BANG! Nawal menembak dada Hanan.
Hanan tidak lagi berdaya untuk melarikan diri apabila kakinya terperosok dalam celahan besi penutup longkang. Sedaya upaya dia cuba menarik keluar kakinya, tetapi tidak berjaya. Nawal menembak lagi dan lagi menggunakan senapang kayu berpeluru buah terung belanda.
“Hang kalah! Kumpulan aku menang. Yeay! Kami memang!” Nawal bersorak gembira sambil matanya melilau mencari rakan sekumpulannya.
Untuk mengelak Hanan melarikan diri, Nawal terus galak menembak. Semakin Hanan menjerit kesakitan, semakin mengilai tawa Nawal.
Hanan bengang. Senapang kayu miliknya yang terdampar di atas lantai dicapai, lalu dibaling sekuat hati kepada Nawal. Dia berharap tindakan itu dapat menghentikan kerja gila Nawal.
Nawal berhenti menembak. Mereka berbalas pandang. Nawal terpaku. Seketika kemudian, darah pekat mengalir menuruni pipi tembam Nawal.
Alamak! Kepala dia pecah. Mati aku, desis Hanan.
Nawal membuang senjatanya, lalu berlari ke rumah tok ma. Lima minit kemudian, Hanan melihat uminya melangkah laju menghampirinya sambil membawa rotan.
Dah agak! Dia akan kena. Nawal memang budak tak guna. Dia benci budak bandar itu. Ini bukan kali pertama budak tembam itu menjadi punca dia dimarah, dipukul dan dirotan. Dia pernah dilibas dengan getah paip disebabkan cerita buruk Nawal tentang dirinya.
Mahu tidak, Nawal memberitahu umi yang dia mahu menonton video lucah. Baru cadangan, bukan dia buat pun lagi. Tapi, berparut bahagian atas lengan dan bahunya setelah tiga kali dilibas. Sakitnya masih dia ingat sehingga sekarang.