SAFIYYA memandang kereta Toyota Alphard yang terparkir di hadapan rumah Tok Aki. Dia yang baru pulang memetik ulam daun kayu untuk dijadikan juadah tengah hari, mula terasa hairan dengan kereta mewah yang berada di sini.
Siapa yang datang? Pak long dengan mak ngah ke? Tapi takkanlah. Mereka kan dah lama tak datang sini? Hatinya mula berbisik.
“Assalamualaikum.” Safiyya memberi salam sebaik masuk ke dalam rumah.
Segera orang yang sedang bercakap dengan Tok Aki memandangnya. Tersenyum dia memandang Safiyya. Safiyya turut membalas senyuman lelaki lingkungan pertengahan 50-an itu. Dia terasa seperti pernah berjumpa dengan lelaki ini.
“Siapa ni Tok Aki?” Terdengar suara lelaki itu bertanya.
“Ini cucu saya, Safiyya. Sebelum ni dia tinggal di Kuala Lumpur. Ha, Fiyya ni atuk kenalkan...”
“Uncle Hairie,” sampuk Tan Sri Tengku Hairie sebelum sempat Tok Aki memperkenalkan siapa dia sebenarnya.
“Apa khabar Uncle Hairie?” sapa Safiyya antara mahu dengan tidak.
Pandangan lelaki ini terhadapnya membuatkan dia tidak selesa. Yalah, kalau dia tidak menegur tetamu yang datang, nanti dikatakan sombong pula.
“Khabar baik. Alhamdulillah, dapat kenal juga dengan cucu Tok Aki. Dah lama saya kat sini, saya balik dulu. Insya-Allah lepas ni keluarga kita boleh kenal lebih dekat lagi,” kata Tan Sri Tengku Hairie dengan makna mendalam.
Safiyya sudah berlalu ke dapur untuk menyiapkan makanan tengah hari.
“Tan Sri, dah nak balik ke Kuala Lumpur? Tak nak makan tengah hari bersama kami?”
Tan Sri Tengku Hairie berhenti daripada menyarungkan kasut ke kakinya. Dipandang wajah Tok Aki.
“Boleh saya makan kat sini? Tak menyusahkan Tok Aki ke?”
“Eh, apa salahnya? Sebenarnya saya yang segan nak ajak Tan Sri makan kat sini. Yalah, cuma ada lauk-lauk kampung sahaja.”
“Saya dah lama tak makan lauk-pauk kampung ni. Kalau macam tu saya tunggu selesai makan tengah hari dulu, baru balik,” kata Tan Sri Tengku Hairie tanpa rasa malu.
Dia sebenarnya ada perancangan lain untuk mengenali Safiyya dengan lebih dekat lagi.
“Alhamdulillah, lega saya sebab Tan Sri sudi.”
“Tok Aki janganlah panggil saya Tan Sri lagi. Panggil saja saya Hairie.”
Tok Aki tersenyum mendengar kata-kata Tan Sri Tengku Hairie. Dia yakin Tan Sri Tengku Hairie lain daripada orang kaya yang lain. Bukan sahaja budi bahasanya tinggi, malah seorang yang suka merendah diri.
“Fiyya? Fiyya?” Tok Aki mula memanggil Safiyya untuk masak lebih hari ini. Dia sudah menuju ke dapur apabila cucunya tidak mendengar panggilan suaranya yang serak.
DARI tadi Safiyya memandang Tan Sri Tengku Hairie yang berselera benar menikmati juadah tengah hari. Sayur lemak daun kayu, sambal belacan, ikan geli goreng dan ikan pekasam seperti lauk mewah sahaja dinikmati oleh Tan Sri Tengku Hairie.
Dia ni kebulur sangat ke? Dah tiga kali menambah. Tak kenyang lagi? Isy, habis juga beras atuk aku ni. Atuk pun satu, kenapa diajak orang yang lapar ni makan di sini? Kereta, pakaian, bukan main lagi mewah. Tapi nak juga makan kat rumah orang. Kedekut ke apa dia ni? Hati Safiyya mula berbisik.
“Tambah lagi,” suruh Tok Aki dengan senang hati.
“Erk, alhamdulillah, kenyang saya.” Tan Sri Hairie menyandar ke belakang dengan perut kekenyangan.
Isy, tak malu. Siap sendawa lagi? Apa kena dengan orang pak cik ni? Safiyya mengomel lagi.
“Lama betul saya tak makan lauk kampung macam ni. Sekali kena, fuh... bertambah-tambah.” Kata-kata Tan Sri Tengku Hairie membuatkan Tok Aki tersenyum-senyum.
“Fiyya yang masakkan. Lauk simple saja Hairie. Lain kali bolehlah datang lagi makan lauk kampung,” kata Tok Aki dengan senang hati.
Safiyya sudah mengangkat pinggan kotor ke singki. Sempat dia menjeling tetamu atuknya itu.
“Kalau saya ada kerja kat sini lagi, bolehlah saya singgah ke sini Tok Aki. Bolehlah saya makan masakan kampung. Pandai cucu Tok Aki masak.”
Gulp! Safiyya menelan air liur. Dia seperti tidak selesa dengan pujian Tan Sri Tengku Hairie. Dia merasakan ada niat di sebalik pujian itu. Namun, cepat-cepat disangkal. Dia tidak mahu berfikiran begitu.
“SIAPA tu atuk? Atuk ni janganlah mudah sangat percayakan orang. Entah-entah dia ada niat yang tak baik tak?” duga Safiyya sebaik sahaja Tan Sri Tengku Hairie sudah pulang.
Dia turut melabuhkan punggung di atas tangga bersama atuknya yang memandang kereta Tan Sri Tengku Harie yang sudah menghilang.
Tok Aki pelik memandang cucunya. Cucunya itu seperti tidak suka dengan tetamunya.
“Kenapa pula? Dia tu baik orangnya.”
“Baik apa macam tu? Makan sampai tak ingat dunia. Lepas tu pandang Safiyya semacam aje. Mana atuk kenal lelaki tadi?”
Tok Aki sudah ketawa dengan kata-kata cucunya. Dia tidak boleh salahkan cucunya kerana Safiyya belum kenal siapa lelaki tadi.
“Kalau Fiyya nak tahu, lelaki tadi tu Tan Sri Tengku Hairie. Dialah lelaki yang atuk selamatkan hari tu. Dia datang sini untuk bercuti kat kampung kita ni dan selalu makan di warung Pak Wahab tu. Katanya, dia sukakan suasana kampung. Satu hari tu dia baru tiba nak sarapan, tiba-tiba dia jatuh pengsan. Masa tu awal pagi lagi. Atuk aje pelanggan kat situ. Atuk dengan Pak Wahab kedai tulah yang tolong dia. Tu yang dia jadi baik dengan atuk tu,” cerita Tok Aki.
“Ooo... jadi dia ni Tan Sri. Atuk pernah tolong dia? Aisy, takkanlah baik sampai macam tu? Entah-entah dia ada niat jahat tak? Manalah tahu dia buat baik dengan atuk sebab nak minta atuk jual tanah ke, apa ke. Ha... orang kaya macam tulah. Ada maksud tersendiri.” Safiyya membuat telahannya sendiri.
Dia mula terikut-ikut dengan cerita drama yang ditontonnya. Yalah, orang kaya bila dah dapat kepercayaan orang kampung, terus dicucuknya suruh jual tanah. Lepas itu, mereka akan buat projek besar. Kasihan orang kampung yang tergadai tanahnya.
“Tak baik Fiyya buruk sangka macam tu. Tan Sri tu memang tak ada niat apa-apa. Dia datang jumpa atuk sebab atuk tolong dia masa pengsan tu aje. Dia tu walaupun kaya, tak sombong.”
Safiyya hanya terdiam. Kalau tidak ada apa-apa, kenapa beria-ia benar Tan Sri Tengku Hairie makan di sini? Malah, pandangan lelaki itu terhadapnya juga lain. Dia mula terbayangkan wajah Tan Sri Tengku Hairie. Rasanya, wajah lelaki itu pernah dilihatnya. Tetapi, di mana dia sudah lupa.
“Fiyya, atuk nak pergi tengok pisang tanduk. Rasanya dah boleh ambil petang ni. Ha... bolehlah goreng pagi esok. Bagi kat pak su sikit.”
Suara Tok Aki mematikan lamunan Safiyya terhadap ingatan wajah Tan Sri Tengku Hairie. Dia memandang Tok Aki yang sudah ke belakang rumah.