Tuan Perasan Maco

BAB 1

  • Art
  • Shazie Kamaruzaman

“AMEE?”

Dup dap dup dap! Berdetak laju cik jantung. Itu baru dengar suara. Kalau berlaga mata macam manalah pula agaknya.

“Ameena?”

Perlahan-lahan aku angkat kepala. Sungguhlah, ini bukan mimpi. Ini memang betul-betul kejadian!

Ryan dah berdiri tegak di depan. Dengan bibir mengukir senyum. Ahhh, manisnya lahai. Dan-dan mata aku terus timbul love love.

Agaknya, macam inilah rasanya bila crush yang dipuja-puja ada di depan mata. Star-struck sungguh!

“Ya. Ya, saya. Errr, duduklah.”

Terkelip-kelip mata aku melihat dia yang dah pun mengambil tempat. Rasa macam tak percaya.

“Kenapa awak nak jumpa saya ni?”

Sebab saya suka awak!

Eh, gila nak cakap macam tu terus. Intro apa pun tak lagi.

“Saya tak boleh lama, Amee. Ada benda nak buat lepas ni.”

Aku perasan Ryan duk kerling jam tangan saja. Okey, okey. Pull yourself together, Amee. Inilah masanya. Luahkan cepat. It’s now or never!

“Ryan, saya sebenarnya... sebenarnya...”

Aduh! Lidah tiba-tiba terasa berbelitlah pula. Padahal dari malam tadi lagi aku dah praktis nak cakap apa. Ini mesti sebab aku terkhusyuk sangat tengok dia.

Serius, flawlessnya kulit muka dia tu. Kalah kulit aku.

“Awak sebenarnya apa? Cakaplah cepat.”

Cepat-cepat aku fokus semula. Okey... Tarik nafas, hembus nafas. Get set... go!

“Saya sukakan awak, Ryan.”

Krik krik krik.

Sunyi, sepi. Ryan sah-sah dah tersentak. Jelas gila yang dia terkejut.

Oh, no, no, no... Tengok daripada gaya terkejut dia tu... Sahihlah aku dah kena reject!

Alahai, mana nak sorok muka ni. Itulah... Pergi buat kerja gila siapa suruh? Kan dah padan muka dekat diri sendiri!

“Amee, tengok saya.”

Aaaa... tak mahu! Tak mahu!

“Amee.”

Nak tak nak, aku alihkan juga pandangan ke arah Ryan.

“Disebabkan awak buat pengakuan macam ni, biar ajelah saya pun berterus terang sama.”

Mata aku terbuka besar sikit. Ryan nak cakap apa? Dia nak cakap yang dia pun suka aku ke? Dia nak cakap yang dia terima aku suka dia?

Takkanlah kut!

“Amee, terima kasih sebab suka saya. Saya hargai perasaan awak tu. Tapi...”

Ah. Perkataan ‘tapi’ itu biasanya bawa maksud tak baik.

“Awak bukan taste saya, Amee.”

Pranggg! Bunyi saja macam kaca pecah. Tapi, hakikatnya... Itu hati aku.

Hancur. Berkecai. Bersepai.

Baru nak masuk mood mengenang nasib, ayat seterusnya daripada Ryan buat aku terkedu.

“Saya tak minat perempuan selekeh macam awak ni, Amee.”

Aku pandang diri sendiri. Selekeh?!

“Pakai specs stail orang tua.”

Stail orang tua?!

“Mix and match baju macam orang buta warna.”

Buta warna?!

“Muka tak siap. Tak ada seri.”

Tak siap?!

Wau. Berderet list kutukan dia kepada aku.

Ryan nak buka mulut lagi, tapi laju aku tayang lima jari tepat ke mukanya. Cukup-cukuplah dia memalukan aku.

“No. Awak kena dengar apa yang saya nak cakap, Amee. Take note segala kelemahan awak ni. Takkan selamanya awak nak jadi loser macam ni?”

Terkedu kuasa dua aku jadinya. Bukan main kasar betul bahasa Ryan ni!

“Excuse me. Awak cakap apa tadi?”

“Loser, Amee. Loser. Yang orang buat L dekat dahi tu.”

Bukan setakat cakap saja, Ryan siap buat demo macam mana terbentuknya huruf L itu.

Menyirap betul darah aku. Sumpah, macam tak percaya segala ayat yang keluar tadi datangnya dari mulut lelaki yang aku suka selama ni.

Jadah buruk sungguh perangai!

“Awak tak sepatutnya ada perasaan dekat saya, Amee. Awak kena sedar diri dari mula lagi yang awak tu tak layak untuk saya.”

Kepala aku ikut mendongak bila Ryan dah berdiri. Riak mukanya, jangan cakaplah. Sinis gila. Nampak sangat dia pandang aku guna sebelah mata saja.

“Thanks sebab buang masa saya, Amee.”

What... the... Sempat lagi tu dia bersarkastik!

“Ryan, tunggu.”

Ryan yang baru nak berlalu, berhenti melangkah. Aku berdiri. Dan, dengan sekuat hati aku baling sebiji cream puff tepat ke mukanya.

“Apa ni, Amee?!”

Terkejut gila riak muka Ryan.

“Itu balasan untuk mulut awak yang tak ada insurans! Kira nasib baiklah cream puff. Kalau saya baling muk ni, boleh jadi awak dengan flower horn pun dah tak ada beza nanti!”

Muk di tangan aku hala ke arahnya. Tajam saja mata Ryan memandang.

Eleh, ingat aku takut ke. Sikit pun taklah. Kalau sebelum ini dialah lelaki yang aku puja, sekarang tak lagi. Ryan Yazid ialah lelaki yang paling aku anti!

“Psiko!”

Itu ayat terakhir Ryan sebelum blah dari situ.

Heh. Kalau aku psiko, dia tu lagi empat kali psiko. Pasalnya, satu jari menunjuk ke orang, empat lagi ke diri sendiri. Betul tak?


“HAI, boleh I ambil masa you kejap?”

Hint apa pun tak ada, tiba-tiba muncul seorang lelaki. Berseluar hitam dan berkemeja putih. Tak sempat aku nak jawab, dia dah letak punggung di bekas bangku Ryan tadi.

“I janji takkan lama. Sekejap aje.”

E’eh. Mood aku dahlah berada di bawah level zero sekarang ni. Datang pula salesman nak promo barang. Memang salah timinglah jawabnya.

“Macam nilah ya, saya tak berminat. Awak jual ajelah dekat orang lain. Saya tak nak beli. Terima kasih.”

Cepat-cepat aku menolak.

Lelaki itu langsung ketawa. Hairan aku. Apa yang lawaknya entah.

“I bukan nak jual barang. I nak ofer something dekat you.”

Kening aku dah berkerut. Ofer sesuatu?

“I kagum dengan you. Berani luahkan perasaan macam tu.”

Erk? Dia ni siapa sebenarnya? Datang dari mana? Siap boleh tahu pula sesi confession aku yang sadis tu.

“I duduk dekat meja sebelah you ni tadi. Dan, ya. I memang dengar dan nampak apa yang jadi dari A sampai Z.”

“Ooo... Okey. So? Motif awak duduk depan saya ni pulak?”

“Pada pendapat I, apa yang Ryan cakap tadi tu betul.”

Haih, mamat misteri ni. Sungguhlah buat aku annoying tau. Cukuplah Ryan seorang saja yang rosakkan hari aku. Takkan dia pun nak join sekali?!

“You kena berubah, Amee. You bukannya tak cantik. Lawa. Comel. Cuma kena upgrade sikit aje.”

Errr... kejap, kejap. Dia kata aku lawa? Comel? Biar betul! Dia ni satu jantina dengan si Ryan tadi, kan?

Bukan mata orang lelaki ni biasanya sama saja ke? Kalau dah di mata Ryan hodoh, takkan di mata dia ni pula aku cantik serupa bidadari? Aku ke dia yang rabun sekarang ni?

“I boleh tolong you ubah...”

Ayatnya terhenti. Jari terlunjuk kirinya berputar sambil menunjuk ke arah aku atas bawah.

“Semua tu.”

“Ubah? Maksud awak?”

“I boleh tolong buat lelaki jatuh suka dekat you.”

Tergelak terus aku.

“Lawak apa yang awak cakap ni? Awak ingat saya ni Cinderella dan awak tu fairy godfathernya ke? Awak bibbidi-bobbidi-bookan saya dan semuanya berubah? Heh, mengarut sangat.”

Aku capai tote bag dan mahu berlalu dari situ. Baru saja melintasi kerusi lelaki itu, lengan aku dipegangnya.

“Amee, tunggu.”

“Apa lagi?” Aku mendongak, memandang malas lelaki itu yang dah berdiri.

Dia keluarkan satu kad nama dari wallet. Kemudian, selamba saja dia selitkan ke dalam tote bag aku.

“Eh, apa ni? encik entah siapa-siapa, maaf ya. Saya tak kenal awak. Dan, saya tak perlukan awak.”

Tangan aku cuba nak ambil kad tadi. Nak pulangkan semula kepada tuannya. Tak mahulah haih aku simpan kad nama stranger sesat mana entah.

Sebaik saja kad nama itu aku pegang, laju saja dia ambil dari tangan aku. Kemudian, dengan selamba dia masukkan semula ke dalam tote bag. Isy, dia ni. Menguji kesabaran betullah!

“Okey, kalau macam tu, nama I Ben. So, you dah kenal I, kan? Good. Sila simpan kad tu. I yakin you akan perlukan I nanti.”

Heh, dia yakin? Seriuslah mamat ni?

“See you when I see you, Amee.”

Sempat lagi dia hadiahkan senyuman sebelum berlalu. Aku pula masih lagi tak berganjak. Macam tak percaya. Confidentnyalah dia tu.

Siapa kata aku perlukan dia? Memang taklah!