkerut.
“Macam mana penampilan aku ni? Okey tak?” soal Safiyya lagi.
“Kau kerja housekeeping aje pun. Tapi mengalahkan macam setiausaha!” gurau Haryanti seraya ketawa.
Safiyya turut ketawa dengan kata-kata sahabatnya itu.
“Kali ni kerja betul-betul tahu. Dah banyak kali kau tukar kerja. Kerja kat tempat aku pun tak lekat. Bertahan seminggu aje tahu!” Haryanti mula membebel.
Dia tahu sangat perangai Safiyya yang tidak boleh bersabar kalau dia diapa-apakan oleh orang lain. Dari kecil lagi mereka berkawan. Walaupun Haryanti tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti, namun hubungannya dengan Safiyya tetap kukuh.
“Ermm, bilalah aku nak dapat kerja bagus? Nama aje graduan universiti, tapi nak dapat kerja taraf ijazah, payah betul,” rungut Safiyya. Tudung yang kelihatan senget dibaikinya di hadapan cermin.
“Alah, sabarlah. Lambat-laun adalah rezeki tu. Tapi kau kena ingat, janganlah tukar kerja kerap sangat. Pening juga aku dengan kau ni, tahu,” omel Haryanti.
“Alah, bukan salah aku pun. Mr. Tan tu yang cari pasal dengan aku. Aku buat serba tak kena. Baju kena masuk dalam seluarlah, tak boleh pakai sarung lenganlah. Eee... tak biasalah aku pakai lengan pendek. Aku dah biasa macam ni sejak dulu lagi. Kerja KFC tu memang tak serasi dengan aku!” tukas Safiyya.
Haryanti tergelak kecil. Baru dua hari Safiyya bekerja di francais KFC dia sudah berhenti. Lebih-lebih lagi supervisor seperti Mr. Tan yang pelik dengan Safiyya yang bertudung litup dan tidak pernah menunjukkan aurat lengannya.
Hampir enam bulan Safiyya menganggur di kampung, akhirnya dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Walaupun berat hatinya untuk meninggalkan atuknya, Tok Aki, yang sudah menjaganya sejak usia 11 tahun. Namun, dia terpaksa datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja demi memperbaiki kehidupan mereka. Apa gunanya ada segulung ijazah sedangkan dia tidak mendapat pekerjaan yang baik?
Kali pertama dia datang ke Kuala Lumpur, dia bekerja sebagai pembantu di kedai buku. Belum sampai sebulan dia sudah berhenti bekerja. Dia tidak suka dengan anak tauke kedai buku yang selalu mencuri pandang ke arahnya. Dia rimas dengan situasi begitu. Lalu dia mengambil keputusan untuk berhenti terus.
Lalu dia mencari pekerjaan lain sehinggalah dia mendapat kerja sebagai pembantu kedai. Itu pun cuma bertahan seminggu. Menurutnya, dia tidak suka dengan pelanggan yang mengada-ada setiap kali membuat pesanan. Sekejap nak itu, sekejap nak ini. Lenguh kakinya ulang-alik ke arah meja yang sama. Sehinggalah Haryanti mengajaknya bekerja di tempatnya. Kebetulan salah seorang pekerja di tempat Haryanti berhenti. Itu pun tidak bertahan juga.
Safiyya memakai sarung lengan sebelum tas tangannya dicapai.
“Seronoklah kau cuti hari ni!” cetus Safiyya.
“Aku nak sambung tidur balik!” balas Haryanti.
“Suka buat tahi mata lebih-lebih!” gurau Safiyya.
Mereka ketawa. Lalu Safiyya keluar dari bilik. Haryanti sudah menarik selimutnya kembali.
“Fiyya, sarapan!” tegur Aina teman serumah yang sedang makan mi segera.
Rumah sewa kecil ini disewa oleh mereka bertiga. Hanya itu yang mampu mereka sewa kerana mereka bertiga bukanlah bergaji besar dan berjawatan tinggi. Aina hanyalah pekerja pasar raya di Giant.
“Eee.. pagi-pagi dah makan mi segera!” tegur Safiyya spontan.
“Laparlah. Malam tadi balik lewat sangat. Balik terus tidur. Nak masak tak larat,” beritahu Aina.
Safiyya hanya mengangguk.
“Nak?” pelawa Aina kepada Safiyya.
Safiyya menggelengkan kepalanya. Lantas air kosong dituang dan diteguk perlahan.
“Aku pergi dulu,” kata Safiyya lalu mencapai helmet yang berada di sudut dinding.
Safiyya menghidupkan skuter yang dibeli oleh Tok Aki. Walaupun hanya motosikal second hand yang mampu dibeli oleh datuknya, pemberian Tok Aki dijaganya dengan baik. Tok Aki membeli skuter ini sebaik sahaja Safiyya membuat keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur. Pada mulanya Safiyya menolak. Namun Tok Aki tetap mahu memberikan kepadanya. Sebaik sahaja dia sampai di Kuala Lumpur dan menginap dengan Haryanti, terus Tok Aki mengeposnya ke sini.
Beberapa minit enjin skuternya dihidupkan. Terus Safiyya menunggangnya dengan berhati-hati. Dia berharap hari pertamanya bekerja di Hotel Mahkota Royal baik-baik sahaja. Dan dia berharap inilah kerja terakhir yang sesuai untuknya sebagai housekeeper.
BARU sahaja Tengku Wildan melangkah masuk ke pejabat, dia ternampak kelibat Bella yang berada di ruang menunggu sambil membelek majalah. Terus dia berpatah balik dan mengatur langkah menuju ke ruang lobi Hotel Mahkota Royal.
“Isy, pagi-pagi dah mengganggu. Asyik muka dia aje. Tak ada perempuan lain ke yang aku nak jumpa?” desis Tengku Wildan sendirian.
“Woi! Gila ke cakap sorang-sorang!” sergah Rusdi seraya menampar bahu Tengku Wildan.
“Hoi! Nak bunuh aku ke? Kalau aku ada sakit jantung, dah lama mati katak kat sini!” marah Tengku Wildan seraya mengurut dadanya.
Rusdi ketawa mengekek. Dilabuhkan punggungnya di atas sofa lobi hotel.
“Relakslah woi! Yang kau bercakap sorang-sorang tu apasal? Duduklah. Tak lenguh ke berdiri?” ujar Rusdi sambil ketawa kecil.
“Ermm... kalau kau ni bukan kawan aku, dah lama aku buka langkah 10. Tak adalah, aku geram betul dengan Bella ni. Pagi-pagi dah tercongok kat depan bilik aku. Tak ada lelaki lain ke dia nak cari?” bebel Tengku Wildan. Dia duduk di hadapan Rusdi. Kedua-dua kakinya disilangkan di atas meja.
“Okeylah, daripada tak ada perempuan yang kacau kau. Dia tu sentiasa dengan kau, tak adalah kau bosan sangat. Manja, menggoda. Lagipun kau pun apa kurangnya? Kaki buaya kan!” tukas Rusdi.
“Woi! Kaki buaya jangan disebut. Aku ni punyalah handsome, asyik minah tu aje yang datang nak berkepit dengan aku. Aku naklah juga berdamping dengan girl lain. Macam Ana Julia yang kita jumpa kat kelab tu. Aku suka dia, sebab dia suka jual mahal!” kata Tengku Wildan seraya ketawa.
“That’s right! She is also sexy. Auummm,” ujar Rusdi lalu membuat gaya cakar kepada Tengku Wildan.
“Aku ingat malam ni nak jumpa dia lagilah. Menari dengan dia memang seronok. Tak puas aku!” kata Tengku Wildan. Di matanya sudah membayangkan wajah Ana Julia yang anggun itu.
“Malam ni aku tak bolehlah. Aku ada hal lain,” balas Rusdi.
“Takkanlah aku nak pergi sorang-sorang? Tak seronoklah tak ada kawan.”
“Aku ada hal penting. Esok semua keluarga aku berkumpul untuk makan besar. Next time aku temankan.”
“Ermm, yalah,” jawab Tengku Wildan agak kecewa. Pandangannya dilemparkan ke arah lain.
Suasana sepi seketika. Namun begitu pandangannya terganggu apabila seorang pengurus housekeeping, Faridah sedang berjalan dengan seorang gadis. Bersungguh-sungguh dia menerangkan tugas kerja gadis itu.
“Who is she? Nice butt. Ermm macam kolot aje nampak gayanya. Not my taste!” tukas Tengku Wildan tiba-tiba.
“Kau cakap pasal siapa ni?” soal Rusdi terpinga-pinga apabila Tengku Wildan bersuara tiba-tiba.
“Tu... Budak perempuan tu,” balas Tengku Wildan seraya mulutnya dimuncungkan ke arah yang dilihatnya.
“Comel dan suci!” balas Rusdi lantas ketawa mengekek.
“Kau suka dia?”
“Budak baru ke?” soal Rusdi pula.
“Ya kut. Tak pernah nampak pun sebelum ni,” ujar Tengku Wildan. Matanya masih tertancap kepada gadis yang bertudung litup yang dilihatnya. Geli hatinya apabila melihat si gadis memakai sarung lengan dengan baju kerja yang berlengan pendek.
“Ermm, berminat nampak?” usik Rusdi apabila melihat sahabatnya itu masih memandang gadis itu.
“Ermm, kalau yang ni petik jari aje terus datang. Kalau Ana Julia lainlah. Payah! Satu dalam sejuta,” kata Tengku Wildan.
“Okey, aku nak tengok. Kau berjaya tak pikat budak perempuan tu!” kata Rusdi lalu memuncungkan mulut ke arah gadis bertudung yang dilihat mereka.
Tengku Wildan memandang Rusdi dengan dahi berkerut. “Maksud kau?”
“Kita bertaruh! Tengok sama ada dia jatuh ke tangan kau ataupun tidak. Tadi kau juga cakap perempuan macam tu petik jari terus datang,” cabar Rusdi. Sengaja dia lakukan begitu kerana dia tahu Tengku Wildan memang pantang dicabar.
“Kau tak percaya cakap aku?” soal Tengku Wildan lagi.
“Buktikan!”
“Okey. Kita bertaruh satu ribu. Setuju?” kata Tengku Wildan dengan penuh yakin.
“Okey, kita tengok,” balas Rusdi sambil tersengih memandang Tengku Wildan.