Tuan Perasan Maco

BAB 5

  • Art
  • Shazie Kamaruzaman

“ADUH, matilah! Lambat dah ni.” Kelam-kabut aku menuruni anak tangga.

Aku janji jumpa Ben pukul 12.00 tengah hari. Ini dah terlajak setengah jam. Aku masih lagi di rumah. Harap tak mengamuklah si perasan maco tu.

“Amee, nak ke mana tu?”

Terhenti tangan aku yang baru nak sentuh pemegang pintu. Suara baba buat aku menoleh. Baba dah berdiri tegap, serupa polis.

“Errr, Amee nak keluar jumpa kawan kejap.”

“Kawan? Kawan yang mana satu? Lelaki ke perempuan?”

Ah, sudah. Baba dah mula nak soal siasat pula dah.

Luqman Firdaus nama diberi. Tapi, staf baba panggil Tuan Luq saja. Duda anak seorang iaitu akulah. Umur pula dah 46 tahun.

Menurut kata kenalan baba, baba aku duda hot. Ada ramai peminat. Maklumlah, badan pun masih ada ketak-ketak. Sampaikan ada budak fakulti ingat baba sugar daddy aku.

Gila haru betullah!

“Come, teman baba makan dulu.” Baba keluarkan suara berbentuk arahan.

Hailah, nampak gayanya aku tak boleh buat apalah. Nak tak nak kena teman baba makan juga ni.

Sampai saja di meja makan, Kak Warda dah siap sediakan pinggan. Eh, macam tahu-tahu pula dia aku kena paksa makan sekali dengan baba.

Sebut pasal Kak Warda, selain teman berborak aku, dia sebenarnya tukang masak. Orangnya muda lagi. Tak silap aku baru 28 tahun. Cun melecun pula tu.

Eh, dia taklah duduk serumah dengan aku dan baba. Sebab dia ada restoran sendiri. Tugas Kak Warda, hantar makanan setiap Isnin sampai Jumaat. Kadang-kadang, kami makan sekali. Aku dengan baba dah anggap dia macam ahli keluarga sendiri.

Sementara baba cedok lauk, aku letak iPhone di tepi pinggan. Sempat aku WhatsApp Ben tadi. Bagi tahu yang aku lambat sikit. Tak, ni bukan sikit. Lambat banyak ni!

“Alma Ameena. Baba tanya ni, Amee dengar tak?”

“Hah? Baba tanya apa? Sorry, sorry... Amee tak dengar.”

Aku tayang sengih. Nak cover silap sendiri. Mana taknya, otak tengah sibuk fikir pasal Ben.

“Baba tengok dua tiga hari ni Amee macam pelik aje. Ada masalah ke?” Mata baba dah melirik tajam.

“Eh, taklah. Amee okey aje. Perasaan baba aje ku...”

Kata-kata aku terhenti bila ada notifikasi WhatsApp masuk. Nama Ben tertera pada skrin.

You sampai mana dah?

Sampai mana apanya? Dekat rumah lagi ni hah.

Sorry. Dekat rumah lagi. Makan kejap.
Rumah you dekat mana? I datang ambil you.

What? Dah kenapa pula dia nak jemput bagai ni? Haisy, tak boleh jadi ni. Cepat-cepat aku reply.

Tak payah. Saya boleh pergi sendiri.
Lambatlah. Lagipun, I baru nak gerak ni. Biar I ambil you sekali. Jimat masa.

Eee... Dia ni! Tak faham bahasa ke? Gila nak biar dia jemput aku. Kalau baba nampak macam mana?

Fon aku berbunyi lagi.

Hantar location rumah you. Now.

Ayat arahan tu dah satu hal. Lagi satu, boleh dia hantar selfie dia. Siap belanja senyum lagi. Hek eleh, dia ingat dah handsome sangatlah tu?

I tahu you mesti tengah puji I, kan? 😎

Allah! Terlajak confidentlah dia ni.

Perasan tu simpan sikitlah untuk cucu cicit awak, Ben 😒

“Amee.” Baba dah tegur.
Dalam masa yang sama, WhatsApp daripada Ben masuk lagi.

Amee. Your location.

Haisy, baba di sini memanggil, Ben di sana menyeru. Ben ni pun satu juga. Waktu nilah nak buat perangai.

Malas nak berdebat lagi, aku share saja location rumah aku. Dah dia nak sangat.

“Mesej siapa? Sampai nak makan pun tak senang?” Baba menyoal lagi.

Kali ini, dah tiga kali baba tegur. Kalau sampai kali keempat baba tegur, memang kenalah aku. Ibrahim Pendek pun buka dadu tiga kali saja kut!

“Errr, kawan.” Aku bagi jawapan klise lagi.

Cepat-cepat aku sudu nasi ke mulut. Baru nak mengunyah, mesej Ben masuk lagi. Nasib baiklah aku tak tersedak bila baca mesejnya itu.

10 minit lagi I sampai.

Mak aih. Dia ni bawa kereta ke bawa roket? Sekejapnya dah nak sampai?!

“Off fon tu, Amee. Baba nak makan pun tak senang. Berbunyi-bunyi dari tadi.”

“Errr, okey, okey. Sorry, baba.”

Terus aku off mobile data.

Dan apa lagi, cepat-cepatlah aku licinkan pinggan. Cepat habis, cepat aku boleh keluar rumah. Harap-harap masa itu baba tak habis makanlah lagi. Kalau baba nampak Ben, nayaaa!


“SERIUSLAH you ni?”

Aku baru masuk kereta, Ben dah tanya soalan pelik macam itu.

“Apanya awak ni, Ben?”

Ben tengok aku atas bawah. Sampai besar bukaan matanya. Kalau semalam dia pelik, hari ini dia nampak terkejut sangat-sangat. Sekarang ni, aku atau dia yang bermasalah?

“Seluar biru, baju kuning dan tudung merah. Amee, you ni maskot TV3 ke apa?”

Hoi, jahatnya mulut dia! Maskot dikatanya aku!

“Apa masalah awak ni, Ben? Nak condemn-condemn saya ni kenapa?”

“Fine. Sorry sebab I kutuk you. Tapi, Amee... Warna baju you pakai ni terang sangat.”

Ben mengurut dahi. Macam ada masalah besar yang melanda diri.

“Okey apa baju yang saya pakai ni? Task kedua, awak suruh saya pakai baju favourite saya. Hah, nilah dia. Lawa warna dia, kan?”

“Ya. Lawa sangat. 10 batu pun I boleh cam you, Amee.”

Amboi, bukan main hiperbola ayat dia. Melampau tau!

“Ryan memang betul. You memang tak ada stail, Amee. Buta warna.”

“What? Tolong sikit ya, Ben. Saya...”

Ben angkat sebelah tangan, menyuruh aku diam. Otak aku pula laju saja mengikut arahannya.

Cik otak ni punlah. Kau otak aku ke otak Ben? Huh.

“No. I tak nak dengar sebarang komen daripada you. Kunci mulut you tu. Sekarang ni, you ikut aje ke mana I nak bawa you.”

“Dah tu kalau awak bawa saya terjun gaung, takkan nak ikut jugak?”

“Kalau tu pun you ikut, memang you ni ba wau dal wau halah. Ada faham?”

Berkerut kening aku memikir ayat Ben. Kejap, kejap... Ba wau dal wau ha? Jadinya...

Jadahlah. Itu BODOH!

“Hah, faham dah?” Bukan main sakan Ben gelak.

Aku bagi jelingan tajam penuh padu punya. Bergurau kasar pula dia ya. Tak apa, tak apa. Awak tunggulah masa awak nanti, Ben!

“Agak-agak you boleh teka tak I nak bawa you ke mana?”

Diam. Saja aku berpura-pura tak dengar.

“Amee, I tanya ni. Telinga you tak berfungsi ke?”

Kali ini, aku buat-buat pandang ke luar pula.

“Amee!” Naik sedikit nada Ben memanggil.

Aku balas dengan kerlingan poyo. Sedikit mendongak yang bermaksud, apa hal panggil-panggil nama aku.

“You dah bisu ke? Bila I tanya, patutnya you jawablah.”

“Eh, tadi awak jugak yang suruh saya zip mulut. Kesianlah awak ni. Muda-muda lagi dah nya alif nya wau qaf.”

Muka Ben nampak berkerut. Tak lain tak bukan tengah mengejalah tu.

“You cakap I NYANYUK, Amee?!”

Hahaha. Apa? Dia ingat dia sorang aje pandai mengutuk guna huruf jawi? Aku pun terrorlah!