ADEL menguatkan volume mp3nya. Setelah penat joging, dia duduk untuk melepaskan lelah seketika.
Sedang asyik memandang keindahan ciptaan Tuhan, tiba-tiba matanya terpaku kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di gigi air.
Masya-Allah, comelnya budak-budak tu. Isy! Kalaulah jadi anak-anak aku ni, bahagianya rasa. Anakanak comel, mak dia pun comel juga. Hahaha...
Kau ni kan Adel, suka berangan. Adeh!
Adel menapak langkah ke arah kanak-kanak itu. Sempat dia membeli tiga batang aiskrim untuk mereka. Saat kakinya menghampiri kanak-kanak tersebut, dia mengukir senyuman semanis mungkin.
“Hai, adik-adik comel. Sini sayang. Aku... eh! Kakak nak belanja adik-adik aiskrim ni. Mari sini sayang.”
Adel menggamit tiga orang kanak-kanak comel itu. Serentak mereka menggeleng kepala, membuat muka hairan.
“Aku, eh! Maaf... Kakak tak ada niat jahatlah sayang. Kakak cuma nak berkawan dengan adik-adik semua aje. Kasihan kakak. Tak ada siapa nak kawan dengan kakak,” ujar Adel sambil tayang memek memohon simpati.
Airisya dan Adib kelihatan teragak-agak. Mereka berpandangan sesama sendiri. Airin menapak selangkah mendekati Adel. Airisya gigit bibir.
“Adik, sini. Papa dah pesan kan jangan tegur orang yang kita tak kenal.”
Tegas suara gadis kecil berumur 10 tahun itu.
“Siapa nama adik?” tanya Adel lembut.
Dia melutut untuk menyamakan kedudukannya dengan si kecil itu.
“Airin. Siapa nama kakak? Kenapa kakak pakai seluar koyak-koyak ni? Kakak tak ada seluar lain ke? Kasihan kakak.”
Adel ketawa mengekek mendengar pertanyaan demi pertanyaan si kecil bernama Airin itu.
“Sedap nama adik. Nah, aiskrim untuk adik. Nama kakak, Adel. Panggil aje Kak Adel. Seluar ni memang jenis koyak-koyak macam ni sayang. Trend.”
Adel melambai dua orang kanak-kanak yang berdiri statik, tidak jauh daripadanya.
“Sinilah sayang. Kak Adel bukan orang jahat. Kak Adel nak berkawan dengan adik-adik aje. Marilah. Cepat. Cair aiskrim ni nanti, rugi.”
Adel terus memancing kanak-kanak itu. Setelah beberapa saat, Adel tersenyum apabila kanak-kanak tersebut menghampirinya.
“Kita duduk dekat bawah pokok sana tu. Dekat sini panas. Nanti kulit adik-adik cepat terbakar. Kalau dah jadi hitam nanti tak comel dah,” usik Adel lantas tersenyum.
Airisya, Adib dan Airin menganggukkan kepala sambil menikmati aiskrim masing-masing. Entah mengapa Adel merasa bahagia bersama kanak-kanak ini.
“Siapa nama kamu?” soal Adel sambil menuding jari kepada Adib dan Airisya.
“Nama kakak Airisya. Ni abang, Adib,” ujar Airisya sambil mengesat sisa aiskrim yang melekat di mulutnya.
Adel dengan pantas mengesat mulut Airisya dengan sapu tangan miliknya. Airisya tersenyum sebagai tanda terima kasih.
“Siapa nama kakak rock kapak?” tanya Adib tibatiba.
Adel membuntangkan mata mendengar soalan Adib. Dia panggil aku kakak rock kapak? Kenapalah adik ni comel sangat? Kalaulah jadi anak aku, alangkah bahagianya hidup.
Eh! Adel, kau ni tak sudah-sudah berangan. Kau ingat ada ke orang yang sudi nak buat kau jadi bini? Adui!
“Adelia Faranisa. Panggil aje Kak Adel. Kamu ni nakal ya Adib,” ujar Adel sambil mengucup mesra pipi Adib.
Adib tersengih lebar kepada Adel.
“Kak Adel seorang aje ke?” tanya Airisya yang duduk di sisi Adib.
“Ya sayang. Tak ada siapa yang sudi nak berkawan dengan Kak Adel,” ujar Adel sambil buat memek muka sedih.
Airin menggenggam mesra tangan Adel. Dia mengukirkan senyuman manis buat Adel. Adel turut membalas senyuman itu.
“Kak Adel, marilah ikut kami. Boleh kenal-kenal dengan Nek Jah dan papa,” pelawa Adib sambil menarik tangan Adel.
“Eh! Tak apalah sayang. Lagipun Kak Adel seganlah. Kak Adel pakai macam ni. Nanti apa kata papa dan nenek pula, kan? Tak apa. Kalau ada jodoh dan umur panjang, kita akan jumpa lagi,” ujar Adel sambil tersengih lebar.
“Alah... Bila kita boleh jumpa lagi?”
Serentak Airisya, Adib dan Airin bertanya.
Adel tergamam. Lidahnya kelu untuk membalas pertanyaan itu.
“Insya-Allah, macam Kak Adel kata tadi, ada jodoh, umur panjang, kita akan jumpa lagi. Airisya, Adib dan Airin pergilah kepada nenek. Nanti risau pula nenek tengok kau orang hilang. Dahlah comel, kena culik nanti naya aje,” tutur Adel sambil menepuk seluar yang diselaputi pasir pantai.
“Airisya, jaga adik-adik ya sayang,” pesan Adel persis seorang ibu.
“Baik, Kak Adel,” ucap Airisya.
“Cepat pergi dekat nenek.”
Airisya mengangguk sambil menarik tangan adik-adiknya.
Adel menghantar kelibat Airisya, Adib dan Airin hingga hilang daripada pandangan. Setelah memastikan kanak-kanak itu selamat berada bersama nenek mereka, dia terus berlalu dari situ bersama senyuman yang mekar di bibir.
ADAM mengerut dahi hairan. Kelibat ketiga-tiga anaknya dicari ke serata tempat. Rasanya baru sekejap saja dia mengelamun. Tetapi sekarang, anaknya menghilang entah ke mana. Tidak diketahuinya.
Panik! Itu yang dia rasakan kini.
Puas Adam mencari, namun figura anak-anaknya tidak kelihatan di mana-mana. Pantas dia berlari ke gigi air. Mencari kelibat ketiga-tiga anaknya. Setelah penat mencari, dia kembali mendapatkan emaknya yamg sedang duduk di bawah pondok.
“Ha, kamu kenapa Adam? Sampai berpeluhpeluh mak tengok. Kamu buat exercise ke?” tegur Puan Halijah saat terlihat wajah si anak.
Tercungap-cungap nafas Adam dek kerana berlari pantas. Jantungnya seakan ingin tercabut keluar kerana risaukan anak-anaknya.
“Yalah, Adam cari budak bertiga ni ha. Ingat menghilang ke manalah. Rupa-rupanya dah ada dengan mak kat sini. Risau hati ni tau,” bebel Adam geram.
“Kami tak ke mana pun papa. Papa janganlah risau sangat,” tutur Airin manja.
Serta-merta senyuman terukir di bibir Adam. Dia mengusap kepala Airin.
“Tak mahu buat macam tu lagi okey sayangsayang papa?”
Serentak Airisya, Adib serta Airin mengganguk kepala tanda mengerti.
“Yang kamu ni dari mana? Sampai anak menghilang pergi mana pun tak perasan. Nasib baik dia orang datang kat mak. Buatnya anak-anak kena culik ke apa lagi naya,” bebel Puan Halijah sambil tangan sibuk mengisi bihun goreng ke dalam pinggan.
Lalu pinggan itu dihulurkan kepada cucucucunya.
“Yalah. Adam salah,” jawab Adam perlahan.
Pantas dia melabuhkan punggung di sisi kiri Airin.
“Papa tak mahu mandi dengan kami ke? Seronoklah papa,” ajak Airin sambil menggoyanggoyangkan jemari Adam yang terletak di atas ribanya.
“Adik, kakak dan abang sajalah pergi mandi. Papa takut kena sunburn nanti,” seloroh Adam lantas ketawa di hujung katanya.
Perasaan panik sebentar tadi hilang sedikit demi sedikit.
“Eleh, papa kamu tu alasan aje lebih. Padahal kulit memang dah sedia hitam pun,” tempelak Puan Halijah selamba.
Adam membulatkan mata mendengar gurauan ibunya. Airisya, Adib dan Airin ketawa lucu.
“Mak ni... suka sangat mengutuk anak sendiri. Hitam itu kan menawan mak?”
Giliran Adam pula bersenda.
“Erm... yalah. Menawanlah juga. Sebab anak mak ni kacak. Kalau tak kacak, nampak macam mamat bangla jual karpet aje,” bidas Puan Halijah.
Dia ketawa dengan lawaknya sendiri.
“Sampai hati mak cakap macam tu...”
“Alolo, anak mak ni... dah tua bangka pun nak merajuk. Huh! Tak sesuai sungguh. Awak tu dah jadi bapa budak, lagi nak merajuk ke?”
“Nak manja-manja dengan mak tak salah, kan?”
Puan Halijah tersenyum mendengar kata-kata Adam. Dia mengelus lembut pipi Adam.
Adam merupakan anak tunggalnya. Setelah kematian suaminya, hanya Adam dan cucu-cucunya sajalah harta yang dia ada. Kepada Allah dia memohon agar anaknya bertemu jodoh yang baik suatu hari nanti. Insya-Allah.