Setelah Terlafaznya Akad 1

BAB 9

  • Art
  • Anna Milia

HANAN mengerling Nawal yang sedang melangkah keluar dari bilik. Wajah isterinya kelihatan segar setelah membersihkan diri. Ketika Nawal mengayun langkah hendak ke dapur, dia menegur.

“Awak lapar ka?” Hanan memandang Nawal.

Nawal menggeleng. Dia hanya dahaga. Terlalu dahaga sebenarnya.

Hanan meletakkan alat kawalan jauh di atas meja kopi. Dia membuntuti langkah Nawal ke dapur.

“Saya dah masak...” Kata-kata Hanan mati apabila terpandangkan wajah sembap Nawal.

Matanya juga bengkak. Hati Hanan kembali risau.

“Kalau awak nak makan, saya boleh hidangkan,” sambung Hanan.

Nawal menggeleng. Dia meneruskan langkah menuju ke peti sejuk. Sempat dia melirik lantai dapur yang sudah dikemas rapi. Nawal membuka peti sejuk. Sebekas puding jagung menjamah pandangannya. Nawal menelan liur.

Baiknya tok ma. Nawal memuji. Dia mengeluarkan bekas makanan tersebut, lalu diletakkan di atas meja makan. Nawal mengambil piring kecil, pisau plastik dan sudu. Pandangan Hanan terhadapnya diabaikan.

Dia duduk menikmati puding jagung yang menjadi kegemarannya. Kali ini lebih sedap berbanding selalu. Mungkin terlebih manis dan lemak, teka Nawal.

Hanan mencedok nasi, lalu duduk di hadapan Nawal. Tudung saji diangkat. Dia tahu Nawal mencuri pandang lauk yang berada di atas meja.

Ketika Hanan menadah tangan membaca doa makan, Nawal bangun sambil membawa puding yang masih berbaki separuh ke ruang tamu. Dia masih marah kepada Hanan. Wajah itu tidak sudi dipandang, apatah lagi mahu menemani lelaki itu makan.

Lima minit kemudian, Nawal kembali ke dapur untuk mengambil potongan puding yang seterusnya.

“Sedap?” tanya Hanan.

Berselera sungguh Nawal menikmati puding tersebut. Sudah satu per tiga bekas dihabiskan oleh Nawal.

Nawal tidak menjawab soalan Hanan. Dengan berlagak, dia melangkah keluar dari dapur semula. Namun, langkah kakinya mati tatkala ternampak dua tin jagung dan satu tin susu cair yang sudah kosong di dalam bakul sampah. Tok ma tidak akan memasak di rumah Hanan. Dia lebih selesa memasak di rumah sendiri.

“Tok ma datang lagi ke tadi?” tanya Nawal dalam nada dingin.

“Tak.”

“Habis tu, puding ni?”

“Saya yang buat. Sedap, kan?” Hanan menjongketkan keningnya sambil tayang wajah bangga.

Nawal berundur beberapa langkah. Pinggan berisi puding diletak kasar di atas meja makan. Dia menuju ke singki. Jari telunjuk dijolok sehingga mencecah anak tekak. Dua saat kemudian, semua isi perutnya dihamburkan ke dalam singki.

Bunyi yang dihasilkan oleh Nawal ketika berusaha untuk muntah telah mematikan selera Hanan. Dia berhenti makan. Hanan melihat belakang tubuh Nawal yang tunduk sehingga kepala wanita itu hampir rapat ke singki.

Sungguh! Dia tak sangka Nawal akan bertindak sedemikian. Buruk sungguh perangai.

Setelah isi perut dihambur keluar, Nawal mengesat mulut menggunakan hujung lengan kemeja-T yang dipakainya. Air paip dialir untuk membersihkan singki.

Hanan masih setia memerhatikan perangai Nawal. Sambil bersandar pada kerusi, dia memikirkan nasib dirinya. Macam manalah umi berkenan sangat dengan Nawal?

Sejak dua minggu berkahwin, dia belum nampak sisi yang menarik pada wanita itu. Nawal bukan gadis suci, Nawal brutal, kuat merajuk, samseng, kasar, loklak, tak pandai masak, tak bekerja, pemalas, kaki membebel dan entahlah. Banyak lagi kalau dia nak senaraikan.

Nawal berpaling. Pandangannya dengan pandangan Hanan beradu. Nawal mengambil piring berbaki puding di atas meja. Dia membuang puding ke dalam bakul sampah. Pinggan dan sudu diletakkan di dalam singki.

“Kalau tak suka, tak payah membazir. Makanan yang awak makan selama dua minggu ni bukan saya beli dengan daun bunga raya kat luar tu. Itu hasil titik peluh saya di sawah. Kalau nak membazir macam ni, pergi keluar cari kerja, cari duit sendiri. Ini tak, duduk macam mem besar dalam rumah. Jangankan kerja kat sawah, kerja dalam rumah pun tak reti nak buat.”

Nawal terpukul dengan kata-kata Hanan. Dia tidak mampu menjawab teguran Hanan tadi. Apa yang dia mampu buat adalah bertekad untuk keluar mencari kerja esok pagi.

Hanan tahu kata-katanya menghiris hati Nawal. Tapi, nak buat macam mana? Dia sakit hati sangat dengan sikap keras kepala Nawal. Dia dah minta maaf, kan? Kenapa susah sangat Nawal nak berdamai dengannya?

Dia tolong masak nasi, siap dengan pencuci mulut lagi. Dah aku buat, makan sajalah. Susah sangat ke?


KEESOKAN paginya, Nawal mula mengemas rumah, khususnya bilik tidurnya yang tak ubah seperti tongkang pecah. Dia kemudian menyapu kawasan laman rumah dan mencakar daun pokok mangga yang bertaburan di sekeliling rumah.

Nawal masuk ke dapur. Dia memasak sayur kubis goreng. Malangnya, terlebih kunyit. Dia menggoreng tiga ekor ikan kembung. Selesai semua kerja di rumah, dia bersiap untuk ke pekan Jitra.

“Nawal nak ke mana?” tanya Milah.

Dia memandang penampilan Nawal. Cantiknya Nawal pagi ni. Milah memuji.

“Nak ke Jitra.”

“Nak buat apa? Pi shopping kat pasar pagi ka?”

Nawal senyum. “Tak, nak pi cari kerja.”

“Kerja apa? Tang mana?” tanya Milah.

Hairan juga. Kenapa Nawal kena kerja? Hanan tu kaya kut! Semua tanah bendang yang dikerjakan oleh orang kampung adalah milik arwah ayah Hanan. Setiap musim, berkepuk-kepuk duit sewa bendang yang masuk ke poket Hanan.

“Betul-betul dalam pekan Jitra. Kedai Bargain Design. Kawan Nawal beritahu, mereka perlukan pekerja.”

“Akak pun nak pi Jitra ni. Kalau nak tumpang, jomlah.”

Pucuk dicita, ulam mendatang. Apa lagi, Nawal terus melangkah masuk ke dalam kereta Proton Wira Milah.

“Akak nak pergi pasar pagi ke?” tanya Nawal untuk menyambung perbualan.

“Tak aih! Mahal barang kat situ. Tapi, kuih-kuih kat situ sedap. Nawal biasa beli kat situ?”

Nawal menggeleng.

“Akak ni sebenarnya nak pi kedai barang kemas. Dah dapat duit kutu, bolehlah beli seurat rantai tangan. Tak dapat yang tebal, dapat macam misai udang pun dah okey.”

Nawal tersenyum lagi.

“Nawal nak kerja apa kat kedai tu? Depa buat business apa?”

“Saya ada diploma seni reka grafik. Mana tahu kut ada rezeki saya. Mereka perlukan designer untuk buat kain rentang.”

“Hang ni pandai jugak noh! Akak ingat SPM pun hang tak lepaih.”

“Amboi kak, muka saya ni nampak macam bodoh sangat ka?”

Milah ketawa. Mereka terus berbual sehinggalah mereka berpisah di hadapan kedai Bargain Design.

“Nak balik dengan apa lepaih ni?” tanya Milah yang prihatin.

“Teksi ada.”

Milah angguk.


NAWAL melangkah masuk ke kedai Bargain Design. Dia mengucapkan salam, memperkenalkan diri dan tujuannya ke sana. Nawal dibawa ke pejabat kecil yang terletak di bahagian belakang kedai.

“Rizal, ini Nawal. Dia apply kerja di post designer tu,” ujar Hakim.

Rizal yang tunak memandang skrin komputer mendongak. Terpaku seketika apabila gambar yang dihantar oleh Farha agak berbeza dengan imej yang berada di hadapannya sekarang. Cantik, desis hatinya.

“Awak kawan Farha, kan?” tanya Rizal.

Nawal angguk.

“Duduklah.”

Nawal mengucapkan terima kasih, lalu melabuhkan duduk bertentangan Rizal. Keadaan pejabat yang berserabut dengan gulungan-gulungan kain yang belum dan sudah dicetak menjamah pandangannya.

“Farha dah call saya pagi-pagi lagi. Rasanya saya tak perlu interviu awak. Bila boleh masuk kerja?”

Bulat mata Nawal memandang Rizal. “Saya diterima kerja kat sini?”

Rizal angguk. “Bila boleh start kerja?”

“Hari ni pun boleh,” ujar Nawal tanpa berfikir panjang.

Ini pengalaman temu duga yang pertama. Senang sangat! Langsung tak seperti yang digambarkan dalam fikirannya sebelum datang tadi.

“Okey. Saya tunjuk tempat awak.”

“Terima kasih, Encik Rizal.”

Rizal berdiri. “Kat sini tak ada encik-encik. Kita kerja macam adik-beradik. Tapi, satu yang saya nak beritahu awak, semua pekerja kat sini lelaki. Awak seorang aje perempuan. Jangan terkejut pula.”

Ya. Memang Nawal terkejut. Rizal juga perasan akan hakikat itu.

“Tapi, jangan risau. Minggu depan kerani kita akan masuk kerja semula. Dia cuti bersalin.”

Okey. Kenyataan itu buat hati Nawal kembali lega.

“Kalau macam tu, boleh tak saya mula kerja minggu depan?”

Rizal terdiam. Dia memikirkan permintaan Nawal. Kerja di kedai memang banyak yang tertangguh.

“Awak ada komputer kat rumah?”

Nawal angguk.

“Boleh tak buat design kat rumah dan e-mel kepada saya? Kiranya dalam seminggu ni, awak buat kerja dari rumah. Boleh macam tu?”

Nawal angguk setuju.