CEO Depan Mata

BAB 7

  • Art
  • Nor Hasnida

CUTI hujung minggu itu, Rania ambil kesempatan untuk pulang ke kampung. Hajat hati nak ambil skuter kesayangannya yang ada di kampung. Dah tak larat lagi rasanya nak naik teksi atau bas ke tempat kerja.

Pula itu, kalau nak dihitung tambangnya dalam sebulan, mahu kempis dompetnya nanti. Lainlah kalau dah ada skuter nanti.

“Mak, balik KL nanti kakak nak bawak balik skuter itu sekali tau,” kata Rania sambil melabuhkan duduk di sebelah Mak Kiah.

Mak Kiah jeling Rania sekilas lalu.

“Jangan nak mengada. Bahaya tau tak tunggang motor kat bandar besar itu,” katanya perlahan sambil tangannya meraut pelepah daun kelapa untuk dijadikan penyapu lidi.

“Alah, mak. Bahaya apanya. Kakak ada lesenlah. Habis tu, kenapa mak paksa kakak ambil lesen hari tu kalau tak bagi kakak bawak motor?”

Rania mencebik.

“Aku suruh kau bawak motor dalam kampung ni aje. Bukan kat Kuala Lumpur tu. Kau nak mati awal ke apa ni?”

Muka Mak Kiah dah keluar aura marah.

“Mak, setakat bawak motor dalam kampung ni, tak payah ada lesenlah mak. Lagipun, kalau nak mati, dalam rumah sendiri pun boleh mati. Apalah mak ni.”

“Melawan! Aku cakap sepatah, sepuluh kau balas!”

“Mana ada sepatah. Berpuluh-puluh patah mak cakap tadi tau. Kakak kiralah.”

“Isy, aku hempuk jugak budak ni karang.” Mak Kiah dah angkat tangan.

Rania pun apa lagi. Terus melompat turun dari pangkin. Tak ada maknanya dia nak tunggu. Bukan dia tak kenal dengan perangai maknya itu. Kalau dia kata nak buat, memang dia buat betul. Kang tak pasal-pasal benjol kepalanya kena luku nanti.

“Alah, bolehlah mak. Please?” Rania tayang muka minta simpati.

“Gaji kakak bukannya besar sangat pun. Kalau ada skuter, sekurang-kurangnya kakak tak payah nak naik bas atau teksi lagi. Leceh tau naik kenderaan awam ni,” sambung Rania lagi.

Sesaat, terdengar dengusan kasar dari mulut Mak Kiah.

“Mak, kakak janji kakak bawak slow gila. Kakak takkan merempit, kakak takkan langgar lampu merah...”

“Yalah, mak bagi. Tapi, dengan satu syarat,” pintas Mak Kiah kemudiannya.

Rania telan liur. Hah, sudah! Apa pulak syarat yang mak nak bagi ni?

“Kakak kena bawa balik calon suami cepat-cepat untuk mak.”

Mata Rania terbeliak.

“Hah! Mak yang nak kahwin, kenapa kakak yang kena carikan calon pulak? Mak carilah sendiri. Kat kampung kita ni, bukan tak ada duda-duda yang padan dengan mak.”

“Isy, kenapalah bengap sangat kau ni Rania? Maksud mak, calon suami untuk kau. Bawa balik kenalkan dengan mak. Kalau mak yang nak menikah, dah lama mak cari sendiri. Apa, kau ingat mak ni tak laku ke? Kau tak tahu berapa ramai orang dalam kampung ni yang gilakan mak? Sekali mak petik jari, sepuluh yang datang tau. Bukan macam kau tu.”

Berubah muka Rania. Tak sangka akan kena sedas dengan emaknya. Padan muka! Tapi, bab maknya petik jari sepuluh yang datang tu memang dia tak boleh nak hadam.

Kalau yang datang itu semua tua kerepot tak ada gigi, buat apa mak? Belum apa-apa, dah innalillahiwainnailaihirajiun.

“Mak ni, kakak muda lagilah. Bab nikah kahwin ni, nanti-nantilah kita fikir.” Dia membalas kata-kata mak dengan sebuah jelingan tajam.

“Muda apanya? Mak dulu umur macam kau ni dah beranak tau. Kau?” Mak Kiah menyindir lagi.

Rania mendengus. Kena lagi.

“Yalah, yalah. Nanti kakak bawalah balik calon menantu untuk mak.” Rania mengalah akhirnya.

Berlawan cakap dengan mak, bukan dapat apa pun. Mak memang terkenal dengan kepetahannya bila berbicara. Siapa yang berhujah dengan mak, gerenti kalah teruk.

Sayang mak dulu belajar tak tinggi. Kalau tak, sah-sah mak dah jadi peguam hebat.


ISNIN. Dari jauh, Rania ternampak kelibat Carl yang baru turun dari motosikal kuasa tingginya. Dia pun apa lagi, berdesup berlari anak mendapatkan lelaki itu.

“Hai, awak.” Rania sengih nampak gigi.

Carl cabut helmet di kepala. Sambil kuak rambut ke belakang, dia pandang muka Rania.

“Kau buat apa kat sini?” Sinis suara Carl.

“Saya tunggu awaklah.” Rania tayang sengih lagi.

“Buat apa? Kali ni aku tak suruh pun kau tunggu aku.”

Carl pandang sekeliling. Risau kalau-kalau ada yang memerhatikan mereka di situ.

“Memanglah tak suruh. Hari ni saya sukarela nak tunggu awak sebab saya nak bagi ni.”

Rania suakan plastik berisi Tupperware kepada lelaki itu.

Dua hari tak berjumpa, rindu pula dia dengan mamat lif ni. Sebab itu awal-awal pagi tadi dia terfikir nak masak lebih untuk Carl. Kalau ada bekal, dapatlah lelaki itu berjimat nanti.

Kebetulan, masa balik kampung hari itu, mak bekalkannya dengan segala macam sayur-sayur kampung yang ditanam di kawasan rumahnya. Jadi, meriahlah nasi gorengnya dengan segala macam sayur yang ada.

“Apa ni?” Kening Carl berkerut sambil pandang plastik di depannya.

“Nasi goreng. Saya masakkan khas untuk awak.”

“Tak naklah aku,” balas Carl selamba.

“Saya tahu awak segan. Tak apa, ambil saja. Jimat sikit duit belanja makan awak nanti. Lagipun, makanan kat sini semua mahal-mahal. Jadi, saya dah buat keputusan, mulai sekarang, saya akan masakkan awak bekal setiap hari.”

Rania sengih lagi.

“Hei, jangan nak mengada. Aku tak kenal kau dan kau pun tak kenal aku. Jadi, jangan nak pandai-pandai bagi aku bekal semua ni. Aku tak nak.”

“Eh, siapa cakap kita tak kenal? Kan malam tu kita keluar makan sekali. Kira kenallah tu, kan?”

“Malam tu habis kat situ aje okey. Hari ni aku dah tak kenal kau. Kita bawa haluan masing-masing. Faham?”

Keputusan Carl muktamad. Orang luar tak boleh tahu dia keluar dengan stafnya sendiri.

“Berdosa tau awak putuskan silaturahim. Awak nak masuk neraka ke bila mati nanti?”

Rania kerdip mata depan Carl.

Carl terdiam.

“Nah. Tak payah cakap banyak. Ambil saja bekal ni. Nanti waktu lunch awak makan tau.”

Rania capai tangan Carl, lalu plastik bekal itu segera diletakkan di atas tapak tangan lelaki itu.

“Saya pergi dulu. Bye.”

Sesudah itu, dia mengayun langkah meninggalkan Carl sendirian di situ.

Carl jadi terpinga-pinga. Dia pandang lama bekas plastik yang berada di tangannya. Biar betul minah ni. Rajin sangat ke dia sampai sanggup nak bagi aku bekal setiap hari? Ke dia nak bomohkan aku dengan makanan ni semua?

Lama dia berdiri di situ sebelum melangkah ke pintu bangunan. Sebelah tangan memegang plastik makanan, manakala sebelah lagi memegang briefcase. Ni kalau staf yang lain pandang, mesti hairan. CEO bawa bekal. Mana dia nak letak muka?

“Good morning Encik Izz,” sapa pak gad yang berdiri di pintu masuk bangunan itu.

“Morning.” Carl balas acuh tak acuh sambil meneruskan langkah.

Seketika, langkahnya tiba-tiba mati. Kemudian, lambat-lambat dia berpaling menghadap pak gad itu.

“Pak cik dah sarapan?” tanya Carl sebaik mendekati lelaki itu.

“Belum, Encik Izz. Kenapa encik tiba-tiba tanya?” Pak gad itu soal Carl balik.

“Ha, baguslah kalau belum. Ni, ada bekal nasi goreng ekstra untuk pak cik.”

Serta-merta bekas palstik yang berada di tangan Carl dihulurkan kepada lelaki tua di depannya. Daripada membazir, baik bagi pak cik ni, gumam Carl dalam hati.

“Terima kasih Encik Izz.”

Pak gad itu menyambut bekas plastik itu walau dalam masa yang sama dia rasa pelik dengan sikap majikannya itu. Tak pernah-pernah bosnya itu bagi bekal macam ini. Pelik bin ajaib sungguh. Nak bertanya, takut dimarahi pula.

“Saya pergi dulu.” Carl tersenyum sambil meminta izin.

Baru beberapa langkah diatur, tiba-tiba dia berhenti. Diam-diam rasa serba salah menyelubungi diri. Cepat-cepat dia menghampiri pak gad itu semula.

“Eh, pak cik. Tak jadilah saya nak bagi bekal ni. Tiba-tiba saya rasa lapar pula.”

Cepat-cepat Carl capai bekas plastik dari tangan lelaki itu.

“Hah?” Pak gad itu terpinga-pinga.

“Pak cik ambil duit ni dan beli sarapan. Anggap saya ganti untuk bekal ni.”

Serentak dengan itu, Carl hulurkan not bernilai RM100 kepada pak gad itu. Buruk siku betul kau ni Carl. Dah bagi, ambil balik! Carl tepuk dahi sendiri.

“Eh, banyak sangat ni encik.”

“Tak apa. Baki tu pak cik simpan,” balas Carl sebelum beredar meninggalkan pak gad itu.

Bekas plastik pemberian Rania digenggam erat dalam tangannya. Tak sampai hati pula dia nak bagi kepada pak gad itu. Bekal ini untuk dia. Makan atau tidak, bukan Rania tahu pun.