“ADOI, mana teksi ni? Tahu tak aku dah berjanggut tunggu kat sini?” keluh Rania sambil belek jam di pergelangan tangan.
Waktu dah hampir menginjak ke angka 7.00 malam. Sedar tak sedar, dah hampir dua jam dia berdiri mengalahkan pak gad di tepi jalan ini. Namun, bayang teksi tak juga kelihatan.
Ke hari ni semua teksi mogok sedunia?
Kalau macam ini gayanya, agak-agak pukul berapa dia nak sampai rumah ni? Kalau macam ini setiap hari, jenuhlah dia nanti. Nak beli kereta, keadaan kewangannya belum mengizinkan. Lagipun, dia baru mula kerja kut. Gaji pertama pun tak merasa lagi.
Dalam tak sedar, keluhan berat terhela dari bibirnya. Dia dongak memandang langit yang sudah hampir bertukar warna. Tak lama lagi, senja akan mengambil alih tugasnya dan dia masih lagi di sini.
Sekilas, matanya meliar pandang ke sekeliling. Kawasan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan pelbagai jenis yang lalu-lalang tak kira masa. Tapi hairannya, hari ini kelibat teksi langsung tak kelihatan. Dia sudah hampir berputus asa.
Tiba-tiba dari kejauhan, dia terpandangkan sebuah teksi yang sedang meluncur laju ke arahnya. Diam-diam ada senyuman yang kelihatan di bibirnya. Akhirnya, penantiannya nyata tak sia-sia.
Sebaik teksi berhenti betul-betul di tepinya, Rania segera melangkah masuk ke dalam perutnya.
“Damansara.” Suara garau di sebelah mengejutkannya.
Serentak dengan itu, dia menoleh.
“Hei, saya yang tahan teksi ni dulu tau.”
Rania bersuara lantang bila melihat ada lelaki di sebelahnya. Dan lelaki itu pun nampak terkejut dengan kehadirannya.
“Excuse me cik. Saya yang masuk dulu tadi,” bidas lelaki itu.
Rania ketap bibir menahan geram. Tapi, eh kejap. Kenapa dia rasa muka mamat kat sebelah ni macam familiar sangat?
“Eh, awak bukan mamat lif hari tu ke?”
Bila mata mereka berlaga, baru dia perasan muka lelaki itu. Sah! Memang dia. Mana dia boleh lupa pada wajah yang buat tulang rusuknya bergetar.
“So?”
Bersahaja suara dia. Annoying betul.
“Awak, saya yang tahan teksi ni dulu. Jadi, ini teksi saya.”
“Kau yang tahan, tapi aku yang masuk dulu. So, ini teksi aku.”
Rania tarik nafas panjang. Mamat ni kan harap muka saja handsome, tapi perangai dia nauzubillah. Menyakitkan hati betul.
“Eh, tak payah nak gaduh-gaduh. Sekarang ni bagitahu nak turun kat mana. Kalau sehala, dua-dua sekali pak cik hantarkan.”
Pak cik teksi bersuara akhirnya.
“Damansara.”
Serentak mereka bersuara.
“Hei, kenapa ikut saya?”
Melantun suara Rania.
“Kepala hotak kau. Rumah aku memang kat Damansaralah. Tak ada maknanya aku nak ikut kau. Kalau cantik tak apalah jugak.”
Sekali lagi Rania ketap bibir. Tahap kesabarannya makin menipis. Cakap elok-elok tak boleh ke mamat ni? Nak tinggi-tingi suara tu kenapa? Ingat dia pekak agaknya.
“Kalau dua-dua nak ke Damansara, pak cik boleh hantarkan. Tapi, tutup mulut tu dulu,” tegas pak cik teksi itu kemudiannya.
Kena sedas.
Rania mendengus. Mujur dia terdesak nak balik sekarang ini. Kalau tak, jangan haraplah dia nak bagi muka kepada lelaki di sebelahnya ini.
Teksi yang mereka naiki mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan itu. Masing-masing buat hal sendiri. Mamat itu ralit dengan iPhone di tangannya manakala dia pula melamun sambil pandang ke luar tingkap.
Argh! Tak kuasa nak pandang muka mamat itu lama-lama. Walaupun tahap ketampanannya boleh mengocak iman, tapi mengenangkan perangai dia yang menyakitkan hati itu, terus Rania naik menyampah.
“Pak cik, berhenti kat depan tu,” arah mamat lif itu bila teksi itu membelok masuk ke sebuah kawasan perumahan.
“Rumah awak kat sini ke? Eh, berjiranlah kita. Rumah saya kat depan sana tu,” kata Rania tiba-tiba.
Dia tersengih sambil pandang lelaki di sebelahnya. Kecilnya dunia. Tak sangka mereka berjiran. Bezanya, mamat itu tinggal di kawasan perumahan elit manakala dia pula di kawasan perumahan kos rendah.
Tapi, kira berjiranlah juga, kan?
Mamat itu pandang dia semacam.
Adoi, masa itu rasa macam nak tampar mulut sendiri. Yang kau pergi tegur dia kenapa, Rania? Mesti dia ingat kau dah syok dekat dia.
“Berapa?” Mamat lif itu bertanya sambil seluk poket seluarnya.
“25.00.”
Dia masih meraba-raba poket. Bila yang dicari tak juga bertemu, dia belek pula beg galasnya.
“Oh shit!” Suara garau itu menyumpah.
Ada kerutan di wajah kacaknya. Argh! Muka berkerut seribu macam itu pun tetap nampak handsome.
“Pak cik, hutang dulu boleh? Wallet saya tertinggal kat ofis.” Lambat-lambat dia bersuara.
“Err... tak apa. Saya boleh tolong bayarkan.” Pantas Rania mencelah.
Dah kenapa tiba-tiba dia nak berlagak baik pula ni sedangkan duit belanja dia sendiri pun cukup-cukup makan saja?
Lelaki itu berpaling ke arahnya.
“Betul ke?” soalnya untuk mendapatkan kepastian.
“Betullah. Tapi, kira hutang tau. Esok saya tuntut balik.” Laju Rania membalas.
Tengok. Kalau bab mamat lif, laju saja otaknya bertindak balas. Sah, dia dah kena penyakit angau.
Lelaki itu angguk tanda mengiakan sebelum keluar dari perut teksi.
Rania hanya memandang sehingga teksi itu bergerak meninggalkan kawasan itu. Alah... lupa pulak nak tanya nama mamat tu tadi.