Lamaran Cinta Tuan Zuhayr

BAB 1

  • Art
  • Fatiah Zohar

PELUH yang merenik di dahi diseka dengan hujung tudung. Panas sungguh cuaca hari ini. Mujurlah ada pohon besar yang selalu menjadi tempat berteduh setiap kali dia ke sini. Dapatlah berlindung daripada terik matahari yang menghambat kepala.

“Mana dia ni?” bisik Najuwa.

Jam tangan dilirik buat ke sekian kalinya. Selalunya, lelaki itu ada saja melepak di bawah pohon ini. Tapi, hari ini kelibatnya tidak kelihatan. Padahal selepas rehat tadi, lelaki itu tidak masuk ke kelas pun. Kalau ponteng kelas, memang di sinilah lelaki itu akan menghabiskan masanya hingga tamat waktu sekolah.

“Dah balik ke?” bisik Najuwa lagi.

Beg kertas yang dipeluk dari tadi dipandang. Nak tunggu atau pergi rumah dia? Najuwa berkira-kira dalam hati. Jam tangan sekali lagi dilirik. Baru berinjak jam 3.00 petang.

“Tunggulah sekejap lagi,” bisik Najuwa.

Kalau pergi rumah dia nanti, lain pula ceritanya. Takut Nek Wan bertanya macam-macam. Nanti kantoilah dia hendak bagi Zuhayr hadiah. Buat malu saja.

Pelukan dieratkan. Mengingatkan isi beg kertas itu, bibirnya serta-merta menyungging senyuman. Nek Wan kata, Zuhayr tidak pernah menyambut hari lahir sejak kecil. Kalau ada pun, Nek Wan hanya akan masak bubur manis untuknya setiap kali hari lahirnya tiba.

Entah kenapa boleh terfikir untuk bertanyakan Nek Wan tentang hal itu. Mungkin kerana sepanjang mereka berkawan, tidak banyak yang dia tahu tentang hal peribadi Zuhayr.

Semalam, terlajak berbual panjang dengan Nek Wan, Najuwa tanyakan tentang hari lahir Zuhayr. Bila mendengar jawapan Nek Wan, rasa sedih pula. Rupanya, baru beberapa hari lepas hari lahir Zuhayr berlalu. Rasa bersalah pula bila tidak mengambil tahu soal itu.

Padahal, dah dekat tiga tahun mereka berkenalan. Kali pertama, ketika waktu hari pertama Najuwa berpindah ke kampung ini setelah arwah ayah berkahwin dengan mak uda. Nak kata sahabat baik, tidak juga. Sebab lelaki itu selalu dingin dengan dirinya.

Nek Wanlah yang suruh Najuwa berkawan dengan cucunya. Katanya, Zuhayr tiada kawan.

Tapi, sedingin-dingin Zuhayr, lelaki itulah kawan terbaik yang Najuwa ada selain Syakirah, rakan baiknya di sekolah. Mungkin kerana nasib dirinya dan Zuhayr lebih kurang sama. Ada kesedihan dalam diri mereka berdua, yang sukar untuk difahami orang lain.

Waktu arwah ayah meninggal dunia setahun yang lepas, Zuhayrlah yang setia menjadi peneman di sisinya. Zuhayr tunjuk yang dia peduli walaupun air mukanya langsung tidak menggambarkan keprihatinannya.

Orang lain mungkin tak nampak. Tapi, Najuwa nampak. Dia tahu Zuhayr seorang sahabat yang baik.

Tapi, itulah. Sifat Zuhayr yang sejuk beku, membuatkan lelaki itu tiada kawan. Kalau bukan di rumah Nek Wan atau di kawasan kejiranan mereka, jangan harap Zuhayr akan jadi mesra.

Zuhayr selalu buat tidak kenal dan jauh sekali hendak bertegur sapa kalau nampak Najuwa sedang bersama Syakirah. Apatah lagi kalau di sekolah. Macam orang asing dibuatnya. Kerek habis!

Sedang Najuwa tenggelam dalam lamunan panjang, kepalanya terteleng ke tepi secara tiba-tiba. Terdiam Najuwa buat seketika. Kurang asam punya Zuhayr. Kau campak beg dekat aku?

“Sakitlah!” jerit Najuwa, geram.

Zuhayr sekadar mengerling Najuwa sekilas sebelum mengutip kembali beg sekolahnya yang dibaling ke arah Najuwa tadi. Beg dijadikan alas kepala dan badannya direbahkan di atas rumput. Matanya dipejam rapat tanpa menghiraukan Najuwa yang masih membebel.

Najuwa menjeling Zuhayr. Kepalanya digosok dengan rasa sebal. Daripada dia rasa teruja hendak berjumpa lelaki itu tadi, terus hilang terujanya. Rasa nak maki orang saja sekarang ini.

Tapi, melihatkan Zuhayr ada di depan matanya kini, dia mampu untuk menarik nafas lega. Hatinya dihambat kerisauan bila tak nampak wajah lelaki itu sejak jam 11.00 pagi tadi.

“Kau pergi mana? Seharian tak masuk kelas?” soal Najuwa.

Dia tidak memandang Zuhayr. Dia tahu sangat, lelaki itu tidak suka berbicara empat mata.

Bila tiada jawapan daripada Zuhayr, Najuwa berpaling ke belakang dan mengerling lelaki itu. Zuhayr seakan-akan sudah berlayar ke alam mimpi.

“Tidur dah?” bisik Najuwa, perlahan.

Nafas dihela panjang. Hadiah yang dipeluk sejak tadi, diletakkan di sisi Zuhayr. Tangan dibawa memeluk lutut dan merenung jauh ke tengah padang.

Baru dia perasan. Cuaca sudah tidak seterik tadi. Angin pun sudah mula bertiup sejuk. Seolah-olah tahu akan kehadiran Zuhayr di sini. Memberi keselesaan kepada lelaki itu untuk berehat.

Najuwa mengukir senyuman. Dia suka suasana begini. Walaupun setiap kali melepak bersama, Zuhayr hanya akan berdiam dan kadangkala tertidur. Tetap, Najuwa rasa gembira.

Dia suka setiap masa yang diluangkan bersama Zuhayr. Lebih tenang rasanya berbanding duduk di rumah yang 24 jam sehari perlu menadah telinga mendengar leteran mak uda. Bukan tidak suka. Tapi, letih. Leterannya sama saja, berulang-ulang.

Tangan yang memeluk lutut, turun ke padang rumput. Memetik setangkai dandelion yang melambai-lambai ditiup angin. Bunga itu dibawa rapat ke bibir dan ditiup perlahan. Senyuman serta-merta terukir saat melihat ia berterbangan mengikut arah angin.

Masa kali pertama berjumpa dengan Zuhayr di sini tiga tahun lepas, lelaki itu suka tiup dandelion. Dia kata, itu kebiasaan yang dilakukan bersama arwah ayahnya sejak kecil dulu. Setiap kali dia menangis, arwah ayahnya akan tiupkan dandelion. Bila melihat dandelion terpisah dari tangkainya dan berterbangan, Zuhayr akan berhenti menangis dan ketawa.

Jadi, bila-bila Zuhayr rasa sedih, dia akan tiup dandelion. Mungkin dia rasa macam tengah dipujuk arwah ayahnya dan seolah-olah sedang melepaskan kesedihan setiap kali tengok bunga tu hilang ditiup angin.

“Dia dah balik.”

Bisikan itu membuatkan Najuwa berpaling. Zuhayr yang bersuara walaupun matanya masih terpejam. Ingatkan dah tidur, bisik Najuwa.

Dia? Najuwa menyoal dalam hati. Saat menyedari maksud kata-kata Zuhayr itu, Najuwa tersentak dan sekali lagi berpaling.

“Mama kau?” soal Najuwa, inginkan kepastian.

“Hmmm...” balas Zuhayr, ringkas.

Najuwa mengukir senyuman. Bukankah itu berita gembira buat Zuhayr?

Sekian lama lelaki itu menantikan kepulangan ibunya. Patutlah Zuhayr ponteng kelas tadi. Pasti dia terlalu teruja menerima berita itu dan pergi berjumpa dengan mamanya.

Namun, senyuman di bibir Najuwa mati serta-merta. Dia baru perasan yang riak di wajah Zuhayr langsung tidak menggambarkan kegembiraannya.

Apa yang mengganggu dia sebenarnya?

Lama berdiam, Najuwa bersuara.

“Kau okey?” soal Najuwa. Hampir tidak kedengaran suaranya.

Tiada respons daripada Zuhayr. Matanya masih terpejam rapat. Tapi, tidak sampai sesaat, Najuwa tersentap. Dia nampak sesuatu yang tidak seharusnya dia nampak. Sebelum lelaki itu menarik topi menutup mukanya dan berpaling.

Zuhayr menangis!

Pantas Najuwa mencapai beg sekolahnya dan mahu beredar.

Tidak sepatutnya dia berada di sini. Dia sepatutnya tahu, Zuhayr sedang dalam kesedihan. Seharian lelaki itu menghilang. Kenapalah dia tidak sedar akan hal itu?

Zuhayr hanya akan ponteng kelas sekiranya emosinya sedang terganggu. Kau ni, Najuwa. Slow betul!

“Kau pun nak tinggalkan aku?”

Suara serak lelaki itu menghentikan pergerakan Najuwa. Terus Najuwa terduduk kembali dek kerana terkejut. Buat seketika, dia terdiam dan kaku di tempat duduknya.

Perubahan suara Zuhayr, jelas menunjukkan lelaki itu sedang menahan tangisannya. Serba salah Najuwa jadinya. Walaupun dia tidak tahu apa yang dipendam Zuhayr dan mengapa Zuhayr bersedih, dia tahu yang Zuhayr sedang dalam kekecewaan.

Kenapa, Zuhayr? Apa mama kau dah buat pada kau? Kenapa kau bersedih sampai macam ni sekali?

Namun, semuanya hanya terluah dalam hati. Tidak berani hendak bertanyakan terus kepada Zuhayr. Sudahnya, dia diam dan menanti. Tidak jadi untuk beredar.

“Aku ada. Aku tak akan pergi mana-mana,” ucap Najuwa.

Aku takkan tinggalkan kau, Zuhayr. Aku ada dekat sini. Selalu ada untuk kau. Macam kau selalu ada untuk aku, bisik hati Najuwa.

Tanpa sedar, air matanya sendiri mengalir deras saat esakan halus Zuhayr kedengaran. Ini, pertama kali dia melihat dan mendengar tangisan Zuhayr.

Pasti, lukanya kali ini terlalu dalam.