ERNA memandang sekeliling. Semalam selepas dia sakitkan hati Fahmita, ada orang menelefonnya. Dia terkejut bukan kepalang apabila diberitahu itu adalah bonda kepada Edriz. Risau dan takut sebenarnya, tapi mungkin wanita itu mahu berjumpa dengan bakal menantunya.
Erna ternampak seorang wanita anggun sedang mengangkat tangan. Kalau nak harapkan Erna, memang dia tak kenal wanita itu.
Nampaknya Edriz sudah beritahu ibunya. Dalam hati sudah rasa gembira kerana tak lama lagi dia akan menjadi isteri Edriz.
Erna melangkah ke situ.
Tun Fatimah sabar menanti Erna datang kepadanya. Sebaik saja Edriz ke luar negara, terus dia cari pembantunya. Menyuruh pembantunya menyiasat siapa yang Edriz nak jadikan isteri. Akhirnya, setelah berhempas pulas selama seminggu, pembantunya menemui perempuan itu.
Tun Fatimah duduk memandang Erna. Erna pula yang tak senang duduk apabila pandangan Tun Fatimah bagaikan mahu menelannya.
“Assalamualaikum, mak cik.” Erna memberi salam sebelum duduk.
Tun Fatimah menjawab dalam hati. Dia memandang Erna atas bawah.
“Kau memang berani, kan?” Tun Fatimah berkata kepada Erna.
Matanya tajam menikam mata Erna.
Erna telan liur kesat. Sama sekali tidak menyangka mama Edriz datang berjumpa dengannya dan terus bertanya begitu.
“Ke... napa?” tanya Erna berani.
Walaupun dia tak bersedia untuk bertemu dengan mama Edriz, tapi dia memang berani.
“Riz beritahu aku dia nak kahwin dengan kau. Kau setuju?” tanyanya agak tegas.
Terkebil-kebil dia memandang Tun Fatimah. Tak sangka Edriz sudah memberitahu ibunya tentang perkahwinan.
“Saya setuju, sebab saya cintakan Riz.” Erna menjawab berani.
Apabila sebut saja pasal cinta kepada Edriz, memang dia berani. Gilalah dia nak lepaskan lubuk emas. Jadi, dia kena lawan apa saja yang mendatang.
“Kau tak sepadan dengan kami. Kau ingat aku akan restu hubungan kau orang?” tanya Tun Fatimah dengan kening yang terjongket.
“Saya cintakan dia.” Erna berani bertatapan dengan Tun Fatimah.
“Cintakan dia atau harta dia?” tanya Tun Fatimah dengan kata dua.
“Dia.” Erna menjawab berani.
Harta Edriz jatuh di tempat kedua. Kalau tak cintakan Edriz, macam mana nak dapatkan harta dia, kan? Hati Erna berbisik jahat.
Tun Fatimah ketawa.
“Kau tak sesuai dengan kami. Kau ni datang dari mana entah. Kau ingat kau boleh bersama dengan dia?” tanya Tun Fatimah lagi dengan muka kerek.
Dia betul-betul tak suka dengan pilihan Edriz. Perempuan yang berani menjawab sudah pasti tidak akan mendengar katanya. Dia mahu perempuan lemah lembut macam Melisa.
“Saya sesuai dengan dia. Bila dah cinta, semuanya sesuai.” Erna membalas, semakin berani.
Tun Fatimah senyum sinis dan tak lama kemudian dia mengeluarkan buku cek. Dia memandang Erna sekali lalu dan menghulurkan cek yang telah ditandatangani. Tun Fatimah tolak kertas cek itu ke depan Erna.
“Untuk apa ni?” tanya Erna.
Matanya melihat cek tersebut. Dia memang buta kalau tak kenal dengan cek.
“Kau isilah cek di depan kau tu, berapa yang kau nak.” Mulut Tun Fatimah termuncung ke situ.
Terkebil-kebil mata Erna melihat cek kosong itu. Cek kosong!
Erna menelan liurnya. Berapa yang dia nak letak? Hatinya tertanya-tanya. RM1 juta? Jumlah itu terlalu banyak barangkali. Mana ada orang nak putuskan hubungan sanggup bagi sehingga RM 1 juta. Orang yang betul-betul berduitlah kut?
Erna masih memandang cek kosong tersebut.
“Dah fikir berapa kau nak?” tanya Tun Fatimah.
Erna masih tak menjawab. Dia tak tahu berapa jumlah yang patut dia letak.
Tun Fatimah menarik semula cek tersebut ke depannya. Dia meletakkan harganya sendiri dan menolak ke depan Erna.
Terkebil-kebil Erna memandang jumlahnya. Tujuh angka! Erna rasa nak pengsan di situ. Dia baru saja terfikir tadi.
“Dengan syarat jangan muncul depan Riz lagi.” Tun Fatimah berkata.
Erna telan liurnya. Edriz dan cek? Mana satu yang patut dia pilih?
Dia sayangkan Edriz kerana Edriz adalah lelaki kaya pertama yang menjadi teman lelakinya. Tapi, dengan cek di depan matanya itu, Erna jadi berbelah bahagi.
Akhirnya, Erna mencapai cek tersebut. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia melihat cek yang bertulis sebanyak tujuh angka. Mati hidup semula pun dia tak akan percaya.
Telefon berdering, mengejutkan mereka. Tertera nama Edriz di skrin. Erna biarkan saja ia berbunyi. Dia memandang Tun Fatimah.
“Buka kad sim kau sekarang juga.” Tun Fatimah berkata sambil memandang telefon Erna.
“Buat apa?” Kening Erna berkerut.
“Kau hilangkan diri terus.” Tegas dia berkata.
Erna mengikut kata Tun Fatimah. Cek dimasukkan ke dalam tas tangan. Dia akan menunaikannya sekejap lagi. Terbayang-bayang apa yang akan dilakukannya nanti.
Tak payah dia duduk menyewa dengan Fahmita lagi. Lagipun, buat sakit hati saja duduk dengan orang cantik macam Fahmita. Semua orang sukakan Fahmita berbanding dirinya.
Dia sudah merangka perancangan dalam kepala. Pertama sekali, dia akan keluar dari rumah tersebut. Kedua, dia akan merantau keluar dari negeri ini.
ERNA melangkah masuk ke dalam rumah dengan hati yang girang. Cek tadi sudah ditunaikan.
Dia melabuhkan duduk di kusyen. Kakinya dihentak perlahan ke lantai. Hatinya tengah gembira dan dia mula berfikir, mudah sebenarnya untuk mendapatkan duit.
Edriz memang lubuk rezekinya. Kalau dia fikir mahu melawan Tun Fatimah untuk berkahwin dengan Edriz, dia risau nanti dia akan berputih mata saja. Sebab Tun Fatimah sudah terang-terang tak sukakannya.
Ah, lantaklah. Janji aku dapat duit. Kalau lepas ni habis? Boleh saja buat kerja dengan cara yang sama. Erna sudah merangka dalam hati.
Dia tersenyum lebar. Tiba-tiba perjumpaan dengan Tun Fatimah merangka rancangan baru dalam kepalanya.
Erna bingkas ke bilik Fahmita. Dia menolak pintu bilik yang gelap itu dan membuka lampu.
Kosong. Fahmita tiada.
Pelik pula kerana Fahmita jenis jarang keluar malam. Dia melangkah ke meja solek yang kosong kerana barangan kosmetik Fahmita memang tak banyak mana pun.
Mesej berdenting di telefonnya. Erna meleretkan skrin. Tertera nama Fahmita.
Aku balik Thailand.
Hanya itu saja yang diberitahu Fahmita. Erna jongket bahu. Malas dia nak balas mesej Fahmita. Lantak kaulah nak pergi mana pun. Jangan ganggu aku sudah!