Sekali Lagi Cinta Kembali

BAB 3

  • Art
  • Anna Milia

PERTEMUAN empat mata di Studio Warisan berjaya diatur oleh Aira. Setelah beberapa kali Amberlyn membatalkan pertemuan yang sepatutnya berlangsung di Pusat Terapi Nadi Insan.

“So, nak minta saya tolong rekomen awak jadi model ke?”

Aira senyum. Dia pandang sekeliling. Beberapa orang pekerja di set fotografi sebuah majalah sibuk menguruskan tugas masing-masing.

“Boleh tak kalau kita bercakap sekejap? Tentang Encik Zafran.”

Wajah Amberlyn tiba-tiba berubah tegang.

“There’s nothing holding me back. I am done with him.”

“Fikirkanlah tentang anak puan.”

Amberlyn mendengus. Anak itu juga salah satu faktor kenapa dia mahukan perceraian.

Aira masih dalam proses memujuk apabila seorang lelaki kacak datang menemui Amberlyn.

“Hai Hayyat,” ujar Amberlyn malas.

Dia sudah tahu apa tujuan lelaki itu datang.

“We need to talk,” ujar si kacak.

“Eh, sekejap. Saya belum habis cakap lagi dengan dia. Awak kena tunggu giliran. Mana boleh main terjah ikut suka hati aje.”

Aira menegur lelaki itu. Hayyat mencerlung Aira.

“Awak balik dulu.” Amberlyn memberi arahan kepada Aira.

Aira menghela nafas berat sebelum melangkah pergi. Sempat dihadiahkan jelingan maut kepada lelaki itu.


SEPERTI yang diduga, Zafran mengamuk. Satu kerja pula Doktor Halina nak menenangkan lelaki itu.

“Sabar, Encik Zafran. Biar saya pula yang cuba pujuk dia,” ujar Doktor Halina.

Zafran menggeleng lemah sambil menatap wajah doktor yang hampir sebaya ibunya.

“Anak saya tak sihat. Syafi perlukan ibunya.”

Aira mengeluh. Balik-balik isu anaknya yang tidak sihat.

“Encik kan kaya. Cari ajelah isteri baru. Kan senang.”

Terbeliak mata Zafran mendengar hujah mengarut Aira. Darah panas menyirap ke wajahnya. Bibir diketap sambil buku lima digenggam kemas. Kalau Aira ni lelaki, sudah pasti penumbuk hinggap di muka.

Doktor Halina menggeleng.

“Kalau macam tu, apa kata kalau kita kahwin? Lagipun awak punca semua masalah ni.”

“Tak naklah saya kahwin dengan lelaki kaki pukul. Nauzubillah.”

Doktor Halina mengeluh. Dia mengusap dahi.

Zafran mencerlung Aira. Pertemuan petang itu penuh ketegangan.


SAMPUL di tangan Doktor Halina dipandang.

“Aira, ambil duit ni. Esok tak payah datang kerja.”

Aira terkedu. Fail di tangan diletakkan di atas meja. Dia menatap wajah Doktor Halina. Sudah lebih setahun dia berkhidmat untuk wanita itu.

“Saya minta maaf, doktor. Saya tak ada niat nak...”

Doktor Halina mengangkat tangan, menghalang Aira daripada meneruskan kata.

“Saya tak mahu masalah lain yang timbul nanti. Ini syarat yang dikenakan oleh Encik Zafran supaya lesen saya tidak ditarik balik. Lagipun awak patut bertanggungjawab di atas perbuatan awak.”

Aira diam. Dia menumpang bilik di tingkat atas premis milik Doktor Halina. Jika diberhentikan kerja, bagaimana dengan bilik itu? Di mana dia nak cari bilik sewa dalam masa sesingkat ini?

Amirah pula menumpang bersamanya. Aduh, masalah ni!


AIRA melangkah masuk ke dalam kawasan rumah milik keluarga Zafran. Dia menghela nafas dalam lalu dihembus kasar melalui mulutnya.

“Jangan takut, Aira. Ramai orang dalam rumah ni. Zafran tak boleh buat perkara yang tak senonoh kepada kau.” Aira memujuk hati.

Aira disambut oleh pembantu rumah warga Indonesia. Dia dibawa ke ruang tamu. Luas benar ruang itu dan nampak mewah. Aira melabuhkan duduk.

Seorang wanita separuh abad menghampirinya. Wanita itu berbadan besar. Pergerakannya mengguna-kan tongkat kaki tiga.

Ini mesti sakit lutut. Kaki tak dapat tampung berat badan, teka Aira.

Aira hadiahkan senyuman paling manis kepada wanita itu. Namun, senyumannya mati apabila Zafran muncul di belakang wanita itu.

“Kenalkan umi, ini Aira. Perempuan yang jadi kuli Doktor Halina tu.”

Aira menjeling Zafran. Dia tidak berani mem-balas kata-kata Zafran memandangkan ibu lelaki itu merenung tajam kepadanya.

“Ini umi saya, Puan Zainab.”

“Awak sedar tak apa yang awak dah buat?” Zainab bertanya.

Aira angguk.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya tak ada niat nak runtuhkan rumah tangga Encik Zafran dan Puan Amberlyn.”

“Tak ada niat? Hoi perempuan, kau yang hasut dia suruh minta cerai. Macam mana kau boleh kata tak ada niat?” jerkah Zafran.

“Saya cuma bagi pandangan saya mengikut Teori Glasser. Manusia mempunyai kebebasan dan boleh membuat keputusan.”

“Pergi mampus dengan teori awak tu!”

Aira terpempam. Pandangan tajam Zainab kepadanya membuatkan mulut Aira terus terkunci.

“Setakat kelulusan dengan CGPA cukup makan, tak payahlah berangan nak jadi therapist. Bodoh tu jangan dibolot semua.”

“Awak tak ada hak...”

“Jangan ajar saya tentang hak. Awak punca Syafi tidak mendapat haknya sebagai seorang anak.”

Zafran menarik tangan Aira lalu dibawa ke tingkat atas.

Zainab cuba menghalang, namun tidak berdaya. Dia hanya mampu memandang anaknya membawa Aira masuk ke bilik Syafi.

Zafran melepaskan tangan Aira secara kasar. Pembantu rumah, Seri, yang sedang menukarkan pakaian Syafi, diarahkan meninggalkan bilik. Wanita itu membutangkan baju Syafi sebelum melangkah pergi.

Zafran menghampiri lalu duduk bersila di hadapan anak tunggalnya. Syafi diletakkan di atas riba-nya. Zafran menanggalkan tiga butang baju Syafi lalu anak itu dipusingkan menghadap Aira.

Syafi memandang Aira. Terdapat parut pada dada anak itu. Aira menghampiri.

“Syafi menghidap cardiac arrhythmias.”

“Penyakit jantung?” tanya Aira seraya melutut di hadapan dua beranak itu.

Dia tahu Syafi tidak sihat. Ingatkan penyakit biasa-biasa saja.

Zafran angguk. Kepala anak kecil itu dicium.

“Berapa umur dia?”

“Empat tahun.”

Aira menghulurkan tangannya kepada Syafi. Apa yang mengejutkan Aira, anak itu turut menghulurkan tangannya. Aira mengangkat Syafi dengan berhati-hati lalu diletakkan di atas ribanya.

“Dia dah biasa dengan orang luar. Mungkin sebab dah selalu sangat ke hospital.” Zafran bercerita.

Aira pandang wajah Zafran. “Saya minta maaf.”

Mereka berbalas pandang.

“Apa yang boleh saya buat untuk bantu awak dan Syafi?”

“Tolong pujuk Amberlyn.”

Aira tunduk. Bibir diketap. Betapa dia rasa ber-salah apabila melihat keadaan Syafi yang perlukan kasih seorang ibu. Dia merasakan sukar untuk memujuk Amberlyn. Setelah diberhentikan kerja, sudah tiga kali dia memujuk wanita itu, namun tidak berhasil.

“Susah, Encik Zafran.”

“Kalau macam tu, awak jaga Syafi sementara saya yang pujuk Amber. Saya akan bayar upah kepada awak. Lagipun awak sedang menganggur kan sekarang ni?”

“Saya tak tahu macam mana nak jaga budak sakit.”

Zafran pandang Aira. Dia tidak suka istilah budak sakit yang digunakan oleh gadis itu.

“Maksud saya, anak yang istimewa macam Syafi.”

“Fikir dulu. Saya tak desak awak walaupun saya ada hak untuk berbuat demikian.”

Aira angguk.

“Jom turun,” ujar Zafran. Dia mengambil Syafi dari riba Aira.