FOKUS Adam Farhan terganggu tatkala telefonnya berdering tanpa henti. Keluhan kecil terbit dari bibir.
Huh! Kacau sajalah, bentak Adam dalam hati. Hangat hatinya apabila diganggu semasa dia sedang bekerja. Orang dah tak angkat tu tak faham bahasa ke? Huh!
“Meeting kita setakat ni saja. Kalau ada apa-apa pembaharuan, saya akan adakan mesyuarat. Terima kasih. Semua orang boleh bersurai sekarang,” arah Adam tanpa mengangkat kepala.
Dia melihat skrin telefon pintarnya. Berkerut dahinya tatkala melihat nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Ika? Kenapa pula perempuan ni telefon aku?
Dengan malas, dia menjawab panggilan itu.
“Reti pun angkat telefon. Eh, Adam. Kalau you tak boleh jaga anak, cakap sajalah. You sibuk 24 jam sampai anak pun terabai. Bapa jenis apa you ni? Kalau tak reti nak jaga anak, cakap sajalah,” selar Ika sebaik saja Adam menjawab panggilannya.
Letih sudah jemarinya mendail nombor Adam, tapi satu pun tidak diangkat. Mahunya dia tidak bengang. Ingat dia tiada kerja selain menghubungi lelaki itu?
Tolol punya jantan! hamun Ika dalam hati.
“Assalamualaikum. Kau nak apa call aku?” tanya Adam acuh tak acuh.
Bengang benar dia apabila Ika menyebut tentang anak-anak.
“Kenapa you biarkan anak-anak...”
“Wait! Kau cakap pasal anak-anak ni dah kenapa? Anak-anak aku, tahulah aku macam mana nak uruskan,” perli Adam.
Perkataan anak-anak itu ditekankan. Sengaja dia buat begitu. Biar Ika tahu betapa sakitnya dia membesarkan ketiga-tiga anaknya tanpa insan bergelar isteri di sisi.
Huh! Sibuk nak tahu pasal anak-anak. Dulu dia juga yang tinggalkan mereka. Benci betul dengan perempuan plastik macam ni. Sudahlah selalu naik tangan dengan anak-anak.
“Wau! You jangan lupa ya, mereka pun anakanak I. Lahir daripada rahim I. You ingat kalau I tak ada, mereka boleh wujud ke?”
Angkuh kedengaran nada suara Ika.
Adam cuba menanam sabar yang kian menipis. Semakin lama, semakin dia tertekan dengan sikap psiko Ika. Jujurnya saat Ika masih bergelar isterinya lagi, dia perasan isterinya sering murung, mudah naik angin hingga kadang-kadang cuba untuk mencederakan dirinya sendiri.
Kini dia merasakan sifat psiko Ika kian menjadijadi. Dia juga pasti bahawa Ika sebenarnya mengalami kecelaruan personaliti.
“Oh! Sedar rupanya kau. Ingatkan kau dah lupa daratan. Dengar sini ya Ika...”
Pantas Ika mencaras kata-kata Adam.
“Sebelum you membebel, lebih baik you balik sekarang. Atau you akan menyesal seumur hidup. Sebab I sekarang ni dekat ‘rumah kita’, sayang. I nak ambil hak I semula!” tutur Ika lantas ketawa mengilai-ilai.
Adam tersentak. Dia tergamam setelah mendengar perkataan ‘rumah kita’ yang disebut Ika tadi.
“You jangan macam-macam ya!” tegas Adam.
“Kalau you nak tahu sejauh mana keberanian I, balik sekarang. I akan pastikan you menyesal bila anakanak kesayangan you tak ada bila you balik nanti,” ugut Ika sambil tersenyum sinis.
Adam menamatkan panggilan. Dengan tergesagesa dia melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu. Saat melalui meja setiausahanya, Hanan, dia menghentikan langkahnya.
“Hanan, saya nak awak batalkan semua janji temu saya hari ni. Saya ada hal.”
Hanan menggaru kepala yang tidak gatal dengan muka terkejut.
ADAM terkocoh-kocoh keluar dari perut kereta tatkala melihat adegan tarik-menarik antara bekas mentua dan juga anak-anak kesayangannya. Mujur dia sempat sampai. Kalau tidak, entah apalah yang akan jadi.
Hari ini anak-anaknya demam serentak. Kerana itulah dia tidak menghantar mereka ke sekolah.
“Balik juga you, kan? Ingatkan tak sayang anak,” sindir Ika sinis, seraya menjeling Adam.
Adam menjeling riak lesu yang terpeta di wajah Airisya, Adib dan Airin. Kasihan anak-anak papa. Disebabkan mama kamu gila meroyan, tak pasal-pasal rehat kamu semua terganggu.
Haih! Nak harapkan pembantu rumah pun tak guna. Semuanya dah lari. Hampeh!
“Apa kes ni?” tanya Adam berang.
Airisya, Adib dan Airin pantas berlari mendapatkan Adam. Sungguh mereka tidak mahu tinggal bersama-sama nenek mereka. Adam memeluk erat anak-anaknya.
Puan Sri Kirana cuba menarik tangan Airin yang sedang memeluk tubuh abangnya, Adib. Adam pantas menghalang tingkah bekas mentuanya.
“Mummy please. Jangan paksa Airin!” Adam bersuara tegas.
Puan Sri Kirana merengus. Hatinya sakit mendengar tutur kata Adam. Dia mencuit lengan Ika. Ika hanya menjongket bahu.
“Marilah masuk dulu. Tak elok jiran tetangga tengok kita bergaduh di sini,” ujar Adam seraya menarik tangan anak-anaknya agar masuk.
Ika menghentakkan kaki. Tidak suka melihat kesombongan Adam. Meluat!