Mr Millionaire's Contract Wife

BAB 1

  • Art
  • Zaza Qrt

EDRIZ meletakkan tangan di atas belakang kerusi. Edriz semakin selesa dengan Erna. Perkenalan pertama yang terjadi di Phuket membuatkan hubungan mereka rapat dalam masa yang singkat. Walaupun mungkin masih awal untuk mengucapkan kata cinta, tetapi bagi Edriz, dia boleh melakukannya.

Kalau nak cari isteri kena cari yang selesa ketika bersama. Sejak bertahun lalu, Edriz cukup susah untuk bersama dengan perempuan. Tapi, bila berjumpa dengan Erna, lain pula jadinya.

Mungkin Erna sesuai dengannya. Lagipun dia yakin Erna dapat melepasi Tun Fatimah kerana Erna agak lantang bersuara.

Bukannya Edriz tak boleh melawan cakap Tun Fatimah, tapi Edriz mahu Tun Fatimah menerima pilihannya. Tak semua pilihan sendiri itu tak baik. Sejak dulu, Tun Fatimah mahu dia menerima Melisa, anak kepada kawannya.

Edriz bukannya jenis yang melulu saja menerima walaupun dia mahu taat kepada bondanya. Lagipun bagi Edriz, sikap keanak-anakan Melisa tak sesuai dengannya. Suka menggedik. Dia mahu wanita yang berdikari dan berani.

Berkahwin bukannya sekadar berhubungan badan, tapi semua aspek mesti diambil kira. Kalaulah dia tak selesa bersama, Edriz risau dia akan melukakan hati orang saja. Tambahan pula kalau sudah berkahwin, sudah tentu akan melibatkan dua keluarga.

Melisa tak sesuai dengannya. Dia hanya sesuai dengan Tun Fatimah.

Melisa bagaikan boneka yang boleh ditolak ke sana dan ke mari. Sebab itulah dia tak mahu Melisa menjadi isterinya. Yang pasti, akan mengikut acuan bondanya itu.

Edriz tak suka perempuan yang macam lalang. Ditolak ke sana dan sini dengan mudah.

“Erna,” panggil Edriz.

Erna pantas berkalih. Dia tersenyum kepada Edriz.

Edriz mengeluarkan kotak kecil dari poket seluar, lalu diletak di depan Erna.

Erna membuka kotak kecil tersebut.

“Riz, apa ni?” tanya Erna sambil mata tidak berkelip melihat cincin emas yang terletak elok di dalam bekas kecil itu.

“You buat tak kenal ke? Cincin untuk youlah.” Edriz menggeleng.

Erna mengambilnya dan terus menyarungkannya ke jari manis. Muat elok. Erna ukir senyuman melihat cincin cantik itu. Cita rasa Edriz memang ada kelas.

Erna melentokkan kepala ke bahu Edriz. Edriz mengusap bahu Erna.

“Nanti lepas kahwin, I bagi lagi banyak untuk you...” Edriz berjanji sambil tersenyum.

“Betul ke?” tanya Erna, mendongak memandang Edriz.

Bersinar mata Erna. Dia tahu Edriz bukanlah lelaki sembarangan walaupun Edriz tak pernah bercerita perihal dirinya. Erna tak kisah, asalkan Edriz sayangkannya.

Kalau Edriz hanya orang biasa-biasa saja, mana mungkin Erna akan dihadiahkan dengan barang-barang mahal. Setiap kali bertemu, hadiah yang diberi kepadanya boleh dikatakan semuanya mahal.

Pertemuan pertama mereka berlaku di Thailand ketika Erna sedang bercuti di sana. Sejak kali pertama bertemu, mereka berdua semakin rapat sepanjang percutian itu sehinggalah dia menambah cutinya lagi.

Selepas kembali ke Malaysia pun, Edriz selalu menemuinya walaupun Edriz tinggal di negeri lain. Jika Erna mahu ke Kuala Lumpur, Edriz akan belikan tiket kapal terbang untuknya.

Hidup Erna terus berubah selepas kenal dengan Edriz. Siapa sangka, dia menjadi kekasih kepada lelaki kacak dan ada segala-galanya.

“Bila nak kahwin?” tanya Erna berani apabila Edriz menyebut pasal perkahwinan.

“Tahun depan. You dah sedia?” tanya Edriz, pandang Erna.

“Dah. I tak sangka you nak kahwin dengan I,” kata Erna.

Mana taknya, kenal tak sampai setahun, Edriz sudah mahu berkahwin. Ingat senang seorang lelaki nak ajak perempuan kahwin?

“Kenapa pula you waswas?” tanya Edriz pelik.

“I tak tahulah. You lelaki yang ada kelas. I bukan apa-apa,” kata Erna, pura-pura merendah diri.

Menyengih di hujungnya.

“I selesa dengan you. Nak kahwin, kena cari orang yang selesa bersama kita.” Edriz sengih.

Erna ketawa bahagia. Edriz sukakan dia, Erna lagilah suka.

“Tak lama nanti, I bolehlah tinggalkan kawan I tu. Dia rampas kekasih I dulu, sebab tulah I bawa diri bercuti di Thailand masa tu.” Erna meluahkan apa yang tak pernah diluahkan.

“You pun banyak kekasih?” tanya Edriz.

“Seorang tulah. Tapi, itulah, dirampas. Sebab tulah bila I kenal you, I takkan kenalkan you dengan dia. Agaknya sebab orang yang berdarah Siam suka rampas hak orang.” Erna menjuih.

Menyampah apabila bercerita tentang kawannya itu.

“Alah, you ni, kalau bekas kekasih you tak layan kawan you tu, tak menjadi juga. Tepuk kedua-dua belah tangan baru berbunyi. You nak salahkan keturunan dia pulak.” Edriz ketawa.

Macam pelik saja cara Erna bercerita.

“Yalah, lelaki kat sebelah utara suka benar kahwin dengan orang Thai. Nak pula dari Pattani tu.” Erna menjuih.

“Okeylah, I pun tak nak kenal kawan you tu...” Edriz memeluk bahu Erna.

Erna terus bergerak ke balai berlepas apabila terdengar panggilan masuk. Erna memeluk lengan Edriz yang menghantarnya ke pintu masuk. Tiga hari saja mereka sempat berjumpa kerana Edriz akan ke luar negara.

Setelah Erna hilang dari matanya, barulah Edriz melangkah keluar dari situ.


EDRIZ melangkah masuk ke dalam rumah Tun Fatimah. Selepas menghantar Erna, dia kembali ke sini.

“Awal balik?” tanya Tun Fatimah sebaik saja Edriz melabuhkan duduk.

Kedua-dua tangan diletak di belakang kepala. Edriz memandang sekilas Tun Fatimah.

“Nak rehat, mama,” ujar Edriz.

“Melisa nak datang hari ni,” beritahu Tun Fatimah. Mukanya bertukar manis apabila menyebut nama Melisa.

Gaya santai Edriz terus berubah. Dia menegakkan badan.

“Buat apa?” tanyanya.

Sebut saja nama Melisa, terus dia rasa tertekan. Terbayang-bayang sikap Melisa yang tergedik-gedik.

“Saja mama jemput dia makan-makan kat sini.” Tun Fatimah berkata.

“Kat rumah dia pun boleh makanlah, mama,” balas Edriz, menjeling Tun Fatimah sekilas.

Tun Fatimah menjegil Edriz. Cukup payah nak satukan Edriz dan Melisa. Edriz langsung tak mahu dengar katanya. Sudah pelbagai cara dia buat untuk satukan mereka, tapi tak juga dapat. Edriz sentiasa menolak.

“Riz dah ada teman wanita?” tanya Tun Fatimah.

Dia memandang tunak anak lelakinya itu. Dia yakin Edriz sudah ada teman wanita, yang mungkin disembunyikan daripadanya.

“Ada.” Sepatah Edriz menjawab.

Lebih baik dia jawab dengan jujur. Lagipun dia sudah bersedia untuk berkahwin.

“Siapa dia?” tanya Tun Fatimah.

“Nantilah Riz kenalkan dengan mama. Riz ada kerja dalam dua minggu ni. Lepas tu baru Riz kenalkan dengan mama. Riz nak kahwin dengan dia, mama,” ujar Edriz.

“Siapa budak perempuan tu?” tanya Tun Fatimah.

“Mama, dia bukan budaklah. Dah boleh jadi mak budak. Kalau budak, nanti Riz jadi lelaki pedo pula...” Edriz ketawa.

Tun Fatimah menderam. Geram dengan sikap tak serius anak lelakinya itu.

“Memanglah, tapi bonda nak tahu siapa dia. Kerja apa? Siapa keluarga dia?” Tun Fatimah mula menyiasat.

“Bonda ni... Lepas Riz bawa dia balik ke rumah untuk jumpa bonda, bonda tanyalah dia.” Edriz senyum lagi.

“Bonda tak nak terkejut. Nanti tak pasal-pasal, kalau entah perempuan mana, bonda terus pengsan,” ujarnya.

“Alah, bonda ni wanita besi. Bonda mesti tahan punyalah,” balas Edriz.

Tun Fatimah mendengus. Nampak gayanya impian untuk bermenantukan Melisa ibarat telur di hujung tanduk. Tapi, dia takkan berputus asa. Kalau dia berputus asa, bukan Tun Fatimahlah namanya. Dia kuat macam srikandi Tanah Melayu itu. Dia akan biarkan Edriz hanyut dahulu.