Isteri Untuk Diiktiraf

BAB 7

  • Art
  • Nurfaza Alisya

HAMPIR tersembur Tengku Wildan yang sedang menghirup Milo panas sebaik mendengar kata-kata Tan Sri Tengku Hairie.

Manakan tidak, papanya itu memintanya bertunang dengan gadis kampung pilihan papanya. Apatah lagi majlis pertunangan itu akan diadakan lagi seminggu. Dan dua minggu berikutnya mereka akan dikahwinkan. Semuanya berlaku secara drastik dan dia merasakan semua ini tidak masuk akal.

“Papa ni sihat ke tak? Tiba-tiba suruh anak kita bertunang lagi seminggu. Mama pun tak kenal lagi perempuan tu. Yang papa beria sangat ni kenapa?” sampuk Puan Sri Raja Mona.

Sakit benar hatinya dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

“Papa takut perempuan tu terlepas ke tangan orang lain,” balas Tan Sri Tengku Hairie.

“Apa yang hebat sangat perempuan tu? Perempuan low class, papa nak jadikan dia menantu kita. Dahlah gadis kampung!”

“Yalah, papa. Betul cakap mama tu. Wildan tak kenal pun siapa dia. Alih-alih papa minta Wildan kahwin dengan dia.” Tengku Wildan bersuara berani.

Dia berharap benar Tan Sri Tengku Hairie memahami perasaannya. Zaman ini bukannya zaman dahulu kala, berkahwin atas kemahuan orang tua. Kadang-kadang di hari perkahwinan baru kenal siapa bakal suami atau isteri mereka.

Kenapalah papanya masih berfikiran kolot begini? desis hati Tengku Wildan. Apatah lagi dia adalah anak lelaki. Mana boleh dipaksa kahwin seperti anak perempuan.

“Pilihan papa kali ini memang tepat. Dia memang perempuan yang baik untuk Wildan. Papa percaya Wildan akan bahagia dengan dia,” ujar Tan Sri Tengku Hairie lagi.

Dia sudah nekad untuk menjodohkan Tengku Wildan dengan Safiyya. Dia berharap perkahwinan ini dapat mengubah perangai Tengku Wildan yang nanar itu.

“Tapi papa... Wildan tak cintakan dia. Macam mana Wildan nak kahwin dengan dia?”

“Itu bukan alasannya Wildan. Cinta boleh dipupuk selepas kahwin. Papa percaya Wildan akan bahagia dengan dia. Ingat ya Wildan, Wildan tahu kan apa akan jadi kalau Wildan ingkar kata papa?” tegas Tan Sri Tengku Hairie lalu berlalu meninggalkan meja makannya.

Hari ini dia harus cepat ke pejabat kerana delegasi dari Singapura akan datang ke hotelnya untuk menginap beberapa hari di sini. Para tetamu dari Singapura itu harus diberikan perkhidmatan yang terbaik.

Tengku Wildan terdiam. Sampai hati papa menggunakan kekerasan ke atasnya. Dia tahu, dia tidak boleh hidup sendiri tanpa bantuan papanya. Dia tidak seperti Tengku Wafie yang boleh berdikari sendiri.

Argh, kalaulah dia boleh lari dan hidup seperti Tengku Wafie tanpa kongkongan keluarga, dia pasti akan tenang. Namun, dia tidak mampu. Baginya wang dan kemewahan adalah segala-galanya dalam hidupnya. Masakan dia mahu merasai kesusahan sedangkan dari kecil lagi dia sudah merasai kesenangan?

“Mama, tolonglah pujuk papa tu. Dia tak boleh buat Wildan macam ni. Not fair!”

“Kamu ingat mama suka dengan keputusan papa tu? Mana nak letak muka mama ni dengan Tengku Salmah? Mama dah janji nak satukan Wildan dengan Bella.”

“Bella, mama? She’s not my tastelah mama! Bella langsung tak ada ciri-ciri wanita idaman yang Wildan nak. She and me, we’re just friend. Not loving couple.”

Terkejut Puan Sri Raja Mona dengan kata-kata anaknya. Bagaimana pula Tengku Wildan boleh tidak meminati Bella? Bella seorang gadis yang sentiasa mengikut harus kemodenan dan pandai menjaga penampilannya. Kalau hendak shopping, dia senang mengajak Bella untuk memberi pandangan kepadanya.

“Jadi, Wildan lebih suka kalau kahwin dengan gadis kampung pilihan papa tu?” tukas Puan Sri Raja Mona.

Tengku Wildan hanya mencebik. Baki Milo di cawan segera dihabiskan.

“Kalau pilihan papa tu lebih baik, apa salahnya,” sahut Tengku Wildan lalu bangun.

Mencerlung mata Puan Sri Raja Mona dengan kata-kata anaknya. Dia memandang Tengku Wildan yang sudah mahu melangkah keluar.

“Wildan, mama tak setuju tahu. Wildan kena kahwin dengan Bella!” jerit Puan Sri Raja Mona kuat agar didengar oleh anaknya yang sudah menapak keluar.

Tengku Wildan mengeluh. Sudahlah kini dia bertambah runsing dengan keputusan papa untuk mengahwinkan dia dengan gadis yang tidak dikenalinya. Mama pula mahu menjodohkan dia dengan Bella. Kedua-duanya dia tidak mahu. Kalau perempuan seperti Ana Julia, uiii... lagilah dia suka.

Gadis manja, menggoda yang dikenali di kelab malam itu benar-benar menambat hatinya. Namun, sayang sekali kerana Ana Julia suka bermain tarik tali dengannya. Kadang-kadang Ana Julia sengaja menari dengan lelaki lain supaya dia cemburu. Argh, betulkah?

Tengku Wildan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Daripada dia teringatkan Ana Julia, lebih baik dia fikirkan tentang keputusan papa untuk mengahwini gadis desa yang entah mana papa kenal. Tengku Wildan semakin runsing. Kali ini dia benar-benar terasa parah dengan keputusan papanya.


“HAI, jom breakfast.”

Tengku Wildan yang jauh termenung tersentak sebaik sahaja dia disapa oleh Bella yang melangkah masuk ke biliknya. Berani benar gadis itu masuk tanpa kebenarannya. Sudahlah Bella sudah diberi kuasa oleh mamanya untuk datang ke sini berjumpa dengannya bila-bila masa sahaja. Haru dia dibuatnya.

“Maaf Tengku. Saya dah halang dia daripada masuk tadi,” beritahu Khaty, setiausahanya yang berkaca mata tebal.

“Tak apa. Awak boleh pergi,” kata Tengku Wildan.

Terus Khaty berlalu pergi.

Leher Tengku Wildan dipeluk dari belakang. Cepat-cepat Tengku Wildan menarik tangan Bella agar tidak berkelakuan begitu dengannya. Dia benar-benar rimas dengan perangai Bella yang mengada-ada.

Satu lagi sikap Bella yang dia tidak suka, walaupun Tengku Wildan tidak pernah mengaku mereka sebagai kekasih, Bella suka mengongkong kehidupannya. Malah, suka mengadu dengan mamanya tentang sikapnya itu dan ini.

“I tak suka you ganggu I macam ni.” Tengku Wildan bersuara tidak senang. Harap benar Bella akan mengerti.

“Kenapa pula? I kan kekasih you? Takkan peluk macam ni pun tak boleh?” Bella mencebik geram.

“Berapa kali I nak cakap kat you, antara kita tak ada apa-apa hubungan pun. Bila masa pula you jadi kekasih I ni?”

Bella melabuhkan punggungnya di bucu meja. Kedua-dua tangan memeluk tubuhnya. Betis putihnya yang terdedah langsung tidak menarik perhatian Tengku Wildan.

“Sejak mama I dan mama you dah setuju nak satukan kita,” beritahu Bella angkuh. Tersenyum dia memandang Tengku Wildan.

Dia berharap kali ini Tengku Wildan akan menerimanya sebagai pasangan kekasih. Dia mula cuak apabila Tengku Wildan selalu sahaja mahu mengelak berjumpa dengannya. Namun, kerana kekacakan Tengku Wildan dan harta keluarga Tengku Wildan yang banyak, sesekali dia tidak akan berputus asa untuk mendapatkan lelaki ini.

Tengku Wildan ketawa kuat dengan kata-kata Bella. Sengaja dia mahu menyakiti hati gadis itu.

“I tak pernah minat pada you. Dan I takkan pernah kahwin dengan you Bella. Sebab you bukan taste I.”

Kata-kata Tengku Wildan membuatkan wajah Bella berubah 180 darjah. Langsung Tengku Wildan tidak menjaga hatinya.

“Habis, you minat dengan perempuan kelab malam tu? Perempuan ala-ala mat salih yang pakai kain tak pernah cukup. Tayang badan sana sini?”

Kali ini wajah Tengku Wildan pula yang berubah. Daripada percakapan Bella, nampaknya Bella seperti tahu tentang hubungannya dengan Ana Julia.

“You pun apa kurangnya. Selalu pakai kain tak pernah cukup, kan?” sindir Tengku Wildan.

“You!” Bella mula meradang. Terus dia berdiri.

“I akan beritahu tentang you dengan perempuan kelab malam tu pada mama nanti.” Bella mula mengugut.

Tengku Wildan mula tidak senang. Bukan dia takut mama tahu akan perkara ini, tapi papa. Kalau papa tahu dia masih ke kelab malam, teruk dia dimarahi Tan Sri Tengku Hairie nanti. Silap hari bulan lelaki tua itu boleh menarik semua kesenangan dan kemewahannya.

“Beritahulah kalau you berani. I tak ada apa-apa pun dengan perempuan tu. Minggu depan I nak bertunang. Dan dua minggu lepas tu I akan kahwin.”

Berani benar gadis ini membuka mulut tentang dirinya. Kali ini dia akan buat Bella lebih meradang dan malu.

“You nak kahwin? Dengan siapa? Perempuan night club tu?” Terjegil biji mata Bella memandang Tengku Wildan.

“Bukan. Tapi dengan gadis pilihan Tan Sri Tengku Hairie. Bukan dengan you.”

“What? Habis I macam mana? I ni kan gadis pilihan famili you? Kenapa tiba-tiba famili you pilih orang lain pula? I rasa mesti ada salah faham. I nak pergi jumpa mama you.”

Terus Bella keluar dengan wajah mencuka. Kemarahannya meruap-ruap. Sudahlah hampir setiap malam dia mengintip ke mana Tengku Wildan pergi.

Benarkah kata-kata Tengku Wildan itu? Kalau benar, tiada gunanya dia mengugut untuk membocorkan rahsia Tengku Wildan yang setiap malam terkejar-kejarkan Ana Julia di kelab malam. Dia harus berjumpa dengan Puan Sri Raja Mona untuk mengetahui kesahihan hal ini.

Tengku Wildan ketawa dengan kelakuan Bella yang mula menggelabah. Padan muka kau Bella. Semua hal aku kau nak ambil tahu.

Tengku Wildan menyandarkannya tubuhnya ke belakang kerusi. Walaupun hatinya gembira kerana dapat mengenakan Bella kembali, namun kegelisahan masih menyelubungi dirinya. Kenapa papa suka hati menetapkan jodohnya tanpa bertanyakannya terlebih dahulu? Haruskah dia terima?

Tengku Wildan semakin tidak senang duduk. Dia mula membayangkan wajah gadis kampung yang akan dikahwininya tidak lama lagi. Argh, parah!


TERSENYUM Azli melihat ayahnya yang semakin sembuh. Begitu ralit ayahnya menulis barangan yang perlu dibeli untuk keperluan majlis pertunangan Safiyya nanti. Malah, kenduri kahwin yang akan diadakan nanti semuanya akan ditaja oleh Tan Sri Tengku Hairie.

Pada awalnya, Tok Aki menolak. Namun, setelah dipaksa berkali-kali oleh Tan Sri Tengku Hairie, akhirnya Tok Aki terpaksa bersetuju. Kuranglah bebannya untuk mencari wang lebih untuk kenduri cucunya nanti.

Semenjak Safiyya bersetuju untuk menerima lamaran Tan Sri Tengku Hairie, Tok Aki bukan main ceria lagi. Sibuk benar Tok Aki memikirkan apa juadah yang mahu disediakan untuk hari pertunangan Safiyya nanti. Azli hanya memandang gelagat ayahnya itu.

“Banyak betul barang yang ayah nak beli, ya?” tegur Azli sewaktu mereka duduk-duduk di pangkin.

Tersenyum Tok Aki mendengar kata-kata anaknya. Wajah Azli dipandang sekilas.

“Tak adalah banyak sangat Azli. Tapi, yalah, dah lama rumah ni tak buat apa-apa kenduri. Akhir sekali, kenduri arwah mak kamu. Nak buat kerap-kerap, tiada modal. Majlis pertunangan Fiyya tak adalah besar mana. Ajak jiran-jiran terdekat ni saja. Sebab dua minggu lepas tu kan kenduri kahwin Fiyya. Barulah kita ajak satu kampung ni,” beritahu Tok Aki lalu ketawa.

“Kenapa cepat benar Tan Sri nak kahwinkan Fiyya dengan anak dia?” soal Azli ingin tahu.

Hairan kenapa cepat benar Tan Sri Tengku Hairie mahu Safiyya dijodohkan dengan anak saudaranya. Sudahlah belum bersua muka lagi. Safiyya tiada langsung membuka mulut untuk mengenali bakal tunangannya.

Jelas wajah Tok Aki berubah. Tiba-tiba dia diserang rasa bersalah kerana telah berbohong dengan anak dan cucunya.

“Kamu rasa betul ke tindakan ayah ni?’ soal Tok Aki tiba-tiba.

Azli memandang kehairanan. “Maksud ayah?”

Tok Aki menundukkan wajahnya. Lebih baik dia berterus terang dengan Azli.

“Ayah minta maaf, Azli. Sebenarnya, ayah tipu dengan kamu semua.”

“Isy, tipu apa pula ni ayah? Tak faham saya.”

“Ayah dah tipu kamu dengan Fiyya. Sebenarnya, ayah sengaja buat-buat sakit supaya Fiyya setuju nak kahwin,” jelas Tok Aki. Jelas Azli terperanjat besar.

“Jadi hari tu, bukan ayah sakit betul-betul?” soal Azli inginkan kepastian.

Tok Aki menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ayah buat semua tu sebab nak Fiyya kahwin. Bukan sebab Tan Sri. Ayah takut tiada sesiapa yang dapat jaga dia kalau ayah dah tak ada. Ayah bimbang kalau ada sesiapa yang mahu berbuat buruk terhadapnya. Sebab tu ayah buat macam tu. Sekurang-kurangnya, hati ayah tenang sebab dia ada suami untuk melindunginya nanti. Kamu rasa melampau ke tindakan ayah ni? Ayah rasa macam bersalah pula.” Tok Aki meluahkan rasa bersalahnya.

Bahu Tok Aki dipegang kemas oleh Azli. Dia faham perasaan ayahnya tika ini. Ayahnya begitu menyayangi Safiyya sejak kecil lagi. Dia cukup berasa kasihan melihat Safiyya yang sudah menjadi yatim piatu dalam usia yang cukup muda.

“Ayah buat semua tu untuk kebaikan Safiyya, kan? Alhamdulillah, Fiyya akan kahwin juga nanti. Saya sebenarnya terfikir macam ayah juga, lebih elok Fiyya ada suami untuk menjaganya. Saya setuju dengan tindakan ayah tu,” sokong Azli sambil tersenyum.

“Kamu tak rasa melampau ke tindakan ayah ni? Ayah dah berbohong pada Fiyya.”

“Semua tu untuk kebaikan Fiyya. Tapi... sejak bila ayah pandai berlakon ni? Mengalahkan Allayarham Tan Sri P. Ramlee pula tu. Hai, tak sangka saya, ayah boleh berlakon jatuh sakit.”

Tok Aki memandang wajah anaknya. Lembut Azli menepuk bahu Tok Aki. Berderai ketawa mereka.

“Amboi, gelak sakan dua beranak ni.”

Teguran Safiyya mengejutkan mereka berdua. Terkedip-kedip mata mereka memandang Safiyya. Bila masa pula Safiyya muncul di sini? Mereka berpandangan sesama sendiri. Berharap benar Safiyya tidak mendengar perbualan mereka tadi.

Melihat Safiyya yang bersikap selamba, mereka menarik nafas lega. Mujurlah Safiyya tidak tahu apa yang dibualkan oleh mereka tadi.


TERJERIT-JERIT Bella memanggil Puan Sri Raja Mona sebaik sahaja dia tiba di Vila Delima milik keluarga Tan Sri Tengku Hairie. Puan Sri Raja Mona yang sedang menyiram pokok bunga bersama pembantu rumahnya, berhenti. Segera dia mendapatkan Bella yang sedang meradang.

“Kenapa ni sayang?” tegur Puan Sri Raja Mona lembut.

“Aunty, betul ke Wildan nak kahwin dengan orang lain? Wildan beritahu saya semua ni masa saya jumpa dia kat ofis tadi. Betul ke aunty?” soal Bella bertalu-talu.

Buat masa ini dia tidak boleh bertenang sebelum mengetahui kebenarannya dari mulut Puan Sri Raja Mona sendiri.

Terkelu lidah Puan Sri Raja Mona untuk menjawab pertanyaan Bella. Dia tidak sanggup untuk melukakan hatinya gadis ini. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap mahu Bella yang menjadi menantunya. Bukan gadis kampung pilihan suaminya.

“Kenapa aunty diam? Bella tanya ni. Betul ke tak?”

“Sebenarnya ya, Bella. Tapi, Bella jangan susah hati. Walau apa pun aunty takkan terima perempuan kampung tu jadi menantu aunty. Hanya Bella seorang sahaja yang boleh jadi menantu aunty tahu,” pujuk Puan Sri Raja Mona.

Terkejut Bella mendengarnya. Jadi memang benarlah apa yang diberitahu oleh Tengku Wildan kepadanya? Wajah Puan Sri Raja Mona dipandang serius.

“Tapi gadis tu pilihan uncle kan aunty?”

Lambat-lambat Puan Sri Raja Mona mengangguk. Jelas terpancar kekecewaan pada wajah Bella.

“Bella memang tak ada peluang untuk berkahwin dengan Wildan, kan?” Mata Bella sudah mula berair. Sakit benar hatinya menerima kenyataan ini.

“Jangan cakap macam tu, Bella. Aunty akan cuba berbincang dengan uncle supaya batalkan pertunangan mereka minggu depan,” pujuk Puan Sri Raja Mona lagi.

“Kalau tak berjaya macam mana aunty? Lepas bertunang, dua minggu lepas tu mereka akan dikahwinkan. Bella tak boleh terima semua tu aunty. Tak boleh! Tak boleh!” Bella mula memicit-micit kepalanya.

Kalau dia tidak dapat berkahwin dengan Tengku Wildan, terlepaslah peluangnya untuk hidup senang dengan hasil kekayaan Tan Sri Tengku Hairie. Hanya dengan berkahwin dengan Tengku Wildan sahaja dia dan mamanya akan hidup senang. Malah, ketampanan Tengku Wildan juga sudah membuatkan dia jadi gila bayang.

“Sabar, Bella. Kalau uncle tetap keras dengan keputusannya, aunty tak dapat nak buat apa-apa. Kalau Wildan dapat berkahwin dengan perempuan tu, aunty janji akan buatkan mereka berpisah. Aunty akan cari jalan supaya Wildan dan Bella disatukan. Bella pun tahu kan, keputusan uncle sukar untuk diubah. Tapi, aunty akan berusaha untuk cari jalannya,” pujuk Puan Sri Raja Mona lagi.

Bella terdiam. Buat masa ini amat sukar untuk dia berfikir. Remuk hatinya apabila mengetahui Tengku Wildan bakal dikahwinkan dengan orang lain. Siapakah gerangan gadis bertuah itu? Berani gadis itu merampas Tengku Wildan daripadanya. Bibirnya diketap geram.