Jodohku Babysitter

BAB 2

  • Art
  • Nureen Ahmad

ADAM mengeluh buat ke sekian kalinya. Dia merenung tajam wajah tanpa riak insan-insan di hadapannya. Wajahnya diraup kasar. Kepala digelengkan beberapa kali. Hatinya membara saat matanya terpandangkan wajah tidak bersalah Ika.

Hatinya menyumpah seranah Ika.

“Kau dengar tidak ni Adam?” bentak Puan Sri Kirana.

Geram melihat Adam yang hanya berdiam diri sedari tadi.

“Dengar,” balas Adam sepatah.

“Mummy dan Ika mahukan hak penjagaan anakanak...”

Pantas Adam mencaras sebelum sempat Puan Sri Kirana menghabiskan bicara.

“No! Mereka anak-anak saya dan tidak akan sesekali saya benarkan orang lain merampas hak penjagaan mereka. Walaupun orang itu nenek mereka sendiri,” tegas Adam untuk ke sekian kalinya.

Wajahnya serius tanpa senyuman.

Puan Sri Kirana tersenyum sinis mendengar kata-kata bekas menantunya itu. Huh! Tamak. Sudah bercerai pun masih mahu berlagak dengannya.

Haih! Sungguh dia tidak berkenan dengan sikap Adam. Jaki benar dia dengan sikap bodoh sombong lelaki itu.

“You kena ingat, mereka juga anak-anak I. I yang lahirkan mereka!” hambur Ika berang.

“What? Anak kau? Huh! Selama ni tak ada pula kau nak mengaku mereka tu anak kau. Selama ni, aku yang selalu ada dengan mereka. Aku yang jaga mereka. Kau buat apa masa tu? Sibuk dengan hiburan sana-sini. Sibuk berkepit...”

“Eh! You jangan nak sebar fitnah ya!” Cepat saja Ika mencaras kata-kata Adam.

Sebolehnya Ika tidak mahu mummynya tahu punca sebenar perceraian mereka. Kerana selama ini dia telah mengkhabarkan kepada Puan Sri Kirana bahawa Adam telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Dia juga mengatakan Adam seorang lelaki yang dayus. Sentiasa naik tangan ke wajahnya. Walhal Adam adalah sebaik-baik lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya. Hanya kerana bosan, dia berpeleseran mencari hiburan di luar. Hingga terlanjur dengan sahabat karib Adam sendiri.

Itulah yang menjadi punca sebenar perceraian mereka. Semuanya kerana dia.

Argh! Itu juga salah Adam. Langsung tak romantik. Adam sentiasa lebihkan kerja! Ika masih tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.

“Hei, Adam. Dengar sini. Kau tu boleh kahwin lain. Dan boleh buat anak seramai mana kau nak. Mummy ni cuma mahu jaga cucu mummy. Lagipun si Ika ni dah banyak kali gugur. Kau tak kasihankan dia ke?” pujuk Puan Sri Kirana, cuba melembutkan nada suaranya.

Setelah habis idah, Ika mengambil keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang dicintainya sepenuh hati, Amri. Saat bulan kedua perkahwinannya, Ika disahkan hamil. Alangkah gembira hatinya pada ketika itu.

Namun, tidak bagi Amri. Amri mendesak agar dia menggugurkan kandungan tersebut atas alasan tidak bersedia untuk menimang cahaya mata. Dek kerana sayangkan suaminya, dia ikutkan saja biarpun dia terlalu inginkan anak bersama Amri. Hal ini langsung tidak diketahui oleh Puan Sri Kirana. Sangka mummynya, dia keguguran.

“No! Adam langsung tak kasihan dekat Ika. Mungkin ini semua balasan atas khilaf dia terhadap Adam dulu. Sekarang, hadaplah dengan menanggung semua dosa tu,” ujar Adam sinis.

“Huh! Tak payah persoalkan tentang dosa dan khilaflah Adam. Kau ingat mummy tak tahu perangai sebenar kau? Ika bercerai dengan kau sebab kau tu kaki pukul.”

Adam tersenyum penuh makna. Segala katakata bekas mentuanya tidak sedikit pun menjadi kudis kepada dirinya. Sudah lali mungkin.

“Kau dengar ke tidak apa yang mummy cakap?”

Berang Puan Sri Kirana tatkala melihat Adam tersenyum.

“Dengar.”

“Ingatkan pekak tadi! Serahkan saja anak-anak pada mummy. Biar mummy jaga. Atau sekurang-kurangnya bagi mummy jaga Adib. Mummy mahu dia mewarisi segala harta kekayaan mummy.”

“Tulang empat kerat Adam ni masih berfungsi. Selagi mana Adam masih mampu, Adam akan jaga mereka. Lagipun maaf cakaplah ya. Adam rasa mummy takkan mampu jaga mereka sebaik Adam. Dengan sikap mummy yang begini, tak mungkin Adam akan serahkan mereka. Takut nanti anak-anak akan terbiar dan terikutkan sikap mama mereka,” selar Adam pedas.

“Dan lagi satu. Tak perlu kut segala harta mummy tu. Adam tak hadap pun. Sebab semua harta-harta tu tak boleh dibawa mati. Hidup sederhana pun sudah memadai bagi kami.”

Bam!

Adam tergamam apabila Puan Sri Kirana menghempas kuat tas tangannya ke meja. Pantas dia merenung tepat ke anak mata Puan Sri Kirana. Tiada langsung riak gentar tatkala membalas pandangan itu.

Apabila matanya berbalas pandang dengan sepasang mata Ika, hatinya kembali menggelegak.

“Mummy tetap mahukan cucu-cucu mummy di bawah jagaan mummy! Kalau kau rasa kau dah cukup layak buat mereka, kau silap, Adam. Mummy akan rampas mereka!”

“Tak mahu! Kami tak mahu duduk dengan nenek. Kami mahu papa saja,” ujar Airisya yang semenjak tadi mencuri dengar perbualan papa, mama dan neneknya.

Selepas itu dia berlari menaiki anak tangga. Ke biliknya di tingkat atas.

Adam hanya memerhatikan tingkah Airisya itu.

“Itu ke didikan terbaik kau untuk mereka? Sungguh biadab!” Selamba saja Puan Sri Kirana berkata.

Adam menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan.

“Mereka hanya kurang ajar bila ada orang kurang adab dengan papa mereka,” bidas Adam sedas.

Merah padam wajah Puan Sri Kirana mendengar kata-kata Adam itu.

“No wonderlah! Like father, like son. Sama-sama biadab!”

Sinis Ika sambil menjeling Adam dengan tajam.

Adam ketawa buat-buat. Sungguh plastik sikap wanita itu. Entah apa lagilah yang ‘digorengnya’ kepada Puan Sri Kirana hingga wanita itu begitu mempercayai segala kata-kata anak tunggalnya itu.

Ika, Ika... Kenapalah kau boleh berubah hingga begini? Sanggup kau memburuk-burukkan aku untuk melepaskan diri. Kau fitnah aku. Kaki pukul? Dayus? Huh! Adam mendesis dalam hati.

“Kau tengah bercakap dengan cermin ke? Sebab apa yang kau cakap tu, semua perangai kau. Kau yang kurang ajar, bukan aku. Aku terima kau dan mummy sebagai tetamu pun dah cukup baik. Kalau dah tak ada perkara penting nak bincang, kau boleh balik.

“Dan ingat ya Ika... Anak-anak aku, hak penjagaan mereka di bawah tanggungjawab aku untuk selama-lamanya. Takkan sesekali aku benarkan kau mahupun mummy rampas mereka daripada aku.”

Tegas kedengaran suara Adam.

Puan Sri Kirana yang mendengarnya mula panas hati. Lalu dengan pantas dia menarik tangan Ika.

“Mummy takkan berdiam diri!”

Adam menghantar kelibat kedua-dua wanita itu dengan pandangan kosong. Dia meraup wajahnya berulang kali. Tubuh disandarkan pada sofa. Terasa letih berperang mulut dengan bekas mentuanya itu.

Adam menoleh ke belakang tatkala lehernya dipeluk erat. Spontan dia mengucup lembut ubunubun Airisya, anak sulungnya yang tiba-tiba saja muncul semula.

“Kakak tak suka dengan sikap nenek. Kenapa nenek nak berkasar dengan papa?” soal anak kecil berusia 10 tahun itu.

Dengan pantas Adam menarik tangan Airisya. Tubuh kecil itu diletakkan di atas ribanya. Segera dia mengucup pipi Airisya untuk menenangkan hati gadis kecil itu.

“Sayang, nenek jadi macam tu sebab nenek sayangkan kakak dan adik-adik. Nenek tak bermaksud nak berkasar dengan papa,” pujuk Adam dengan lembut.

Airisya memeluk erat tubuh papanya.

“Kakak sayang papa. Kakak tak mahu duduk dengan nenek. Duduk dengan papa best. Duduk dengan nenek tak best. Nenek garang.”

Adam ketawa mendengar kata-kata terakhir Airisya. Ada-ada saja kerenah anaknya yang mencuit hati.

Sungguh dia tidak mengerti mengapa Ika tergamak meninggalkan anak-anak secomel ini. Ya Allah, tabahkan hatiku untuk membesarkan ketiga-tiga permata hatiku, doa Adam dalam hati.


ADAM melepaskan keluhan berat. Kepala yang berpusing dipicit perlahan. Jauh dia termenung mengenangkan nasib diri.

Andai saja Allah menjemputnya, bagaimana pula dengan nasib anak-anaknya? Siapakah yang akan menjaga putera dan puteri-puterinya itu? Takkanlah selamanya dia hendak bergantung kepada ibunya? Haih! Makin difikir, makin kusut pula kepalanya. “Papa!”

Bubar segala lamunan Adam tatkala mendengar jeritan anak bongsunya. Pantas dia menoleh ke belakang.

“Kenapa sayang?” soal Adam lembut. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman.

“Adik laparlah,” rengek Airin lantas buat muka kesian.

“Alahai, kasihan anak papa. Sayang nak makan apa? Papa masakkan,” pujuk Adam sambil tersenyum manis.

“Masakkan nasi goreng paling sedap. Nak telur mata ya pa,” pinta si kecil itu.

“Anak papa ni demand ya. Baiklah sayang, papa masakkan untuk adik, kakak dan abang. Sekarang, sayang pergi tengok TV dulu ya. Papa nak sediakan bahan dulu.”

Airin mengangguk, akur akan arahan papanya.

Adam cuma tersenyum melihat telatah Airin. Telatah dan kenakalan anak-anaknya membuatkan dia kuat untuk terus melangkah.

Sungguh dia tidak habis fikir. Mengapakah Ika tegar meninggalkannya dan anak-anak mereka?

Dia tahu mungkin perkara itu berpunca daripadanya juga. Terlalu sibuk menguruskan syarikat hingga mengabaikan isterinya itu. Tapi...

Haih! Entahlah. Bila difikirkan, terasa serik untuk dia berumah tangga lagi. Bimbang pisang berbuah dua kali.


ADEL mengetuk kuat meja majikannya. Ops! Bekas majikan.

Panas hati betul. Kali ini masuk kali ketiga dia dibuang kerja. Semuanya gara-gara berkasar dengan pelanggan. Salah ke apa yang dia buat?

Dia cuma membetulkan tanggapan mereka saja. Tahulah penampilannya tak serupa perempuan, tapi haih! Aku ni perempuan, okey! Asli dan tulen lagi.

“Opocot mak kau!” latah mamat sotong di hadapan Adel.

“You nak apa lagi ni? I dah buang you tahu? I tak perlukan pekerja biadab macam you. Sana, sana. Syuhhh! Syuhhh!” halau mamat sotong itu.

Adel menahan senyum apabila mendengar suara kepit Sally. Elok-elok mak ayah bagi nama Salleh, tukar jadi Sally. Haih! Dunia, dunia. Macam-macam hal.

“Kau ingat aku ni anak ayam ke nak halau-halau macam tu?” bentak Adel geram.
Kecil besar, kecil besar saja dia lihat Sally.

“Urusan kita dah selesai. You pergilah balik,” halau Sally dengan suara kepitnya.