Setelah Terlafaznya Akad 2

BAB 10

  • Art
  • Anna Milia

NAWAL mencerlung Hanan. Peristiwa di kaunter tadi menyebabkan kesabarannya lebur.

“Apa masalah abang?” tanya Nawal dengan nada kasar.

“Awaklah masalah paling besar saya sekarang ni,” ujar Hanan sepatah demi sepatah.

“Kalau macam tu, buanglah saya daripada hidup abang. Selesai masalah.”

Hanan memandang Nawal dengan rasa tidak percaya. Tidak menyangka itu jawapan balas yang akan diterimanya.

Nawal melangkah keluar dari kafe menggunakan pintu belakang.

Qaseh memandang tingkah Nawal. Apa pula kali ni? desis hatinya.

“Fahrin, pergi jaga kaunter.” Nawal memberikan arahan.

“Tapi...” Fahrin tidak jadi meneruskan kata apabila melihat air mata Nawal.

Pinggan mangkuk yang bertimbun dipandang.

“Biar akak yang basuh semua ni,” ujar Nawal.

Hanan yang bergegas mengejar Nawal, berhenti apabila mengetahui isterinya tidak ke mana-mana. Dia kembali ke pejabatnya, namun tidak lama. Dia berpatah balik. Hanan kembali ke belakang kafe.

“Masuklah. Biar Fahrin yang selesaikan semua tu,” ujar Hanan dalam nada lembut.

Nawal buat-buat tak dengar.

Hanan duduk mencangkung di hadapan Nawal. Kalau Nawal berdegil tak mahu masuk, biar mereka sama-sama melakukan tugas membasuh.

Mata Nawal yang merah memberitahu Hanan isterinya sedang menangis. Dia berusaha bersungguh-sungguh menjaga hati Nawal, namun gagal juga.

“Abang nak pergi hantar umi lepas zohor nanti. Sayang nak ikut?”

Nawal menggeleng.

“Jomlah. Nanti apa pula kata umi.”

“Saya kan masalah besar untuk awak. So, rasanya tak payah kut nak ajak saya teman.”

“Bukan itu maksud abang.”

“Tak payah nak nafikan. Saya tahu saya ni bukan isteri yang baik. Saya tak pandai masak. Saya tak tahu buat kerja rumah. Saya pemalas.”

“Itu sayang yang cakap. Abang tak pernah cakap pun sayang macam tu. Jauh sekali nak fikir macam tu pasal sayang.”

“Saya tak nak cakap dengan awak. Kalau awak kasihankan saya, tolong pergi. Tinggalkan saya kat sini.”

Hanan melepaskan nafas berat. Dia berdiri. Baru langkah dibuka, Nawal bersuara.

“Kirim salam pada umi.”

Hanan mengeluh. Mampus aku. Nak jawab apa kalau umi tanya?

“Lepas hantar umi, abang datang ambil sayang. Petang ni kita tutup kafe awal sikit.”

Nawal cuma membisu. Biasanya Hanan akan memujuk sehingga dia terpaksa beralah. Tetapi, tidak hari ini. Hanan tidak bersungguh-sungguh memujuknya. Mungkin Hanan sudah bosan dengannya. Mungkin Qaseh lebih baik daripadanya.

“Harap Khalil tak datang pula nanti.”

Hanan memejamkan matanya. Macam mana kata-kata itu boleh terlepas dari mulutnya? Biasa duk terperam dalam hati sahaja kata-kata berbaur sindiran ni.

Nawal menggeleng. Hatinya terasa disakiti.

Sebaik sahaja Hanan meninggalkan kafe, Nawal pun sama. Dia pergi macam tu sahaja tanpa memaklumkan kepada sesiapa. Dia perlukan ketenangan.


“MANA Nawal?” tanya Wan Masitah apabila satu-satunya menantu perempuannya tidak bersama untuk menghantarnya pulang.

“Merajuk, umi.” Hanan berterus terang. Malas untuk mereka alasan.

“Kenapa merajuk?”

“Hanan marah dia. Lepas tu terlepas cakap.”

Wan Masitah menjeling Rogayah di sebelahnya. Wanita itu sekadar menggeleng. Malas mahu masuk campur.

“Sebab apa hang marah dia?”

Hanan seperti berat untuk bercerita. Rogayah sedar tentang perkara itu.

“Biarlah kat depa. Pandai-pandailah Hanan selesaikan.”

“Hang jangan duk buat pasai. Kalau kali ni Nawal lari lagi pi rumah Pisah, tahulah nasib hang macam mana. Nawal tu baik. Tapi, kadang-kadang tu adalah sikit perangai ting tong dia tu.”

Rogayah mengerutkan wajah.

“Mintak maaf la saya duk mengata cucu kak tu,” ujar Wan Masitah.

Manja Nawal bukan biasa-biasa. Dengar suara lemak berkrim Nawal, boleh buat dia mati kutu. Nak tegur pun tak jadi, apatah lagi nak marah. Sungguh, kasihnya tumpah untuk wanita itu.

Satu lagi, perangai suka menempek Nawal pada tubuhnya membuatkan dirinya rasa disayangi. Anak-anak perempuannya pun jarang berkelakuan begitu dengannya.

“Mula tu duk ingat dia lebih matang bila ada anak. Tapi, macam tu jugaklah. Macam budak-budak. Kerja-kerja rumah tu mujur Hanan yang uruskan. Tok ma tau semua tu. Jangan ingat tok ma tak tau. Hang pun satu, Hanan. Tegurlah sama Nawal tu. Jangan diikut sangat.”

Sebab tegurlah jadi macam ni, desis hati Hanan.

“Nanti dia belajarlah. Yang penting, umi tahu dia hormatkan hang. Umi sayang dia. Jangan hang buat silap sampai dia hilang lagi.” Wan Masitah bersuara setelah agak lama membisu.

Rogayah senyum. Dia dapat lihat kegusaran pada wajah Wan Masitah. Dia yakin cucunya itu baik-baik sahaja dalam jagaan Hanan dan kasih sayang keluarga lelaki itu.

“Satu lagi, kesianlah sikit kat Ida tu. Janganlah selalu lambat ambik Qadeeja. Dia pun nak rehat jugak,” tokok Wan Masitah.

Berubah wajah Hanan.

“Dia ada kompelin kat umi ke?” Berkerut dahi Hanan.

Setahunya, Ida bukan jenis mengadu domba. Lagipun Ida tak pernah berkira kalau mereka terpaksa menjemput Qadeeja lambat.

Wan Masitah tersenyum tawar.

“Dia tak sengaja. Terlepas cakap.” Wan Masitah membela Wahida.

Rogayah tersenyum kambing.

“Hanan oi, bukan hang tak kenai umi hang ni. Ida cakap satu ayat, dia korek cerita sampai dapat satu perenggan.” Rogayah menempelak sahabatnya.

Hanan ketawa.

Wan Masitah menjeling Rogayah. Kata-kata wanita itu setepek kena atas batang hidungnya.

“Mujur tak sampai siap satu karangan. Silap-silap, Nawal kena berhenti kerja di kafe.” Hanan menyindir secara halus.

Tawa Rogayah dan Hanan bersabung. Seronok melihat wajah cemberut Wan Masitah.

“Mengatalah aku macam-macam. Lepas ni aku tak mau balik sini dah. Duduk KL lagi seronok.”

“Alololo, janganlah merajuk, umi. Nanti bertambah lagi kedut kat muka umi tu. Jenuh nak seterika.”

Rogayah ketawa mengekek. Wan Masitah sembunyi senyum.

“Amboi, Gayah, sakan noh hang gelakkan aku!”

Rogayah sambung ketawa.