AIRA menuruni anak tangga. Dia bertembung dengan Doktor Halina.
“Nak ke mana?” tanya Doktor Halina.
“Cari kerja.”
“Ikut saya. Ada perkara yang perlu kita bincangkan.”
Aira menelan liur. Adakah Doktor Halina mahu mengusirnya dari bilik sewa? Aira gelisah. Ke mana dia mahu menumpang teduh? Dia tidak mempunyai pekerjaan mahupun wang simpanan.
Aira membuntuti langkah Doktor Halina ke dalam pusat terapi.
“Kenapa tak kerja sahaja dengan Encik Zafran?” Doktor Halina memulakan bicara.
Aira memicit pangkal leher.
“Susahlah. Budak tu sakit. Kalau tiba-tiba mati, macam mana? Nanti tak pasal-pasal dia saman saya pula. Encik Zafran tu memang sinonim dengan isu saman-menyaman ni.”
“Tahu pun yang Encik Zafran macam tu. Sekarang dia nak saman saya.”
“Lah, tak selesai lagi ke?”
“Belum. Dia akan tarik balik dakwaan jika awak kerja dengan dia.”
“Mana boleh macam tu,” tukas Aira.
Wajahnya sudah tegang untuk mempamerkan rasa tidak puas hati.
“Awak dah susahkan dia, Aira. Sepatutnya kita bagi jalan supaya rumah tangga mereka baik-baik sahaja.”
Doktor Halina berjeda. Wajah Aira dipandang lagi. Otaknya ligat menyusun ayat untuk memastikan Aira menerima tawaran Zafran.
“Minggu depan ada pekerja baru yang meng-gantikan tempat awak. Dia akan tinggal di atas. Saya rasa awak dah boleh cari bilik sewa lain.”
Aira terpempan. Bulat matanya menatap Doktor Halina.
Doktor Halina memalingkan wajahnya. Dia berasa bersalah. Dia tahu kisah hidup Aira. Gadis itu sudah lebih dua tahun membawa diri dan tidak pulang ke rumah keluarganya. Dia juga tahu Aira ter-tekan, tetapi dia perlu memikirkan risiko yang bakal perniagaannya hadapi.
Kedengaran suara Aira mengeluh.
WAJAH ketat Zafran menyambut kehadiran Aira pada pagi itu.
“Awak lewat setengah jam.”
Aira tayang sengih. “Bukan salah saya, tapi pemandu teksi. Dia yang tersesat.”
“Pergi masuk. Syafi sedang buat perangai tu. Kasihan umi.”
“Eh, mana boleh main suruh kerja macam tu aje. Macam mana dengan gaji saya? Kita tak ada bincang apa-apa pun. Kontrak mana? Kontrak?”
Zafran mengerling jam tangannya. Hidungnya terangkat sedikit. Respons tanpa sedar apabila sedang marah. Zafran melonggarkan tali leher. Niat di hati mahu berleter, tetapi itu hanya melambatkan dia ke tempat kerja.
“Sekarang ni, masuk dan buat kerja dulu.”
Aira tayang wajah tak puas hati.
“Kerja pun belum buat, dah tanya pasal gaji,” omel Zafran seraya melangkah ke keretanya.
Zainab menghampiri Aira.
“Terima kasih sudi jaga Syafi. Umi dah tak larat. Sakit lutut. Itu yang susah sikit nak uruskan Syafi.”
Umi? Dia bahasakan dirinya umi? Amboi, ini mesti tak lain tak bukan, nak jadikan aku calon menggantikan Amberlyn. Mata Aira berkedip-kedip memandang wajah Zainab.
“Yang kamu ni macam cicak tertelan kapur, kenapa?”
Aira menggeleng sambil tersengih.
“Bukan ke sepatutnya saya panggil Puan Zainab ke? Yalah, saya ni orang gaji aje di sini.”
“Kamu bukan orang gaji di sini. Kamu pengasuh Syafi.”
“Kiranya saya tak perlu masak, kemas rumah, cuci longkang, basuh baju dan lipat baju bagailah kan?”
Zainab ketawa kecil. Nampak sangat pemalasnya Aira ni.
“Itu semua akan dilakukan oleh Seri dan Dewi. Kerja di laman, termasuk cuci longkang, diuruskan oleh Razi. Kemudian ada seorang lagi pekerja, Karim. Dia driver.”
“Kalau dah ada sampai dua orang maid, kenapa perlu upah saya lagi?”
“Kamu hanya perlu jaga Syafi. Dia mesti selalu dipantau.”
“Siapa yang jaga dia sebelum ni? Puan Amberlyn kan bekerja?”
“Umi akan bergilir dengan Amberlyn. Tetapi baru-baru ni, lutut umi semakin parah. Amberlyn yang jaga Syafi.”
Wajah Zainab tiba-tiba berubah. Dia teringat kata-kata keluhan menantunya itu apabila terpaksa menolak beberapa tawaran peragaan. Amberlyn seolah-olah tidak mahu faham Syafi memerlukan perhatian dan penjagaan rapi.
AIRA membawa Syafi ke laman. Dia dan Syafi duduk di bawah teduhan gazebo.
Aira berbaring di atas lantai gazebo yang diper-buat daripada kayu. Syafi duduk di sebelahnya. Tangan Aira memeluk tubuh anak itu.
“Syafi lapar tak?”
Syafi menggeleng.
Hampir sepuluh minit di situ, Aira terlelap.
Syafi memandang wajah Aira. Dia cuba mengejutkan Aira, tetapi wanita yang dipanggil Acik Ira itu lena tidak berkutik. Syafi melangkah keluar dari gazebo.
Zafran membelok keretanya masuk ke kawasan rumah. Dia segera menekan brek apabila melihat Syafi berlari menghampiri kereta. Sebaik sahaja enjin kereta dimatikan, pandangan Zafran meliar mencari kelibat Aira mahupun pembantu rumah.
Tiada.
Zafran mendukung Syafi. Matanya tanpa sengaja terpandang Aira yang sedang tidur di dalam gazebo. Tidur di atas lantai. Bukan sekadar terlelap atas kerusi. Teruk benar perangai perempuan ni, desis hati Zafran.
Langkah dibawa ke sana. Zafran menanggalkan kasut. Dia menghampiri Aira. Kakinya menguis kaki Aira. Gadis itu tidur mati. Zafran menggeleng.
Macam mana kalau tadi Syafi turun ke dalam kolam? Atau Syafi terkena serangan jantung?
Zafran menendang perlahan kaki Aira. Masih tidak sedar. Dia pandang perut Aira. Zafran mengangkat kaki kanannya. Lagak seolah-olah mahu memijak perut Aira. Biar terburai semua najis yang tersimpan dalam usus dan dubur gadis itu.
“Apa kamu nak buat ni Zaf?”
Suara kuat Zainab mengejutkan Aira. Ketika membuka mata, dia nampak kaki Zafran yang hampir mencecah perutnya. Terus kaki itu ditolak kasar. Zafran hilang imbangan badan.
Zafran terjatuh, tetapi mujurlan Syafi tetap berada dalam dukungannya. Aira menyeringai kesakitan apabila tubuh Zafran menindih tubuhnya.
Zafran segera mengalihkan tubuhnya. Syafi diletakkan di atas lantai.
“Syafi ikut nenek masuk dalam rumah. Daddy nak cakap dengan kakak ni.”
“Acik Ira.”
Zafran memandang Aira.
“Bincang elok-elok,” pesan Zainab sebelum memimpin tangan Syafi masuk ke dalam rumah.
“Macam ni reputasi kerja awak pada hari pertama?”
“Letih gila weh. Saya kerja dari pukul 9.00 pagi kut.”
Zafran tayang wajah meluat. Baru hari pertama kerja dah culas.
“Dah pukul 6.00 ni. Cakaplah cepat, apa yang awak nak bincang dengan saya? Kontrak dah siap?”
Zafran mengerutkan keningnya.
“Kita belum bincang apa-apa lagi, macam mana nak tulis kontrak?”
Setelah lama berbincang, akhirnya mereka men-dapat kata sepakat.
“Ada nak tambah apa-apa lagi?” tanya Zafran sebelum menamatkan perbincangan.
“Saya nak cuti tahunan sekali dengan pakej melancong.”
Zafran tersenyum sinis.
“Rasanya saya tak perlukan awak untuk tempoh yang panjang.”
“Kenapa? Syafi tak mampu bertahan lama ke?”
Tersirap darah Zafran mendengar soalan Aira.
“Mulut puakalah awak ni? Maksud saya, saya yakin Amberlyn akan kembali ke pangkuan saya. Masa tu saya dah tak perlukan awak lagi?”
“Patutlah Puan Amberlyn tinggalkan awak.”
Zafran menuding jari telunjuk tepat ke wajah Aira.
“Saya rasa tindakan mengambil awak kerja di sini satu kesilapan. Silap-silap Syafi boleh terikut dengan kebodohan awak ni. Cakap ikut sedap mulut aje.”
Aira terkedu.