BULAT mata Hanan setelah mendengar cadangan uminya.
“Kahwin dengan Nawal? Gila ke apa?” bentak Hanan dengan suara tinggi.
Wan Masitah mencerlung anak lelaki tunggalnya. Inilah kali pertama anaknya itu membentak. Terkejut? Memang dia terkejut.
“Tergamak Hanan jerkah umi.” Wan Masitah bersuara lirih setelah beberapa saat memandang anaknya tanpa berkedip.
Hanan mendecit. Bukan niatnya mahu bersikap kurang ajar, tetapi kali ini umi benar-benar mencabar kesabarannya.
“Sampai bila nak menduda? Hanan dah dua tahun bercerai. Dengar cerita Hani pun dah nak kahwin lain.”
Perit apa yang didengarinya. Hanan menggeleng lemah.
“Mana umi tahu dia nak kahwin? Hanan baru jumpa dia dua hari lepas. Tak ada pulak dia kata nak kahwin. Kalau ya pun dia nak kahwin, Hananlah pengantin lelaki tu.”
Wan Masitah mendecit. Kali ini giliran telinga dan hatinya pula terasa perit. Sungguh, dia akan membantah dengan apa cara sekalipun. Janji perempuan itu tidak menjadi menantunya buat kali kedua.
“Umi tak setuju.”
“Bukan ke tadi umi kata nak tengok Hanan kahwin semula? Konon kesiankan Hanan?”
“Sebab kesianlah umi tak mahu Hanan kahwin dengan dia. Cukuplah umi dan arwah ayah jadi saksi. Sedih hati kami tengok eadaan Hanan semasa jadi suami dia dulu. Tiap hari bertengkar. Hanan nak lalui lagi pengalaman macam tu?”
“Kami akan cuba belajar daripada kesilapan dahulu. Dah ada anak ni, masing-masing lebih bertanggungjawab. Takkanlah hari-hari nak bergaduh depan Qalish.”
Wan Masitah mencebik. “Umi dah boleh nampak kalau Hanan kahwin sekali lagi dengan dia. Lagilah Hanan makan hati. Dulu nak kena jaga hati mak saja. Ni, nak kena jaga hati anak pula.”
“Umi tak kesian ke kat Qalish? Dia tu cucu umi.”
“Siapa yang tak sayang cucu? Tak kesian cucu? Tapi, umi lebih kesian kat Hanan. Umi kenal anak umi. Umi tahu Hanan takkan bahagia.”
Hanan menggeleng. “Hanan hanya akan bahagia dengan Hani. Hanan tetap sayangkan Hani. Umi tahu kan, Hanan tengah pujuk Hani?”
“Umi tak kira. Umi dah sembang dengan Kak Gayah. Nawal pun dah setuju.”
Hanan membuntangkan matanya. Dah kenapa umi berbincang dengan mereka berdua tanpa menanya pendapatnya dahulu?
Wan Masitah tunduk. Dia tidak berani melawan pandangan tajam Hanan. Memang Rogayah bersungguh-sungguh mahu menjodohkan cucunya dengan Hanan. Namun, cerita yang Nawal juga bersetuju dengan perkahwinan ini adalah dusta. Rogayah juga belum memanjangkan hajatnya itu kepada cucunya, Nawal.
“Umi tahu, kan? Hanan meluat sangat dengan cucu Mak Cik Gayah tu. Macam jantan. Gemuk dan berlemoih. Kami dah 10 kali kahwin kut sebelum ni,” ujar Hanan.
Dia masih ingat lagi setiap kali main kahwin-kahwin, Nawal akan memilihnya sebagai pasangan. Tapi, tak adalah sampai 10 kali. Saja dia menambah cerita. Meluat sungguh. Ketika itu, dia berharap dapat memilih Ida sebagai isterinya. Tapi, Nawal tu cengil sangat. Ida menurut saja. Hanan pula, dia memang takut dengan Nawal.
Wan Masitah tersenyum kambing. Dia ada idea untuk memujuk Hanan. Nawal lebih cantik daripada Hani.
“Siapa kata berlemoih? Gemuk? Raya baru ni dia balik sini dengan mak dia. Lawa saja umi tengok. Macam Che Ta yang hang kata lawa sangat tu. Dia belajar tinggi, keluar universiti. Kalau keluar universiti tu, maknanya dia budak pandailah, kan?”
Mungkin ada benarnya kata umi. Dia juga sudah lebih 10 tahun tidak bertemu dengan Nawal. Ah! Tak kisahlah kalau Nawal secantik Rozita Che Wan sekalipun. Hatinya tetap kepada bekas isterinya.
“Kalau dah lawa, pandai, buat apa nak kahwin dengan Hanan? Suruhlah mak dia cari jantan lain. Macam tak layak pula budak universiti nak kahwin dengan orang kerja kampung macam Hanan ni.”
“Syukurlah sebab dia nak kahwin dengan hang yang berlemoih dengan tanah liat tiap hari. Kalau macam hang ni, kompom Che Ta tak pandang. Sikit pun tak ada gaya suami dia,” tukas Wan Masitah.
Hanan mengetap rahang. Dia terasa dengan kata-kata Wan Masitah. Adakah umi lupa kenapa dia masih mereput di kampung sedangkan rakan-rakan sekuliah semuanya sudah bergaya dengan kemeja dan bertali leher? Bekerja di dalam bilik berpendingin hawa?
“Sekarang ni umi nak hina punca rezeki keluarga kita? Kalau tak sebab arwah ayah sakit dan umi merayu-rayu minta Hanan balik sini, Hanan tak buatlah kerja bendang tu. Penat-penat Hanan belajar, last-last ijazah tu jadi habuan makan lipas saja.”
Wan Masitah terpempan. Bukan niatnya mahu menghina Hanan. Dia cuba berseloroh kerana Hanan pernah beritahunya yang dia mahukan wanita secantik Che Ta jika mahu berkahwin lagi. Namun, sikap mengungkit anaknya yang tiba-tiba tadi membuatkan dia pula terasa hati.
Apabila Wan Masitah terdiam, Hanan tahu kata-katanya tadi menggores hati wanita itu.
“Hanan tak boleh terima Nawal. Budak tak senonoh tu tak sesuai nak buat bini Hanan. Hairan betul. Sebab apa umi pilih budak tu kalau nak dibandingkan dengan Hani?”
“Hani tu tak tahu nak hormat orang tua. Dia pentingkan mak ayah dia saja. Dia tak tahu hormat Hanan. Tiap hari buat perangai. Sakit hati umi dengan perangai dia.”
“Umi yang nak Hanan terus tinggal kat sini untuk jaga umi, kan? Jadi, umi kenalah tolak ansur dengan sikap Hani. Mana ada menantu yang boleh ngam dengan mak mentua?”
Lebih-lebih lagi yang kaki membebel macam umi ni. Namun, ayat itu tidak diluahkan. Umi sudah beberapa kali sentap. Jika boleh, Hanan tidak mahu terus mengeruhkan keadaan mereka berdua. Syurganya di kaki umi. Dia masih sedar hakikat itu.
“Bulan depan Abang Rusdi akan ke Jerman. Umi kena tinggal dengan Kak Diyan. Siapa yang akan jaga makan minum Hanan?”
“Tak mati aih Hanan duk sorang-sorang kat sini. Lagipun Hanan bukan tak tahu memasak.”
“Umi bagi masa kat Hanan seminggu. Hanan akan cuba pujuk Hani,” pinta Hanan.
“Dia takkan terima Hanan. Umi berani potong jari.”
Hanan memandang ibunya.
“Potong kepala pun umi berani,” ujar Wan Masitah yakin.
Dua tahun anaknya gagal memujuk wanita sombong itu. Mana mungkin Hanan dapat memujuk Hani dalam tempoh seminggu.
Hanan beristighfar.
“Macam mana kalau dia setuju kahwin semula dengan Hanan?” soal Hanan bernada yakin meskipun tahap keyakinannya hanyalah 30 peratus sahaja.
Melihatkan keyakinan anaknya, Wan Masitah gusar.
“Kalau Hanan kahwin semula dengan dia, Hanan boleh anggap umi dah mati. Umi akan ke rumah Kak Diyan dan takkan balik lagi ke sini.”
“Awat dengan umi ni? Hanan dah besar. Dah ada anak pun. Biarlah Hanan tentukan hidup Hanan sendiri.”
“Masa Hanan kahwin dengan dia, siapa yang bantah?”
Hanan diam. Tidak ada sesiapa yang membantah.
“Umi, ayah dan kakak-kakak tak halang pun, kan? Kami memang tak berkenan dengan budak tu, tapi kami ikut saja sebab Hanan dah gila sangat dekat dia. Tapi, kali ni umi takkan setuju kalau Hanan nak kahwin sekali lagi dengan dia. Jangan sampai umi tak halalkan air susu umi yang Hanan minum.”
Hanan melopong. Allahu. Dia memandang wajah umi dengan rasa tidak percaya.
Melihatkan mata Hanan yang berkaca-kaca, Wan Masitah dihambat rasa bersalah. Dia terus beredar ke biliknya. Wan Masitah duduk di birai katil.
“Ceraikan saya! Saya dah penat duduk dalam rumah ni. Rumah macam penjara. Saya benci dengan perangai umi yang tak habis-habis menyindir. Dah beratus kali saya ajak awak pindah dari sini. Tapi, awak tak boleh nak tunaikan permintaan saya tu, kan? Jadi, hari ni ceraikan saya.”
Wan Masitah memejamkan matanya. Itu perbalahan terakhir antara anak menantunya.
Rayuan dan pujukan Hanan memilukan hatinya. Bersungguh-sungguh Hanan memujuk, namun gagal. Satu jam selepas pertengkaran itu, ibu bapa Hani datang membawa Hani pergi dari rumah mereka. Tiga bulan kemudian, Hani menuntut fasakh di mahkamah.
Hanan bukan sahaja menanggung rindu kepada Hani, malahan anaknya, Qalish.
Wan Masitah tahu bukan dia punca utama Hanan dan Hani bercerai. Bekas menantunya berhajat untuk mengajak Hanan tinggal bersama keluarganya di Perlis. Hani juga sering menghasut Hanan agar meninggalkan kerja kampung dan mencari pekerjaan baru yang sesuai dengan kelayakannya. Mungkin dia malu bersuamikan seorang pesawah.