CEO Depan Mata

BAB 10

  • Art
  • Nor Hasnida

“APA mak, ada orang masuk meminang?”

Terbeliak biji mata Rania saat mendengar berita yang baru diterimanya itu. Adoi, siapa pula yang pandai-pandai pergi pinang dia ni? Dalam ramai-ramai anak dara kat kampung itu, kenapa dia juga yang dipilih?

“Mak, kakak tak nak kahwin lagilah. Yang mak pergi terima lamaran orang tu kenapa?” bentak Rania dengan muka berkerut.

“Habis tu, nak tunggu bila lagi? Umur kamu tu bukan makin lama makin muda. Nak jadi andartu?”

Suara Mak Kiah bergema di corong telefon.

“Andartu apa mak ni? Kakak baru nak masuk 23 tahunlah mak. Bukan 32!”

Rania garu kepala yang tidak gatal. Dahlah minggu ini dia serabut dengan lambakan kerja yang Miss Sally kekwat itu bagi. Tup-tup mak pula tambah serabutnya. Boleh migrain ni.

“Eh, mak tak kira. Mak dah terima pinangan anak Pak Cik Leman kamu iu. Kalau kakak tak nak, kakak bagitahulah mereka sendiri.” Mak Kiah menjawab acuh tak acuh.

“Kenapa kakak pula? Kan mak yang terima pinangan tu.”

“Kamu nak mak cakap apa dengan mereka? Hari ni terima, tiba-tiba esok nak minta putus pula,” bebel Mak Kiah mengalahkan mak nenek.

“Alah, mak bagilah apa-apa alasan pun. Hah! Mak bagitahu saja yang kakak dah ada boyfriend.” Rania mengusulkan cadangan.

“Kamu nak ajar mak kamu ni menipu ke kakak?”

“Bukan tipulah mak. Kakak memang betul-betul dah ada boyfriend.”

Dia bagi ayat nak selamatkan diri. Alah, bohong sunat namanya tu.

“Betul ke kamu ni kakak? Lelaki malang mana yang dah sangkut dengan kamu iu?” Mak Kiah sindir dia pedas.

Pergh! Makan dalam ayat mak itu. Ingat anak dara dia ini tak laku agaknya.

“Adalah.”

“Baik. Mak boleh tolak pinangan tu, tapi dengan syarat. Bawa boyfriend kamu tu balik kampung jumpa dengan mak!”

Mak Kiah bagi kata muktamad sebelum talian itu mati.

Gulp! Rania telan air liur berkali-kali, tapi tekaknya tetap terasa kesat. Hah, sudah! Mana dia nak cari boyfriend segera dalam masa terdekat ini?

Padan muka kau Rania. Siapa suruh menipu? Kan sekarang dah tempah bala.

Ya Allah, kalaulah cari teman lelaki ini semudah beli ikan di pasar, dah lama dia kahwin. Tak payah nak tunggu maknya suruh macam sekarang.

Tapi masalahnya, lelaki baik macam arwah ayahnya dah lama pupus dari muka bumi ini. Yang tinggal sekarang, lelaki-lelaki yang hanya tahu mempermainkan perasaan wanita. Contoh terdekat yang dia kenal, Faizal si buaya darat itu.

“Kenapa dengan kamu ni Rania? Sampaikan akak datang pun kamu tak sedar,” tegur Sakinah sebaik menghampirinya.

Rania berpaling, lalu memandang wajah di sebelahnya.

“Saya ada masalah negaralah kak.” Muka Rania kelat.

“Amboi! Sejak bila kamu jadi perdana menteri ni?” seloroh Sakinah sambil berpeluk tubuh.

“Saya serius ni kak.”

“Okey, apa dia? Cuba cerita kat akak.”

“Mak saya baru saja telefon tadi. Dia bagitahu ada orang masuk meminang saya.” Rania memulakan cerita.

“Ha, bagus sangatlah tu. Tahniah Rania. Jadi pengantin barulah kamu tak lama lagi.”

“Isy, masalahnya saya tak suka lelaki tu.”

“Pulak. Jadi?” Sakinah garu pelipis.

“Tadi saya dah terlepas cakap kat mak. Saya minta dia tolak pinangan tu dan saya bagitahu dia saya dah ada boyfriend. Terus mak suruh saya bawak boyfriend saya tu balik kampung kenalkan dengan dia.”

“Hah, apa susah? Ajak sajalah boyfriend kau tu balik kampung.”

“Isy, akak ni. Saya mana ada boyfriend.”

“Alamak! Berat masalah kau ni Rania.” Sakinah mendengus.

“Tahu tak apa.” Rania tarik muncung sedepa.

“Akak ada cadangan. Apa kata kau minta tolong sesiapa menyamar jadi boyfriend kau kejap.”

“Masalahnya siapa?”

“Faizal.” Nama itu melunjur laju dari mulut Sakinah.

“Eii, buaya darat tu. Tak naklah saya.” Rania mencemik.

“Susah-susah, kau mengaku sajalah kat mak kau yang kau bohong dia.”

“Hah, gerenti saya lari tak cukup tanah nanti, kak. Mak saya tu cukup pantang kalau saya tipu dia.”

“Ni yang kau menipu dia pasal boyfriend ni boleh pulak?” Melantun suara Sakinah ketika itu.

Serta-merta Rania menyengih.

“Ha! Apa kata kalau kau ajak mamat lif yang kau cerita dulu tu. Apa nama dia? Carl?”

Ha’ahlah, Carl. Kenapa dia boleh tak terfikir pasal mamat itu pula? Tapi masalahnya, nak ke Carl tolong dia? Kalau pertolongan yang biasa-biasa, dia mungkin tak kisah. Ni mintak tolong menyamar jadi kekasih pula. Silap hari bulan, Carl pandang serong pula nanti.

Alamak! Serabutnya.


TOK. Tok. Tok. Terdengar ketukan di pintu kamar. Serentak dengan itu, Carl memberi arahan untuk masuk.

“Boleh I jumpa you sekejap, Carl?” Suara lunak itu menerobos pendengarannya.

“You nak apa lagi, Farah? Semuanya dah berakhir, kan? Antara kita dah tak ada apa-apa lagi.”

Carl bangun dari kerusinya, lalu melangkah ke jendela.

“Tapi, I masih cintakan you.” Lirih nada Farah.

“Kalau you cintakan I, you takkan buat tindakan bodoh macam malam tu.”

Ya, mereka sudah hampir ditunangkan sebelum Farah menghancurkan semuanya. Peristiwa Farah ditangkap berdua-duaan dengan lelaki lain dalam bilik hotel tempoh hari membuat dia nekad untuk memutuskan hubungan mereka.

Alasan Farah terlalu rapuh untuk dipercayai. Dia bukan dayus. Tiga tahun mereka bersama, semudah itu Farah mencuranginya.

“I tahu I salah. You boleh marah I, hukum I, tapi tolonglah jangan buang I daripada hidup you. I cintakan you dan I tahu you pun masih cintakan I, kan Carl?”

Farah merayu dengan manik-manik jernih berjuraian di pipi gebunya.

“Huh, cinta! Cinta I pada you dah mati masa I tangkap you berdua-duaan dengan jantan tu dalam bilik hotel malam tu, Farah. Cukuplah you bodohkan I selama ni,” herdik Carl sambil berpaling menghadap wajah Farah yang kembali dihujani air mata.

“I diperangkap, Carl. Berapa kali mesti I terangkan pada you?” rintih gadis itu lagi.

“You diperangkap atau you yang terperangkap dengan perasaan you sendiri?” Carl soal balik.

Hah! Tak semudah itu dia akan percayakan kata-kata Farah. Tiga tahun mereka bersama, tapi dalam sekelip mata Farah hancurkan kepercayaannya. Semuanya punah. Hancur perasaannya.

“I minta maaf Carl.”

“Walau beribu kali you minta maaf pada I, takkan mampu mengubah apa yang dah terjadi. Cukuplah Farah. Jangan malukan diri you lagi. Jangan cari I lagi lepas ni.”

Tegas nada Carl ketika itu membuatkan Farah menangis semahu-mahunya di situ.

“Carl...”

“Go Farah... Just go.”

Carl kembali berpaling menghadap jendela sebelum melemparkan pandangannya jauh ke luar.

Farah seka air mata dengan hujung jarinya yang runcing.

“I takkan berputus asa, Carl. I akan dapatkan you balik,” kata Farah sebelum mengayun langkah meninggalkan kamar itu.

Carl merengus. Rambutnya disingkap dengan tapak tangan sebelum satu keluhan berat meniti bibirnya.

“Yanti, masuk sekejap.”

Carl kembali ke meja lalu menekan butang interkom. Tidak lama selepas itu, daun pintu dikuak luas sebelum wajah Yanti muncul di depannya.

“Ya bos?”

“Lepas ni kalau Farah datang sini lagi, tolong jangan bagi dia masuk bilik saya lagi. Faham?”

Keras nada Carl, membuktikan perasaannya yang sedang berserabut.

Yanti angguk tanda akur.