ROGAYAH mengusap lembut lengan Nawal. Itulah satu-satunya cucu yang dia ada. Sejak kecil Nawal memang rapat dengannya. Setiap kali cuti persekolahan yang panjang, Nafisah akan meninggalkan Nawal kepadanya untuk dijaga.
“Yang mak diam aje kenapa?” sergah Nafisah.
Lain benar sikap ibunya dalam telefon dua hari lepas jika dibandingkan dengan hari ini.
Rogayah mendongak. Wajah anaknya dipandang sebelum beralih kepada Nawal.
“Kenapa tok ma? Semua ni cadangan tok ma ke?”
Lambat-lambat, Rogayah angguk juga apabila dilihat mata merah Nafisah sedang mencerlungnya.
“Nawal tak nak kahwin, tok ma,” ujar Nawal sambil memuncungkan bibirnya tanda protes.
“Nawal kan dah 25 tahun? Elok sangatlah kahwin. Nak membujang sampai bila?” pujuk Rogayah. Dia masih mengusap lengan gadis itu.
“Nanti-nantilah Nawal kahwin.” Nawal mendakap bahu si nenek. Kepalanya dilentokkan ke dada Rogayah.
Manja sungguh kelakuannya.
Nafisah memandang dengan rasa sebak. Entah bilalah hubungannya dengan Nawal akan pulih semula? Lebih 10 tahun hubungannya dengan Nawal dingin.
“Tapi, tok ma teringin sangat nak tengok Nawal kahwin. Tok ma ni bukan muda lagi. Dah nak masuk 75 tahun. Sebelum tok ma tutup mata, tok ma harap sangat dapat tengok cucu menantu dan cicit.”
Nawal tersenyum pahit. “Siapa calon yang tok ma bawa untuk Nawal?”
Melihatkan mulut tok ma yang mahu berkata-kata, Nawal mencelah, “Pastikan yang handsome, kaya dan ada pelajaran. Tahap handsome tu biar setara dengan Bradley Cooper.”
“Siapa dia tu? Tok ma tak kenal.”
“Hah! Sat. Nawal Google. Macam ni, tok ma. Senyum manis sungguh. Tahap boleh potong kaki.”
Rogayah yang kabur pandangan disebabkan selaput mata sekadar menatap skrin telefon untuk membeli hati cucunya.
“Cuba hang tengok Pisah, ada tak rupa calon menantu kita macam tu?” tanya Rogayah kepada anaknya.
Nafisah memanjangkan leher memandang skrin, namun cepat-cepat Nawal menggelapkan semula skrin telefonnya. Tindakan itu mengundang rasa sebal dalam diri Nafisah.
“Handsome lagi Hanan, mak oi.”
Nawal membuntangkan matanya? Hanan? Biar betul?
“Buat apalah nak banding dengan laki orang? Dah pupus ke spesies-spesies bujang atau duda fresh dari ladang?” Nawal mengutuk.
Rogayah menggeleng. Nafisah pula tayang wajah tidak ada perasaan.
“Mana pulak laki orang? Hanan tu duda.”
“Eh! Bukan dah rujuk dengan bini dia ke?”
“Mana ada. Tak jadi rujuk. Masitah tak setuju. Tapi, Masitah tu suka sangat kalau Nawal yang jadi menantu dia.”
Nawal terdiam. Hanan? Hurm! Sukar ditolak calon suami pilihan tok ma ni. Sejak umur 12 tahun kut dia jatuh hati kepada Hanan. Tapi sayang, Hanan lembik. Suka menangis dan kaki mengadu. Pantang salah sikit, Hanan akan berlari balik ke rumah dan mengadu kepada uminya.
“Hah! Awat diam? Boleh ke kalau tok ma kata diam tu tandanya setuju?”
Nawal menggeleng laju. Bersungguh-sungguh dia menafikan andaian neneknya.
“Apa yang tak kena dengan Hanan?” tanya Nafisah dengan wajah ketat.
“Lembik. Manja. Entah-entah, sebab tu bini dia lari.”
“Nawal!” tegur Rogayah.
Nawal yang sedar dirinya sudah terlepas kata, tersengih.
“Kalau Masitah dengar, mahu dia cili mulut kamu tu. Padan muka. Mulut puaka betul,” bebel Nafisah.
“Biar mulut puaka. Jangan laki puaka sudah!” Nawal menyindir. Wajahnya sudah mula merah menahan marah.
Nafisah tersentak. Dia cuba meneutralkan wajahnya agar Rogayah tidak mengesyaki apa-apa.
Kedengaran suara memberi salam dari pintu belakang. Rogayah segera berlalu ke dapur.
“Hah! Saadiah, dah nak pi rumah Kak Leha ka?”
Saadiah angguk. “Hang sembahyang asar dah?”
Rogayah angguk. “Tunggu sat. Aku pi ambik kain tudung.”
Saadiah angguk. “Aku pi rumah Milah sat. Dia pun kata nak pi sekali dengan kita.”
Rogayah angguk. Setelah bersiap, dia berlalu keluar. Sempat dijeling anak cucunya di ruang tamu. Sunyi sahaja dua beranak itu. Langsung tidak bersuara.
“Kahwin ajelah dengan Hanan tu. Apa yang susah sangat? Kamu memang tak suka tinggal dengan mama, kan? Kahwin dengan dia. Menetap kat sini. Habis cerita.”
“Kenapa? Selama ni elok aje Nawal duduk dengan tok ma kat sini. Kenapa pula tiba-tiba kena paksa kahwin? Dengan duda pula tu.”
“Habis tu, nak cari anak teruna? Sedar diri tak?”
Nawal bingkas bangun. Dia bercekak pinggang di hadapan Nafisah. Rasa hormat yang bersisa terus lenyap.
“Nawal sedar siapa diri Nawal. Mohon mama pun sedar siapa suami mama tu.”
“Kami dah bercerai, kan? Dia pun dah meringkuk dalam penjara. Apa yang kamu tak puas hati lagi ni?”
“Sejuta tahun dia dipenjara pun, boleh bagi balik ke maruah Nawal? Boleh sucikan Nawal semula?”
Nafisah menarik nafas dalam. “Mama tak boleh nak ubah apa yang dah terjadi.”
“Tapi, kalau mama percaya cerita Nawal, semua tu takkan berlakulah.”
Nawal masih ingat lagi setiap kali dia mengadu Wahab menyentuhnya, mama tetap dengan nasihat yang sama. Kononnya daddy bergurau, daddy memanjakannya dan bla bla bla. Sehinggalah peristiwa hitam itu menimpa dirinya, barulah mama percaya. Itu pun setelah dia dibawa untuk pemeriksaan doktor.
“Dah beribu kali mama minta maaf dengan kamu. Apa lagi yang kamu nak mama buat?”
Suasana diam seketika.
“Macam inilah. Kamu kahwin dengan dia. Mama tahu dia masih cintakan bekas isteri dia tu. Tapi, biarlah. Kamu kahwin dengan dia beberapa bulan. Lepas tu bercerai. Nanti bila kamu nak kahwin semula, orang dah tahu yang kamu ni janda.”
“Kahwin hanya untuk diceraikan? Mana mama belajar? Daripada novel atau drama Melayu?”
“Itu lebih baik daripada nikah dan kena cerai sebab dapat tahu kamu dah kena tebuk tupai. Kalau kamu bercerai dengan Hanan pun, orang kampung takkan salahkan kamu. Mereka akan ingat Hanan tu masih tak dapat lupakan isteri dia tu.”
Nawal menarik nafas dalam. Tupai tak guna tu bekas ayah tirinya. Peristiwa hitam itu berlaku ketika usianya 15 tahun. Sejak itu dia minta untuk belajar di sekolah berasrama. Setiap kali cuti, dia akan pulang ke kampung.
Apabila Nafisah kahwin untuk kali ketiga, dia semakin berdendam dengan ibunya. Bagi Nawal, mamanya tidak layak untuk mengecapi bahagia. Bila Nafisah bercerai untuk kali ketiga, dia bertepuk tangan, gembira. Langsung tidak ada simpati.
“Sebenarnya, mama tak risau pun pasal Nawal. Mama cuma fikir pasal diri mama aje. Macam mana kalau orang tahu bekas suami mama tu perogol? Mama bimbang reputasi mama akan jatuh, kan? Junjung sangatlah maruah diri mama tu dan dipersilakan pijak maruah Nawal.”
“Nawal!” Suara Nafisah naik beberapa oktaf.
“Nawal boleh kahwin dengan Hanan, tapi ada syaratnya.”
Nafisah menunggu syarat yang akan dinyatakan oleh anaknya.
“Mama kena bagi tahu tok ma apa yang jantan tak guna tu dah buat kepada Nawal. Beritahu tok ma sebab apa Nawal tak nak tinggal dengan mama sejak 10 tahun lalu. Nawal dah penat berbohong dengan tok ma.”
Nafisah terkedu. Ibunya sudah acap kali bertanyakan soalan yang sama. Kenapa hubungannya dengan Nawal dingin? Kenapa Nawal tak nak tinggal dengannya ketika cuti? Kenapa Nawal suka menyendiri?
“Macam mana? Boleh tunaikan syarat Nawal tu?”
Nafisah menarik nafas dalam.
Nawal tersenyum sinis. Dia boleh meneka jawapan Nafisah. Sudah pasti ibunya tidak mahu dimarahi oleh tok ma. Nawal masih ingat yang tok ayah dan tok ma memang menentang keras perkahwinan mamanya dengan Wahab. Ketika itu, arwah ayah baru enam bulan meninggal dunia.
“Okey. Mama akan beritahu tok ma apa yang berlaku.”
Nawal terpempan. Wajah mama yang serius memberitahunya wanita itu tidak bergurau. Nawal menelan liur. Dia sekadar menduga sahaja sebentar tadi. Tok ma tak boleh tahu. Dia tidak mahu wanita itu bersedih. Dia acah sahaja tadi.