Jodohku Babysitter

BAB 9

  • Art
  • Nureen Ahmad

ADEL melilaukan mata melihat halaman banglo dua tingkat itu. Ternganga luas mulutnya saat melihat rumah tersebut. Sungguh, dia suka akan dekorasi rumah tersebut.

Tambahan pula dia berasa tenang apabila melihat landskap yang terhias indah di halaman rumah banglo tersebut. Dalam diam dia memuji kecantikan landskap yang dijaga rapi itu. Konsep garden menjadi pilihan pemiliknya.

Sedang dia asyik meneliti halaman rumah, tibatiba dia disergah satu suara garau.

“Nasib baik awak datang tepat pada masanya. Kalau tak, saya suruh setiausaha saya keluarkan surat amaran,” sindir Adam lantas menyembunyikan senyum.

Suka benar dia melihat wajah terkejut gadis itu.

“Assalamualaikum. Lain kali bagilah salam. Kalau saya ni ada sakit jantung, tak pasal-pasal mati kejung dekat sini,” omel Adel seraya menjeling tajam wajah Adam.

Adam hanya menjongket kening. Omelan Adel itu langsung tidak mendatangkan kesan kepadanya.

“Waalaikumussalam. Okey, saya minta maaf ya bibik,” sakat Adam lantas tersengih lebar.

Membulat besar mata Adel saat dipanggil bibik. Kembang kempis hidungnya kerana menahan perasaan amarah. Mujur saja dia memikirkan dia sedang bekerja. Jika tidak memang nahaslah lelaki di hadapannya merasa penumbuk sulungnya.

“Selamat bekerja saya ucapkan pada awak Adel. Saya akan jelaskan satu per satu, apa yang perlu dan tidak perlu awak lakukan. Okey, yang pertama saya nak beritahu, rumah ni ada dua bilik utama. Iaitu bilik saya dan bilik tetamu.”

Adel hanya mengekori langkah Adam. Sesekali dia melepaskan keluhan. Melihat seisi ruang rumah yang sudah macam tongkah pecah itu membuatkan dia beristighfar panjang. Menggeleng kepalanya melihat pakaian dan juga mangkuk Maggi yang belum dicuci di atas meja kopi.

“Walaweh, ni rumah ke zoo?” rungut Adel tanpa sedar.

Panas hati Adam saat mendengar suara Adel itu. Kalau ikutkan hati nak saja dia gam mulut Adel. Sesuka hati saja gadis itu hendak mengata rumahnya. Haih!

“What? Zoo? Amboi belum mula kerja dah nak membawang?” perli Adam. Wajahnya jelas kemerahan.

“Lah, cakap benda betul pun kena marah,” bebel Adel perlahan.

“Awak kata apa tadi? Mengata saya eh?”

Adam serkap jarang. Rasanya dia ada mendengar suara Adel berkata. Namun tidak jelas butir bicaranya saja.

Adel hanya menayang wajah selamba. Lantas tanpa membuang masa, terus saja Adam menyambung kata-katanya.

“Ini bilik saya. Bilik ni kalau saya perlukan awak kemas, baru saya cakap. Okey, kita ke bilik seterusnya,” ujar Adam lantas menuju ke arah bilik tetamu yang berhadapan biliknya.

“Biasanya bilik ni mak saya yang guna. Tapi memandangkan mak saya tak ada di sini, jadi bilik ni kosonglah. Tapi setiap hari saya nak awak kemas bilik ni. Sebab saya tak nak bilik ni berhabuk,” ujar Adam.

Lantas dia berjalan laju untuk menunjukkan bilik putera dan puteri kesayangannya sekali gus memperkenalkan mereka kepada Adel.

“Kakak, abang... adik. Mari sini cepat,” laung Adam sambil duduk di sofa yang berada di tingkat atas.

“Kak Adel!”

Belum pun sempat Adam membuka mulut, anak-anaknya terlebih dahulu menjerit memanggil nama Adel. Naik hairan dirinya. Aneh saat memikirkan bagaimana dan di manakah anak-anaknya mengenali Adel.

“Kenapa Kak Adel ada kat sini?” soal Airin manja.

Lantas dia menyalami tangan Adel. Airisya turut menyalami tangan Adel.

“Kejap. Sebenarnya anak-anak papa ni kenal ke dengan Kak Adel? Bila kenal? Kenal dekat mana?”

Tidak dapat tidak, Adam menembak dengan berdas-das soalan. Tambah membuatkan dia hairan tatkala melihat anak-anaknya menyalami malah mencium tangan Adel. Sedangkan dia tahu benar akan anak-anaknya yang tidak mudah mesra dengan sesiapa.

“Papa ingat tak? Masa papa beli aiskrim? Masa kita joging kat Taman Tasik Titiwangsa tu.”

Berkerut-kerut dahi Adam demi mengingat kembali memori yang dikatakan Airisya.

“Entahlah sayang. Papa lupa. Kenapa?”

“Kak Adel ni la yang papa panggil ‘mamat’ tu. Yang papa kata nak culik kami tu. Ingat tak?” giliran Adib pula bersuara.

Melopong mulut Adam saat ini. Tidak berkelip matanya merenung Adel. Patutlah dia merasa seoalaholah pernah melihat wajah Adel. Namun dia terlupa di mana dia pernah melihatnya.

“Kecilnya dunia ya Adel. Tak sangka pula orang yang saya sangkakan ada niat jahat, tu dah ada depan mata saya. Kelakar. Kalau macam tu saya tak perlulah kenalkan nama awak ya.”

Adel hanya mengangguk kecil.

“Okey anak-anak. Mulai hari ni Kak Adel akan jadi pengasuh kamu semua. Suka tak?”

“Wah, betul ke Kak Adel?” Hampir serentak Airisya, Adib dan Airin menyoal.

“Betul sayang. Tapi kamu semua jangan nakallah ya. Itu aje syaratnya kalau nak Kak Adel jadi pengasuh kamu. Lepas tu apa saja yang Kak Adel masak, jangan kompelin. Boleh sayang-sayang semua?” soal Adel dengan senyum yang terukir di bibir.

“Boleh!” sahut Airisya, Adib dan Airin serentak.

“Walaupun kamu semua dah kenal dengan pengasuh kamu, tapi papa tetap juga nak kenalkan kamu pada Kak Adel ya. Okey Adel, ini Airisya. Awak boleh panggil dia kakak. Umurnya sepuluh tahun. Yang ini pula satu-satunya anak teruna saya. Nama dia Adib. Umurnya lapan tahun. Dan si kecil ni pula namanya Airin. Umurnya tujuh tahun,” terang Adam serba sedikit untuk pengetahuan Adel.

“Okey, anak-anak papa dah siap semuanya kan? Jom kita makan. Tadi papa sempat masak. Tapi maaflah ya. Nasi goreng biasa je mampu papa masakkan. Kalau nak makan sedap nanti kita makan dekat luar ya sayang?”

“Okey papa.”

Adel hanya memerhati saja kasih sayang yang terjalin di antara majikan dan juga anak-anak asuhannya. Sungguh dia merasa iri hati dengan kasih sayang mereka empat beranak. Hatinya sebak tak semena-mena. Namun cepat saja dia menepis kesedihannya.

Setelah memastikan anak-anaknya sudah mengambil sarapan, Adam bergegas menuju ke arah kereta. Mujurlah dia tiada mesyuarat pagi ini.

Usai menghantar permata mata hatinya ke sekolah, dia memandu laju untuk ke pejabatnya.


ADEL memulakan tugasnya mengemas meja kopi yang berselerak itu. Majalah diambil lantas diletakkan di atas meja. Pakaian yang berterabur di sana sini dikumpul di satu tempat.

Mangkuk kotor di atas meja kopi dibawanya ke singki. Dicucinya pinggan dan mangkuk kotor yang digunakan oleh majikan dan anak-anak asuhannya sebentar tadi.

Dengan sekejap saja dia sudah menyelesaikan kerjanya. Mujurlah dia sudah biasa dengan kerja-kerja rumah begini. Ini kerana dia sudah biasa menjaga adik-adiknya yang sama-sama membesar di Rumah Kebajikan Cahaya Iman.

Semenjak umurnya 14 tahun, dia sudah menjadi penghuni Rumah Kebajikan Cahaya Iman. Memandangkan dia yang paling berusia, maka dia diberikan kepercayaan untuk menjaga adik-adiknya.