ADAM tersenyum melihat anak-anaknya yang sedang terbaring di atas rumput.
Sudah menjadi kebiasaan mereka anak-beranak untuk meluangkan masa dengan beriadah setiap hujung minggu. Taman Tasik Titiwangsa akan menjadi pilihan mereka. Sambil berjoging, bolehlah juga mereka menikmati keindahan ciptaan Tuhan.
“Hai, anak-anak papa dah pancit ke? Baru tiga round ni,” ujar Adam sambil ketawa.
Dia mengesat peluh yang menitis di dahi anakanaknya.
“Penatlah papa,” rengek Airisya, Adib dan Airin hampir serentak.
Adam hanya tersenyum mendengar rengekan anak-anak kesayangannya itu.
“Nak makan aiskrim tak?” soal Adam.
“Nak!”
Adam tergelak kecil mendengar nada teruja anak-anaknya.
“Sayang-sayang papa duduk diam-diam kat sini ya. Jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai papa datang okey? Papa pergi beli aiskrim kejap aje. Kakak, abang jaga adik okey?”
Serentak Airisya dan Adib mengangguk tanda faham. Siap angkat tangan seolah-olah berikrar.
Adam tersenyum manis. Dia mengucup dahi putera dan puterinya sebelum berlalu pergi.
Adam mahu menjadi bapa yang penyayang untuk anak-anaknya. Sedikit pun dia tidak mahu anak-anaknya dilukai. Seboleh mungkin dia akan membahagiakan mereka. Biar sesibuk mana sekalipun, dia akan mencari masa untuk diluangkan bersamasama mereka.
Yalah, kepada siapa lagi anak-anaknya mahu bermanja jika bukan dengannya?
Nak harapkan ibu mereka? Kirim salam sajalah!
Semenjak bercerai enam tahun yang lalu, Ika tidak pernah mengambil tahu perihal Airisya, Adib dan Airin. Andai Ika bertanya sekalipun, itu kerana didesak oleh Puan Sri Kirana.
Hendak bertanya sendiri, memang taklah!
Gamaknya, bila dunia nak kiamat barulah Ika akan mengambil berat akan anak-anak yang ditinggalkannya itu.
Tapi, bagus juga begitu. Tidaklah mereka berebutkan hak penjagaan anak-anak. Cuma, yang memeningkan kepalanya sekarang, bekas ibu mentuanya saja.
Entahlah... Bekas mentuanya itu nekad mahu Adam menyerahkan salah seorang anaknya kepada wanita itu. Namun, dia tidak akan sekali-kali menurut.
Airisya, Adib dan Airin adalah darah dagingnya. Jadi, tidak semudah itu dia akan menyerahkan hak penjagaan kepada wanita itu!
SETELAH seharian mencari kerja, Adel memandu tanpa arah tuju. Serabut memikirkan soal kerja, dia mengambil keputusan untuk menenangkan fikiran yang kusut.
Pemain mp3 yang sentiasa dibawanya ke mana-mana diambil. Pantas dia memutarkan lagu kegemarannya. Volume sengaja dikuatkan.
Beginilah cara Adel untuk melepaskan tekanan. Ya, hanya dengan mendengar muzik. Hatinya akan sedikit tenang.
Sedang asyik mendengar mp3nya, dia mengalih pandang saat mendengar suara kanak-kanak yang sedang rancak berbual itu. Dia mengecilkan mata untuk mengecam wajah kanak-kanak yang sedang berbaring di atas rumput itu.
Spontan bibirnya tersenyum. Pantas Adel mengatur langkah menghampiri kanak-kanak tersebut.
“Assalamualaikum, adik-adik comel,” sapa Adel sambil tersenyum manis.
“Waalaikumussalam. Eh, Kak Adel!”
Serentak Airisya dan Airin menarik tangan Adel. Adel ketawa kecil melihat tingkah manja dua kanakkanak kecil itu.
“Kakak rock kapak buat apa dekat sini?” tanya Adib setelah Adel melabuhkan punggung bersebelahannya.
Airin sudah pun selamat berada di riba Adel.
“Abang... apa panggil macam tu? Tak baiklah,” tegur Airisya kepada adik keduanya itu.
Adib tersengih lebar mendengar teguran si kakak.
“Tak apa sayang. Biarkanlah. Nak panggil apa pun boleh, tapi...”
Adib jongket kening.
“Panggil Kak Adel lagi mesra, kan?”
Adib pantas mengangguk.
“Maafkan abang ya Kak Adel,” ucap Adib lantas menyalami tangan Adel.
Sudah menjadi kebiasaan, andai berbuat salah, dia akan lekas-lekas memohon maaf.
Adel mengusap lembut kepala Adib. Perlahan ubun-ubun Adib dikucupnya.
“Tak apa. Kak Adel tak marah. Kamu semua ni datang dengan siapa? Kenapa duduk di sini? Kalau kena culik nanti kan susah,” omel Adel.
“Papa. Papa pergi beli aiskrim.”
Serentak mereka menjawab.
Adel tersenyum. Sebab inilah dia lebih suka berkawan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak lebih jujur dan tidak pandai berbohong. Berbeza dengan orang dewasa yang lebih suka berbohong daripada berkata benar.
Entah mengapa melihat saja wajah-wajah anak syurga ini membuatkan hatinya merasa tenang. Terbang segala masalah yang membelenggu tatkala berbicara dengan mereka.
Rasa macam nak bawa balik saja budak-budak ni. Manja, mesra, comel pula tu. Isy! Kalaulah dia orang ni anak-anak aku, memang aku tatang bagai minyak yang penuh.
Tapi, mana mak dia orang ni ya? Sedang asyik Adel berfikir, tiba-tiba satu suara menegurnya dari belakang.
“Hei, mamat! Apa kau nak buat dengan anak aku, hah? Kau nak culik anak-anak aku ke apa?” sergah suara itu.
Serentak Airisya, Adib dan Airin menoleh ke belakang. Tubuh Adel serta-merta tegak. Hendak menoleh ke belakang, seakan-akan tidak punya kekuatan
“Hei! Pekak ke, mamat?” jerkah suara itu lagi.
Membara hati Adam tatkala melihat insan tersebut sedang meriba Airin. Belum pun sempat dia mendapatkan Airin, ‘lelaki’ itu sudah melangkah laju meninggalkannya terpinga-pinga di situ.
“Kakak rock, kakak rock!” seru Adib.
Ingin saja Adel menoleh, namun memikirkan suara singa bapa kanak-kanak tersebut, dia jadi kecut perut pula. Lantas dia mempercepatkan langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Adam merengus kuat. Pantas dia mendapatkan anak-anaknya. Tubuh mereka dibelek seorang demi seorang. Bimbang sekiranya mereka disakiti.
“Anak-anak papa okey? Ada cedera dekat manamana?” soal Adam cemas.
Airin sudah tarik muncung 14.
“Papa ni tak baik tau. Kenapa pula papa panggil mamat? Itu Kak Adellah. Dia tak ada buat apa-apa pun kat kami. Papa janganlah risau sangat,” ujar Airisya, mempertahankan Adel.
Mendengar saja kata-kata anaknya itu, Adam bertambah bengang. Kenapa Airisya hendak bela sangat perempuan itu? Argh! Lantaklah.
Dia papa mereka, memang patutlah dia merasa risau!
“Sudah, habiskan makan aiskrim ni. Lepas tu kita balik!” tegas Adam.
Wajahnya tak usah cakap. Merah padam seperti udang dibakar.
Airisya, Adib serta Airin menurut arahan papa mereka. Sedikit pun mereka tidak berani angkat muka. Gerun!
Untuk sesaat, Adam bagaikan hilang punca. Entah mengapa hidungnya seakan-akan terbau haruman yang memikat deria baunya sebelum ini.
Dia melilaukan mata mencari empunya badan, namun tidak ketemu. Akhirnya dia mengeluh hampa.
HANAN tersenyum manis menatap wajah-wajah di hadapannya. Menatap wajah Airisya, Adib dan Airin membuatkan hatinya merasa tenang.
Terkadang terbit juga rasa kasihan kepada majikannya. Sampai bilalah agaknya Adam mahu menutup pintu hatinya itu?
Tiba-tiba interkomnya berbunyi. Segera dia mengangkat gagang.
“Ya, Encik Adam. Baiklah, saya masuk sekarang.”
Hanan mencapai pen serta buku nota kecilnya. Sebelum melangkah masuk ke pejabat Adam, sempat dia berpesan kepada anak-anak majikannya.
“Sayang, jangan nakal-nakal okey. Duduk sini diam-diam ya. Aunty nak masuk jumpa papa kejap aje,” ujar Hanan sebelum berlalu.
Serentak Airisya, Adib dan Airin mengangkat ibu jari sebagai isyarat okey.
Hanan mengetuk pintu pejabat Adam.
“Masuk,” arah Adam dari dalam.
Hanan menguak daun pintu dan melemparkan senyum tatkala sepasang matanya bertentang dengan sepasang mata milik Adam. Dia menarik kerusi apabila majikannya itu memberi arahan untuknya duduk.
“Apa jadual saya petang ni?” tanya Adam perlahan.
Tubuhnya disandarkan ke kerusi empuk miliknya. Dia memicit pelipisnya. Sungguh, dia keletihan hari ini. Seawal pagi dia bangun daripada tidur yang lena, menyediakan sarapan buat anak-anak tersayang. Terkejar-kejar menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah.
Tepat pukul 12.30 tengah hari, dia berkejar untuk mengambil anak-anaknya dari sekolah. Mujur baik anaknya satu sekolah. Jadi tidak susahlah dia untuk mengambil anak-anaknya. Kemudian dia berkejar pula untuk menghadiri mesyuarat.
Sungguh, hari ini dia benar-benar letih.
Adam merenung tepat ke anak mata Hanan. Haih! Hanan ni boleh pula berangan. Spontan dia mengetuk meja untuk menyedarkan Hanan daripada lamunannya.
Hanan tersengih apabila menyedari kesilapannya.
“Err... Encik Adam dah tak ada apa-apa mesyuarat. Mesyuarat yang Encik Adam attend tadi yang terakhir untuk hari ni,” ujar Hanan sambil membelek jadual majikannya.
“Alhamdulillah. Saya letih sangat hari ni,” adu Adam dengan mata yang tertutup.
Riak kelesuan jelas terpamer pada wajahnya.
“Err... kalau saya tanya sesuatu, boleh Encik Adam?”
“Tanya apa Hanan? Tanya sajalah. Awak macam tak biasa pula dengan saya,” seloroh Adam.
Matanya masih tertutup rapat.
“Encik Adam tak mahu, errr... tak mahu cari pengganti ibu untuk anak-anak Encik Adam ke? Saya bukannya apa, Encik Adam. Saya kasihankan encik. Kasihan juga kepada anak-anak encik. Mereka perlukan belaian seorang ibu.”
Spontan Adam membuka matanya. Dia merenung tepat ke anak mata wanita yang sekian lama menjadi setiausahanya.
“Entahlah Hanan. Saya malas nak fikir perkara ni. Sekarang ni saya masih trauma. Zaman sekarang masih ada ke yang boleh terima anak instant? Yang banyak saya dengar, kes ibu tiri dera anak tiri. Isy! Gerun saya Hanan. Kalau anak-anak saya didera nanti macam mana?” tanya Adam sambil menjongket keningnya.
Hanan mengukir senyum mendengar ujaran majikannya.
“Insya-Allah, Encik Adam. Saya tahu ada insan yang baik di luar sana yang layak untuk encik. Tentang kes dera tu, memanglah merisaukan. Tapi, tak semua ibu tiri macam tu. Terserah kepada encik untuk memilih calon yang sesuai. Yang boleh serasi dengan encik.”
Adam terdiam sejenak. Menimbang tara akan kata-kata Hanan. Dia melepaskan keluhan berat.
“Terima kasih atas nasihatnya.”
Hanan tersenyum seraya mengganggukkan kepala.
“Err... maaflah terpaksa susahkan kamu untuk jaga anak-anak saya. Dia orang nakal tak duduk kat luar tu?” tanya Adam setelah lama berdiam diri.
“Eh, perkara kecil aje Encik Adam. Saya pun sukakan budak-budak. Mereka tak nakal pun. Baik saja.”
Adam tersenyum penuh makna.
Hanan sudah tidak senang duduk melihat senyuman yang terukir di bibir Adam. Lain macam saja senyuman bos ni.
Haih! Dah jatuh cinta dengan aku ke apa ni? Choi! Apa kau ni Hanan? Fikir ke situ pula.
“Awak dah berpunya ke Hanan?” duga Adam seraya tersenyum nakal.
Erk? Ni dah kenapa tanya aku dah berpunya ke belum ni? Bos aku ni betul-betul jatuh cinta kat aku ke?
Haih! Peninglah. Tak pasal-pasal kisah aku jadi macam kisah dalam novel. Bos jatuh cinta dengan setiausaha sendiri? Choiii!
“Kenapa Encik Adam tanya? Dah lupa eh saya ni dah bertunang? Memanglah saya jarang keluar dengan tunang saya. Mungkin itu puncanya encik lupa saya ni tunangan orang,” jawab Hanan separuh menyindir.
Adam tersengih mendengar sindiran Hanan. Seronok pula mengusik setiausahanya itu.
“Ops, saya lupa. Bukannya apa, kalau awak belum berpunya, saya nak sunting awak saja jadi ibu kepada anak-anak saya. Senang cerita,” tutur Adam sambil tersengih mengusik.
Melopong Hanan mendengar kata-kata berani mati encik bos.
“Isy! Encik Adam ni, mengarut aje,” selar Hanan lantas ketawa kecil.
Adam turut ketawa.
“Saya bergurau aje Hanan. Jangan ambil hati ya,” ujar Adam seraya menyambung tawanya.
Hanan mengangguk faham. Mujurlah kau bos aku. Kalau tak, mahu kena hempuk dengan buku ni.
“Oh ya, macam mana dengan iklan babysitter yang saya suruh awak buat tu? Dah ada yang datang temu duga ke?” soal Adam tatkala teringatkan jawatan yang ditawarkan itu.
“Setakat ni baru ada dua orang yang datang temu duga. Tapi, saya tak rasa encik akan suka...”
“Kenapa pula saya tak suka? Seksi ke yang datang temu duga tu?”
Pantas Adam mencelah sebelum sempat Hanan menghabiskan katanya.
Hanan mengganguk, mengiakan kata-kata Adam.
“Tak mengapalah. Awak boleh keluar sekarang.”
Hanan bangkit daripada duduk lantas memulas tombol pintu. Belum sempat daun pintu terbuka luas, anak-anak Adam sudah meluru masuk. Hanan terdorong ke belakang.
Adam ketawa lepas. Airisya, Adib dan Airin memeluk papa mereka erat-erat.
Hanan yang melihat kasih sayang anak-beranak itu tersenyum simpul. Lantas dia keluar untuk menyambung kembali kerjanya. Di dalam hati dia berdoa agar Adam dipertemukan dengan seorang insan yang benar-benar tulus menyayangi lelaki itu dan juga anak-anaknya kelak.