“Arghhh! Ryan ni kan... Memang... Memang... Eee!!!”
GG yang tersandar di bantal aku capai. Aku tumbuk-tumbuk geram. Sekuat hati. Biar sakit. Biar GG sama-sama rasa betapa sakitnya hati aku.
Dah puas, aku terlentang di atas tilam. Turun naik dada bernafas kencang. Haih, penat juga bila marah ni ya.
Sambil peluk GG, kepala aku mula buat ulang tayang tentang apa yang jadi di kelas tutorial tadi. Tak tahulah mana aku nak letak muka masa tu. Serius, malu gila!
Bayangkan, member-member Ryan tiba-tiba datang ke meja aku. Ingatkan kenapalah. Rupa-rupanya sebab nak bagi ayat-ayat pedas pasal apa yang jadi semalam.
“Bukan Ryan aje, aku pun tak lalu tengok muka kau ni.”
“Lain kali cermin diri tu dulu. Lawa ke tidak.”
“Stop dreaminglah, Amee.”
Nampak sangat Ryan jenis suka membawang. Yalah, kalau tak, macam mana kawan-kawan dia itu boleh tahu. Ughhhh! Ba alif ba ya sungguhlah!
Nasib baiklah dah start cuti mid sem. Tak payah aku nak hadap muka mereka seminggu ini. Tapi, betul ke apa yang mereka cakap? Sungguh ke aku buruk?
Laju aku bangkit dan tengok refleksi sendiri di cermin. Dari hujung kaki sampailah ke hujung kepala. Menjadi satu kesalahan ke kalau aku pergi fakulti pakai baju tee dan jean saja?
Tudung pula tudung sarung. Okeylah tu, kan? Senang. Jimat masa.
Takkan aku nak melawa macam pergi Anugerah Skrin kut? Itu buang tabiat namanya.
“Takkan selamanya awak nak jadi loser macam ni?”
Ayat Ryan semalam terngiang-ngiang lagi.
Loser. Loser sangat ke aku ni bila tak pandai nak bergaya macam perempuan lain?
Tok tok tok.
Bunyi ketukan di pintu buat aku kembali ke katil. Tahu dah siapa di luar sana. Tak lain tak bukan...
“Hei, Amee okey tak tu? Kenapa tak mahu turun makan? Lama akak tunggu.”
Kepala Kak Warda terjengul di sebalik pintu. Kemudian, menonong saja dia masuk. Gaya macam bilik ini dia yang punya.
“Tak okey. Stres.”
“Sebab?”
Aku terus bangkit, berdiri di depan Kak Warda. Buat gaya bercekak pinggang lagi. Mulalah muka Kak Warda berubah pelik.
“Ni kenapa ni? Amee nak masuk beauty pageant ke apa?”
“Cuba akak tengok Amee ni. Hodoh ke?”
“Uisy, apa punya soalan senang sangat ni? Bagi yang mencabar minda akak sikit boleh tak?”
Kak Warda gelak-gelak.
“Seriuslah, Kak Warda. Amee tanya betul-betul ni.”
Terhenti langsung tawanya. Aku tengah serius, dia ingat aku melawak pula.
“Mana ada hodoh. Amee comel apa.”
“Kak, jujurlah. Bagi jawapan yang betul-betul jujur. Jujur sejujur-jujurnya.”
“Jujurlah ni. Tiada yang jujur selain yang jujur macam akak cakap ni.”
Haih, payahlah. Tapi, kalau ikutkan komen daripada Kak Warda sepatutnya tak boleh diambil kira. Dia geng aku. Sah-sah dia akan bias punya. Pasal nak jaga hati aku.
“Cuma...”
Kening aku dah terangkat sebelah. Menunggu ayat seterusnya yang keluar dari mulut Kak Warda.
“Kalau Amee ubah penampilan tu sikit, akak confirm seratus peratuslah, Amee akan cun. Lelaki tengok mesti tak berkelip punya.”
“Ya ke? Macam over aje ayat akak tu?”
“Eh, betullah. Tadi kata nak akak cakap jujur.”
Hmmm, nampaknya bukan Ryan dengan Ben saja yang... Eh, kejap. Sebut pasal Ben...
“Ben!”
“Ben? Siapa Ben?” Kak Warda mula masuk mod Detective Conan.
“Errr... Amee rasa akak kena keluar sekarang.”
Aku tarik tangan Kak Warda untuk bangun dan ‘halau’ dia cepat-cepat.
“Eh, kenapa pulak? Amee ni suka cerita tak habislah.”
“Amee ada projek nak buatlah. Projek besar punya.”
“Hah? Lain macam aje bunyinya. Jangan nak buat perangai, Amee. Baik Amee bagi tahu akak sekarang.”
“Alah... nanti-nanti ajelah.”
“Amee, akak nak tahu detil sedetil-detilnya siapa Ben tu. Kalau tak, akak repot dekat baba Amee!”
Itu pesanan penaja daripada Kak Warda sebelum pintu aku tutup rapat. Siap kunci lagi.
Lepas itu, laju tote bag aku bawa ke katil. Segala isi di dalamnya aku keluarkan. Misi mencari kad nama Ben tadi. Sekarang, tak lain tak bukan, Ben sajalah harapannya.
Harapan untuk makeover aku!
MALAM itu, selepas isyak, kad nama di tangan aku belek-belek lagi. Satu per satu aksara yang ada aku baca berulang kali.
Fahd Benjamin.
The Gentleman Café & Barber (GCB)
“Dia ni kalau tak kerja kat kafe tu, mesti jadi barber. Mati-matilah aku ingatkan dia jual barang semalam.”
Yalah. Manalah aku tahu. Pakaian smart semacam. Tegur orang pula macam nak jual barang. Sah-sah aku ingat penjual sesat mana entah.
Selain nama, ada alamat dan nombor telefon Ben sekali. Emmm, nak call dia ke tak nak ni? Tanya pasal ofer dia semalam tu? Hati rasa macam berbelah bagilah pula. Tapi...
Ah, call sajalah. Aku tak rugi apa pun.
Deringan pertama...
Deringan kedua...
Deringan keti-
“Helo.”
Terdiam sekejap aku. Wau, maco juga eh suara dia dekat dalam fon.
“Helo?” Ben di hujung talian menyeru lagi.
“Errr, ya, ya. Helo, Ben. Saya ni.”
“Saya tu siapa? Dan, I tak kenal mana-mana orang nama Ni.”
Ceit. Boleh tahan loyar juga dia ni ya.
“Saya Ameelah. Amee yang semalam...” Aku tak habis cakap lagi, Ben tiba-tiba dah potong.
“Oh, you. Amee. Well... Well...”
Tudiaaa. Sebiji Maleficent punya dialog dia bagi.
“You call I. Bermakna, you perlukan I.”
Bukan main poyo ayat penyatanya di hujung talian. Menyampah pula aku.
“You call ni mesti sebab ofer I semalam, kan?”
“Eh, taklah. Saja je saya call. Nak ajak awak borak-borak sampai pagi buta.”
Ben terus ketawa.
Aku pula julingkan mata ke atas. Mengada tau dia ni. Dah tahu, tapi saja buat-buat tak tahu. Sengajalah tu nak buat aku nampak desperate perlukan dia. Heh.
“Kita jumpa esok.” Suara Ben tak semena-mena bertukar serius.
“Esok? Kenapa mesti esok?”
Seriuslah dia ni? Dia betul-betul nak tolong aku? Tak main-main?
“Dah tu? You nak jumpa malam ni jugak ke? I on aje.”
“Eh, tak adalah. Hmmm, macam awak cakap, esok ajelah kita jumpa. Tapi, sebelum tu saya nak tanya awak satu benda ni, Ben.”
“Satu aje. Kalau lebih, I caj you.”
“Hah? Seriuslah? Berapa?”
Itu baru nak tanya soalan. Kalau dia tolong aku makeover, berapa pula? Kalau dia caj mahal, memang pokailah aku.
Aku dengar dia tergelak perlahan.
“Nolah, Amee. I was kidding. Tanyalah apa you nak tanya tu.”
Fuh! Lega hati. Bikin saspens sajalah dia ni.
“Ofer awak semalam tu masih ada, kan? Awak betul boleh tolong saya, kan?”
Walaupun macam dah jelas yang dia boleh tolong aku, tapi aku nakkan kepastian.
“Kalau you perlukan confirmation, ya. Ofer I semalam tu masih ada. I tak letak time limit pun, Amee.”
Entah kenapa bila Ben kata macam itu, aku rasa terharu. Yalah, aku dengan dia tak pernah kenal. Tapi, dia nak juga tolong aku.
“Thanks, Ben. Jadi, esok kita nak jumpa dekat mana?”
“You yang perlukan I, jadi youlah kena datang dekat I.”
Haisy, dia ni. Ada yang kena sumpah jadi katak sat lagi karang.
“Ya, tahulah. Tapi, dekat mana? KLCC? Lost World of Tambun? Dewan MBSA?”
Terketap rapat gigi aku. Grrr, geram rasa!
“Ada sebab I bagi you kad nama I, Amee. Selain call, ada alamat untuk you datang jumpa I. Esok kita jumpa dekat GCB. Jangan lambat. Lelaki tak suka perempuan lambat.”
Tut, tut, tut. Talian mati.
Melongo sekejap aku.
“Amboi. Macam itu saja dia putuskan talian? Sekurang-kurangnya cakaplah, okay bye. Ini... Haram!”
Tengah aku duk membebel, notifikasi WhatsApp berbunyi. Walaupun aku tak save lagi nombor itu, tapi aku tahu itu mesti Ben.
In case you tak reti baca alamat GCB dekat kad nama I tu, ni I send location. You tinggal click je. Oh, ya. Yeah, you’re welcome 😏
“E’eh, dia ni. Sempat lagi tu memerli. Sakit pulak hati aku!”
Dalam bengang, aku reply juga.
Yalah. THANK YOU!
Heh.