CEO Depan Mata

BAB 2

  • Art
  • Nor Hasnida

“YA Allah, harap-haraplah aku tak terserempak dengan Miss Sally kekwat tu. Kalau tak, mati aku. Mati!”

Rania raup muka sebelum toleh kiri dan kanan. Kosong.

Mana taknya, dah dekat pukul 9.00 kut. Sah-sah semua orang dah sibuk dengan kerja masing-masing. Dia sorang saja yang lambat agaknya.

Huh! Dia memang suka buat pejabat ni macam bapak dia yang punya.

Rania belek jam di pergelangan tangan. Dah hampir pukul 8.55 pagi. Alamak! Ni bukan lambat dah ni, tapi dah terlebih lambat.

Sambil mengemaskan pautan beg galas di bahu kiri, Rania berlari laju menuju ke pintu lif. Sampai saja di situ, cepat-cepat dia menekan butang yang terdapat di tepi pintu lif itu.

“Janganlah ada sesiapa yang perasan aku datang lambat hari ni. Amin.”

Dia tadah tangan tinggi-tinggi. Harap-haraplah Allah makbulkan doanya yang satu ini.

“Excuse me?” Suara garau yang agak keras itu mengejutkannya.

“Yes?”

Dia berpaling sambil tayang riak hairan. Siapa pula yang tegur dia ni? Seketika matanya menangkap sesusuk tubuh sasa yang sedang berdiri di sebelahnya. Serta-merta pandangan mereka bertembung.

Rania melopong. Argh! Mamat mana handsome sangat ni?

Tak berkelip mata Rania menganalisa lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Rambutnya yang ikal keperangan, hidungnya yang mancung serta bibirnya yang merah itu membuatkan mata Rania tak lepas daripada memandangnya.

Sedikit kumis dan jambang yang kelihatan terurus di wajahnya mengingatkan Rania kepada Edward Cullen dalam filem Twilight Saga. Pergh! Sekali pandang mamat di sebelah ini memang sebiji macam model majalah.

“Cik?”

Lelaki itu layangkan tangan di depan mukanya.

“Hah? Ya, saya.”

Rania dah kelam-kabut. Alamak! Agak-agak dia perasan tak aku tenung dia macam nak terkeluar biji mata tadi?

“Boleh tolong alihkan kaki kau tu tak?”

Nada lelaki itu meninggi sambil menudingkan jari tangannya ke kaki.

“Hah?”

Mata Rania melorot ke bawah. Melihat kakinya mendarat betul-betul di atas kasut lelaki itu membuatkan riak mukanya segera berubah kelat.

“Err... sorry. Saya tak perasan.” Dia tersengih, menayangkan gigi.

Lelaki itu menghantar jelingan tajam kepadanya.

Adoi, macam mana pula boleh terpijak kaki mamat ni?

Pintu lif terbuka. Tanpa berlengah, Rania melangkah masuk ke dalamnya diikuti oleh lelaki tadi. Bila pintu kembali tertutup, dia tekan butang nombor lima di tepi pintu itu.

Sunyi. Sesekali Rania jeling lelaki di sebelahnya dengan ekor mata. Kemeja warna putih yang dipadankan dengan tali leher warna hitam yang dipakai lelaki itu nyata menyerlahkan imej korporatnya.

Siapa agaknya mamat ini? Dah seminggu dia kerja di sini, tak pernah pula mereka terserempak. Untung dia datang lambat hari ini. Sekurang-kurangnya dapat juga dia cuci mata.

Bilalah agaknya nak merasa ada boyfriend handsome macam ini? Ni kalau bawak balik kampung ni, gerenti semua orang jealous tahap nak mati.

“Err... kerja kat sini juga ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni.”

Rania memberanikan diri menyoal lelaki di sebelahnya.

Tapi, lelaki itu langsung tak bagi apa-apa reaksi. Dia hanya diam sambil pandang iPhone di tangannya.

Cis! Sombong betul. Mentang-mentanglah handsome.

“Ermm, lama dah ke kerja kat sini?” Dia menyoal lagi.

Terhegeh-hegeh pula rasanya. Orang tak layan pun, masih sibuk nak soal macam-macam. Tapi, ada dia kisah?

“Kau tak kenal aku ke pura-pura tak kenal?”

Tiba-tiba lelaki itu bersuara. Dia berpaling sebelum mata mereka berlaga buat seketika.

Rania cuak. Hah, padan muka. Soal lagi dia macam-macam.

“Err... Awak orang penting ke kat sini sampaikan saya perlu kenal dengan awak? Tak, kan?”

Rania pandang lelaki itu. Ada nada sinis yang kedengaran di hujung kata-katanya.

“Kalau aku kata ya?”

Mendengar jawapan itu, segera wajah Rania berubah riak. Isy, biar betul mamat ni? Takkan dia CEO kat sini?

Mustahillah. Semua orang di sini tahu yang CEO Gamuda Land tak suka menonjolkan dirinya. Sebab itulah pekerja bawahan macamnya tak pernah sekali pun jumpa dia. Kalau jumpa pun tak pernah, macam mana nak kenal muka dia, kan?

Tup-tup mamat di sebelahnya ini mengaku dia CEO pula. Nampak sangat dia menipu.

“Eleh, awak jangan nak menipulah. Saya kenal tau siapa CEO kat sini. Mengaku sajalah yang awak ni staf biasa saja kat sini. Sama macam saya jugak. Buat apa nak malu? Kerja kita halal apa?”

Sekilas, Rania menjeling lelaki di sebelahnya.

“Whatever!”

Lelaki itu merengus sambil tayang muka malas nak layan kau.

“Ha, saya tahu. Awak mesti bercita-cita nak jadi CEO, kan? Sebab tu awak harap semua orang kenal dengan awak. Betul tak tekaan saya tu?”

Rania tersengih-sengih lagi sambil pandang muka lelaki itu.

“Kalau awak nak tahu, impian kita sama tau. Kalau awak bercita-cita nak jadi CEO, saya pulak teringin nak jadi isteri CEO. Ha, kan nak dekat sama tu.”

Kali ini Rania tergelak kecil. Suka benar dia bila bercerita tentang impiannya yang satu itu. Alah, berangan kan percuma. Bukan kena bayar pun. Jadi, tak salah kan kalau dia berangan nak kahwin dengan CEO.

Dia pandang muka lelaki di sebelah. Melihat lelaki itu dah tayang muka tak ada perasaan, segera riak Rania berubah kelat. Serentak dengan itu juga, tawanya mati dengan serta-merta.

Apa kau merepek ni Rania? Kau tak nampak ke muka mamat tu dah ketat semacam? Mesti dia ingat kau nak try dia.

Masa itu Rania rasa macam nak tampar mulut sendiri. Bercerita tak pandang kiri kanan. Kau dah kenapa Melissa Rania? Ya Allah, malunya. Mana dia nak letak mukanya ini? Rasa macam nak saja seludup muka dalam baju.

Yang lif ni pun agak-agak kurun ke berapa nak sampai ni? Dia nak ke tingkat lima saja kut, apasal dia punya lambat tu macam nak ke tingkat 50? Haisy, nak kena kompelin ni.

Ting. Pintu lif tiba-tiba terbuka bila sampai di aras lima. Err... lif ni ada telinga ke apa? Macam tahu-tahu saja apa yang dia rungutkan tadi.

Sepantas kilat, Rania melangkah keluar dari perut lif. Sekali pun dia tidak menoleh ke belakang. Tak sanggup rasanya nak tengok reaksi mamat tadi.

Fuh, lega! Tuhan saja yang tahu perasaannya masa itu. Harap-harap lepas ini tak adalah dia terserempak dengan mamat itu lagi. Kalau terserempak pun, dia akan buat-buat tak nampak.


“EHEM, Cik Melissa Rania. Sejak bila pulak ofis ni jadi ofis bapak kau?” sergah Miss Sally kekwat sebaik dia tiba di mejanya.

Rania tersentak seketika. Haisy, pagi-pagi dah kena menghadap muka minah ni. Spoil betullah.

“Pukul berapa sekarang? Awak tahu tak, awak dah lewat hampir satu jam? Makan gaji buta ke apa?” Naik satu oktaf suara Miss Sally.

Rania diam tak berkutik.

Eleh, minah ni mengalahkan bos dia pulak. Bukan dia sengaja datang lambat. Lagipun, rasanya ini baru pertama kali dia datang lambat. Itu pun nak kecoh.

“Sorrylah, jalan jammed tadi.” Rania menjawab spontan.

Ikutkan, dia malas nak layan minah tu. Bukan bos dia pun, tapi minah tu yang suka perasan, konon-konon dia orang kanan bos di sini.

“Ha, itu sajalah alasannya. Sikit-sikit jalan jammed. Macam tak ada alasan lain nak bagi. Lain kali kalau dah tahu jalan jammed, keluarlah rumah awal sikit.”

Rania buat-buat tak dengar. Pagi-pagi dah buat ceramah perdana di sini, dia ingat dia siapa? Bos besar pun tak kekwat macam dia tau.

“Dah, tunggu apa lagi? Buat kerja tu!” Melantun suaranya, menyergah Rania yang masih kaku di mejanya.

Rania akur. Tapi, dalam hati berjela dia menyumpah minah kekwat itu. Sabar Rania, sabar. Tunggulah bila kau dah jadi bini CEO nanti. Minah itu orang pertama yang dia pecat nanti. Just wait and see.