“ASSALAMUALAIKUM! Assalamualaikum!” laung Tengku Wildan di hadapan tangga rumah atuk Safiyya.
“Waalaikumussalam.” Tok Aki yang berada di bawah rumah menjenguk tetamu yang datang.
Mata tuanya yang rabun menyukarkan dia memandang jelas, lalu dihampirinya dengan lebih dekat.
“Eh, Tengku Wildan? Apa khabar? Jemputlah naik,” sapa Tok Aki ramah.
Terus Tengku Wildan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Tok Aki. Tangan tua itu diciumnya.
“Panggil saja saya Wildan, atuk. Tak payah bertengku-tengku dengan saya. Saya datang ni nak jumpa dengan Safiyya sekejap. Boleh tak atuk?” Tengku Wildan mula menyampaikan hajatnya.
“Jumpa Safiyya?” soal Tok Aki terpinga-pinga.
“Err... Atuk jangan fikir bukan-bukan. Saya nak jumpa dia sekejap sebelum saya balik ke Kuala Lumpur kejap lagi. Lagipun saya takkan lama nak bercakap dengan dia, sebab keluarga saya dah menunggu,” beritahu Tengku Wildan. Takut pula kalau Tok Aki tersalah faham.
“Eh, siapa cakap tak boleh? Atuk sebenarnya macam tak percaya pulak Wildan nak jumpa Fiyya. Kejap ya, atuk panggil Fiyya. Agaknya tengah masak kat dapur tu. Ada rezeki boleh kita makan sama-sama tengah hari nanti,” balas Tok Aki lalu berlalu ke dalam rumah.
Melopong Tengku Wildan memandang Tok Aki yang berlalu pergi. Sangkanya lelaki itu tidak selesa dia berjumpa dengan Safiyya. Yalah, baru bertunang dan kenal semalam, hari ini sudah datang mahu jumpa lagi. Apatah tadi dia melihat gelagat Tok Aki yang tercengang sebaik sahaja dia memberitahu mahu berjumpa dengan cucunya. Namun, sebaliknya yang berlaku. Beria-ia betul dia memanggil Safiyya.
Tengku Wildan memandang Tok Aki yang sudah muncul bersama cucunya.
“Isy, atuk ni orang tanya siapa yang nak jumpa Fiyya, dia sengih-sengih saja. Siapa yang nak jumpa Fiyya ni atuk?” Suara Safiyya menerjah ke gegendang telinga Tengku Wildan.
“Tuuu...” Muncung Tok Aki sudah panjang sedepa menunjukkan gerangan tetamu yang datang.
“Dia!” jerit Safiyya kuat.
Terkejut dia sebaik memandang Tengku Wildan yang berada di halaman. Tidak disangkanya lelaki ini datang ke sini.
“Kenapa ni Fiyya?” soal Tok Aki kehairanan melihat keletah cucunya yang terkejut bagai disampuk hantu.
“Err, tak ada apalah atuk. Betul ke dia nak jumpa Fiyya tuk? Entah-entah dia nak jumpa atuk kut,” bisik Safiyya ke arah atuknya.
“Isy, memang dia nak jumpa Fiyyalah. Dua minggu lagi Fiyya nak kahwin dengan dia, kan? Mungkin ada apa-apa yang dia nak bincangkan pasal perkahwinan ni,” kata Tok Aki dengan nada gembira.
Kalau dia minta putus lagi lebih baik atuk. Lagi Fiyya suka, bisik hati kecil Safiyya.
“Pergilah jumpa dia, Fiyya. Dah lama dia tunggu tu,” suruh Tok Aki lagi.
“Yalah, atuk.”
Mahu tidak mahu terpaksa jua Safiyya bersemuka dengan Tengku Wildan. Walaupun dalam hati sebenar benci menghadap wajah lelaki itu.
“Apa hal awak nak cari saya ni?” soal Safiyya malas. Matanya langsung tidak memandang Tengku Wildan.
“Aku nak cakap sikit dengan kau. Tapi bukan kat sini. Ikut aku sekejap,” balas Tengku Wildan.
Kaget Safiyya memandang Tengku Wildan. Amboi, datanglah datang rumah orang, lepas tu paksa-paksa orang ikut dia pulak. Tak reti nak tanya ke orang nak ikut dia ke tak? Safiyya mengomel sendirian.
“Cakap kat sini tak boleh ke? Lagipun saya takkan sesekali berdua-duan dengan awak!” Safiyya sudah meninggikan suaranya.
Semalam barulah dia tahu bahawa lelaki yang menjadi tunangnya kini adalah anak kepada pengusaha Hotel Mahkota Royal. Lelaki keturunan kerabat diraja inilah yang cuba mencabul kehormatannya. Tidak disangka dia dan Tengku Wildan akan disatukan. Semua ini bagaikan mimpi untuknya. Mahu sahaja dia memutuskan pertunangannya semalam sebaik mengenali tunangnya ini. Namun, apabila memikirkan atuknya, terus dibuang perasaan itu.
“Bila kahwin pun kita akan berdua-duaan juga, kan?”
Terbeliak biji mata Safiyya mendengar kata-kata Tengku Wildan. Sakit benar hatinya. Darah merah mula menyerbu ke wajahnya.
“Okey, aku minta maaf. Aku nak bercakap berdua dengan kau bukan sebab aku nak apa-apakan kau. Aku tak nak atuk dengar apa yang kita akan cakapkan ni. Aku nak cakap pasal perkahwinan kita ni. Kau jangan nak perasaan, okey? Aku pun sebenarnya memang tak sukakan kau. Tapi, aku terpaksa kerana papa,” kata Tengku Wildan lagi.
Argh, betapa egonya dia ni, bisik hati Safiyya. Bibirnya diketap menahan geram.
“Kau nak ikut ke tak ni? Aku nak cakap dengan kau sekejap saja. Aku janji takkan apa-apakan kau. Cepatlah, kejap lagi aku nak balik ke Kuala Lumpur,” desak Tengku Wildan.
Safiyya melangkah mendapatkan atuknya untuk meminta kebenaran. Tok Aki yang dari tadi senyap-senyap memerhatikan mereka tersenyum ke arah Safiyya yang menghampirinya.
“Atuk, Fiyya nak keluar dengan lelaki tu sekejap boleh tak?” tanya Safiyya.
“Wildan?” soal Tok Aki untuk mendapatkan kepastian lelaki yang dimaksudkan cucunya.
Lantas Safiyya mengangguk laju.
“Ermm, bukan lelaki itu, tapi Wildan. Atuk tak kisah pun kalau Fiyya nak keluar dengan dia. Pergilah,” ujar Tok Aki sambil tersenyum senang.
Eh, eh, atuk ni. Bukan main sporting lagi dia bagi kebenaran. Dulu bukan main risau kalau ada lelaki yang cuba nak dekat dengan cucunya. Walaupun, dia ni bakal cucu menantu atuk, tetapi perangainya lebih ganas daripada harimau, atuk, bebel Safiyya dalam hatinya.
Terus dia mendapatkan Tengku Wildan.
TENGKU WILDAN memberhentikan keretanya di hadapan sawah padi yang tidak jauh dari rumah Safiyya. Tempat ini dipilih sendiri oleh Safiyya agar berada dekat dengan orang ramai. Sesekali dia tidak akan mempercayai lelaki ini setelah apa yang sudah terjadi terhadapnya sebelum ini. Terus dia turun dari kereta sebelum Tengku Wildan turun.
“Apa awak nak cakap, cakaplah cepat. Saya banyak lagi kerja kat rumah tu,” tukas Safiyya.
Tengku Wildan memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar. Dipandang sekilas Safiyya yang berada di sebelahnya.
“Kau yang desak papa aku untuk rancang perkahwinan kita, kan?”
Terkejut besar Safiyya mendengar tuduhan melulu Tengku Wildan. Dia mula naik radang.
“Apa yang awak merepek ni? Saya tak kenal pun papa awak sebelum ni. Saya pun baru kenal dia. Itu pun lepas saya dah tak tinggal di Kuala Lumpur tahu!” marah Safiyya.
Sakit hati Safiyya dengan tuduhan melulu Tengku Wildan. Sejak dia diperkenalkan dengan Tengku Wildan semalam, barulah dia perasan Tan Sri Tengku Hairie adalah orang yang dirempuhnya sewaktu mahu menyelamatkan diri daripada Tengku Wildan.
Tidak diduganya lelaki itu adalah pemilik Hotel Mahkota Royal dan ayah kepada lelaki yang sudah menjadi tunangnya. Kenapalah kebetulan ini boleh terjadi?
“Ermm, betullah tu. Lepas apa yang berlaku antara kita tu, kau bersubahat nak kenakan aku, kan? Sebab kau nak balas dendam pada aku, kan?”
“Awak ni dah gila ke apa? Saya pun tak inginlah nak kahwin dengan awak ni. Sudahlah perangai macam harimau, muka macam burung belatuk. Memang malang betul!”
Terjegil biji mata Tengku Wildan mendengar gelaran yang diberikan Safiyya untuknya. Amboi, sedap mulut dia cakap aku ni muka macam burung belatuk. Aku ni punyalah handsome bagai nak gila, dia boleh samakan aku dengan burung belatuk? Hai, memang nak kena ganyang jugalah mulut perempuan ni.
“Eh, sekali aku petik jari, berduyun perempuan yang datang tahu. Tak adalah aku nak kahwin dengan perempuan macam kau ni.”
“Kalau tak kahwin lagi bagus. Saya pun tak inginlah nak berlakikan lelaki harimau macam awak ni,” balas Safiyya lalu melangkah.
Namun, cepat-cepat tangannya disambar Tengku Wildan. Dia menjerit.
Segera Tengku Wildan melepaskannya. Malu dilihat orang.
“Eh, kau nak pergi mana? Aku belum habis cakap lagi. Aku nak tahu macam mana kau boleh kenal dengan papa aku. Macam mana dia boleh berkenankan kau untuk kahwin dengan aku ni. Cuba kau cakap pada aku.”
Safiyya mula merengus geram. Sedap sahaja lelaki ini minta dia terangkan bagaimana hal ini boleh berlaku. Walhal semua ini berlaku secara drastik.
“Manalah saya tahu. Yang saya tahu atuk saya dah kenal dengan Tan Sri masa datang ke sini. Saya kenal Tan Sri pun masa dia datang melawat atuk. Itu ajelah yang saya tahu,” jelas Safiyya.
Tengku Wildan merenung anak mata Safiyya. Daripada kata-kata Safiyya dia yakin gadis ini tidak membohonginya. Kenapalah gadis yang diusiknya disunting oleh papa untuk dijadikan isterinya? Memang parah.
“Okey, aku percaya cakap kau. Perkahwinan kita lagi dua minggu. Kau kena ingat, aku terima kau kerana papa. Gadis seperti kau ni bukan cita rasa aku. Aku nak kau ingat tu.”
“Dah habis cakap? Boleh saya pula yang bercakap?” soal Safiyya.
“Hah, cakaplah.”
“Sebenarnya awak pun bukannya calon suami pilihan saya. Dahlah muka macam burung belatuk. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Berlambaklah muka macam awak ni kat Jalan Chow Kit tu.”
“What? Muka aku yang handsome macam Ding Dong Dantes ni kau kata berlambak kat Jalan Chow Kit? Eh, perempuan kau jangan nak hina aku tahu. Aku ni keturunan kerabat diraja yang paling handsome tahu. I’m a rich and handsome guy. You know?” kata Tengku Wildan dengan berlagaknya.
Tergelak Safiyya mendengar kata-kata Tengku Wildan. Hai, perasan sungguhlah mamat seorang ini. Ada pula dia cakap muka dia macam pelakon Filipina yang handsome tu? Adoi, tolonglah mamat oi.
Tergamam Tengku Wildan melihat Safiyya yang sedang ketawa sambil menekan-nekan perutnya. Sudah disampuk ke minah ni?
“Woi, apasal kau ketawa? Kau sakit mental ke?” soal Tengku Wildan.
Safiyya cuba mengawal dirinya daripada terus ketawa. Dia cuba memandang wajah Tengku Wildan. Namun, ketawanya meletus lagi.
“Woi, kau ni dah sengal ke apa!” jerkah Tengku Wildan yang mulai geram dengan sikap Safiyya.
Terus gadis di hadapannya berhenti ketawa sebaik terkejut dengan jerkahannya.
“Manalah saya tak ketawa. Ada ke awak cakap muka awak tu macam Ding Dong Dantes. Tolonglah, sikit pun tak ada tahu.”
Eh, dia ni. Semua gadis cakap aku ni macam Ding Dong Dantes tahu. Kau aje yang dengki dekat aku, omel Tengku Wildan dalam hati.
“Ermm, dah lewat ni. Sebelum balik aku nak beritahu kau ni. Apa yang terjadi antara kita kat hotel dulu, kau jangan pecahkan. Siap kau kalau papa aku dapat tahu. Tahulah kau apa yang aku akan buat kalau papa dapat tahu.” Keras kedengaran suara Tengku Wildan mengingatkan Safiyya.
“Hal tu saya akan fikir dulu,” balas Safiyya angkuh.
Sakit benar hatinya apabila Tengku Wildan mengugutnya begitu. Kesalahan itu berpunca daripada lelaki ini, bukan dirinya. Kenapa pula dia perlu diugut? Teringat kejadian di Hotel Mahkota Royal, hatinya benar-benar membenci lelaki ini. Maruahnya hampir diragut oleh lelaki yang bernama Tengku Wildan.
Lengan Safiyya dipegang kemas Tengku Wildan. Terkejut Safiyya dengan tindakan tiba-tiba lelaki ini.
“Apa pegang-pegang ni, lepaslah.” Kuat Safiyya menarik tangannya.
Hampir-hampir sahaja dia mahu terjatuh kerana ingin melepaskan diri daripada Tengku Wildan.
“Kau ingat ya, kalau kau pecahkan rahsia ni, tahulah apa nasib kau. Kau ingat tu.” Terus Tengku Wildan masuk ke dalam keretanya.
Safiyya merengus geram. Dia benci dengan sikap lelaki ini. Lebih malang lagi, lelaki ini adalah bakal suaminya. Sebaik Tengku Wildan menghidupkan enjin keretanya, terus Safiyya mahu mengatur langkah ke rumah. Baru beberapa langkah dia berjalan, kereta Tengku Wildan mengundur, menghampirinya. Cermin kereta diturunkan.
“Kau nak pergi mana tu? Cepat naik, aku hantar kau.”
“Tak payah. Saya boleh jalan kaki saja. Bukan jauh pun.”
“Senangnya kau bercakap. Aku datang ambil kau, takkan aku nak biarkan kau pulang seorang diri. Apa atuk cakap nanti? Aku juga yang malu,” kata Tengku Wildan.
“Saya ada kaki. Saya boleh balik sendirilah. Tak payah susah-susah,” balas Safiyya tidak mahu mengalah.
“Kalau aku cakap naik, naiklah!” jerkah Tengku Wildan sekali lagi.
Kecut perut Safiyya mendengar suara lantang lelaki itu. Hampir sahaja dia mahu menangis. Bagaimanalah apabila lelaki ini menjadi suaminya nanti? Mati didera agaknya dia.
Air jernih yang hampir gugur ditahannya. Dia tidak mahu nampak lemah di hadapan lelaki ini. Tak apa, hari ini hari kau burung belatuk. Berani kau jerkah aku. Aku akan ingat sampai bila-bila, bebel Safiyya dalam hati.
Lambat-lambat dia masuk ke dalam kereta. Terus kereta Tengku Wildan bergerak ke rumah Tok Aki semula.