HANAN memandang atas bawah penampilan insan di hadapannya. Dia agak keliru dengan identiti insan tersebut. Dengan seluar jean koyak, T-shirt lengan pendek dan kemeja yang dililit pada pinggang dan rambutnya yang dipotong pendek.
“Err... Encik nak jumpa siapa?” tanya Hanan teragak-agak.
Encik ke cik ni? Hanan pula main belasah saja sebenarnya. Confident sangat si dia ini lelaki. Kalau perempuan yang berdiri di depannya ketika ini, tak ke malu dia nanti?
Adel menggigit bibir. Panas hatinya saat diri digelarkan encik. Membulat besar matanya apabila gadis itu ‘scan’ dirinya atas ke bawah. Bawah ke atas. Seolah-olah dia tidak berbaju sahaja. Spontan Adel meneliti penampilan dirinya.
Oh, baru dia tahu mengapa gadis di hadapannya memandangnya hairan. Ternyata penampilannya hari ini benar-benar menampakkan dirinya yang boyish.
Jauh di sudut hati dia berharap agar mendapat pekerjaan ini. Sudah naik lelah dia ke satu demi satu tempat. Semua memandang penampilan dirinya dengan hairan dan lain macam.
Apa salahkah penampilannya yang sebegini untuk memohon kerja?
Bukanlah kerja besar pun yang dipohonnya. Sekadar jurujual dan juga tukang basuh pinggan saja. Itu pun mentah-mentah dia ditolak. Andai kerja sebagai babysitter juga tidak memihak kepadanya, terpaksalah dia mencari ruang pekerjaan lagi dan lagi.
“Assalamualaikum,” sapa Adel seraya mengangkat tangan.
Bulat mata Hanan tatkala mendengar suara insan di hadapannya.
“Errr... wa... waalaikumussalam. Nak jumpa siapa ya?” tanya Hanan agak gugup.
Bimbang seandainya disembur kerana keterlanjurannya memanggil insan tersebut dengan panggilan encik sebentar tadi.
“Saya nak jumpa bos awak. Saya ada terbaca dekat Internet pasal iklan babysitter. Elok sangatlah tu. Saya memang suka budak-budak. Lagipun, susah nak dapat kerja sekarang ni. Saya harap, dapatlah kerja ni,” ujar Adel seraya tersenyum manis.
“Oh... Kalau macam tu, cik tunggu sebentar ya. Saya nak inform bos saya dulu.”
Adel menggangguk kepala seraya tersenyum. Dia menghantar pandangan hingga susuk tubuh gadis tadi hilang daripada pandangan mata. Sementara menunggu, matanya melilau melihat sekeliling ruang pejabat.
“Cik.”
Adel menoleh ke belakang tatkala mendengar suara itu menyapanya.
“Awak boleh masuk. Errr... harap awak dapat kerja tu. Dah lama bos saya cari orang yang sesuai. Tapi, yang datang temu duga semuanya hampeh belaka. Saya harap kerja tu memang khas buat awak,” ucap Hanan seikhlasnya.
Hatinya merasa damai tatkala bibir insan di hadapannya mengukir senyum.
“Terima kasih,” ucap Adel.
Segera dia menapak ke bilik yang ditunjukkan Hanan.
Adel menolak daun pintu sebaik mendengar arahan dari dalam. Dia melemparkan senyuman buat jejaka yang sedang asyik merenungnya itu.
Bagai ingin tersembul keluar biji mata Adam apabila melihat perwatakan gadis itu. Melihatkan saja penampilan gadis di hadapannya itu membuatkan mulut Adam ternganga luas. Pelbagai andaian bermain di minda.
Mampu ke minah brutal itu menjaga anaknya? Bagaimana kalau anak-anaknya didera?
Sesaat kemudian, Adam bagaikan terpukau dengan haruman yang dipakai oleh gadis di hadapannya. Haruman ni...
Ya Allah, apakah makna di sebalik semuanya ni? Mungkinkah... dia insan yang aku cari selama ini?
Adel resah gelisah. Renungan tajam Adam itu membuatkan dirinya tidak selesa. Serba tidak kena dirinya saat ini.
“Errr... Ada urusan apa ya awak datang ni?” tanya Adam tergagap-gagap.
Dia memberi arahan untuk Adel duduk. Adam cuba mengawal debaran di dada. Entah mengapa hatinya bagaikan terpaut pada seraut wajah yang tidak dicemari sebarang mekap itu.
“Sebenarnya saya tengah cari kerja. Kebetulan semalam, saya ada terbaca dekat Internet owner syarikat ni nak cari penjaga untuk anak-anaknya. Betul, kan? Kau... eh, maaf. Saya dah terbiasa. Betul ke encik nak cari pekerja untuk jaga anak-anak encik?”
Adam yang tadinya terkejut mendengar bahasa yang digunakan Adel cuba untuk mengawal riak wajah.
“Ya, memang saya nak cari babysitter.”
“Kalau macam tu, saya nak mohon kerja tu, boleh? Saya memang...”
Pantas Adam mencaras kata-kata Adel.
“Awak? Awak nak kerja jadi babysitter? Saya tak salah dengar ke ni? Tak dapat saya bayangkan kalau awak jadi babysitter. Entah macam manalah rupa anakanak saya nanti. Boleh awak jamin yang anak-anak saya akan baik-baik saja di bawah jagaan awak?”
Sinis kata-kata Adam.
Adel mengecilkan matanya. Jika diturutkan hati, mahu saja dia mencekik jejaka itu. Sungguh, dia geram dengan manusia yang memandang hina akan orang lain.
Argh! Tipikal masyarakat sekarang. Selalu saja pandang rendah kepada insan lain. Sedangkan diri sendiri bukanlah sesempurna mana. Apa salahkah dirinya menjadi seorang boyish?
Sungguh Adel tak faham akan manusia yang suka mencari keburukan orang lain.
“Pemakaian awak pun tidak membuktikan bahawa awak serius untuk bekerja. Untuk pengetahuan awak, saya takkan mudah-mudah serahkan anak-anak saya di bawah jagaan orang. Lagipun, tengok cara awak bercakap pun dah buat saya rasa ragu-ragu untuk ambil awak bekerja,” sambung Adam lagi.
Entah mengapa matanya tidak berkenan dengan pemakaian gadis itu. Erk? Boleh ke kata gadis? Dah macam mat rempit saja dia tengok.
Tapi, kalau benar hatinya tidak berkenan, mengapa jantungnya sedari tadi berdetak kencang?
“Encik jangan pandang rendah kepada saya. Walaupun penampilan saya ni tak macam perempuan kat luar sana, tapi saya masih punya hati nurani tau. Lagipun saya sukakan budak-budak. Saya jamin encik takkan menyesal ambik saya bekerja. Saya takkan jentik anak-anak encik, walau senakal mana pun.”
Adam merenung seraut wajah Adel. Cuba mencari keikhlasan pada mata itu. Spontan dia menelan liur. Cantik! Puji hatinya tanpa sedar.
“Siapa nama awak?”
“Adel,” jawab Adel sepatah.
“Nama penuh apa?” soal Adam lagi.
Sengaja dia menegaskan suaranya. Walhal lututnya sudah mula lemah apabila Adel bersuara dengan lembut. Haih! Adam, kau kenapa ni wei?
“Adelia Faranisa. Kenapa encik...”
“My name is Adam. Erm... memandangkan awak bersungguh-sungguh sangat, saya jadi tak sampai hati pula. Lagipun saya seorang lelaki yang baik, berperikemanusiaan dan paling penting, penyayang.”
Adel memutarkan bebola matanya ke atas. Loya tekaknya mendengar kata-kata lelaki di hadapannya itu. Perah santan sungguh. Sekali dia debik baru tahu. Phuui!
Adam menahan diri daripada menghamburkan tawa. Lucu melihat wajah Adel yang menahan geram itu. Sengaja dia berkata begitu. Ingin melihat reaksi Adel.
“Saya bagi awak tempoh sebulan. Andai kata dalam tempoh tu awak dera anak-anak saya atau awak buat apa-apa pun kepada anak-anak saya, awak harus bayar ganti rugi. Faham?”
Serius kedengaran nada Adam.
Adel tersenyum tatkala mendengar kata-kata Adam. Tanpa sengaja, dia mencapai jemari Adam yang terletak di atas meja dan menggenggamnya erat kerana terlalu gembira. Tatkala menyedari keterlanjurannya, dia menarik kembali tangannya. Bibir masih tidak lekang dengan senyuman.
Adam berdeham menahan debaran yang kian menggila.
“Alhamdulillah. Terima kasih encik. Err... bila saya boleh mula bekerja?”
“Eh, yang awak tak sabar-sabar sangat nak kerja ni kenapa?” tanya Adam serius.
Adel mencebik mendengar kata-kata Adam.
“Saya tak sabar nak kerja, sebab saya memang perlukan duit. Saya ni kalau tak kerja, memang tak makanlah. Saya bukannya orang senang.”
Adel memberikan jawapan jujur.
Adam tergamam mendengar kata-kata Adel. Jujur! Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keperibadian gadis bernama Adel itu.
“Awak boleh kerja hari Isnin ni. Sekarang, isi borang ni kemudian bagi kepada setiausaha saya. Ingat ya! Dalam tempoh sebulan kalau saya tak puas hati dengan kerja awak, saya akan pecat awak!” tegas Adam sambil menudingkan jari telunjuknya ke wajah Adel.
“Okey. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu. Tapi... macam mana saya nak tahu mana satu rumah encik kalau alamat pun saya tak tahu?”
Adam menghulurkan kad perniagaannya.
Adel mengambil kad yang dihulurkan sebelum melangkah keluar dari bilik itu.