“DAH kenapa you berbungkus macam Hollow Man ni?”
Aku betulkan Ray-Ban di batang hidung.
Muka Ben nampak tak percaya dengan apa yang ada di depannya. Tak henti-henti dia pandang aku atas bawah dengan gaya berpeluk tubuh.
“Pakai specs hitam, mask, hoodie bagai ni, you kena sampuk ke apa?” tanyanya lagi.
Ben sampai tertunduk-tunduk nak tengok muka yang cuba aku sorokkan.
“Tersampuk apanya pulak. Sebab awaklah, siapa lagi.”
Kening Ben berkerut.
Hah, jangan dia nak pura-pura lupa pula eh!
“Kenapa pulak sebab I? I tak suruh you pakai macam ni pun. Dah serupa perogol aje.”
“Isy, mulut awak tu kan! Saya bagi makan penumbuk nak?!” Buku lima aku tayang.
Boleh pula dia gelak. Bukannya nak takut ke apa!
“Perangai tu, Amee. Sopan sikit. Kalau ganas sangat, lelaki tak berkenan.”
Sempat Ben menegur. Bercili pula tu ayatnya.
Sentap sekejap aku. Tapi, nak bantah pun, apa yang dia cakap tu betul juga.
“Come. Kita ke sebelah. Customer ramai dekat sini.”
Ben mengiringi aku melalui laluan bersambung antara kafe dan barber shop.
Malam ini memang ramai pelangan nak gunting rambut, trim bulu-bulu. Di ruang menunggu pun dah penuh orang menanti giliran. Boleh tahan laku keras juga servis ni ya.
Aku dan Ben duduk di meja paling hujung. Betul-betul menghadap dinding kaca. Ben pula ambil tempat di sisi kanan aku.
“You nak makan atau nak minum apa-apa?”
“Tak apa. Saya dah makan dah tadi dekat rumah.”
“Good. Now, buka semua yang ada dekat muka you tu. I nak tengok you lulus task pertama I ke tak.”
“Errr...” Teragak-agak sekejap aku. Tak pasti sama ada nak tunjuk hasilnya kepada Ben ataupun tidak.
“Amee...” Ben dah mula menyeru.
“Segan. Dahlah ramai orang dekat sini.”
Aku pandang sekeliling kafe. Ada lebih 20 orang sedang menikmati makan malam di situ. Aku takut dengan mereka sekali terkejut tengok aku.
“You nak segan buat apa? You sendiri kata yang you okey dengan task I bagi tu.”
Erk. Hari itu memanglah aku kata okey. Tapi sekarang, aku rasa macam taklah pula. Adeh.
“Janji dulu... Yang awak takkan gelakkan saya?”
“Ya. I tak gelak. Cepat.”
Bila Ben dah mula fokus pandang muka aku, perlahan-lahan aku tanggalkan Rayban. Kemudian, mask yang menutupi hidung dan mulut pula.
Ben masih lagi diam. Hanya pandangannya saja meneliti setiap sudut muka aku.
“You rasa cantik ke bila you mekap macam ni?”
Itu soalan pertama Ben selepas senyap selama beberapa saat.
“Errr... ya kut?”
Duh. Apa punya jawapan aku bagi ni?
Kening Ben mula berkerut. Daripada riak biasa ke riak serius. Fuh. Aku nak buka mulut bela diri sendiri pun rasa tak berani.
“You buat kecantikan you hilang macam tu aje, Amee.”
Terkedu aku mendengar jawapan Ben. Spontan tangan naik menekup pipi sendiri. Tak tahu nak rasa kembang semangkuk ke, menguncup terus.
“Dah tak ada rupa orang you ni. Macam patung Annabelle bergerak adalah.”
Amboi, ayat dia. Perli habis tu. Boleh dia samakan aku dengan patung berhantu tu?!
“Mana you belajar mekap macam ni, Amee?”
“Errr... YouTube. Instagram.” Lambat-lambat aku menjawab.
Itu saja cara yang paling senang. Berlambak-lambak tutorial mekap di situ.
Menggeleng perlahan Ben. Siap mengeluh lagi.
Apa teruk sangat ke aku mekap sendiri? Berjam-jam kut aku ikut tutorial dia orang. Ingat senang ke? Nak pakai primer, concealer, blusher dan semua jadah tu...
Fuh, jenuh! Berpeluhlah juga ketiak.
“You pergi washroom, cuci segala benda yang melekat dekat muka you tu. I nak muka you versi macam pertama kali I jumpa you. Go.”
Erk. Terkejut sekejap aku bila Ben memberi arahan tegas. Siap tarik hoodie aku ke depan, menutup separuh muka aku lagi. Amboi, macamlah buruk sangat muka aku!
“Now, Amee.”
“Isy, yalah, yalah!” Cepat-cepat aku bangun.
Semasa nak berlalu, sempat aku dengar dia mengomel sendiri.
“Haih, bukan setakat orang, kalau hantu tengok pun boleh pengsan.”
Ughhh, choiiinya mulut dia!
“MUCH better.”
Itu komen pertama Ben sebaik saja aku duduk semula di sebelahnya. Turut ada segelas air laici ais untuk aku.
“Thanks,” ucap aku merujuk kepada air tersebut.
Ben mengangguk seraya berkata, “We need to talk, Amee.”
Terbantut niat aku nak minum. Nada ayat Ben, macamlah aku dengan dia sepasang couple yang tengah ada masalah. Serius semacam saja bunyinya.
“Perubahan macam mana yang you nak, Amee? Apa yang you cuba nak buktikan dekat Ryan? Tell me.”
Whoa. Ben betul-betul seriuslah. Bukan macam lagi dah.
“You nak berubah sebab nak dapatkan Ryan? Nak dia melutut dekat kaki you?”
“Eh, no! Memang taklah. Tak hingin dah saya dengan dia tu. Mulut jahat!”
Tersungging sedikit senyuman di hujung bibir Ben.
Eh, dah kenapa pula dia buat muka macam itu? Seronok tengok aku geram?
“Then, atas sebab apa?”
Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab.
“Saya nak cantik. Saya nak buktikan yang ada lelaki nak dekat saya. Dan, saya bukannya loser.”
“Ya. You bukan loser, Amee.”
Bibir aku laju nak mengukir senyum. Tapi, terus mati bila ayat Ben yang seterusnya keluar.
“Tapi, apa yang you buat tadi boleh buat you jadi loser.”
Hilang perkataan terus aku. Terkelu. Terbisu.
“Ingat lagi apa yang you kata semalam? You pertikaikan kenapa lelaki tak boleh terima you seadanya. Diri you yang macam ni. Then, hari ni kenapa you berubah jadi orang macam yang you cakap semalam? Pakai mekap berkati-kati?”
“Tapi, awak jugak yang...”
“Apa task yang I bagi dekat you, Amee? Apa yang I kata semalam?”
“Awak kata, tunjukkan dekat I betapa cantiknya you.”
Nampak, aku siap quote sebiji-sebiji lagi ayat yang dia bagi.
“Yes. Show me how beautiful you are. Dah tu, yang you tunjuk ni apa?”
“Yalah, kalau nak cantik, mestilah kena pakai mekap, kan?”
Betul tak? Itu apa yang aku fahamlah.
“Yes, jawapan you tu memang ada betulnya. Kalau tu buat you rasa cantik, fine. Yang jadi masalahnya sekarang, you mekap sampai tak ada rupa orang tu kenapa? You keluar rumah tadi tengok cermin dulu ke tidak?”
“Mestilah tengok.”
Apa punya soalan Ben ni. Siapa saja yang keluar rumah tak tengok cermin?
Ben mengeluh lagi. Macam bengkeng pun ya juga.
“You gagal task ni, Amee.”
Heh. Tak payah cakap pun, aku tahu dah. Kalau lulus, dia mesti tak membebel macam ini.
“I akan bagi you task kedua.”
Adoi, berapa banyak task dia sediakan untuk aku ni?
“I nak you...”
“Kejap, kejap. Sebelum tu, saya nak tahu. Kenapa awak nak tolong saya, Ben?”
“Sebab I...” Ayat Ben terhenti.
Matanya tepat merenung aku. Gayanya macam nak kata sesuatu. Tapi, tak terluah. Terfikir juga aku. Baru jumpa sekali, dia dah ofer pertolongan. Tak ke pelik tu?
“Sebab apa, Ben?”
“Sebab I kesian.”
Dush! Tak tahu kenapa bila Ben kata begitu, aku rasa diri aku macam menyedihkan sangat. Sadis gila gitu.
“Manusia memang akan tertarik dengan kecantikan. Tapi, definisi kecantikan tak sama. Sebab apa? Sebab mata yang melihat pun tak sama.”
Betul. Aku setuju dengan apa yang Ben cakap.
“Kita kena berubah untuk diri kita sendiri, Amee. Kadang-kadang perubahan itu perlu supaya orang hormat kita, respek kita, sedar kewujudan kita. Sebab tu kita kena selalu yakin dan positif. Ia akan jadi tembok untuk menepis segala aura negatif daripada geng-geng onions. Again, itu fakta.”
“Tapi, tak payahlah sampai nak kena yakin tahap perasan maco dan bagus macam awak tu, kan?”
Terlepas tawa Ben. Eleh, kejap lagi mesti dia kata dah dia memang macam itu pun.
“Dah memang I macam tu. Ada masalah dengan you ke?”
See? Aku kata dah!
“I rasa tak salah pun I bersikap macam ni. I tahu diri I macam mana. Orang yang kenal I pun tahu kenapa I macam ni. Dan, dia orang boleh terima.”
“Okey, cuba bagi tahu saya kenapa awak jadi macam ni?” Laju aku menyoal.
Bila Ben kata begitu, tak tahu kenapa aku dapat rasa ada benda yang dah jadi dalam hidup dia dulu. Penyebab dia jadi kuat perasan macam sekarang.
Ekspresi Ben langsung berubah. Tegang semacam jadinya.
Erk? Aku dah tersalah cakap ke? Soalan itu sensitif sangat ke bagi dia?
“Next task, Amee. I nak you...”
Tudiaaa, tukar topik nampak?