HANAN memberi isyarat secara tiba-tiba untuk membuat pusingan U ketika mereka dalam perjalanan ke kafe. Nawal mengerutkan keningnya.
“Nak patah balik ke? Abang tertinggal barang?”
Hanan tidak menjawab pertanyaan Nawal. Fokusnya pada kenderaan yang agak padat dari arah bertentangan. Setelah berjaya membuat pusingan U, barulah dia bersuara.
“Nak beli kuih dangai. Kelmarin tak buka.”
Nawal terkedu. Bila dia bercerita tentang sesuatu perkara, Hanan seolah-olah tidak memberi perhatian. Tetapi, Hanan sebenarnya mendengar. Nawal terharu.
Sebut saja nak makan apa, Hanan akan usahakan. Kalau ada kekangan untuk memasak sendiri, dia akan beli. Bab-bab makanan ni, Hanan akan berusaha memenuhi keinginan isterinya.
Dua hari lepas, dia ada menyatakan keinginannya untuk makan kuih dangai.
“Thank you, abang.”
Hanan memberhentikan keretanya di hadapan gerai yang menjual pelbagai jenis kuih. Dia menanggalkan tali pinggang keledar, lalu melangkah keluar dari kereta. Rambang matanya melihat pelbagai jenis kuih yang terhidang di depan mata.
Hanan berpatah balik ke kereta. Dia mengetuk cermin kereta.
Nawal menurunkan cermin. “Apa?”
“Ada keria dan kuih hijau yang sayang suka tu. Nak tak?”
Itu pun nak tanya. Beli ajelah, desis hati Nawal. “Nak.”
Hanan angguk. Dia menapak kembali ke gerai. Tidak lama kemudian, dia kembali bersama dua bungkusan plastik.
“Kenapa banyak sangat ni?” tanya Nawal setelah plastik bertukar tangan.
“Itu yang abang tanya nak ke tak kuih lain. Abang ambil dangai lima ringgit. Rasa macam dah banyak. Tapi, sebab sayang kata nak keria dan kuih hijau tu, abang belilah.”
Nawal menggeleng. Hanan, Hanan...
“Kuih tu nama seri ayu. Ada yang sebut puteri ayu.”
“Malaslah nak ingat. Kenangan pahit,” komen Hanan. Mata kembali menghadap lalu-lintas untuk dia kembali ke jalan raya.
“Kenapa pula?”
“Ex abang dulu nama Ayu.”
“Aisy, buat hilang selera orang ajelah nak makan kuih hijau ni.” Nawal letak semua kuih itu di dalam beg plastik.
Hanan ketawa. Nawal dah tak sebut nama kuih. Dia hentam nama kuih hijau. Cemburulah tu.
“Abang melawak sajalah.”
Nawal jeling Hanan. Dia mengambil sebiji kuih dangai, lalu disumbat ke dalam mulutnya.
“Sedap, sebab dia tak letak hampas kelapa,” komen Nawal dengan mulut yang masih penuh.
Sukar untuk Hanan memahami apa yang diperkatakan oleh isterinya itu. Dia menggeleng.
“Tak payah ceritalah. Makan bagi habis dulu. Nanti tak pasal-pasal tercekik.”
Nawal sengih. Nampak cebisan kuih di celah-celah giginya.
Hanan buat reaksi spontan, angkat hidung. Nawal tetap comel di matanya.
“Ada air mineral tak?” tanya Nawal.
Hanan menoleh. Plastik di atas riba Nawal dipandang. Habis dua biji dangai. Patutlah mengkelan, desis Hanan.
Hanan mengambil bekas air yang diselit di celah pintu kereta. “Nah.”
Nawal sengih lagi. Terus air diminum dengan rakus. Setelah botol diletakkan di sisi, dia mengambil pula kuih keria. Pulun lagi!
“Awatlah sayang abang ni lapar sangat? Macam setahun tak makan.”
“Eh, kalau setahun tak makan, dah lama hilang tangan abang tu Nawal ngap.”
Hanan pula sengih. Lawaklah sangat!
“Eh, buat apa makan tangan, kan? Tangan abang tak sedap. Lebih baik Nawal makan...”
Sengaja Nawal membiarkan ayatnya tergantung. Matanya melirik tubuh si suami. Kening dijongket. Suka Nawal melihat suaminya yang terkedu.
Hang jangan macam-macam Nawal. Terus terbayang aksi-aksi Nawal semalam. Fuh! Tanpa sedar, merecik peluh di dahi Hanan meskipun di dalam kereta dipasang pendingin hawa.
Nawal bawa jari-jemarinya bermain-main di dada Hanan.
Tangan Nawal yang menari di atas dadanya dicapai, lalu dikucup.
“Sayang jangan macam-macam sangat boleh tak? Kut nanti tak jadi pergi kafe.”
Nawal senyum mengejek. Tak percayalah Hanan nak ponteng kerja semata-mata nak balik buat perkara itu dengannya. Hanan kan workaholic!
Hanan pasang radio. Seperti biasa, saluran IKIM FM. Nawal lebih gemar mendengar lagu-lagu Inggeris.
“Nawal tukar siaran boleh?”
“Tak boleh. Abang baru nak dengar.”
“Alah, bukan bacaan ayat Quran pun. Mereka berbual aje. Dalam bahasa Inggeris pula tu. Bukannya faham sangat pun.”
“Eh, abang fahamlah. Ini cerita tentang penghijrahan Rasulullah.”
“Okey,” jawab Nawal.
Dulu kalau bacaan surah dialunkan saja, tak boleh tukar siaran. Ini program bual bicara pun sama.
Lima minit kemudian, iklan berkumandang. Ada harapan ni.
“Tengok tu,” suruh Nawal sambil menuding jari ke kanan mereka.
Hanan menoleh. Sebaik sahaja lelaki itu menoleh, Nawal terus menukar siaran radio.
“Apa?” tanya Hanan apabila tidak ada apa pun yang menarik perhatiannya.
Hanan senyum tatkala mendengar muzik lagu rancak kedengaran. Dah sepuluh kali kut Nawal guna taktik itu. Konon mahu mengubah konsentrasinya, lalu menukar siaran.
“Tukar ajelah, sayang oi. Tak payah nak guna taktik tak senonoh tu. Bahaya.”
Nawal ketawa mengekek.
“Kalau kita dengar alunan ayat-ayat al-Quran semasa perjalanan, Allah akan hantar malaikat untuk mengiringi perjalanan kita. Kalau dengar muzik macam ni, siapa lagi peneman kita kalau bukan syaitan.” Hanan memberi tazkirah.
“Tadi bukan baca al-Quran. Sembang-sembang aje pun.”
“Menjawab sajalah kerja sayang ni. Cuba dalam satu hari tu, jangan menjawab langsung.”
Siaran radio terus dimatikan. Hanan menjeling sekilas. Biar Nawal melayan perasaan.
Nawal diam meskipun ada perkara yang mahu dijawab. Bila Hanan buat tidak tahu, lagilah dia sakit hati.
“Kenapa diam?”
“Abang kata jangan menjawab, kan? Diam pun salah, cakap pun salah.”
“Berleter lagilah salah,” tukas Hanan.
“Kalau marah suami, lagi berdosa.” Hanan menyambung kata.
Nawal pasang kembali radio. Kebetulan lagu kegemarannya berkumandang. Nawal menyanyi bersama, mengikut alunan muzik.
Boleh tahan juga suara Nawal. Riuh suasana di dalam kereta dengan adanya Nawal. Eh, macam tak ada apa-apa sahaja sedangkan dia baru menegur Nawal.
Hanan mula berfikir. Macam manalah agaknya hidupnya tanpa Nawal. Daya tarikan antara mereka memang tidak dapat dinafikan lagi. Hampir 24 jam mereka bersama setiap hari. Nak fikir memandu tanpa Nawal di sebelah pun dia tidak berani. Apatah lagi memikirkan kehidupannya tanpa wanita itu.
Dia tidak ada masalah kalau Nawal mahu mendengar muzik. Cuma dia berfikir mahu mendidik isterinya itu tentang cara mendapatkan pahala dengan mudah.
“Kenapa diam? Tak ingat lirik?” soal Hanan apabila suara Nawal tidak lagi kedengaran.
“Mana ada. Abanglah, diam aje. Marahkan Nawallah tu. Tak apalah, Nawal tukar balik siaran.”
Hanan diam. Bukan dia marahkan Nawal. Isterinya suka melawan, tapi sekejap saja. Tengoklah, Nawal sudah menukar siaran radio. Siap menyanyi lagi.
“Lepas kita kahwin semula, pernah tak abang marah sayang?”
Nawal angguk. “Pernah! Abang cakap Nawal malas layan Qadeeja.”
“Itu tegur. Sayang kena tahu beza mana satu tegur, mana satu marah.”
Nawal menjuihkan bibirnya.
“Abang sayang Nawal. Walaupun sayang yang kedua dalam hidup abang, tapi abang akan pastikan sayang adalah yang terakhir. Abang bersyukur sangat sebab sayang sudi maafkan abang dan terima abang semula. Terima kasih, sayang.”
“Drama sangatlah abang ni. Nawal tak sukalah abang sebut pasal hal kita yang dulu.” Wajah Nawal bertukar keruh.
“Abang pun tak suka sebenarnya. Setiap kali teringat, hati abang akan rasa sakit. Macam sekarang ni.”
Hanan menyentuh dadanya. Tindakan luar kawal. Sungguh, bagai ada sesuatu yang menekan dadanya saat ini.
Nawal memejamkan matanya sedetik. Dia tahu apa yang Hanan rasa kerana mereka berkongsi keperitan yang sama sebelum ini.