Setelah Terlafaznya Akad 2

BAB 1

  • Art
  • Anna Milia

SKRIN telefon dipandang. Imej rakan Facebook yang baru memuat naik gambar menonton filem terbaru di pawagam, ditatap. Cerita yang lebih kurang sama sudah acap kali, lalu di wall media sosialnya.

Adoi, teringin nak pergi menonton wayang bersama Hanan. Sejak kahwin semula, tidak pernah sekali pun mereka keluar bersama-sama untuk berdating. Hanan dah jadi klon pak cik six series!

“Abang, jomlah kita tengok wayang.”

“Cerita apa?” tanya Hanan, acuh tak acuh. Mata melirik Nawal sekilas sebelum kembali membaca kitab.

“Avengers.”

Hanan angkat hidung.

Nawal dah tahu. Itu adalah reaksi tidak setuju suaminya.

“Merapu ajelah cerita tu,” komen Hanan. Mata masih pada bahan bacaan di tangannya.

“Eiii, tapi Nawal sukalah. Nawal nak tengok.”

“Nantilah abang beli CD. Berlambak di pasar malam.”

Nawal merengek. “Nawal tak nak tengok CD. Nawal nak rasa feel dalam panggung wayang. Sound system dia best. Sambil makan popcorn. Wow!”

Nawal membayangkan mereka berdua berada di dalam panggung.

Sekali lagi Hanan buat muka tidak setuju. Kitab yang dibaca ditutup. Tak boleh nak concentrate dah.

“Alah, kat rumah lagi best. Tak payah nak bersiap-siap pergi tengok wayang. Pakai saja baju tidur tak cukup kain sayang tu. Boleh juga jamu mata abang ni. Boring-boring tengok filem, abang boleh tengok sayang.”

Hanan tayang wajah kelakar.

“Tak lawak punlah,” marah Nawal.

“Mana nak letak Qadeeja tu?” tanya Hanan, masih cuba memberitahu isterinya yang idea menonton wayang sudah tidak sesuai untuk mereka.

“Ida kan ada?”

“Ish. Ada pulak nak suruh Ida yang jaga. Agak-agaklah, sayang oi. Seharian kut dia dah jaga Qadeeja.”

“Tok ma kan ada? Dia boleh tolong tengokkan Qadeeja.”

“Gamak ke nak biarkan tok ma jaga Qadeeja? Kena pula time tu Qadeeja buat perangai, tak tidur orang tua tu. Kesian tok ma.”

Nawal berdecit. Setiap cadangannya pasti akan dipangkah. Dia malas mahu memanjangkan perbualan mereka. Sudah tahu, tidak akan ada hasilnya. Rasanya ini sudah kali kelima dia mengajak Hanan menonton.

“Dia lagilah suka kalau boleh jaga Qadeeja. Alah, anak kita dah besar. Lagipun malam. Dia mesti tidur.”

“Abang rasa tak seronoklah nak tinggalkan dia untuk benda yang tak penting.”

Nawal bangun. Tidak nampak yang keinginannya akan dipenuhi.

“Nak pergi mana?”

“Tengok TV,” ujar Nawal.

Kalau Qadeeja belum tidur, boleh juga diajak bermain. Lagipun hati tengah sakit, jadi eloklah dia jauh sikit daripada Hanan.

“Jom, abang teman.”

Hanan meletakkan kitab di atas tilam. Dia mengekori langkah Nawal.

Hanan menghempaskan punggungnya di sebelah Nawal. Alat kawalan jauh dicapai.

“Nak tengok cerita apa?”

Nawal mengherotkan bibirnya ke kiri dan kanan. Reaksi biasa bila tidak puas hati.

“Astro pun tak ada. Berapa banyaklah saluran pilihan yang kita ada?” sindir Nawal sambil mencemik.

Hanan sengih. Tidak terasa dengan sindiran Nawal.

Nawal menggeleng. Itu sajalah modal Hanan apabila disindir.

“Nanti bila Qadeeja besar sikit, abang pasanglah Astro.”

“Hurm, dengar boleh, percaya janganlah ya.” Nawal bercakap sendiri, namun niatnya memang mahu Hanan mendengar.

Bukti yang Hanan mendengar kata-katanya, hidungnya dicubit.

“Nakal betullah mulut sayang ni.”

Nawal menepis tangan Hanan. Tindakan Nawal langsung tidak berbekas di hati Hanan.

“Sayang nak minum apa? Abang buatkan.”

“Nak Horlicks ais. Kalau ada apa-apa yang boleh kunyah, best jugak ni.”

Hanan tersenyum. “Kebetulan ada.”

“Apa dia?” tanya Nawal dalam nada teruja.

“Kunyah ais.” Hanan ketawa setelah memberi ayat punchline.

Nawal menjuihkan bibirnya. Punggung Hanan ditampar persis menghalau lelaki itu.


NAWAL menjeling jam dinding. Hampir setengah jam Hanan di dapur. Lamanya!

“Abang! Bancuh air untuk sekampung eh?” Nawal melaung dari tempatnya.

Nawal tersenyum apabila Hanan meletakkan dulang berisi minuman yang dipesannya bersama sepinggan cucur jagung.

“Sayang abang.”

“Hah, kalau pergi tengok wayang, mana ada boleh makan macam ni.”

“Yelah, yelah.”

Nawal terus masuk ke celak ketiak Hanan apabila lelaki itu melabuhkan duduk di sebelahnya.

Hanan memeluk Nawal. Dahi isterinya dicium lama. Sungguh, kasihnya bukan sedikit untuk wanita ini. Meskipun Nawal semakin kerap merungut sekarang, namun isterinya itu mudah dipujuk.

Hanan tidak menunggu lama untuk menukar siaran. Alat kawalan jauh dicapai, lalu dia menukar saluran TV. Sebenarnya, tidak ada rancangan pun yang mahu ditontonnya.

Mulalah Nawal menjerit marah-marah. Suka Hanan mengusik Nawal. Isterinya macam budak-budak.


SELANG tiga hari kemudian, Nawal bersungut lagi. Kali ini keinginannya untuk melancong ke luar negara tidak dilayan oleh Hanan.

“Abang, kawan Nawal masa belajar dulu buat bisnes travel agency.”

Siap! Hanan berdesis. Tahu dah apa yang cuba Nawal utarakan. Kena getah aku nanti, desis hati Hanan. Cepat, Hanan, standby dengan alasan. Suara hati mengingatkan tuannya.

“Sayang cadang nak pergi mana?”

Layan jugalah untuk mengambil hati Nawal.

“Medan dan Danau Toba. Pakej tiga hari dua malam. Naik flight dari Penang. Bajet bawah seribu aje, abang, untuk seorang.”

Melihatkan Hanan yang memberikan perhatian, Nawal teruskan cerita sambil membaca maklumat pada telefonnya.

“Ada lima tempat kosong lagi. Tarikhnya dalam bulan September nanti. Makan empat kali sehari. Harga pakej bermula RM880. Kalau baby macam Qadeeja cuma RM250 aje. Tempat lawatan, Pulau Samosir, Danau Toba, Berastagi, Puncak...”

Hanan menyampuk sebelum Nawal buat senarai lebih panjang. “Sayang nak pi ka?”

Jatuh rahang Nawal mendengar jawapan Hanan. Kalau aku tak nak pergi, buat apa aku duk cerita kat hang sampai tak sempat nak bernafas ni? Huh!

“Naklah!” Nawal guna ton suara paling manja.

“Jomlah kita pergi.” Nawal merengek lagi apabila reaksi wajah Hanan seolah-olah mahu memberikan jawapan tidak.

“Malaslah. Kita tak kenal siapa-siapa pun dalam grup tu. Seganlah.”

“Alah, Nawal kenal dengan Kak Siti.”

Hanan menggeleng tanda tidak setuju.

Nawal memeluk tubuh, lalu berpaling membelakangkan suaminya.

“Nak tunggu satu kampung ni naik kapal terbang dengan kita pergi Medan, tak merasalah. Masa pergi nanti, kita kenal-kenallah dengan grup tu.”

Hanan ketawa. Pinggang Nawal dicuit.

“Bukannya abang nak ajak satu kampung. At least, kalau ada seorang dua yang kita kenal dalam grup tu, okeylah sikit.”

Nawal berpaling. Macam ada harapan ni!

“Nawal ajak mama dan ayah. Mereka tentu nak sebab kita tak pernah bercuti bersama. Bolehlah kita honeymoon kali kedua.”

Perkataan honeymoon pun disulami dengan jelingan menggoda. Mana tahu dapat memancing minat Hanan.

“Macam mana dengan kafe? Garaj? Siapa nak uruskan semua tu?”

Lepas satu, satu alasan. Malas Nawal mahu meneruskan sesi pujuk-memujuk lagi. Buang masa!

“Kalau macam tu, kita mereput ajelah kat sini. Tak payah pergi mana-mana.”

“Janganlah cakap macam tu.”

Nawal memalingkan kembali tubuhnya, membelakangkan Hanan. Selimut ditarik, menutupi seluruh tubuhnya. Apabila Hanan bersuara untuk memujuk, Nawal tutup telinganya dengan bantal.

Hanan ketawa kecil. Macam budak-budak. Tindakan Nawal mencuit hatinya.

Amarah Nawal tidak perlu dilayan sangat. Sekarang merajuk. Dah tidur nanti, sedar-sedar Nawal dah berada di celak ketiaknya. Kaki bukan main lagi disilang ke atas pahanya. Tangan pasti melingkar ke perutnya sehingga keesokan pagi.

Jadi, tak payah nak risau sangat.


NAWAL memandang penampilannya. Hari ini tema hijau. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Nawal menyarung sneakers. Bahagian yang terkoyak dibelek.

“Nak kena beli baru ni.” Nawal bercakap sendiri.

Nawal memulakan larian. Perlahan sahaja untuk memanaskan badan. Matanya diliarkan ke sekeliling, menikmati pemandangan suasana kampung yang indah. Hijau dan mendamaikan.

Dia berselisih dengan Haidar. Senyumannya tidak dibalas. Tidak lama kemudian, dia bertembung dengan Hayati.

Alamak. Tadi anak, ini maknya pula. Nak tukar laluan atau teruskan saja?

Tidak mahu nampak ketara yang dia cuba mengelak, Nawal meneruskan langkah.

Hayati pun sama, berkira-kira untuk menukar laluan. Langkah kiri ni. Dalam ramai-ramai penduduk kampung ni, kenapalah dia terserempak dengan bini Hanan? desis hati Hayati.

Nawal memberi salam. Wajahnya dimaniskan.

“Lah, hang ka, Nawal? Dari jauh nampak macam katak pisang. Hijau dari kepala sampai ke kaki.” Hayati tersenyum sinis.

Macam selalu, nampak sombong yang amat di mata Nawal.

Nawal tahan rasa geram. Ada pulak samakan aku dengan katak pisang? Kalau boleh, dia tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa.

“Mak cik nak pergi kedai ke?”

“Saja jalan-jalan ambik angin. Bukan hang saja nak sihat.”

Nawal pandang penampilan Hayati. Wanita itu memakai baju kurung kedah yang dipadankan dengan kain batik. Macam tak sesuai saja nak beriadah dengan pakaian macam itu.

“Lah, tak tahu pula mak cik suka beriadah. Apa kata kalau kita tubuhkan kelab senamrobik dalam kampung ni? Best jugak. Nanti saya usulkan kepada Hanan.”

Hayati mencemik. “Nak buat apa? Pasang lagu, lepaih tu terkinja-kinja macam kera kena belacan. Jangan diikut sangat cara mat salih. Kita ni ada adat.”

Nawal terdiam. Eh, tiba-tiba marah pulak orang tua ni.

“Nawal gerak dulu ya.”

Hayati tidak memberi respons. Dia meneruskan langkah. Setelah beberapa detik, Hayati berpaling. Memandang Nawal yang berlari menyusuri batas bendang. Nampak bergaya. Kepala digeleng.

“Mujurlah tak jadi menantu aku. Kalau tak, Hairudin tu mesti jadi macam Hanan. Jadi kuli bini.” Hayati mengutuk.


NAWAL menunjukkan skrin telefon kepada Hanan.

“Kat mana tu?”

“Jalan ke Alor Star.”

“Jauhnya. Makanan apa orang tu jual?”

“Makanan jenis Korea. Macam-macam ada. Ramen, sushi, udon semua ada. Kita pergi esok, na?”

Hanan menatap wajah Nawal. Bukan main bersenam petang tadi. Sekarang ini sibuk nak makan pula. Namun, disimpan sahaja dalam hati komen pedas itu.

“Kenapa pandang Nawal macam tu?”

“Ada apa kat muka sayang tu?” tanya Hanan.

Nawal memegang mukanya dengan tanda tanya.

Hanan mengengsot sedikit agar tiada jarak di antara mereka.

“Ada apa kat muka Nawal?”

“Rindu. Ada wajah yang abang rindu.”

Nawal ketawa besar. Suka hati.

“Mengadalah abang ni,” ujar Nawal dalam nada manja gediknya. Pinggang Hanan dicuit.

“Jomlah, kita berindu dendam kat kafe tu. Dah lama Nawal tak makan makanan Korea. Tekak ni dah tak boleh terima nasi kat kafe kita. Loya, tahu tak?”

Hanan mencuit hidung Nawal. “Jangan cakap macam tu pada rezeki. Tak baik.”

“Sorry!”

Hanan memeluk tubuh Nawal. Satu ciuman hangat ditekan pada pipi mulus itu.

“Sakitlah!”

“Geram.”

“Esok abang Google resipi tu. Abang buat lagi sedap daripada yang dijual di kafe tu.”

“Kalau kita tak cuba dulu, macam mana Nawal nak buat perbandingan?”

Hanan menguap. “Mengantuk. Allah. Patutlah. Dah pukul 11.00 lebih.”

Nawal menjeling Hanan. Itu sajalah modal Hanan. Buat-buat mengantuk.