RAKIB memandang Farah yang masam mencuka. Sejak dia balik dari tempat kerja, Farah tidak menegurnya.
“Apa lagi yang tak kena, Farah?” tanya Rakib.
Farah mendiamkan diri. Jika Fahmita ke sekolah, Farah akan duduk diam. Kalau Fahmita balik dari sekolah, dia boleh pula berlakon mesra. Walaupun tak semesra mana.
“Awak tanya apa yang tak kena?” tanya Farah.
“Yalah, saya mana nak tahu kalau awak tak cakap.” Rakib berkata.
“Kita dah tak macam dulu. Awak jangan rasa kita tak ada masalah. Bukannya masalah kewangan yang menjadi punca. Saya dah reda pun dengan hidup kita ni.” Farah meluahkan rasa hati.
“Awak nak apa lagi?” tanya Rakib.
Farah mendengus. Rakib memang tak faham.
“Kita dah tak serasi bersama, Kib. Lebih baik kita berpisah.” Farah akhirnya meluahkan jalan terakhir.
“Macam mana boleh tak serasi, Farah?” tanya Rakib.
“Malaslah nak cakap lagi. Awak tak pernah cuba cari apa masalahnya. Apa yang awak tahu, tanya saya.” Farah mendongkol.
Sakit hati dengan sikap sambil lewa Rakib. Bagaikan sudah kehabisan cara untuk meneruskan hubungan ini.
Farah bingkas. Dia terus masuk ke dalam bilik. Ada suami macam tak ada suami. Apa yang dia tahu hanya cari duit untuk keluarga sampaikan dia lupa Farah juga perlukan Rakib.
Farah mahukan Rakib yang tahu mengimbangi antara kerja dan isteri serta anak. Dia tidak kisah pun dengan kais pagi makan pagi. Tapi, dia perlukan Rakib dalam hubungan mereka.
Rakib bagaikan hanya pencari nafkah untuk mereka bertiga. Tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dan suami. Apa yang dia tahu hanya mencari nafkah saja.
“Cuba awak beritahu, Farah, apa yang tak kena?” tanya Rakib, terjengul di muka pintu bilik.
“Saya nak kerja, awak tak benarkan. Saya bukan nak bebas, tapi sekurang-kurangnya saya dapat bantu awak dan dunia saya bukan hanya di rumah ni,” kata Farah.
“Apa gunanya saya sebagai lelaki kalau awak bekerja? Dah lama pun awak jadi suri rumah,” tukas Rakib.
Itulah jawapan Rakib sejak dulu. Bagi Rakib, kerja seorang suami dan lelaki begitulah. Tak perlukan pertolongan orang lain.
“Saya nak berpisah, Kib,” ujar Farah dalam nada serius. Tidak memandang Rakib.
“Awak sedar tak apa yang awak cakap ni, Farah?” tanya Rakib.
“Saya sedar. Saya nak berpisah. Ada suami macam tak ada suami. Awak buat saya ni macam saya majikan awak, Kib. Mana Rakib dulu? Yang selalu dahulukan saya daripada perkara lain.” Farah bertanya.
“Saya masih Rakib yang dulu,” jawab Rakib.
Farah menggeleng.
“Saya nak berpisah sekarang supaya tak benci awak, Kib,” ujar Farah.
“Awak ada orang lain ke, Farah?” tanya Rakib.
Dia risau Farah ada lelaki lain saja.
“Kib, bila masa saya boleh jumpa lelaki lain? Lagipun masalah saya bukan dengan lelaki lain. Saya hanya perlukan suami saya, tapi dia semakin jauh.” Farah menunduk.
Rakib menghampiri Farah. Cuba menyentuh tangan Farah. Tapi, Farah melarikan tangannya.
“Kalau awak nak berpisah, awak tak fikir Fa ke? Macam mana dia nak hidup tanpa ibunya?” tanya Rakib.
“Eh, saya akan bawa Farah. Jangan harap saya nak tinggalkan dia kat sini.” Farah menjegil Rakib.
“Sebab tulah saya rasa awak tak payah sebut pasal berpisah lagi. Fa perlukan kita berdua...”
“Saya nak berpisah juga. Tapi, Farah saya akan bawa bersama.” Farah memberi kata putus.
Rakib mendengus. Sakit hatinya mendengar Farah asyik menyebut perkataan berpisah itu.
“Tak boleh.” Rakib berkata tegas.
“Saya nak bawa Fa!”
Rakib bangun. “Farah binti Arman, aku ceraikan kau dengan talak satu.”
Terkebil-kebil Farah memandang Rakib yang sudah melafazkan talak. Air matanya mengalir laju. Tak sangka secepat itu Rakib melafazkan talak.
“Tapi, dengan lafaz ini, saya tak izinkan awak bawa Fa. Fa akan tinggal dengan saya. Awak pilihlah.” Rakib begitu serius sekarang.
“Tak nak! Saya nak bawa Fa!” Farah menjerit.
Dia tak sanggup berpisah dengan Fahmita. Fahmita yang amat disayangi.
“Kalau awak nak keluar daripada hidup saya, awak kena tinggalkan Fa,” kata Rakib.
Dia tetap dengan keputusannya. Tak akan dibiarkan Farah membawa Fahmita. Biar Farah tahu ada harga yang perlu dia bayar andai mahu pergi daripada hidup seorang Rakib. Anaknya itu tidak akan dibawa pergi bersama.
Fahmita muncul di muka pintu.
“Ibu... ayah...” Fahmita memanggil.
Farah berlari memeluk Fahmita. Mencium pipi Fahmita bertalu-talu.
“Kenapa, ibu?” tanya Fahmita.
“Ibu nak pergi dari sini. Ibu ada kerja kat tempat lain...” Rakib memberitahu.
“Kenapa Fa dan ayah tak boleh ikut?” tanya Fahmita.
Farah hanya menangis. Jika diikutkan hatinya, dia mahu menjerit mahu membawa Fahmita. Tapi, mulutnya bagai dikunci.
“Ibu akan balik jumpa Fa lagi...”
Farah memandang Rakib sepintas lalu. Pandangan mereka bersatu sebelum Farah mengangkat begnya. Jeritan Fahmita yang memanggilnya membuatkan hatinya hancur berkeping-keping.
Farah meneruskan perjalanannya.
Selepas 15 tahun...
“AYAH nak balik tinggal kat sana?” tanya Fahmita kepada Rakib.
Tak ada angin dan ribut, ayahnya itu mahu kembali ke tanah airnya.
“Fa pun dah bekerja. Ayah nak balik teman mek pula...” Rakib berkata sambil tersenyum.
“Alah, mek tu kan ada Thim...” Fahmita ralat apabila ayahnya sudah membuat keputusan.
“Memanglah, tapi ayah rasa nak tinggal kat sana pula. Lagipun, ayah kan tak pernah lepaskan kewarganegaraan ayah.” Rakib sengih.
“Yalah tu.” Fahmita mencebik.
Rakib ketawa kecil. Mengusap lengan Fahmita.
Fahmita memandang ayahnya. Sejak dia bekerja, dia tidak mahu ayahnya itu turut bekerja. Setelah ayahnya berhempas pulas menjaganya, kali ini biarlah dia pula yang mencari wang untuk mereka.
“Tak apalah, bolehlah Fa kerap balik sana.” Rakib berkata.
Fahmita angguk kepala. Memang betul juga kata ayahnya. Kalau ayahnya tak balik ke sana, dia pun bukannya nak kembali ke sana. Walaupun dia pernah beberapa tahun tinggal di sana.