Isteri Untuk Diiktiraf

BAB 8

  • Art
  • Nurfaza Alisya

SEBAIK sahaja Safiyya selesai didandan, dia ditinggalkan oleh Intan bersendirian di dalam bilik. Seketika dia termenung sendirian.

“Fiyya! Jauhnya termenung,” sapa Haryanti yang muncul di sebalik pintu.

“Yanti! Lambatnya sampai,” rungut Safiyya.

Lantas Haryanti memeluk Safiyya. Dia tidak menyangka keputusan sahabatnya untuk tinggal di kampung membuatkan dia sudah disunting seseorang. Terkejut juga Haryanti apabila Safiyya menghubunginya tiga hari lepas untuk menjemputnya ke majlis pertunangan sahabatnya ini. Apatah lagi Safiyya akan naik pelamin secepat mungkin.

“Cantiknya kau Fiyya. Tup-tup, dah nak kahwin. Tak sangka aku. Dulu cakap tak suka kahwin. Sekarang ni, kau lebih agresif daripada aku ya, Fiyya. Dah tak sabar tu,” gurau Haryanti sambil mata dikenyitkan ke arah Safiyya.

Lantas paha Haryanti dicubit kuat. Haryanti terjerit.

“Sakit tahu!” rungut Haryanti. Segera wajahnya sengaja dimasamkan tanda merajuk.

“Mulut tu over sangat,” balas Safiyya.

“Eh, Fiyya tunjuklah gambar bakal tunang kau tu. Aku pun nak kenal juga,” pinta Haryanti tidak sabar-sabar.

“Sebenarnya, aku tak kenal pun siapa bakal tunang aku ni. Semua ni atuk yang carikan,” beritahu Safiyya gemuruh.

Dadanya semakin berombak kencang menunggu rombongan yang akan tiba tidak lama lagi. Selesai cincin disarungkan, atuk akan kenalkan dia dengan lelaki yang menjadi tunangannya.

Kenapalah waktu ini dia merasakan mahu segera mengenali bakal tunangnya? Walhal sebelum ini atuk ada menanyakan kepadanya sama ada mahu mengenali lelaki itu terlebih dahulu ataupun tidak. Namun, ditolaknya mentah-mentah. Katanya kepada Tok Aki dia lebih percaya dengan jodoh yang dipilih oleh Tok Aki. Baik pada Tok Aki, baiklah pada dia.

“Tak kenal? Isy, kau ni biar betul Fiyya. Takkan tak kenal dan tak pernah tengok siapa bakal tunang kau tu? Nak-nak dua minggu lagi kau nak kahwin, kan? Hai, siapalah jejaka malang yang dapat kawan aku ni.”

“Eh, sudahlah. Hati aku tak tenanglah. Rasa macam nak batal aje pertunangan ni,” kata Safiyya gelisah.

Kalau tidak kerana atuk, tidak sesekali dia akan bersetuju untuk bertunang hari ini dan melangsungkan perkahwinan dalam masa dua minggu lagi.

“No, no, no. Kau jangan buat kerja gila Fiyya. Nanti atuk kau pengsan, kau nak cakap apa?”

Mendengar nama atuk disebut Haryanti, Safiyya terdiam. Dia sudah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak mahu atuknya jatuh sakit lagi. Dia tidak mahu atuknya pergi sebelum melihat dia mendirikan rumah tangga. Hasrat atuk harus dia tunaikan.

“Aku sayangkan atuk. Aku tak nak atuk aku sakit kerana aku. Tapi aku takutlah Yanti. Sesuai ke aku ni digandingkan dengan anak Tan Sri tu? Aku ni dahlah orang kampung aje,” luah Safiyya. Tangan Haryanti digenggam erat untuk menghilangkan rassa gemuruhnya.

Terbeliak biji mata Haryanti mendengar.

“Bertuahnya kau Fiyya. Kalau aku dapat anak Tan Sri, aduh, akan kupeluk dia tiap-tiap malam.” Haryanti mula berangan.

“Yanti!” Satu cubitan halus singgah lagi di paha Haryanti. Kali ini lebih kuat.

Terjerit Haryanti menerima penangan sakti Safiyya itu.

Ketukan di luar pintu bilik mengejutkan Safiyya dan Haryanti. Semakin gemuruh debaran di dada Safiyya.

“Fiyya dah sedia? Kejap lagi bakal ibu mertua Fiyya nak masuk,” beritahu Intan yang muncul di sebalik pintu.

Terlopong mulut Safiyya mendengarnya. Bagaikan mimpi pula bahawa dia akan bertunang hari ini. Beberapa minit lagi jari manis di tangan kanannya akan terhias sebentuk cincin, bukti dia sudah menjadi milik orang.

“Mak su, Fiyya takutlah.” Suara Safiyya gementar.

“Biasa aje. Tak ada apa-apa. Yanti temankan Fiyya. Lepas sarung cincin nanti, bakal ayah mertua Fiyya akan bawa anak dia untuk kenalkan pada Fiyya pula,” beritahu Intan lalu beredar.

Semakin kuat jantung Safiyya bergetar. Kedengaran suara Intan menyuruh seseorang masuk ke bilik untuk menyarung cincin di jari manisnya. Seluruh tubuhnya terasa seram sejuk.

Safiyya mendongakkan kepalanya. Seorang wanita anggun tersenyum ke arah Safiyya. Bekas cincin yang dipegang dibuka. Lembut tangannya memegang tangan Safiyya lalu disarungkan cincin ke jari manis Safiyya. Lantas Safiyya mencium tangan bakal ibu mertuanya.

Puan Sri Raja Mona mengeluh dalam hati. Walaupun dia tidak bersetuju dengan pertunangan ini, namun dia terpaksa beralah dengan suaminya. Dia terpaksa berlakon di hadapan semua orang dan senyuman meleret-leret yang dibuatnya sebenarnya adalah palsu.

Sebelum keluar, sempat Puan Sri Raja Mona meneliti wajah bakal menantunya. Ternyata Safiyya tiada cacat celanya. Walaupun gadis itu bertudung, namun keayuan dan kesopanannya masih terserlah. Tetapi, semua itu tidak melembutkan hatinya untuk menyukai Safiyya. Baginya, Bella adalah jodoh yang terbaik untuk anaknya.

“Assalamualaikum, Safiyya.”

Suara seorang lelaki yang menyapa di muka pintu bilik, mengejutkan Safiyya dan Haryanti yang sedang berborak. Tersenyum Tan Sri Tengku Hairie memandangnya.

“Ini pak cik kenalkan anak pak cik, Tengku Wildan,” beritahu Tan Sri Tengku Hairie.

Lambat-lambat seorang pemuda yang berada di belakang Tan Sri Hairie munculkan diri. Safiyya hanya memerhatikan lelaki yang memakai baju Melayu merah berserta songket muncul dari belakang Tan Sri Tengku Hairie.

Sebaik sahaja Tengku Wildan dan Safiyya berpandangan, kedua-duanya terperanjat besar. Masing-masing membulatkan mata.

Kenapa dia? Itulah pertanyaan yang bermain di benak fikiran Safiyya dan Tengku Wildan. Masing-masing hanya membisu. Tanpa sebarang senyuman di bibir antara teruna dan dara.

Usikan nakal Haryanti mengenakan Safiyya dengan kekacakan Tengku Wildan langsung tidak mencuit hati Safiyya. Apakah Tengku Wildan benar-benar jodoh untuknya?


JAUH Tengku Wildan termenung di halaman homestay kampung Mata Ayer. Homestay ini sengaja disewa ayahnya supaya dekat untuk menuju ke rumah Safiyya. Walhal mereka boleh mendapatkan penginapan yang lebih baik daripada ini. Sesekali dia menampar nyamuk yang hinggap pada tubuhnya untuk menghisap darah.

“Isy, tak selesa betul mama tinggal di kawasan ni. Papa ni, kenapa tak sewa saja hotel kat bandar tu? Mama tak suka betul bunyi cengkerik, nyamuk, katak, macam-macamlah,” rungut Puan Sri Raja Mona yang turut berada di luar bersama suaminya.

Tan Sri Tengku Hairie hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Dia menghirup nafas segar lalu menghembuskannya perlahan. Suasana kampung ini cukup mendamaikannya. Anak perempuan bongsunya, Tengku Widya sudah lama dibuai mimpi di dalam bilik.

“Wildan, tahan kamu duduk dekat luar dengan nyamuk tu. Kenapa tak masuk tidur lagi? Esok kan kita nak balik?”

Laungan suara Puan Sri Raja Mona, mengejutkan Tengku Wildan yang sedang memikirkan Safiyya. Gadis yang pernah diganggunya itu kini telah menjadi tunangannya. Dan lagi dua minggu mereka akan dikahwinkan. Kenapa papanya merancang supaya dia cepat-cepat naik pelamin?

“Wildan, kamu dengar tak apa yang mama cakap ni?” soal Puan Sri Raja Mona. Dia geram apabila pertanyaannya tidak dijawab anaknya.

“Dengar mama. Esok kita bertolak lewat sikit ya, Wildan ada kerja sikit esok pagi,” beritahu Tengku Wildan.

Dia sudah merancang untuk berjumpa Safiyya sebelum pulang esok. Dia harus membuat perjanjian dengan gadis itu.

“Hai, nak ke mana pula? Perkahwinan kamu tu lagi dua minggu. Banyak yang nak kena selesaikan. Tak ada ribut, tak ada angin, tup-tup, bertunang. Lepas tu nak naik pelamin pula. Kalau Bella yang jadi menantu kita kan senang, tak payah nak ulang-alik ke kampung macam ni. Abang tak kasihan ke dekat Wildan bila dia balik kampung sini, nyamuk gigit-gigit dia? Dapat pula isteri macam orang kampung. Eee... Boleh ke anak kita hidup kat kampung ni?” Puan Sri Raja Mona mula membebel.

Dia sangat berharap akan berlaku keajaiban supaya perkahwinan ini tidak akan berlaku. Namun, dia tahu semua itu hanyalah harapan yang tidak menjadi. Kalau itu yang sudah diatur suaminya, jangan harap sesiapa pun boleh membantah.

“Aik, apasal pula mama cakap macam tu? Best apa duduk dekat kampung ni? Bila Wildan dah kahwin nanti, mestilah isteri ikut dia. Safiyya, papa akan letakkan dia sebagai pembantu Wildan di Hotel Mahkota Royal,” beritahu Tan Sri Tengku Hairie.

“Apa papa? Pembantu Wildan? Eh, kenapa tiba-tiba Wildan nak kena ada pembantu ni papa?” soal Tengku Wildan terperanjat besar.

Begitu juga dengan Puan Sri Raja Mona. Amboi, mentang-mentang menjadi menantu dia, diberikan jawatan lagi dalam Hotel Mahkota Royal. Ini tidak boleh jadi.

Tan Sri Tengku Hairie tersenyum. Memang ada sebab kenapa dia buat seperti itu. Dia tidak mahu Tengku Wildan berfoya-foya dengan wanita lain. Dan dia juga tidak mahu Bella datang mengganggu anaknya lagi.

Bukan dia tidak suka Bella menjadi menantunya, namun dia yakin Bella bukan yang terbaik untuk anaknya Tengku Wildan. Apatah lagi gadis itu terlalu sosial. Tambahan pula dia sendiri sudah berjanji dengan Tok Aki untuk memberikan Safiyya pekerjaan.

“Papa ni dah gila ke apa? Kenapa Wildan nak ada pembantu pula? Kenapa isterinya sendiri? Wildan dah ada secretary sendiri, buat apa pula isterinya nak jadi pembantu Wildan?” soal Puan Sri Raja Mona tidak bersetuju.

“Papa dah fikir masak-masak, Safiyya tu ada degree in marketing. Sayang kalau apa yang dipelajarinya dahulu mati begitu sahaja. Sepatutnya dia boleh dapat pekerjaan yang elok. Sebab tu papa nak dia jadi pembantu Wildan. Sambil-sambil tu Wildan boleh ajar dia tentang selok-belok perniagaan kita ni,” beritahu Tan Sri Tengku Hairie lagi.

“Tapi papa...”

“Wildan, apa yang papa buat semua ini adalah terbaik untuk Wildan,” sampuk Tan Sri Tengku Hairie sebelum sempat Tengku Wildan menghabiskan kata-katanya.

“Lepas Wildan kahwin, insya-Allah papa akan serahkan tempat papa pada Wildan sepenuhnya. Sebab lepas ni papa nak rehat puas-puas. Dah lama sangat papa bekerja. Papa ingat nak bawa mama jalan-jalan makan angin lepas ni.”

Kata-kata Tan Sri Tengku Hairie memeranjatkan Puan Sri Raja Mona dan Tengku Wildan. Namun kedua-duanya tersenyum. Lantas Tengku Wildan mendapatkan papanya lalu memeluk erat Tan Sri Tengku Hairie.

“Thanks papa. Wildan tak tahu apa nak cakap. Terima kasih sebab percayakan Wildan nak uruskan Hotel Mahkota Royal. Wildan janji akan buat yang terbaik,” kata Tengku Wildan gembira.

Gembira tidak terkata apabila papanya memberi kepercayaan yang penuh terhadapnya untuk menguruskan Hotel Mahkota Royal.

“Papa yakin anak papa boleh buat,” balas Tan Sri Tengku Hairie lantas menepuk lembut belakang anaknya.

“Yang ni mama setuju sangat. Sepatutnya papa dah lama suruh Wildan take over Mahkota Royal tu. Mama pun dah lama tak makan angin dengan papa. Kali ni mama nak pergi Perth. Mama nak shopping banyak-banyak dan tunjuk pada kawan-kawan barang-barang yang mama beli. Mama nak pergi Harbour Town, Garden City Shopping Centre dan banyak lagi. Alahai, tak sabarnya.”

Puan Sri Raja Mona sudah membayangkan apa barang yang mahu dibelinya.

“Tak baik riak Mona. Beli barang lepas tu tunjuk pada kawan-kawan barang-barang mahal yang awak beli. Tak ke riak namanya tu? Sebenarnya saya bercadang nak ajak mama mengerjakan haji tahun depan. Selagi kita sihat, mampu ni elok pergi cepat sebelum badan ni dah lemah. Nak pergi tahun ni dah melepas,” kata Tan Sri Tengku Hairie.

Terdiam Puan Sri Raja Mona dengan kata-kata suaminya. Teguran suaminya itu benar-benar membuatkan dirinya terbakar menahan marah. Hairan benar kenapa suaminya itu berubah secara drastik.

Adakah disebabkan Safiyya yang sudah menjadi tunang anaknya itu suaminya berubah begini? Yalah, Safiyya itu seorang gadis yang bertudung litup. Bukan sepertinya.

“Dah lewat malam ni. Saya nak masuk tidur. Wildan, jangan tidur lewat sangat. Kamu kata esok ada kerja, kan? Kamu nak ke mana?” soal Tan Sri Tengku Hairie.

“Err... Wildan nak jumpa kawan lama yang tinggal kat sini. Kita bertolak tengah hari sikit, boleh kan papa, mama?”

“Ikut suka hati kamulah. Puan Sri tak nak masuk tidur lagi? Kat luar ni banyak nyamuk. Nanti habis pulak merah-merah badan awak tu,” sakat Tan Sri Tengku Hairie sambil memandang wajah mencuka isterinya.

Dia tahu isterinya itu terasa hati dengan kata-katanya tadi.

“Lebih baik tidur dengan nyamuk aje,” balas Pun Sri Raja Mona dengan nada geram.

“Kalau awak sakit macam mana kita nak pergi bercuti di Perth nanti? Saya pun teringin nak pergi sana. Lepas Wildan kahwin, papa akan cari masa yang sesuai untuk kita bercuti ke sana. Honeymoon sekali,” kata Tan Sri Tengku Hairie sambil mengenyitkan matanya.

Kemudian terus dia berlalu untuk berehat.

Puan Sri Raja Mona yang mendengar melopong. Dia melorek senyum. Tidak disangka dia akan makan angin di Perth sekali lagi. Terus dia berganjak mengekori suaminya.

Tengku Wildan hanya tersenyum mendengar gurauan papanya. Namun, fikirannya mula beralih ke arah Safiyya. Bibirnya diketap menahan geram.