Sekali Lagi Cinta Kembali

BAB 9

  • Art
  • Anna Milia

HAYYAT mencampakkan briefcase di atas katil. Butang baju kemejanya ditanggalkan satu per satu sehingga butang paling bawah. Dia duduk di birai katil. Hayyat mengangkat tinggi kedua tangannya untuk meregangkan otot-otot tubuhnya.

Aira yang melintas hadapan bilik Hayyat terpandangkan tubuh seksi suku terdedah itu. Langkahnya terhenti. Entah kenapa, kaki seakan-akan dipasak ke lantai. Matanya tertancap pada dada Hayyat. Ada bulu dada, tetapi tidaklah terlalu lebat. Kata orang tua-tua, kalau bulu dada tidak lebat, maknanya tidak panas baran.

Hayyat yang menyedari dirinya diperhatikan bangun lalu menghampiri pintu.

Mata Aira turun ke pusat Hayyat yang terdedah. Pusat itu kelihatan dalam. Orang tua-tua kata, kedekut. Tak boleh dibuat laki ni. Tahi hidung masin.

“Sekali pandang tak berdosa, tapi kalau dah tenung macam tu, banyak catatan malaikat kiri.”

“Hek eleh. Yang awak pun satu hal. Dah tahu ada gadis-gadis suci bukan mahram seperti saya, Seri dan Dewi dalam rumah ni, biar aje pintu terpelahang. Awak pun ada saham dosa jugak.”

“Seri dan Dewi tu tahu malu. Kalau terpandang pun mereka cepat-cepat mengelak. Bukan tilik macam awak tadi.”

Aira mengatur langkah menuju ke tangga. Sebelum menuruni anak tangga, sempat dia berpesan kepada Hayyat.

“Tolong tengok-tengokkan Syafi sekejap.”

Hayyat menggeleng. Sesuka hati sahaja mem-berikan arahan kepadanya. Namun, kaki dibawa juga ke bilik anak saudaranya.

Hayyat mendukung Syafi lalu anak itu dibawa ke tingkap. Pandangan dilontar ke luar.

“Syafi laparlah,” rengek Syafi. Dia bergerak-gerak meminta dilepaskan.

“Sayang baba ni belum makan ke? Syafi nak makan apa?”

“Acik ambil nasi.”

Tahulah Hayyat Aira turun mengambil makanan.

Hayyat meletakkan Syafi di atas katil. Dia mencapai mainan kapal terbang lalu mengajak Syafi bermain dengannya. Anak itu beberapa kali batuk.

Aira muncul semula bersama semangkuk bubur nasi dan ubat. Dia menjeling Hayyat. Lelaki itu sudah menukar pakaian kerja kepada kemeja-T berkolar bulat.

Hayyat segera berdiri, bersedia untuk beredar. Namun, niatnya dihalang oleh Syafi. Anak itu menarik tangannya.

Mulalah Aira berasa tidak selesa. Dengan ber-hati-hati dia menyuap bubur ke mulut Syafi. Ketika meneruskan suapan kedua, kedengaran suara Hayyat menegur.

“Mati tercekik budak tu nanti. Biarlah dia telan dulu.”

Aira meletakkan kembali sudu ke dalam mangkuk. Dia menunggu sehingga Syafi membuka mulut minta diisi.

“Dah habis telan ke Syafi?”

Anak itu angguk.

“Eh, ada nasilah celah gigi Syafi. Minum air dulu. Kasi telan semuanya. Takut nanti sayang acik ni tercekik pula.”

Hayyat melepaskan tangan Syafi sebelum melangkah keluar. Sakit hatinya disindir oleh Aira.

Senang sikit aku nak buat kerja, desis hati Aira.


AIRA membawa Syafi ke laman setelah didesak oleh anak itu. Itu pun ada perjanjian mereka. Syafi perlu makan ubat.

“Kau nak buat apa ni?” tanya Hayyat yang ter-serempak dengan Aira di tangga.

“Bawa dia keluar.”

“Kenapa Syafi tak turun sendiri?” Hayyat ber-tanya kepada anak buahnya.

“Tak larat.” Syafi menjawab.

Hayyat mengambil Syafi daripada dukungan Aira. Tangan mereka bersentuhan tanpa sengaja akibat tindakan Hayyat tadi.

“Dah batal wuduk saya,” gumam Aira, namun dapat didengar oleh Hayyat.

Hayyat menjeling. Macamlah aku nak sangat sentuh dia. Menyakitkan hati betullah.

Dia sebenarnya risau apabila Aira mahu men-dukung Syafi menuruni anak tangga. Aira yang kurus kering itu seperti tidak bertenaga sahaja.

Kenapa dia prihatin sangat?

Eh! Tak. Sebenarnya dia hanya memikirkan keselamatan Syafi.


AIRA memang suka duduk melepak di bawah teduhan pergola. Angin sepoi-sepoi bahasa yang menampar lembut pipinya membuatkan Aira tertidur di atas kerusi panjang yang terletak di tepi binaan pergola.

Syafi turut tertidur di atas ribanya.

Hayyat yang siap berpakaian sukan mengatur langkah untuk keluar. Namun, langkahnya menyim-pang ke arah pergola. Niat untuk berjoging tertangguh.

Kepala Hayyat turut senget memandang Aira yang tidur dengan kepala senget. Bukan itu sahaja, mulut gadis itu ternganga dan ada bunyi dengkur. Tak senonoh.

Perlahan-lahan Hayyat menghampiri dua manusia itu. Pada masa yang sama, Syafi memusingkan tubuh dan hampir terjatuh dari kerusi. Mujur Hayyat sempat menahan tubuh itu daripada tergolek jatuh ke lantai.

Statik dia di situ. Dia cuba mengalihkan tubuh Syafi, namun tindakannya terhenti apabila ralit memandang wajah Aira dari jarak dekat. Mengasyikkan.

Sungguh, Hayyat tidak suka apa yang dialami-nya. Dia segera mengalihkan posisi Syafi.

Aira masih lena tidak berkutik. Syafi beralih tidur lagi.

Hayyat mula bengang. Dia menguis kaki Aira menggunakan hujung kasutnya. Aira tidak berjaya dikejutkan.

Hayyat mengulangi tindakan yang sama. Kaki menguis-uis kaki putih milik Aira. Tangan mengampu tubuh Syafi sementara mata masih tunak memandang wajah Aira.

Berlaku kordinasi seluruh anggota badan. Paling teruk bekerja adalah otaknya. Memikirkan kenapalah dia jadi begini.

Dek marahkan diri sendiri, Hayyat memijak kaki Aira. Dia pasti Aira akan terjaga daripada tidur. Tindakannya berhasil.

Terpisat-pisat gadis itu bangun. Jarak wajah Hayyat yang hampir dengannya membuatkan Aira terkejut. Dia mahu segera bangun, tetapi ada sesuatu yang berat menghalang pergerakannya. Kepala Syafi berada di atas ribanya.

Tetapi kenapa kakinya terasa sakit?

Ketika Aira tunduk, barulah Hayyat tersedar. Segera kakinya ditarik.

“Kenapa Yat pijak kaki Aira?” Suara Zainab kedengaran separuh menjerit.

Hayyat kaget.

“Saja nak kejutkan dia. Tidur mati. Kalau orang buang bom kat sini pun tak bangun. Mati hancur kat sini.”

“Aisy, mulut tu. Cubalah cakap yang baik-baik.”

“Syafi ni dah dua kali hampir jatuh tadi.” Hayyat membela diri.

Dia tunduk lalu mengangkat Syafi masuk ke dalam rumah. Anak itu diletakkan di atas sofa.

Zainab membuntuti langkah anaknya.

Wajah Aira berubah. Dia terasa hati dengan tindakan Hayyat.

“Umi kena fikir-fikirkan tentang minah senget tu. Sudah banyak kali dia gagal melakukan tugas dengan baik. Culas aje kerjanya.”

“Umi, Aira balik dulu.”

Hayyat dan Zainab berpaling. Zainab tayang wajah bersalah. Dia tahu Aira mendengar komen negatif Hayyat.

Aira menghampiri Zainab. Tangan wanita itu disalam. Pandangan tajam Hayyat kepadanya tidak diendahkan. Aira menuju ke bilik stor untuk mengambil begnya.

“Kasihan budak Aira tu. Sepanjang hari Syafi mengamuk. Macam itulah setiap kali berpisah dengan Amberlyn. Seri pula demam. Dia yang terpaksa masak. Kalau Dewi yang masak, banyak pula ragam kamu dan Zaf,” cerita Zainab.

“Umi kasihan tengok dia. Mujurlah dia dengan rela hati nak masak.”

“Alah, kalau umi bagi tahu, boleh aje Yat oder makanan dan hantar kepada ibu,” ujar Hayyat untuk menutup rasa bersalahnya.

“Elok-elok jalan ya, Aira,” pesan Zainab ketika Aira melintasi ruang tamu.

Aira mengukir senyuman lalu memberi salam.

Aira mula menapak ke perhentian bas yang ter-letak lebih kurang dua ratus meter dari rumah Zainab.

Hayyat memintasnya. Lelaki itu langsung tidak menegur sebaliknya kelihatan angkuh mengayun langkah larian. Di leher lelaki itu, tersangkut sehelai tuala berwarna putih.

Seekor anjing menyalak kuat. Kawasan perumahan elit itu didiami pelbagai bangsa. Anjing adalah suatu perkara yang biasa di penempatan itu.

Hayyat memperlahankan langkah. Dia memang takut dengan anjing. Haraplah anjing itu tidak menyalak kepadanya.

Anjing tadi menyalak dengan lebih kuat dan mula menyerang seorang kanak-kanak yang menunggang basikal. Dek terkejut, budak lelaki berusia dalam lingkungan sepuluh tahun itu terjatuh dari basikalnya.

Hayyat hanya mampu memandang sementara akal mencari sesuatu di sekeliling untuk menakutkan anjing itu.

Aira melajukan langkah. Dari jarak empat meter, dia membaling tote bagnya ke arah haiwan itu. Tindakannya berjaya meredakan ketegangan yang berlaku. Anjing itu berlari meninggalkan kanak-kanak tadi.

Aira menghampiri. Kedua-dua lutut dan siku kanak-kanak itu luka. Aira duduk mencangkung lalu cuba memujuk anak itu.

“Siapa nama awak?” Aira bertanya.

“Danish.”

Kemudian Aira bertanya pula alamat kanak-kanak itu. Selang beberapa buah rumah sahaja dari tempat kejadian.

“Pinjam kain tuala,” pinta Aira.

Tanpa menunggu jawapan Hayyat, tuala pada leher leleki itu ditarik. Hayyat fikir Aira mahu mengesat darah Danish, tetapi lain yang dibuat oleh gadis itu.

Aira melapik tangannya dengan tuala itu untuk membuka zip beg.

Botol air, dompet dan pengecas telefon dikeluar-kan. Beg tadi dibuang ke dalam longkang. Kesucian beg tadi diragui setelah balingannya tepat mengenai kepala anjing tadi.

“Kenapa buang?”

“Malas nak samak.”

Hayyat menggeleng. Kalau ya pun, buanglah dalam tong sampah.

“Kain ni nak samak ke? Atau nak buang?” Aira bertanya.

Hayyat memegang hujung tuala. Dia bangun lalu tuala itu dibuang ke dalam tong sampah yang berada tidak jauh daripada mereka.

Aira menjuihkan bibirnya. Pengecas telefon disumbat ke dalam poket seluar jeannya.

“Panjat belakang akak. Pegang dompet dan air ni. Akak hantar Danish balik.”

Hayyat menghalang. Dia menawarkan diri untuk menghantar Danish pulang. Apabila Danish memanjat belakang Hayyat, Aira membawa langkah ke arah bertentangan untuk ke perhentian bas.

“Temankan saya. Macam mana kalau anjing tu datang lagi? Lagipun, basikal ni siapa nak hantar?

Aira menjeling jam tangannya. Harap-harap dia tidak terlepas bas.

Sepanjang perjalanan, Aira diam sahaja. Dia lebih selesa membuang pandang sekitar kawasan perumahan itu sambil mata meliar mencari anjing tadi. Mana tahu kalau anjing tadi angkat geng untuk serang dia. Balas dendam mungkin.

Aira senyum sendiri.

“That was a good deed.”

Tiba-tiba sahaja Hayyat cuba mencetuskan per-bualan. Aira malas mahu melayan. Kebisuan Aira mematikan niat Hayyat untuk mengajak gadis itu berbual.

Setelah menghantar Danish, Hayyat mengatur langkah ke trek padang permainan. Aira pula menuju ke perhentian bas.

Dari jauh Hayyat memerhati. Aira terlepas bas. Jauh juga Aira mengejar sebelum melangkah lemah dan berpatah balik ke perhentian bas.

Hayyat menjongketkan bahu. Nasiblah. Tunggu-lah bas seterusnya.

Cahaya merah mula muncul di celah-celah awan. Kanak-kanak yang bermain bola sudah mula meninggalkan padang. Hayyat berdecit. Dia berlari anak ke rumah untuk mengambil kereta.

Ketika dia membelok dari simpang, kelihatan Aira melangkah masuk ke dalam kereta Zafran.

Hayyat menggigit bibir. Dia mengundurkan kereta dan berpatah balik. Ada rasa yang menggetarkan naluri lelakinya, namun segera diusir jauh-jauh.