HANAN pulang dari pekan Jitra dua jam kemudian. Sebaik sahaja Hanan melangkah masuk, Rogayah pula menyusul.
Nawal kendurkan wajahnya yang tegang. Dia tidak mahu Rogayah menghidu masalah mereka. Ikutkan perasaan, sudah lama dia menerkam Hanan. Mahu disekeh kepala lelaki itu.
“Tok ma, tak jadilah nak masak puding jagung hari ni. Nawal kena senggugut. Nak ajak Abang Hanan ke klinik kejap.” Nawal beralasan. Sakit perut ringan sahaja.
Rogayah yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengangguk. Dia memang sedia maklum tentang penyakit cucunya itu. Pernah suaminya membawa Nawal dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat sakit yang tidak mampu ditanggung. Tapi, setelah dibawa berubat, penyakit itu semakin hilang.
“Tapi, dah lama tak sakit, kan?” tanya Rogayah.
Hanan yang sedari tadi mendengar perbualan nenek dan cucu itu mengalihkan pandangan kepada Nawal. Sepanjang dia berkahwin dengan Hani, tak pernah pula isterinya mengalami sakit bulan. Ke Nawal sakit nak bersalin? Tapi, perut kecil saja. Sakit nak keguguran kut?
“Sakit jugak, tapi boleh tahan. Kali ni macam berat sikit,” ujar Nawal.
“Sah!” Terpacul perkataan itu dari mulut Hanan.
Rogayah dan Nawal berpaling. Wajah Hanan dipandang.
“Sah, kita kena pi klinik.” Hanan berdalih.
“Kalau macam tu, eloklah bawa dia pi klinik. Sat lagi melarat, susah pulak. Tok ma balik dulu,” ujar Rogayah.
Nawal mengangguk.
Hanan pula masuk ke dalam bilik mencari kunci kereta. Sebaik sahaja Hanan mengunci pintu rumah, Nawal merampas kunci kereta dari tangan suaminya. Hanan terkejut.
“Nak buat apa kunci kereta tu?”
“Buat masak lemak cili api.”
“Elok-eloklah jawab. Awak sakit anu, kan? Biar saya yang bawa kereta.”
“Hoi! Cakap elok-elok. Saya sakit perutlah, bukan sakit kat situ. Kalau tak tahu, buat cara tak tahu. Bodoh tu simpan sikit.”
“Manalah saya tahu. Hani tak ada pun masalah macam awak. Awak ni kira perempuan tak sihatlah, kan? Satu lagi, yang saya tahu darah keluar ikut anu, bukan keluar ikut perut, kan?”
“Kurang ajar!” ujar Nawal tanpa rasa bersalah.
Dia mengisyaratkan Hanan supaya masuk ke dalam kereta.
Hanan menggeleng. Gaya gengster betullah Nawal ni.
“Masuklah. Saya ada benda nak bincang dengan awak!” jerkah Nawal apabila dilihat Hanan masih tercegat di sisinya.
“Tak boleh bincang dalam rumah?”
“Kalau boleh, kita bincang tempat lain.” Nawal melangkah masuk ke dalam kereta, lalu pintu ditutup sekuat hati.
Dia membuka cermin tingkap. “Masuk cepat. Kalau tak, saya akan bagi tahu tok ma yang saya pergi klinik sendiri sebab awak tak nak hantar saya ke sana.”
Hanan mendengus. Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Ini kali pertama Nawal berada di kerusi pemandu. Dalam keadaan sakit, tapi masih mahu memandu? Betul ke Nawal sakit?
“Awak ada lesen?”
Tiada jawapan daripada Nawal. Isterinya menghidupkan enjin kereta Iswara sedan milik arwah ayah Hanan. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut Nawal. Hanan pula menumpukan perhatiannya pada cara pemanduan Nawal. Daripada cara Nawal memandu, dia yakin isterinya mempunyai lesen memandu.
Sebaik sahaja keluar dari kampung, Nawal mula memecut kereta di atas jalan raya. Beberapa kali Hanan menegurnya supaya memperlahankan kenderaan, namun tidak diendahkan. Pemanduan secara membabi buta terus dilakukan oleh Nawal sebaik sahaja Nawal membelok masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan.
“Kata tadi nak pi klinik kan? Ni, lalu ikut highway nak buat apa?”
Nawal menekan lagi pedal minyak. Kereta yang sudah uzur itu naik semput dikerjakan oleh Nawal.
“Hoi! Nawal, hang nak bunuh kita dua ka? Nawal!” jerkah Hanan. Tangan kanannya mencengkam stereng.
“Lepas stereng ni. Kalau tak, saya langgar pembahagi jalan. Biar kali ni sama-sama mati.”
Automatik Hanan menarik tangannya. Sungguh, dia dalam keadaan cemas.
“Apa masalah awak ni? Kita boleh bincang, kan?” Suara Hanan sedikit kendur.
Demi Allah, dia tidak tahu apa yang merasuk isterinya. Nawal masih marah sebab kes masakannya dikutuk ke? Tapi, perkara itu sudah beberapa hari berlalu. Tak mungkinlah tiba-tiba sahaja Nawal boleh mengamuk. Pagi tadi pun nampak macam okey saja.
Tubuh Hanan terhuyang-hayang di dalam kereta disebabkan cara Nawal memandu. Mulutnya sudah penat bertanya. Nawal membelok masuk ke hentian sebelah sebelum susur keluar Alor Setar. Sunyi. Langsung tidak ada kereta yang berhenti di situ kecuali mereka.
Nawal menekan brek secara mengejut. Tubung Hanan terdorong ke hadapan. Dia memandang tajam wajah Nawal. Tahap kesabarannya sampai ke angka sifar.
“Dah habis meroyan awak? Dah! Keluar. Biar saya yang bawa kereta balik. Daripada cara awak memandu ni, saya yakin awak sihat-sihat saja.”
Nawal menoleh ke kiri. Dia mencerlung wajah suaminya dengan rasa marah yang meluap-luap.
“Apa yang awak dah cerita kepada Roslan?”
Hanan mengerutkan keningnya. “Cerita apa?”
“Tak payah buat-buat bodoh! Apa yang awak dah cerita kepada dia?”
“Macam-macam yang kami sembang tadi. Dia kan tolong kerja-kerja menyulam anak padi? Saya tak ingat cerita yang mana satu yang buat awak marah.”
Hanan berdalih. Dia sudah boleh mengagak apa yang membuatkan Nawal berangin satu badan.
“Awak tuduh saya mengandung, kan?”
Sah! Itu yang membuatkan Nawal naik hantu. Melihatkan wajah Nawal yang semakin menyinga, Hanan terkedu. Tiba-tiba sahaja dia jadi gerun untuk mengaku.
“Awak nak tahu sebab apa saya setuju kahwin dengan awak?”
Hanan menggeleng. Dia juga bertanyakan soalan yang sama sejak Nawal menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengannya.
“Saya bukan lagi anak dara. Sebab tu mama paksa saya terima awak.”
Hanan menggelengkan kepala. Sudah dia agak yang ibu mentuanya, Rogayah dan Nawal mempunyai agenda mereka sendiri.
“Dah tu, yang awak meroyan sangat ni kenapa? Betullah awak kahwin dengan saya bersebab, kan?”
“Ya! Saya kahwin bersebab. Tapi, bukan sebab saya mengandung. Ayah tiri saya saya rogol saya ketika umur saya 15 tahun. Tak tahulah pulak yang ia akan ambil masa sampai 10 tahun baru saya mengandung!” jerit Nawal.
Dia semakin hilang kawalan diri.
Hanan tercekik air liur sendiri. Rasa sesal, bersalah, dan simpati bercampur baur. Hanan kematian kata.
“Saya tahu awak tak suka saya. Saya tahu hakikat tu. Saya pun langsung tak letak harapan pada perkahwinan kita walau sebesar hama sekalipun. Biarlah orang yang kahwin dengan saya selepas ni terima saya sebagai janda daripada saya ditinggalkan kerana dianggap perempuan kotor.”
Hanan masih membisu.
“Saya janji akan angkat kaki. Awak jangan risau, Hanan.” Nawal menyambung kata apabila melihat bibir Hanan bergerak-gerak untuk bersuara.
“Tapi, tolong jangan aibkan saya sampai macam ni sekali. Memang saya tak suci, tapi semua yang berlaku bukan atas kehendak saya. Sejak peristiwa itu, saya terus tinggal di asrama. Saya jadi benci dengan mama. Saya habiskan masa di rumah tok ma setiap kali cuti. Tok ma tak tahu semua cerita ni. Tapi, sebab mulut longkang awak, tak mustahil orang kampung akan bercerita. Kalau tok ma tahu cerita yang awak reka ni, saya akan bunuh awak, Hanan. Saya akan buang mayat awak dalam tali air.”
Ugutan Nawal tidak berbekas dalam hati Hanan. Fikirannya lebih tertumpu pada peristiwa hitam yang menimpa isterinya itu.
“Bila awak jumpa Roslan?” tanya Hanan setelah keadaan antara mereka sunyi beberapa saat.
“Tadi. Dia pijak-pijak maruah saya. Dia tunggu awak ceraikan saya sahaja dan lepas tu dia nak kutip saya jadi isteri dia.”
Hanan mengeluh. Dia tak sangka Roslan bertindak demikian. Selepas ini, dia harus beringat jika mahu bercerita tentang apa hal pun kepada lelaki itu.
“Saya minta maaf.”
Nawal menggeleng lemah. Dia menanggalkan tali pinggang keledar, lalu membuka pintu kereta. Dia melangkah keluar. Punggung didaratkan di atas susunan bata penghadang longkang.
Hanan bersandar pada kusyen kereta. Dia memandang Nawal yang tunduk menyembunyikan wajah di celah lutut. Dia yakin isterinya itu sedang menangis. Hanan tidak memujuk. Dia hanya mampu memberikan masa untuk Nawal kembali tenang.
Setengah jam. Satu jam dan apabila hampir dua jam, dia melangkah keluar. Hanan berdiri di hadapan Nawal.
“Jom balik.” Suara Hanan kedengaran mendatar.
Tidak ada respons daripada Nawal.
Hanan menggaru kepala yang tidak gatal. Jam tangan dilirik entah untuk kali yang ke berapa. Dia belum lagi menunaikan solat zuhur.
“Nawal, kalau kita balik sekarang, masih sempat saya nak solat zuhur.”
Tiada balasan.
“Nawal, saya nak solat zuhur. Dah pukul 3.30 ni.”
“Awak baliklah dulu. Tinggal aje saya kat sini.”
“Mana boleh tinggal awak kat sini? Macam mana kalau ada penjahat? Kawasan ni sunyi. Jomlah balik. Nanti awak sambung marah kat rumah pula.”
“Kalau saya nak marah di rumah, dari tadi lagi saya hentam kepala awak dengan cangkul. Saya bawa awak ke sini pun sebab tak nak tok ma tahu masalah kita.”
“Kalau macam tu, ikut saya balik. Tok ma akan risau kalau saya balik seorang diri.”
Hanan melihat Nawal menekan perut. Nawal ni betul-betul sakit atau berlakon?
“Nak ke klinik ka?”
Nawal angguk. Kali ini baru betul-betul sakit.
“Boleh tak saya singgah dekat plaza tol untuk solat? Lepas tu kita terus ke klinik?”
Nawal angguk.
“Jom.”
“Awak masuk dulu,” ujar Nawal tersekat-sekat. Rasa sakit kembali mencengkam.
“Boleh berjalan tak ni?”
“Bagi saya masa. Sekejap lagi saya akan okey.”
Tanpa berfikir, Hanan mencempung tubuh Nawal, lalu diletak di kerusi sebelah pemandu. Sesekali Hanan melirik Nawal. Wajah itu berkerut menahan sakit.
TANPA pilihan, Hanan meninggalkan Nawal di dalam kereta seorang diri ketika dia mengerjakan solat zuhur. Sekembalinya di kereta, rasa simpati menggunung apabila melihat wajah Nawal yang dibasahi peluh. Kasihan Nawal yang terpaksa menunggu dalam cuaca panas.
Ketika itu, barulah Hanan sedar pentingnya alat pendingin hawa kereta yang berfungsi. Segera dia menghidupkan enjin kereta dan memandu ke klinik.
Ketika tiba di rumah, Nawal tidak mengerang sakit lagi setelah menerima suntikan ubat penahan sakit. Nawal terus menapak ke dalam bilik sementara Hanan menuju ke dapur. Barang yang berselerak di atas lantai dipandang. Dia mengeluh. Barang-barang tersebut dikutip, lalu disusun di dalam kabinet dapur.
Hanan duduk termenung di dapur. Dia meraup wajahnya. Menyesal sungguh dengan apa yang terjadi tengah hari tadi.