“RANIA, jom lunch,” tegur Faizal, salah seorang pegawai di bahagian pemasaran.
Rania belek jam di pergelangan tangan. Dah pukul 1.00 rupanya. Cepat betul masa berlalu. Patutlah perutnya dah mula buat konsert.
“Err... tak apalah Encik Faizal. Saya lunch kat pantri saja. Lagipun saya bawa bekal.” Rania balas acuh tak acuh.
Memang sejak hari pertama dia masuk kerja, dia lebih selesa bawa bekal sendiri dari rumah. Bukan saja menjimatkan duit poket, malah tak adalah nak menyusahkan dia naik turun lif semata-mata nak ke kedai makan. Lagipun, harga makanan di sini boleh buat dia juling biji mata.
“Rajinnya masak. Untunglah kan siapa dapat awak. Bukan saja cantik, pandai masak pulak tu.” Faizal pandang Rania lama-lama.
Hah, sudah! Mamat ni dah start jual minyak nampaknya.
Bukan dia tak perasan, sejak hari pertama dia masuk kerja sampailah ke hari ini, boleh dikatakan setiap hari Faizal akan cari modal nak ajak dia keluar. Dan boleh dikatakan setiap hari jugalah dia cari idea untuk menolak pelawaan mamat itu.
Bukan tak sudi, tapi satu ofis ini dah tahu perangai kaki perempuan Faizal. Sakinah, kawan yang paling rapat dengannya awal-awal lagi dah ingatkannya supaya berhati-hati dengan lelaki buaya darat bernama Faizal itu.
“Hurm, dah ada yang punya ke?”
Tiba-tiba pertanyaan itu terpacul dari mulut Faizal.
Hah, kan betul sangkaannya. Mamat ni mesti nak tanya dia hal peribadi.
“Dah.” Rania bagi jawapan paling selamat.
Saya ni sejak kecil lagi kepunyaan mak abah saya tau. Dia sambung ayat dalam hati.
“Melepaslah saya, kan?”
Syahdu suara Faizal. Ada keluhan yang mengakhiri kata-katanya.
Rania pamer senyum kelat. Huh, jangan haraplah dia nak terima lelaki macam Faizal. Sekalipun semua lelaki dalam dunia ini dah pupus, dia lebih rela jadi anak dara tua.
“Alah, Encik Faizal... Kat ofis ni bukan saya sorang aje anak dara. Ramai lagi tau. Miss Sally tu pun masih single lagi. Apa kata Encik Faizal try dia?”
Rania bagi mukadimah panjang lebar sikit. Mana tahu Faizal termakan dengan ayat itu.
“Miss Sally tu? Huh, tak naklah saya. Boleh mati awal tau kalau dapat bini macam tu.”
Faizal merengus sambil geleng kepala berkali-kali.
Hampir terlepas tawa Rania di situ, tapi cepat-cepat dia cover. Kenapalah semua orang seakan-akan takut nak dekat dengan Miss Sally? Sebab dia garang ke? Atau sebab sifat azalinya yang suka mengarah orang buat itu ini?
“Lainlah kalau dengan awak. Sejuk mata memandang,” sambung Faizal lagi sambil kenyit mata.
Uwek! Hampir muntah hijau dia dibuatnya. Geli-geleman pun ya.
“Tapi, saya dah berpunya.”
“Tak kisahlah. Orang yang dah kahwin pun boleh bercerai-berai, inikan pulak yang belum ada ikatan.” Pantas Faizal membidas.
Aik! Nampak gayanya tak selamat lagilah dia ni. Ingatkan bila bagitahu dia dah berpunya, mamat itu takkan kacau dia dah. Tapi, hampeh.
“Rania.”
Panggilan itu menerobos gegendang telinga. Dia berpaling, mencari arah si empunya suara sebelum matanya terpandangkan kelibat Sakinah yang sedang menghampirinya.
Fuh, lega! Sakinah datang tepat pada masanya. Dia dah hampir lemas dengan ayat-ayat manis Faizal. Lagi lama dia melayan mamat ni, lagi sasau dia jadinya nanti.
“Rania, jom lunch. Kata tadi bawak bekal untuk akak sekali, kan?” Sakinah menggamit dari kejauhan.
“Kejap kak. Saya datang ni.” Rania membalas.
“Saya pergi dulu Encik Faizal.”
Dia meminta diri seraya bangun daripada duduknya. Faizal mengalah dalam terpaksa.
“Lain kali jangan bawak bekal tau. Saya belanja,” tukasnya sebelum Rania berlalu meninggalkannya.
“Tak janji tau,” balas Rania sekadar nak sedapkan hati lelaki itu.
Tak kuasa dia nak melayan.
“Encik Faizal nak apa tadi tu?”
Soalan pertama Sakinah sebaik dia duduk di depan Rania.
“Macam biasalah kak. Dia nak ajak saya keluar. Tapi, akak jangan risau. Saya tak layan pun.”
Rania tersengih menayangkan gigi sambil membuka tudung Tupperware yang berisi bekalnya.
“Akak tak kisah pun kalau kau nak layan dia. Bukan dia suami akak pun. Tapi, tulah... kau kenalah bersedia dari segi mental kalau nak bercinta dengan lelaki playboy macam dia tu.”
“Isy, tak naklah saya kak. Tak pasal-pasal nanti kena serang dengan awek-awek dia tu.”
Rania menjuih sambil tayang muka menyampah. Serta-merta Sakinah tergelak.
“Dahlah kak. Jom makan. Buang masa saja sembang pasal mamat itu.”
Rania sendukkan nasi goreng yang dibawanya ke pinggan, lalu dihulurkan kepada Sakinah.
“Sedap ni Rania.”
“Belum makan lagi dah puji sedap,” usik Rania dengan senyuman.
“Alah, akak tengok pun dah tahulah. Rania kan pandai masak.”
Pujian itu terlontar lagi dari mulut Sakinah. Kembang semangkuk hati Rania bila dipuji begitu. Melihat Sakinah menikmati nasi goreng yang dibawanya dengan penuh nikmat, hatinya terus berbunga riang.
“Kak, boleh saya tanya sikit?” soal Rania bila keadaan mula sepi.
“Apa dia? Tanyalah.”
“Sepanjang akak kerja kat sini, pernah tak akak jumpa dengan bos kita?” Rania ketap bibir.
Seketika, Sakinah berhenti mengunyah. Wajah redup Rania dipandangnya lama dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa Rania tanya macam tu?”
“Yalah, dah seminggu lebih saya kerja kat sini. Sekali pun tak pernah nampak kelibat bos. Dia memang jenis low profile ke apa?”
Sakinah tergelak kecil. Gelas berisi air putih dicapai, lalu dibawa ke bibir.
“Sebenarnya, dia jarang ada kat ofis. Kalau datang pun sekejap saja. Lagipun, kita ni orang bawahan dia saja. Kalau dia ada pun, memang susahlah nak jumpa dia,” terang Sakinah panjang lebar.
Rania yang tekun mendengar mengangguk beberapa kali bagaikan faham dengan penjelasan itu.
“Oh, patutlah saya tak pernah nampak dia.”
“Kenapa? Nak berkenalan ke?” seloroh Sakinah sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
“Isy, tak adanya dia nak pandang orang macam saya ni, kak.” Suara Rania mengendur sedikit.
“Belum cuba belum tahu Rania. Kalau Rania nak tahu, Encik Izz tu masih single tau.”
“Encik Izz?” Kening dia berkerut seribu.
“Oh, lupa pulak nak bagitahu. Bos kita tu namanya Izz Raycarl. Tapi, kami biasa panggil dia Encik Izz saja.”
“Oh, sedap nama dia.”
“Ha’ah. Tu baru nama. Kalau Rania tengok dia depan-depan, sah jatuh cinta. Silap hari bulan, tidur malam pun tak lena.”
Sakinah angkat kening macam Ziana Zain sambil senyum sinis.
Hah, kata-kata Sakinah buat dia tergelak. Handsome sangat ke Izz Raycarl tu sampai boleh buat dia tak tidur malam? Ada ke macam rupa mamat lif yang dia jumpa tadi? Rasanya tak mungkin ada sesiapa yang dapat menandingi ketampanan mamat lif tu kut.
“Tapi, kalau betul handsome takkan dia single lagi. Mustahillah,” gerutu Rania bersahaja.
“Yang tu akak tak pastilah. Akak pun dengar daripada staf kat sini jugak.”
“Nanti kalau Rania dah kerja lama kat sini, mesti akan terserempak jugak dengan bos kita tu,” sambung Sakinah lagi.
Rania hanya angguk. Kalau terjumpa, memang rezeki dialah. Dalam diam, dia tersenyum sendiri.