SEHELAI lagi tisu ditarik. Kali ini selesema yang dialami oleh Aira agak teruk. Namun, Zainab menyuruh juga dia datang bekerja kerana Seri masih bercuti.
“Umi minta maaf sebab suruh kamu datang juga. Zafran awal-awal lagi dah keluar. Sepatutnya dia duduklah di rumah jaga Syafi cuti hujung minggu macam ni.”
“Aira bukan apa, takut selesema ni berjangkit kepada Syafi. Susah pula nanti.”
Zainab angguk. Dia juga khuatir perkara yang sama. Tetapi, dia cuba berfikiran positif. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah.
Hayyat yang baru selesai berjoging terus melangkah ke dapur. Tekaknya perlu dibasahkan.
Aira bersin beberapa kali.
“Kalau dah tahu demam, kenapa datang? Nanti berjangkit kepada Syafi, kan susah?”
Aira diam. Sehelai lagi tisu ditarik. Sengaja dia membuat bunyi membuang hingus apabila melihat Hayyat meneguk air.
Hayyat menjeling. Pada pendapatnya, apa yang dilakukan oleh Aira cukup tidak senonoh. Segera dia meninggalkan dapur.
Hayyat menyatakan pula kegusarannya kepada Zainab.
“Nak buat macam mana. Lutut umi lagi teruk bengkaknya. Siapa nak jaga Syafi? Siapa nak masak?”
Aira melangkah ke ruang makan. Air Milo panas bersama satu bekas kecil berisi ubat-ubat Zainab diletakkan di hadapan wanita itu.
“Jangan lupa makan ubat, umi,” pesan Aira.
“Cik Aira, hari ni awak tak perlu masak.”
“Kenapa pula?” tukas Zainab.
“Nanti tak pasal-pasal pula kita semua termakan hingus dia,” ujar Hayyat dalam nada separuh berbisik, namun dapat ditangkap oleh Aira.
Zainab menjeling anak lelakinya.
Aira berpatah balik. Dia melihat Hayyat mencedok nasi goreng. Pinggan berisi separuh itu dipandang. Lelaki itu meliriknya melalui ekor mata.
Ketika Hayyat bersedia untuk makan, Aira mengambil pinggan tersebut. Mangkuk berisi nasi tambah turut diangkat.
“Nasi ni saya yang goreng. Air tu Dewi yang bancuh. Minum air sudahlah. Dewi sihat. Tak ada masalah.”
“Aira, tinggalkan pinggan tu. Umi teringin nak makan nasi goreng air tangan kamu.”
Aira senyum. Pinggan diletakkan di hadapan Zainab manakala mangkuk dibawa ke dapur.
Hayyat cuba mengawal emosi. Dia bangun. Kerusi ditolak kasar ke belakang. Aira memang kurang ajar. Tak padan dengan perempuan.
AIRA sudah tidak mampu bertahan lagi. Selesema yang dialaminya semakin melarat sehingga mahu mengerjakan solat zuhur pun sukar. Air hingus tidak henti-henti meleleh.
“Makan ubat ni.” Zainab memaksa.
Dia kasihan melihat keadaan Aira. Bila Zafran pulang nanti, dia akan meminta anaknya menghantar Aira pulang. Hayyat pula seperti selalu, berkurung di dalam bilik, menghadap tugas-tugas pejabatnya.
Dek kesan ubat yang diambil, Aira mula rasa mengantuk. Syafi pula sudah lebih setengah jam tidur. Dengan beralaskan permaidani, Aira meluruskan tubuhnya. Niatnya mahu terlelap seketika untuk mengusir rasa mengantuk.
Aira hanya terjaga daripada tidurnya apabila ter-dengar suara memekik yang kuat. Rumah agam itu diserang amukan ke? Aira berusaha untuk membuka matanya, namun seakan-akan ada daya tarikan graviti di situ.
“Hoi perempuan, kau nak kerja ke tak? Dah banyak kali aku tangkap kau sedang tidur waktu kerja.”
Aira segera bangun. Dia bersandar pada katil sambil cuba menghadam apa yang sebenarnya berlaku.
“Kenapa ni?”
Di belakang Hayyat ialah Dewi sedang memeluk Syafi. Anak itu kelihatan pucat dan ketakutan.
“Syafi buat apa sayang?” tanya Aira seraya berdiri.
Dia menghampiri Syafi. Kedua bahu Syafi dipegang dan anak itu memandangnya.
“Sayang acik buat apa?”
Kali ini suara Aira lebih lembut. Nada memujuk.
“Syafi tumpahkan air di atas lukisan Encik Hayyat.” Dewi menjawab bagi pihak Syafi.
Aira tunduk sambil memejamkan matanya.
Aira menghampiri meja. Buku catatan, beberapa helai pelan bangunan dicemari cecair berwarna hitam cair. Mungkin kopi O, teka Aira.
“Awak tak perasan ke dia masuk bilik?” tanya Aira yang tidak tahu tahap skala kemarahan Hayyat ketika itu.
“Saya sedang mandi.”
“Kenapa tak kunci pintu bilik?”
Hayyat tersenyum sinis.
“Salah saya ke? Siapa yang ditugaskan menjaga Syafi? Saya atau awak?” tanya Hayyat yang masih belum menunjukkan kemarahannya reda.
Aira bersin.
Hayyat undur beberapa langkah. Sungguh dia tidak selesa saat ini.
“Get out from my room. You’re spreading this contagious disease.”
Aira bersin lagi.
“Now!” Suara Hayyat naik beberapa oktaf.
Aira bergegas meninggalkan bilik Hayyat. Dia menuruni anak tangga untuk mencari Zainab. Dia mahu meminta kebenaran pulang lebih awal. Dia ber-kecil hati dengan sikap Hayyat.
Susah sangat ke untuk lelaki beku dan kayu itu faham bahawa dia tidak sihat?
Dewi segera menarik tangan Syafi lalu dibawa ke bilik anak itu.
“Apa yang bising-bising kat atas tu, Aira?” Zainab bertanya.
Sedari tadi dia menunggu di anak tangga paling bawah untuk mengetahui apa yang berlaku kerana dia tidak dapat naik.
Aira menggeleng. Dia tidak mampu bercerita. Bimbang air matanya mengalir. Aira menuju ke dapur, mencari peralatan untuk membersihkan bilik Hayyat. Selepas itu, dia mahu terus pulang.
Zainab masih menanti di tempat tadi. Terpaksa-lah Aira menceritakan apa yang berlaku.
“Aira nak bersihkan bilik Hayyat. Syafi tumpah-kan air. Lepas tu Aira nak balik.”
Zainab tersenyum pahit seraya mengangguk.
Bilik Hayyat terbuka luas, tetapi lelaki itu tiada di situ. Aira membersihkan meja dan mengelap lantai sekitar kawasan meja. Setelah selesai, dia mengumpul baldi, mop dan kain untuk dibawa keluar.
Saat berpaling untuk keluar, Aira tergamam. Pandangannya menjamah tubuh Hayyat yang hanya bertuala, melangkah keluar dari bilik mandi.
Kelam-kabut Hayyat membetulkan ikatan tuala pada pinggangnya.
Aira segera keluar. Nanti tak pasal-pasal kena tarbiyah bab zina mata.
AIRA menyimpan peralatan yang digunakan. Dia mendapat keizinan untuk pulang lebih awal. Aira menapak keluar dari kawasan rumah Zainab.
Hayyat memandang dari tingkat atas.
Baru beberapa langkah, Aira berhenti. Dia melabuhkan duduk di atas tembok bersebelahan pagar. Tidak berdaya untuk meneruskan langkah. Aira memandang rumah Zainab.
Boleh tak kalau dia berehat sekejap?
Aira mengusap dahinya yang terasa berpeluh. Dia menghela nafas dalam sebelum bertekad meneruskan langkah.
Hayyat masih memerhati. Dia berasa bersalah. Tidak sepatutnya dia memarahi Aira. Gadis itu tidak sihat.
Hayyat segera menyarung seluar. Sehelai kemeja lengan pendek ditarik. Sambil menuruni anak tangga, dia membutangkan kemejanya.
“Nak ke mana?”
“Keluar sekejap.” Segan pula mahu memberitahu umi yang mahu menghantar Aira pulang.
Poket seluar disentuh. Barulah Hayyat teringat kunci kereta belum diambil. Dia menapak ke meja kerjanya. Sehelai nota yang tercatat di atas sticker note berwarna kuning fluorescent dibaca.
Sorry. ☹
Hayyat menghela nafas berat. Catatan Aira menghantar rasa bersalah berlipat ganda.
Aira mengambil keputusan berpatah balik. Memang tak ada kudrat untuk sampai ke perhentian bas.
Pandangan Hayyat bertembung dengan Aira yang dipapah oleh Dewi masuk ke dalam rumah.
“Umi, sekejap lagi bila dah kuat sikit, Aira balik ya.”
“Kan tadi umi dah cakap. Tunggu driver datang. Itulah, degil sangat.” Zainab berleter.
“Bawa dia ke kereta saya,” ujar Hayyat kepada Dewi.
Zainab terpinga-pinga.
Mengerti akan pandangan uminya, Hayyat bersuara.
“Yat bawa dia ambil ubat. Lepas tu, hantar dia balik rumah. Umi tolong bagi tahu Karim, tak payah datang.”
Aira memandang Zainab. Dia menggeleng tanda tidak setuju.
“Eloklah tu,” ujar Zainab.
Jatuh rahang Aira mendengar kata-kata wanita itu. Tak nak! Aira rasa seperti mahu menangis.