FAHMITA memandang Erna yang baru melangkah masuk ke dalam rumah. Tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Di tangannya ada beg berjenama Fendi.
Fahmita pelik dengan Erna sejak akhir-akhir ini. Penampilan Erna sudah tak serupa dulu. Pakaiannya berjenama dan sudah berubah elegen. Bagaikan memiliki penggaya sendiri. Atau mungkin sebab pakaian-pakaian yang dipakainya.
Erna melabuhkan duduk di hujung sofa lembik itu. Sofa milik tuan rumah yang disewa mereka.
“Kau baru balik kerja ke?” tanya Erna, mengerling Fahmita.
“Kau tu?” Fahmita berbalik kepada Erna.
Lima hari Erna menghilangkan diri.
“Aku? Aku jumpa orang yang cintakan aku.” Erna ketawa.
Saat itu juga dia terbayangkan wajah Edriz. Betapa dia merinduinya walaupun baru saja berpisah dua jam yang lalu.
“Cinta?” tanya Fahmita terkejut.
Sejak bila pula Erna mencintai orang? Setahunya, Erna berkawan dengan lelaki hanya disebabkan material saja.
Bukan seorang dua lelaki yang telah dikecewakan Erna. Erna bosan, dia akan tinggalkan saja. Dia tak akan fikir perasaan orang pun. Yang penting, hatinya gembira.
“Kau ingat kali ni serupa mangkuk ayun yang tinggalkan aku sebab sukakan kau?” tanya Erna sinis.
“Aku tak minta pun dia sukakan aku. Tapi, kau nak marahkan aku kenapa? Aku tak pernah sukakan mangkuk ayun tu. Kau ingat aku kebulur dengan jantan?” tanya Fahmita sinis.
Dia tak pernah teringin dengan mana-mana lelaki pun. Dia hanya setia kepada yang satu saja. Dia masih setia menunggu Jaffar pulang dari luar negara dan berkahwin dengannya.
Selepas itu, dia boleh keluar dari rumah ini. Seksa hidup dengan Erna.
“Ah, semuanya salah kau. Sebab tulah aku jadi macam ni. Tapi, sekarang, tak lagi. Aku dah jumpa lubuk besar.” Erna ketawa besar.
Fahmita menggeleng. Lelaki malang manalah yang terkena dengan Erna.
“Kau tak percaya?” tanya Erna sambil meng-gawangkan jemarinya di depan Fahmita.
Cincin berbatu itu ditayang di depan Fahmita.
“Kau ni betul ke? Janganlah main-mainkan lelaki, Erna. Lelaki ni, kalau dah berdendam, dia akan buat macam-macam.” Fahmita mengingatkan Erna.
Risau dengan sikap Erna.
“Kau cemburulah, kan?” Kening Erna terjongket.
“Aku hanya ingatkan,” kata Fahmita.
Nasihat pun dikata cemburu. Entah apa yang ada dalam fikiran Erna. Semua yang dikatakannya salah.
“Aku tahulah kau tu cemburukan aku sebab dapat lelaki kaya...” Erna mencebik.
“Lantak kaulah, Erna.” Fahmita terus bingkas.
Kalau melayan Erna, sampai esok pun mereka masih bertengkar.
Pintu bilik ditutup rapat. Terkelip-kelip Fahmita memandang siling selepas berbaring. Memang agak melelahkan tinggal berdua dengan Erna selepas Hani keluar dari rumah ini.
Tapi sekarang, susah betul nak cari rumah sewa. Sudahnya, dia bersabar saja.
Mahu menghubungi Jaffar pun Fahmita risau mengganggu Jaffar yang mungkin letih bekerja. Kalau bercakap, mungkin akan mengambil masa sehingga berjam-jam. Sudahnya, dia hanya memandang siling saja.
Hidup bersendirian jauh daripada keluarga memang lain sedikit. Semua hal kena dilakukan sendiri. Sakit hati kepada orang pun kena hadap sendiri. Keluarga jauh dari Malaysia, memang beginilah nasibnya.
Walaupun berjiran saja negara mereka, tapi Fahmita jarang kembali ke sana. Dia lebih selesa tinggal di sini. Lagipun ini adalah tempat lahirnya.
Pintu terkuak, mengejutkan Fahmita. Erna menyengih di depannya dengan memakai pakaian baru.
“Cantik tak?” tanya Erna sambil berpusing di depan Fahmita.
Dress itu beralun-alun apabila Erna berpusing-pusing.
“Cantiklah sebab pakaian mahal, kan?” kata Fahmita dengan malas.
“Aku nak tunjuk kat kau. Kau mesti tak pernah merasa pakai macam ni, kan?” Erna berkata dengan sinis.
“Tak apalah, Erna. Murah pun tak apa. Pakaian juga.” Mendatar suara Fahmita.
“Dia dah ajak aku kahwin. Nanti tinggallah kau seorang kat sini.” Erna ketawa, mahu melihat reaksi Fahmita.
Fahmita terbangun. Dia memandang Erna. Betul ke Erna nak kahwin? Macam tak betul saja.
“Aku jumpa lelaki kaya yang ikhlaslah. Hikmah kau rampas kekasih aku dulu,” ujarnya.
Erna ni memang ada masalah dengan hati sendiri. Kalau namanya merampas, Fahmita bersama dengan lelaki itu. Ini tidak, jantan itu sudah ke mana pun tak tahu.
“Baguslah tu.” Fahmita berkata dengan nada mendatar.
“Sayangnya aku takkan jemput kau ke majlis kahwin kami nanti. Risau aku kalau kau datang.” Erna ketawa kerana dapat mengata Fahmita.
“Erna, lelaki kalau dah cinta, dia takkan berpaling pada perempuan lain. Kalau perempuan lain telanjang depan dia pun, dia kick macam tu aje. Kau ni insecure sangat dengan aku kenapa? Aku bukan jenis yang pakai seksi pun.” Fahmita menggeleng.
“Sebab kau keturunan Siam. Aku tak suka!” Erna menjuih.
Dia nak salahkan darah aku pula. Tak ada pasal nak benci Thailand. Padahal Erna pun selalu masuk Thailand. Bercuti bagai. Tak kena dengan hati dan jiwa betul kata-kata Erna.
“Erna, aku nak rehat. Esok sambung mengata aku lagi eh?” Fahmita malas melayan Erna.
Erna yang selalu saja busuk hati.
Kali ini Fahmita terus mengunci pintu biliknya. Kalau tak dikunci, tak mustahil Erna akan menyerbu ke dalam biliknya seperti tadi.