“HAI awak,” tegur Rania ketika terpandangkan Carl yang sedang melangkah menghampirinya.
“Nah, Tupperware kau.” 
Carl suakan bekas Tupperware yang dah kosongi itu kepada Rania. Rania menyambut.
“Macam mana? Sedap tak nasi goreng saya?” soal Rania dengan muka tak sabar nak tunggu jawapan dari mulut Carl.
“Hmm, bolehlah. Biasa-biasa saja.” 
Carl jawab acuh tak acuh. Mana boleh bagitahu nasi goreng dia sedap nak mampus. Naik tocanglah minah ni nanti. 
“Ni, aku nak tanya. Betul ke kau yang masak nasi goreng tu? Ke kau beli kat mak cik tepi jalan?” soal Carl sambil pandang muka polos Rania.
“Eh, tolong sikit. Ini Melissa Rania tau. Tak mainlah beli-beli ni. Saya ni terer masak tau.” Rania dabik dada.
Tengok. Belum apa-apa dah puji diri sendiri. Tu yang malas nak puji masakan dia, rengus hati Carl.
“Pukul berapa nak jumpa aku esok?” Carl buat-buat tanya sambil membelek jam di tangan.
“Jumpa awak? Buat apa jumpa awak?” Rania blur sekejap.
“Kan kau nak bagi bekal kat aku.” 
“Eh, bila pulak saya kata nak bagi bekal kat awak esok?” balas Rania dengan senyuman nakal di bibirnya.
“Kau jangan sampai aku luku kepala kau, Rania. Pagi tadi kau cakap nak masak untuk aku setiap hari, kan? Aku dah pegang kata-kata kau tu. Jangan berani nak tarik balik.” 
Kata-kata Carl berbaur ugutan.
“Eleh, mengaku sajalah awak suka masakan saya sebab saya masak sedap, kan? Kan? Kan?” 
Rania sengih sambil pandang Carl. 
“Perasan betullah kau ni!” Carl membalas dengan muka kerek.
Rania sembunyi senyum di bibir.
“Dah, aku nak balik. Esok pagi jangan lupa bekal aku,” pesan Carl sebelum mendapatkan motosikal kuasa tingginya.
“Awak,” panggil Rania tiba-tiba.
“Apa lagi?” Melantun nada Carl.
“Nak nombor telefon awak boleh?”
“Untuk apa?” Kecil anak mata Carl pandang muka Rania.
“Manalah tahu kut-kut saya nak bagitahu awak apa-apa ke. Saya janji takkan call awak kalau tak ada hal penting,” jelas Rania bila menyedari perubahan pada wajah lelaki itu.
“Huh! Bak sini telefon kau.” Carl hulur tangan.
Rania pun apa lagi. Cepat-cepat dia keluarkan telefon jenama Asus dari beg tangannya.
“Telefon cap ayam apa kau pakai ni? Hei, zaman sekarang orang dah tak pakai tau telefon macam ni.” 
“Isy, jangan kompelin boleh tak? Dah tu saja yang saya mampu.” 
Rania mencemik.
Carl menggeleng sambil memasukkan nombor telefonnya.
“Aku dah save nombor aku. Ingat, jangan call kalau tak ada benda urgent,” pesannya sebelum berlalu dari situ.
Rania sengih sampai ke telinga. Mula-mula dapat nama dia. Sekarang dapat pula nombor telefon. Lepas ini, agak-agak dapat apa pula? 
Dapat hati? Tak mustahil kut.
USAI menunaikan solat isyak, Rania duduk berteleku di atas sejadah. Telefon yang berada di sebelah dicapai. Dia membelek skrin telefon di tangan. 
Matanya mencari-cari nombor telefon yang Carl dah save petang tadi. Okey dah jumpa. Diam-diam dia tersenyum.
Nak call dia ke tak? Tapi, tadi dah janji takkan call melainkan ada hal penting. Okey, call tak boleh, WhatsApp boleh, kan?
Terus aplikasi WhatsApp dibuka. Nampak saja status Carl yang tengah online, hati Rania berbunga-bunga.
Pergh! Handsome giler gambar DP WhatsApp mamat ni. Sengaja nak bagi orang jatuh cinta kat dia ke apa? Lalu, laju jari-jemarinya menaip patah kata.
Hai awak.
Rania tekan butang send. Tak jawab siap kau, mamat lif. Tak nak bagi bekal esok.
Yes! Dah blue tick. Maknanya Carl dah baca mesej dia. Tapi, apasal kat status dia tak ada tulis typing pun. Dia baca saja ke? Tak nak balas?
Hampeh betul mamat lif ni. Boleh dia tak reply mesej. Sombong!
Rania mendengus. Nombor Carl ditekan. 
Trut... trut... trut... Deringan itu bergema di gegendang telinga. Dia menunggu sehingga panggilan itu dijawab.
“Helo?” Suara garau Carl kedengaran di hujung talian.
“Kenapa awak tak reply WhatsApp saya tadi? Sombong sangat, kan?” Rania serbu Carl dengan pertanyaan itu.
“Siapa ni?”
“Sayalah... Rania!” 
“Eh, siapa suruh kau call aku? Tadi, aku cakap jangan call melainkan ada hal penting saja, kan? Tak faham ke?”
“Sebab ada hal pentinglah saya call awak.”
“Okey, apa halnya? Cakap cepat.”
Rania diam. Hah! Sudah. Nak bagi jawapan apa ni? Dia call sebab dia marah Carl tak balas mesejnya tadi. Tu boleh dikira hal penting ke?
“Kenapa tak balas mesej saya tadi?” Soalan itu meluncur laju dari mulut Rania.
“Hah! Itu ke hal yang kononnya penting sangat tu?” Carl merengus di hujung talian.
“Yalah. Penting sebab ia melibatkan perasaan saya. Saya tengah marah ni Carl. Jangan sampai esok pagi saya tak buat bekal kat awak.” 
Rania dah mula mengugut Carl. Tapi masalahnya, berkesan ke ugutannya itu? Rasa macam tak saja.
“Excuse me Cik Melissa Rania. Tak matinya aku kalau tak makan bekal kau tu. Selama ni tak pernah-pernah pun orang bagi aku bekal. Hidup lagi aku sampai sekarang.” 
Carl bersuara penuh yakin.
Tengok? Kan dah kata ugutannya itu tak meninggalkan kesan langsung. Adoi, menyesal pula call dia.
Keadaan sepi. Rania dah tak tahu nak cakap apa lagi. Dia yang salah. Siapa suruh cari pasal. Tak pasal-pasal hati dia juga yang sakit.
“Fine! Saya salah. Okay bye.” 
Baru saja nak matikan talian, suara Carl menerobos gegendang telinganya. 
“Rania.”
Rania terdiam. Argh! Apasal rasa tak sedap hati ni? 
“Aku minta maaf sebab marah kau tadi. Aku tengah stres sikit.” Suara Carl kedengaran lagi.
Rania senyap. Tak tahu nak kata apa.
“Kau buat apa sekarang?”
Hah? Dah kenapa pula Carl tanya dia macam itu? 
“Err...”
“Temankan aku makan burger kat tempat hari tu.” Ajakan Carl buat bibir Rania merekah dengan senyuman.
Hahaha... kan dah kata. Carl mesti ketagih punya dengan burger itu. Dulu bukan main kerek lagi. Takut sakit perutlah. Sekarang, dia juga yang cari.
“Aku jumpa kau kat situ lagi setengah jam.”
Klik. Talian mati.
Rania terpinga-pinga. Eh, dia tak sempat bagi jawapan pun lagi, Carl letak telefon macam itu saja. Dia tak datang nanti, baru padan muka. Kau tunggu sajalah dekat situ sampai subuh esok.
“LAMA tunggu?” sapa Carl sebaik mematikan enjin motosikalnya.
“Baru lagi.” Rania menjawab spontan. 
Padahal dah hampir 15 minit dia terpacak di tepi skuternya ini. Sebaik saja Carl matikan talian tadi, terus dia cabut telekung dan capai kunci skuternya. 
Ameena pun tak perasan dia keluar rumah tadi.
“Saya dah oder burger untuk awak,” terang Rania perlahan sambil menyandarkan tubuhnya di sisi skuter pink kesayangannya.
“Thanks.” Carl ambil tempat di sebelah Rania.
“Aku kacau kau ke malam-malam ni?” Carl soal lagi.
Rania menggeleng perlahan.
“Saya tak ada buat apa pun kat rumah.” 
Alasan klise sangat Rania bagi. Padahal lepas solat tadi dia bercadang nak lipat kain yang dah hampir jadi kubu perang di rumah. Carl punya pasal, terus dia lupa. 
“Awak stres sebab apa tadi? Tak nak kongsi dengan saya ke?” 
Rania memeluk tubuh sambil tenung Carl lama-lama. Memang nampak jelas muka Carl tengah berserabut. Tapi, serabut-serabut dia pun, dia tetap nampak maco di mata Rania.
“Tak apalah, aku boleh uruskan sendiri.”
Gaya Carl jawab macam tak sudi nak berkongsi masalah dengan sesiapa. Rania hanya diam. Tak naklah dia paksa-paksa. Dia bukan sesiapa pun pada lelaki itu. Mereka pun baru saja kenal. 
“Cik, burger siap.” Terdengar laungan itu daripada abang burger.
Rania angguk sambil angkat tangan.
“Tak apa. Biar aku ambil,” kata Carl.
Rania angguk lagi. 
“Nah.” 
Carl suakan sebiji burger kepadanya. Dia menyambut.
“Pasal masalah aku tadi tu, kau janganlah risau. Aku stres sebab masalah kat tempat kerja saja.”
Carl kembali bersuara sambil mengunyah burger dalam mulutnya.
“Kenapa? Banyak sangat ke kerja yang dia orang bagi kat awak?” 
Rania tenung mata Carl dalam-dalam.
“Adalah jugak.”
“Adatlah tu. Kita ni cuma kuli saja. Apa saja arahan dan kerja yang orang atasan bagi, terpaksalah kita ikut, kan? Kang tak pasal-pasal kena pecat pulak.” 
Rania berbasa-basi.
“Tapi, cuba awak bayangkan. Kalau kuli macam kita ni pun dah stres dengan kerja kat pejabat tu, macam manalah agaknya dengan bos kita, kan? Dia mesti lagi banyak kerja daripada kita,” sambungnya lagi.
Kata-kata Rania buat Carl rasa macam nak tercekik. Tak tertelan burger yang melalui kerongkongnya itu. Dia ni perli ke apa? Takkan Rania tahu dia CEO Gamuda Land?
“Eh, nombor aku tadi kau simpan baik-baik tau. Jangan nak bagi kat sesiapa. Kalau tak, siap kau.” 
Carl tiba-tiba ubah topik perbualan.
Muka Rania berubah kelat. Eh, mamat ni. Sekejap OK, sekejap KO. Dah kenapa pula?
“Siapa sangatlah yang nak minta nombor awak tu. Macamlah hot sangat,” sindir Rania pedas.
“Hot tak hot pun kau tetap cari aku, kan?” 
Kena sebiji dia. Hampeh punya Carl. Tapi, Carl memang hot pun. Bab itu memang dia tak mampu nak nafikan. 
“Balik kejap lagi, aku follow kau dari belakang.” Suara Carl memecah keheningan malam yang bertandang.
“Eh, tak payahlah. Saya boleh balik sendirilah,” pintas Rania laju.
“Hoi, cik adik. Dah malam ni tau. Aku yang ajak kau keluar tadi, jadi aku kenalah pastikan kau selamat sampai ke rumah.” 
Tegas nada Carl menampan cuping telinganya.
“Ambil berat jugak awak kat saya, kan?” Rania senyum senget.
“Jangan nak perasan sangat boleh tak? Aku cuma risau tak ada orang bagi bekal kat aku esok. Tak pasal-pasal kopak poket aku nanti.” Carl beralasan.
Alasan itu saja yang dia ada buat masa ini. Sampai bila dia nak guna pun, tak tahulah. Takkan nak kata dia risau nak biarkan Rania balik sorang-sorang kut? Giler teruk minah itu gelakkan dia nanti.
