BUNYI katil besi memenuhi ruang bilik. Setiap kali aku bergerak untuk mencapai pakaian yang bertimbun di atas katil, bunyi katil kembali singgah di telinga. Kreakkk... kreakkk...
Nazak sungguh katil ini. Hati aku yang membara bertambah geram dengan bunyi yang dikeluarkannya. Nasib baik aku bakal meninggalkan bilik ini tidak lama lagi. Selepas ini, telinga aku akan bebas daripada bunyi yang menyebalkan hati ini.
Aku termenung di birai katil sejenak. Tangan yang sibuk melipat dan menyusun pakaian ke dalam bagasi, terhenti seketika. Aku menghela nafas berat. Apa agaknya nasib aku selepas ini?
Semalam aku nekad. Hari ini, rasa menyesal pun ada. Tapi, bila fikirkan semula kejadian semalam, aku jadi panas hati.
Aku, Nora Hazalea, sudah sebulat hati meletak jawatan berkuat kuasa selama 24 jam dan peletakan jawatan aku telah diluluskan dengan serta-merta.
Ikutkan, keputusan yang aku buat ini memang bodoh. Aku sendiri tidak tahu apa yang merasuk diri ketika membuat keputusan terburu-buru seperti itu.
Tapi, entahlah. Dalam waktu yang sama, aku puas hati. Puas hati yang teramat. Sudah lama aku memendam rasa. Akhirnya, rasa yang membengkak dalam hati aku meletus jua.
Kau orang nak tahu kenapa?
Kalau aku cerita, nanti kau orang cakap aku brutal gila. Yalah, mana tidaknya, aku sempat main tarik tudung dan bergaduh mulut dengan senior tempat kerja aku. Siapa suruh dia cari pasal?
Aku sudah lama makan hati dengan majikan dan rakan-rakan di tempat kerja aku. Tak guna lagi kalau aku bertahan. Sebenarnya, memang banyak masalah yang berlaku di tempat kerja aku. Itu belum masuk ketua bahagian aku. Buat sakit hati saja.
Yang membuatkan aku paling sakit hati adalah sikap bos aku yang pilih kasih. Dalam ramai-ramai pekerja, aku yang selalu disuruh kerja lebih masa. Pekerja senior yang lain sakan bercuti. Lepas cuti, cuti lagi.
Satu lagi perangai bos aku yang aku tak suka, asyik-asyik menuding jari dan mencari kesalahan aku. Terasa begitu berat bebanan yang terpaksa aku tanggung. Kadang-kadang benda kecil pun nak dibesarkan.
Kali ini, aku kuatkan hati. Aku tetap mahu pulang ke kampung. Lantaklah apa mak dengan ayah nak cakap. Mereka mahu gelakkan aku sampai terguling banting sekalipun aku sudah tidak peduli. Ikut suka hati merekalah.
Jiwa aku sudah penat. Aku stres!
Kalau tengok pada angka gaji, memang seronok. Tapi, tidak bertahan lama. Kesihatan mental aku lagi penting. Aku tak mahu gila di usia muda. Cukuplah dengan apa yang aku hadap selama empat tahun ini.
Bila aku teringatkan mak di kampung, automatik badan aku menjadi seram sejuk. Bagaimanakah penerimaan mak nanti? Adakah baik-baik saja?
“Kalau kau balik kampung ni lagi, tahulah nasib kau, Lea.”
Suara mak mula terngiang-ngiang dalam minda. Berulang-ulang dalam fikiran. Seram betul.
Kau orang nak tahu kenapa mak aku cakap macam tu? Sebab aku beria-ia mahu hidup berdikari. Aku yang beria-ia mahu lari daripada tanggungjawab sebagai cucu. Semasa mak bergantung harap kepada aku, aku larikan diri daripada menjaga nenek yang sedang sakit.
Kata-kata mak itu bukan bermaksud aku tidak dibenarkan balik langsung ke kampung. Aku balik, tetapi semasa hari raya Aidilfitri atau Aidiladha. Kalau ada cuti panjang, aku balik juga. Tapi, jarang sangat.
Aku tahu mak marah sangat bila aku sudah bekerja di pekan, dekat dengan rumah, tetapi memilih untuk berhijrah ke Selangor. Itu pasal mak angin dengan aku.
Mak ada tiga orang adik-beradik. Mak yang bongsu. Lagi dua orang, mak long dan pak ngah. Sekarang, rumah aku di kampung dekat dengan rumah nenek dan aku membesar di sana.
Mak long aku duduk di Kuala Lumpur. Memang jaranglah dia balik ke kampung. Pak ngah pula di Johor. Dia pun sama juga, selalu sibuk dengan kerja. Tapi, pak ngah selalu kirim duit kepada nenek. Jadi, apa-apa berkaitan nenek, keluarga aku yang kena dulu. Alasannya, sebab rumah kami dekat dengan nenek.
Aku pula anak sulung. Jadi, aku yang paling dewasa dalam adik-beradik aku. Aku ada lima orang adik-beradik. Aku yang sulung. Adik-adik aku yang lain semua kembar. Satu pasang perempuan dan lagi satu kembar berlainan jantina. Muka semua sepesen saja.
Aku pun kadang-kadang pening dengan perangai kembar-kembar itu. Mak aku cakap, aku tak mesra alam. Mungkin sebab aku ni memang ditakdirkan tak ada kembar. Adik kembar aku yang sama jantina itu Norazlin dan Norazlina dan lagi sepasang yang berlainan jantina Norman dan Noreen.
Kiranya, adik-beradik aku ada empat perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki seorang itulah racun dan penawar. Buat pengubat bagi mak dan ayah yang mahukan anak lelaki. Dapat juga si Norman, si bongsu yang manja.
Aku resah, tetapi dalam masa yang sama, aku tenang. Aku resah mahu berjumpa mak dan ayah, tetapi aku tenang dapat tinggalkan kerja yang menyeksa aku.
KETUKAN pada pintu kamar membuatkan aku cepat-cepat menolak bagasi ke bawah katil. Baju-baju yang berlonggok di atas katil aku sembunyikan di bawah kain gebar. Aku menutup pintu almari dan berbaring di atas katil. Sempat aku intai wajah aku pada cermin.
Nasib baik tak ketara sangat muka aku yang kelihatan seperti orang putus harapan mahu hidup. Tapi, nampaklah pucat sedikit. Rambut yang terikat kemas, aku uraikan dan kusutkan.
“Masuklah. Pintu tak kunci,” ujarku.
Aku buat-buat menguap apabila rakan serumah aku melangkah masuk ke dalam bilik. Sempat aku menggosok mata berulang kali untuk menunjukkan lakonan yang realistik, seolah-olah aku baru bangun daripada tidur.
“Lea, kau tidur ke? Kau okey tak ni?” Sandra duduk di birai katil.
Matanya tidak lepas daripada merenung wajah aku.
Aku hanya mampu tayang senyuman tidak bermaya dan muka mengantuk yang dibuat-buat. Badan menggeliat kecil.
“Okey je. Kenapa?” tanya aku, hairan.
Tak pernah-pernah Sandra nampak gusar seperti ini.
“Aku dengar kau berhenti kerja. Betul ke?” soalnya tanpa teragak-agak.
“Macam mana kau tahu?”
Aku memandang Sandra dengan pandangan terkedu. Rasa-rasanya aku belum ceritakan perkara ini kepada siapa pun. Mak dan ayah aku pun belum tahu.
“Zakir yang bagi tahu. Dia cakap kau bergaduh dengan senior tempat kerja kau. Betul ke?”
“Zakir? Aish... Aku lupa pulak dia satu tempat kerja dengan aku. Kalau dia cakap macam tu, betullah tu.” Aku mengeyakan saja.
Laju betul Zakir buat kerja.
Zakir itu tunang Sandra dan dia bekerja di bawah satu bumbung dengan aku. Kami bekerja di jabatan yang sama. Sandra pula rakan serumah aku. Jadi, kalau apa-apa yang berlaku, Zakir akan jadi tukang penyampai berita.
“Habis tu, macam mana sekarang? Kau nak kerja dekat mana?” Sandra sudah tayang muka sedih.
“Aku nak balik kampung.” Aku bersuara nekad.
“Kampung? Kau dah fikir masak-masak ke? Nanti kau nak kerja apa dekat sana?” Sandra kaget dengan jawapan aku.
Aku salah cakap ke?
“Rezeki Allah SWT tu luas. Aku percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kau janganlah risau. Aku okey. Malah, aku lega sebab dapat keluar dari tempat tu. Aku rasa tenang.” Aku tayang senyum kepada Sandra.
Cuba meyakinkan dia bahawa aku benar-benar tidak terkesan dengan peletakan jawatan itu. Sejujurnya, kata-kata yang keluar dari mulut aku ini terasa pahit untuk ditelan.
Betulkah aku baik-baik saja? Tidak terkesan? Aku sendiri berharap aku akan baik-baik sahaja.
“Kalau betul apa yang kau cakap tu, aku lega. Aku bukannya apa, aku risau sangat bila Zakir cakap kau berhenti. Mengejut pula tu. Kalau kau ada masalah, jangan lupa bagi tahu aku. Kalau aku boleh tolong, aku tolong.” Sandra genggam tangan aku erat.
“Terima kasih, Sandra. Aku hargai sangat-sangat.” Aku menarik nafas lega.
Aku sudah kenal Sandra selama tiga tahun. Kami bersahabat baik. Pada saat ini, aku bersyukur kerana masih ada lagi orang yang setia menemani aku ketika dilanda masalah.