ADAM mencari-cari telefon bimbitnya di bawah timbunan fail di atas meja. Sudah beberapa kali dia mendengar telefonnya berdering. Hatinya berdetak dengan rasa tidak enak.
Selepas beberapa minit mencari, barulah dia menemuinya. Adam mengerut dahi tatkala melihat beberapa panggilan daripada ibunya. Tanpa membuang masa, Adam terus menekan nombor ibunya.
“Assalamualaikum. Ha, kamu ke mana Adam? Naik lenguh jari mak tekan nombor telefon kamu. Tapi, satu panggilan pun kamu tak angkat. Kamu ni memang sengaja nak naikkan darah mak ya? Isy! Geram betullah,” omel Puan Halijah seraya mendengus kasar.
“Waalaikumussalam. Maaflah mak. Adam sibuk sikit hari ni. Banyak sangat kerja nak buat. Err... kenapa mak telefon? Anak-anak kesayangan Adam sakit ke?” tanya Adam cemas.
“Tak adalah Adam. Mereka baik-baik aje. Tengoklah siapa yang jaga,” seloroh Puan Halijah lantas ketawa di hujung katanya.
Adam memutarkan bebola matanya ke atas.
“Mak ni riak pula,” perli Adam selamba.
“Eh! Kenyataan tahu... Ni, sebenarnya mak ada perkara penting nak cakap...”
“Pasal apa?”
Pantas Adam mencaras kata-kata ibunya.
“Eh, kamu ni banyak sangat telan semut. Dah lupa ke? Bukan mak ada beritahu kamu yang mak nak ke Mekah?”
Puan Halijah mengingatkan anaknya yang mungkin telah lupa akan niat sucinya itu.
“Allah! Adam lupalah mak. Err... Bila mak nak ke Mekah?” tanya Adam lemah.
“Lagi dua minggu. Kamu kenalah cari orang untuk jaga anak-anak kamu ni. Bukannya sekejap mak di Mekah tu,” tutur Puan Halijah dengan lembut.
“Adam lupa betul mak. Masya-Allah, siapa nak jaga anak-anak Adam bila mak kat sana nanti?”
Adam menyoal perlahan. Hatinya resah memikirkan anak-anaknya.
“Kamu carilah pembantu rumah ke, pengasuh ke. Yang penting, orang yang penyayang. Tak adalah nanti dideranya cucu-cucu mak tu nanti,” usul Puan Halijah.
“Insya-Allah, mak. Err... jadi, mak nak buat kenduri doa selamat bila?” tanya Adam lagi.
“Seminggu sebelum mak pergilah,” tutur Puan Halijah dengan lembut.
“Okey,” jawab Adam sepatah.
Suaranya kedengaran lemah saja.
“Kamu kena lekas-lekas cari orang untuk jaga anak-anak kamu ni Adam. Okeylah, mak letak dulu. Airin ni merengek nak makan bubur ayam. Assalamualaikum.”
Adam memutuskan talian setelah menjawab salam. Dia memicit pelipisnya. Kepalanya berserabut memikirkan siapa yang akan menjaga anak-anaknya pada saat ibunya mengerjakan ibadah haji.
Adam berjalan menuju ke mejanya. Interkom ditekan, lalu dia memanggil Hanan masuk ke bilik.
“Masuk,” arah Adam dari dalam apabila Hanan mengetuk pintu pejabatnya.
“Ada apa bos?” soal Hanan sambil membuka buku mini yang dijadikan buku nota untuk mencatit segala pesanan majikannya.
“Tolong telefon mana-mana agensi untuk dapatkan pembantu rumah. Kalau boleh, secepat yang mungkin,” ujar Adam tanpa perasaan.
“Err... bos perlukan pembantu rumah? Mak Jah nak ke mana bos?” tanya Hanan sedikit teragak-agak.
“Mak saya akan menunaikan haji. Awak boleh keluar sekarang,” arah Adam sambil memejamkan matanya.
Hanan jongket bahu. Dia terus berlalu meninggalkan bilik pejabat majikannya.
ADAM mengeluh berat. Terasa tidak tegar hatinya untuk meninggalkan anak-anaknya di saat dia sedang bekerja. Namun, dia tidak mempunyai pilihan lain. Lagi pula ini semua demi kebaikan anak-anaknya juga.
Mengingatkan ibunya yang sedang berada di Mekah, Adam melepaskan keluhan kecil.
“Morning papa. Papa, boleh tak kalau hari ni papa tak kerja? Kakak rasa nak demamlah,” rengek Airisya.
Alahai kakak. Ni yang melemahkan semangat papa ni. Alah, Adam... Tak payah masuklah. Lagipun syarikat tu syarikat kau jugak kan? Anak tak sihat kut. Lainlah kalau ada orang yang boleh tolong jagakan anak kau ni. Hatinya berperang sesama sendiri.
“Papa kena kerja, sayang. Papa banyak kerja di pejabat.”
Sengaja Adam mengusik anaknya itu.
Airisya sudah menarik muncung sambil memeluk tubuh.
Adam tahu anaknya itu sedang merajuk dengannya. Adam menahan senyum daripada terukir di bibir. Comelnyalah anak aku ni. Dengan kadar segera Adam memeluk tubuh Airisya. Pantas dia mengucup lembut ubun-ubun anaknya.
“Papa dah tak sayang kakak. Papa lebih pentingkan kerja. Papa jahat!”
Airisya meronta dalam pelukannya.
Adam menggeleng kepala. Ini baru perangai kakak. Belum masuk perangai abang dan adik lagi. Haih! Pening kepala hendak melayan kerenah ketigatiga anaknya itu.
Adam memangku tubuh si anak lantas diletak di atas ribanya. Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kopi dicapai. Dia mendail nombor telefon Hanan.
“Assalamualaikum Encik Adam,” sapa Hanan terlebih dahulu.
“Waalaikumussalam Hanan. Saya nak tahu hari ni saya ada sebarang appointment penting ke?”
“Err... hari ni Encik Adam ada appointment dengan Puan Kamala dari syarikat AZ Permata Holding. Selepas tu, appointment dengan Dato’ Razali berkenaan projek kita yang terbengkalai di Sarawak. Sebelah petang pula, Dato’ Raymond ajak Encik Adam main golf di Royal Selangor Golf Club. Lepas tu baru Encik Adam free. Kenapa Encik Adam? Encik Adam ada apa-apa nak pesan ke?”
Ya Allah, banyaknya appointment. Adam jeda sejenak. Setelah menghembus nafas, dia menyambung kembali kata-katanya.
“Tak apalah, awak tolong tunda appointment tu ke hari lain. Hari ni saya tak masuk kerja. Anak saya demam. Dan, awak tolong buat satu iklan.”
Hanan sibuk mencatat sesuatu di buku notanya. Sesekali dia mengganggukkan kepala. Sesekali pula dahinya berkerut seribu, cuba memahami kata-kata majikannya.
“Err... pembantu rumah yang saya cari tu macam mana?”
Takut-takut Hanan bertanya.
Syanti, itulah nama pembantu rumah yang dia dapatkan untuk Adam daripada sebuah agensi pembantu rumah yang digaji mengikut jam.
Dia tak tahu sangat pun pasal agensi tersebut, tapi disebabkan bosnya itu dah terdesak sangat, nak pembantu rumah cepat-cepat, jadi dia ikutkan saja cadangan agensi agar menggajikan Syanti. Lepas itu dia tak tahu apa sudah jadi.
Tapi, kalau dengan tiba-tiba Adam nak iklankan jawatan untuk pengasuh, bukankah itu bermakna Syanti sudah tidak lagi bekerja untuk Adam?
“Saya dah berhentikan Syanti.”
“What? Tapi, kenapa?” tanya Hanan, kaget mendengar berita itu.
“Syanti tu... tak tahulah saya nak marah atau suka. Cuba awak bayangkan, anak-anak saya balik sekolah dalam keadaan lapar. Boleh dia buat tak tahu saja. Dia langsung tak buat kerja. And the best part is, dia tengking anak saya. Sungguh saya tak boleh terima,” ujar Adam sambil mengelus lembut pipi Airisya.
“Oh, maafkan saya Encik Adam. Saya betulbetul minta maaf. Err... jadi, bila Encik Adam perlukan babysitter ni?”
“It’s okay Hanan. Bukan salah awak pun. Saya yang gesa awak nak cepat. Tentang babysitter tu... as soon as possible. Saya tak tahu mana lagi nak cari orang untuk jaga anak-anak saya ni. Awak tahu kan mak saya masih di Mekah, jadi saya bimbang untuk tinggalkan mereka semasa saya bekerja. Lagipun, bekas ibu mentua saya pasti takkan berdiam diri selagi hak penjagaan anak-anak tidak jatuh ke tangan mereka.”
“Baiklah, Encik Adam. Err... Encik Adam tak selesai lagi urusan penjagaan dengan bekas mentua encik?” soal Hanan prihatin.
Sememangnya Hanan merupakan pekerja yang sangat dipercayai Adam. Jadi, tidak hairanlah andainya Hanan mengetahui serba sedikit mengenai masalah Adam.
Adam melepaskan keluhan berat. Airisya melentokkan kepala di dada bidang papanya. Dia memeluk erat tubuh papanya. Adam melorek senyum buat si anak.
“Belum lagi Hanan. Saya pun tak tahulah sampai bila mereka nak bawa kes ni ke mahkamah. Sedangkan mahkamah dah putuskan hak penjagaan. Saya yang lebih berhak. Tapi, mereka masih tak puas hati.”
Hanan terdiam mendengar luahan hati majikannya. Dia tahu betapa majikannya itu sangat menyayangi anak-anaknya. Biarpun Adam susah, namun dia tidak akan sesekali membiarkan anakanaknya kelaparan.
“Oh ya... Hanan, kalau boleh saya cuma mahukan babysitter rakyat Malaysia. Saya dah serik dan tak mahu lagi pengasuh dari seberang jaga anak saya. Awak tolonglah highlight agar jelas syarat-syaratnya,” tegas Adam sebelum menamatkan panggilan.
“Kakak dah makan ubat?”
Airisya menggeleng lemah. Adam mengusap lembut wajah anak sulungnya itu.
“Mana abang dengan adik? Tidur lagi ke?” soal Adam lagi.
“Ha’ah. Tadi kakak dah kejut, tapi-adik-adik liat nak bangun. Jadi, kakak tinggallah sekejap. Kakak nak pujuk papa jangan pergi kerja.”
Mendengarkan kata-kata Airisya, hati Adam sedikit terhiris. Tidak cukup baikkah jagaannya sehingga anaknya ini ditimpa sakit?
Airisya mendongak, merenung wajah papanya. Dia menghadiahkan ciuman di pipi si ayah. Adam turut mengucup pipi anaknya.
“Pa... uhuk... uhuk. Papa tak jadi pergi kerja, kan?”
Adam menggangguk perlahan.
Airisya tersenyum seraya mengeratkan lagi pelukannya. Adam membelai lembut rambut si anak.
“Papa, boleh tak bawa kakak pergi klinik?”
Adam meleraikan pelukan. Lantas Airisya diangkat daripada ribaannya.
“Kakak pergi kejutkan abang dengan adik dulu. Lepas tu pergi mandi. Lepas hantar abang dan adik ke sekolah, baru kita pergi klinik. Okey sayang?”
“Okey,” jawab Airisya sepatah.
Adam ketawa bahagia melihatkan wajah si anak. Sering kali dia ditanya, tidak mahukah dia mencari pengganti ibu buat anak-anaknya.
Entahlah. Baginya, cukuplah kehidupan mereka berempat sahaja. Bahagia juga.