CEO Depan Mata

BAB 6

  • Art
  • Nor Hasnida

CARL punya pasal, pukul 5.30 Rania dah terpacak di tepi lobi. Bukan saja nak tunggu awal pun, tapi dah memang waktu itu dia habis kerja. Takkan nak tunggu sorang-sorang dalam ofis. Memang taklah.

Sambil-sambil menunggu, sempat jugalah dia cuci mata tengok lelaki-lelaki kacak yang melalui kawasan itu. Kebanyakannya staf di Gamuda Land. Tapi, macam yang dia kata kepada Sakinah tadilah, kekacakan mereka mana boleh lawan dengan mamat lifnya.

Sebut pasal Sakinah, dia awal-awal lagi dah balik. Kalau tak, adalah juga geng nak menyembang di sini sementara tunggu Carl datang. Untung Kak Sakinah. Setiap hari, ada suami yang hantar dan jemput dia balik kerja. Tak payah nak pening-pening macam Rania.

Hujung minggu ini, dia cadang nak balik kampung. Nak ambil skuter kesayangannya, bawa ke sini.

Rania belek jam di pergelangan tangan. Dah hampir pukul 6.30 ni. Apa yang lambat sangat mamat lif ni turun? Ke dia dah balik?

Tak apalah. Tunggu sajalah dekat sini. Dah janji, kan? Mungkin dia banyak kerja agaknya. Itu yang lambat. Rania pujuk diri sendiri.

Keadaan sekeliling sudah mulai lengang. Hanya pak gad masih setia berdiri di tepi pintu bangunan itu. Sama seperti dia yang masih setia menanti di situ.

Bosan berdiri, Rania menyandar pula di tepi bangunan. Seketika kemudian, beg tangannya diseluk. Usai bertemu dengan apa yang dicari, tangannya dikeluarkan. Sebuah dompet yang agak lusuh kelihatan erat dalam pegangannya.

Dengan penuh hati-hati, dia membuka dan membelek isi kandungan dompet itu. Wang berjumlah 25 ringgit yang berlipat dalam dompet, dikeluarkan.

Sebenarnya, duit itu sememangnya ada dalam dompetnya sejak awal lagi. Tapi, sengaja dia menipu Carl kononnya dia tak ada wang baki pagi tadi.

Ah, dia bukan sengaja menipu. Agak-agak kalau dia jujur tadi, mesti dia dah tak ada alasan nak jumpa mamat itu lagi. Sekali-sekala bohong sunat, tak apa, kan?

Rania mendengus bosan. Argh! Lamanya menunggu. Naik kematu dah tapak kakinya ini.

Patut ke dia balik dulu? Eh, mana boleh. Kalau Carl cari dia nanti, macam mana? Lagipun, mereka dah berjanji kut. Sabarlah sikit lagi Rania oi. Kalau lagi sejam tak nampak batang hidung dia, baru kau balik, rengus Rania dalam hati.

Hari sudah semakin kelam. Azan maghrib kedengaran berkumandang dari masjid tidak jauh dari situ.

Ah, nampaknya dia cuma membuang masa di sini. Carl mesti dah balik. Sia-sia dia menunggu nampaknya. Mujur juga dia uzur hari ini. Jadi, tak perlulah nak kejar masa sangat.

Mungkin bukan rezekinya untuk jumpa Carl hari ini. Tak mengapa. Tak lari pun gunung dikejar. Lambat-laun mereka pasti berjumpa juga. Dia dengan Carl kan kerja di bawah satu bumbung.

“Woi.”

Baru dia nak angkat kaki dari situ, suara garau itu menyapa gegendang telinga. Rania segera berpaling. Siapalah yang woikan dia ni? Pantang betul dia kalau orang panggil woi-woi ni. Adab kat mana?

“Kau tak balik lagi?” sergah suara garau itu kepadanya.

Terkelip-kelip mata Rania pandang muka lelaki yang sudah berdiri di depannya.

Carl. Panjang jodoh mereka. Ingatkan tak jumpa dah hari ini. Tengok muka kacak mamat itu, terus hilang marahnya.

“Tak. Saya tunggu awaklah. Kan kita dah janji nak jumpa kat sini pagi tadi. Lupa ke?”

Serentak dengan itu, Carl belek jam di tangannya.

“Kau tunggu aku dari pukul 6.00 tadi?” Terbeliak biji mata Carl tenung Rania atas bawah.

“Yalah. Kenapa?” Kening Rania berkerut.

“Kalau aku tak datang sampai tengah malam, kau masih tunggu aku ke?”

“Err...”

“Kau ni bengap ke apa? Lain kali kalau aku tak datang tu, blah sajalah. Yang tunggu lagi tu buat apa? Kau tahu tak kawasan ni bahaya,” pintas Carl sebelum sempat Rania jawab pertanyaannya.

Err... lain kali? Apasal dia sebut lain kali? Dia nak jumpa aku lagi ke lepas ni?

“Mana baki duit aku?” Carl tadah tangan depan Rania.

Cepat-cepat Rania keluarkan dompetnya lalu mengeluarkan duit baki yang disisip di tepi dompet itu.

“Nah.” Duit 25 ringgit itu bertukar tangan.

Sebaik duit sudah berada di tangannya, Carl segera masukkannya ke dalam kocek seluar.

“Err... awak nak balik dah ke?” soal Rania bila melihat Carl sudah bersedia untuk melangkah pergi.

“Habis tu, kau nak suruh aku tidur kat sini ke?” perli Carl sedas.

Eii, sombong sangatlah mamat ni. Nasib baik muka handsome. Kalau tak, tak ada maknanya dia nak berbaik.

“Hurm, saya lapar. Boleh tak kalau awak temankan saya makan kejap?” Rania tayang muka minta simpati.

“Excuse me? Kau ingat aku kawan kau ke? Nak mintak teman bagai. Kalau lapar, pergilah cari makan sendiri.”

“Orang suruh teman aje pun. Saya tunggu awak lama tau kat sini,” rengek Rania bagaikan anak kecil.

“Ada aku suruh kau tunggu?”

“Sebab adalah saya tunggu awak!” Melantun suara Rania.

Haisy! Geram betul dengan mamat ni.

Serta-merta muka Carl bertukar beku.

“Fine! Cepat sikit.” Akhirnya Carl mengalah.

Rania senyum tanda puas. Yes, akhirnya dia menang.


“KAU tak ada tempat best sikit ke nak ajak aku makan? Gerai tepi jalan ni jugak yang kau pilih.”

Carl pandang sekeliling dengan muka berkerut.

“Kat sini best apa. Burger kat sini murah dan paling sedap tau.”

Rania kerling Carl di sebelahnya yang nampak tak selesa.

“Sedap dengan tekak kau. Tekak aku belum tentu lagi,” rungut Carl lagi.

“Belum cuba, belum tahu.”

Rania kerdipkan mata sambil tersengih memandang lelaki itu.

Carl menjuih. Entah kenapalah dia boleh ikut minah ni ke sini. Harap-harap tak ada sesiapa yang kenalnya. Kalau tak, kecoh nanti.

“Kalau tak sedap, siaplah kau.” Suara Carl berbaur amaran.

Rania menjuih selamba.

Masing-masing mulai diam.

Rania tekun melihat dua orang lelaki yang sedang bertungkus lumus menyiapkan tempahan burger di gerai mereka sementara Carl pula duduk sambil menyandarkan tubuhnya di kerusi. Keadaan sekeliling diperhatikan dengan segala macam rasa bermain di minda.

Macam tak percaya dia boleh jejak kaki ke sini. Seumur hidupnya, ini pertama kali dia duduk dan makan di gerai tepi jalan macam ini. Semuanya kerana perempuan di sebelahnya.

Huh! Sungguh tak masuk akal. Tapi, betul ke perempuan ni tak kenal siapa dia? Atau dia pura-pura tak kenal?

“Dah berapa lama kau kerja kat Gamuda?”

Soalan itu meluncur keluar dari mulut Carl. Serentak dengan itu, Rania segera berpaling ke arahnya.

“Lama dah.” Rania jawab spontan.

“Lama tu berapa tahun?”

“Err... seminggu lebih.”

Carl ketap bibir menahan geram. Tapi, dalam masa yang sama dia yakin itu sebabnya kenapa Rania tak kenal dan cam siapa dia. Dia CEO Gamuda Land kut. Kalau Rania kenal, tak mungkin gadis itu akan melayannya macam sekarang.

“Kau boleh serius sikit tak?” Carl merengus marah.

“Saya seriuslah ini. Ada nampak muka saya macam main-main ke?” Bersahaja Rania menjawab pertanyaan itu.

Carl geleng kepala. Malas nak layan perangai Rania.

Seorang lelaki menghampiri meja. Dua pinggan berisi burger dengan sos dan mayones yang meleleh di tepinya diletakkan betul-betul di depan mereka.

Rania teguk liur. Tanpa membuang masa, dicapai burger itu lalu segera menyuapnya ke dalam mulut. Ya Allah, tak terkata nikmatnya bila mengunyah burger itu. Tambahan pula perutnya sedang lapar.

“Kenapa tak makan?” soal Rania bila melihat Carl hanya pandang burger di depannya.

Macam orang tak ada perasaan.

Carl menggeleng.

“Alah, makan sajalah. Saya belanja awak ni. Tak baik tau tolak rezeki yang dah ada depan mata.”

“Confirm ke sedap? Kalau sakit perut macam mana?”

“Eh, jangan nak berlagak macam orang kaya sangat boleh tak? Macamlah awak tak biasa makan macam ni sebelum ni.”

Rania jegil biji mata.

Erk! Dia bukan berlagak, tapi dia memang kaya kut. Kalau dia nak, dia boleh borong dengan gerai-gerai burger ini sekali.

Carl teguk liur. Dengan teragak-agak, dia capai burger itu lalu dibawanya ke bibir. Hujung burger digigit perlahan, lalu dikunyah. Rania pandang dia tidak berkelip.

“Sedap tak?” soalnya.

Seketika, Carl mengangguk.

Ya, anggukannya bukan untuk menjaga hati Rania. Tapi, burger yang baru saja melalui tekaknya itu memang benar-benar sedap. Sangat sedap! Kena pula dengan seleranya.

“Ha, kan saya dah kata. Kalau awak cuba, gerenti tak menyesal punya. Silap hari bulan, tiap-tiap hari awak nak makan kat sini.” Rania gelak jahat.

Carl hanya diam sambil menikmati burgernya. Waktu makan dia tidak suka bercakap. Silap hari bulan, boleh tercekik dia nanti.

“Tolong oder satu lagi untuk aku,” pinta Carl tiba-tiba.

Serentak dengan itu, terlepas tawa kecil dari mulut Rania. Dia pandang cebisan burger di tangan lelaki itu. Hampir licin. Mesti sedap sangat ni.

“Ha, dah ketagihlah tu,” usik Rania sambil tersengih.

“Bukanlah. Aku lapar. Hari ni aku langsung tak sempat makan.” Carl menjawab sambil menyapu titisan mayones yang melekat di tepi bibirnya.

“Busynya awak.”

“Baru tahu ke?” Selamba Carl membalas.

“Eleh, mengalahkan CEO pula,” perli Rania dalam sengihan.

Carl buat endah tak endah. Kalau dia berterus terang tentang siapa dia, agak-agak minah ni percaya tak?

“Kau nak pergi mana ni?” soal Carl bila melihat Rania sudah bangun daripada duduknya.

“Nak bayarlah. Kita dah habis makan, kan?”

“Tak apa, aku bayarkan.” Carl menawarkan diri sambil menyeluk poket seluarnya.

“Eh, apa pulak. Saya yang ajak awak temankan tadi, jadi biarlah saya yang bayar.”

“Aku lelaki, jadi biar aku yang bayar. Kau ingat aku pokai sangat ke sampai makan pun nak kena perempuan bayarkan?”

Nada Carl tiba-tiba berubah.

“Err... bukan itu maksud saya.”

Rania sudah mula teragak-agak.

“Dah, duduk. Kalau aku cakap aku bayar, aku yang bayar. Faham?”

Tegas suara Carl ketika itu.

Argh! Jatuh saham dia kalau orang tahu minah ni belanja dia makan. Seumur hidupnya, dia yang keluarkan duit untuk perempuan, bukan sebaliknya.

Rania akur dalam terpaksa. Melihat Carl membayarkan harga tiga biji burger yang dipesan mereka tadi, dia tersenyum dalam diam. Kekwat-kekwat mamat ini pun, dia tak ambil kesempatan macam lelaki lain.

“Thanks belanja saya makan tadi,” ucap Rania perlahan ketika mereka berjalan kaki menuju ke perhentian bas.

Carl sekadar mengangguk.

“Kau balik dengan apa ini?” soalnya kepada Rania.

“Dengan bas. Awak?”

“Aku bawa motor,” jawab Carl kemudiannya.

“Aku balik dulu.”

Mereka berpamitan bila Rania tiba di perhentian bas. Rania memandang dalam sepi sehingga kelibat lelaki itu hilang daripada pandangan matanya.

Sesudah itu, dia tampar pipi beberapa kali. Sakit. Maknanya dia tak mimpilah, kan?

Ya Allah, macam mimpi! Hampir tak percaya dia boleh keluar dengan mamat lif handsome itu. Harap-harap ini bukan pertemuan terakhir mereka.