WAHAB menanti di kawasan parkir. Menanti kedatangan Nafisah. Jam tangan dikerling. Hampir pukul 8.00 pagi. Nafisah tak masuk kerja ke hari ni?
Wahab membuat keputusan untuk terus menanti.
Sebuah kereta berwarna hitam membelok masuk. Wahab mengamati. Ya, itu kereta Nafisah. Wahab keluar dari keretanya, lalu bersembunyi di belakang pokok. Tidak jauh dari situ.
Nafisah menghampiri. Wahab menampakkan dirinya. Nafisah berpatah balik. Wahab mengejar.
“Pisah, tungu dulu.”
“Awak nak apa, hah? Kalau awak ikut, saya jerit.” Nafisah memberikan amaran.
“Sampai bila Pisah nak lari daripada abang?”
Nafisah melajukan langkah. Kunci di dalam beg tangan dicari. Dalam keadaan kalut begitu, satu benda pun tak jumpa.
Wahab memintas Nafisah. “Pisah, abang tak ada niat jahat pada Pisah. Abang...”
“Kita dah tak ada apa-apa. Buat apa awak cari saya lagi?”
“Nak bincang.”
“Bincang apa lagi?”
“Abang nak jumpa Nawal.”
“No! Saya takkan benarkan. Langkah mayat saya dulu sebelum awak dapat jumpa anak saya.”
“Dia anak abang juga.”
Jawapan Wahab menyebabkan Nafisah tiba-tiba menyinga. Anak?
“Setan! Saya rasa nak sangat ludah muka awak!”
Berubah wajah Wahab. Tidak menyangka Nafisah akan bercakap begitu.
“Tak puas lagi dengan apa yang awak dah buat pada dia? Saya percayakan awak. Saya harap awak akan jaga kami. Tapi, saya silap. Saya harap awak mati aje dalam penjara tu.”
“Sebab itu abang datang. Abang nak sangat jumpa Nawal.”
“Untuk apa?”
“Untuk minta maaf.”
Nafisah menggeleng. Gila!
“Dosa dengan Allah boleh diampunkan. Tapi, dosa abang pada Pisah dan Nawal takkan terhapus selagi korang tak maafkan abang.”
“Saya takkan maafkan awak sampai bila-bila.”
Wahab mengeluh.
“Saya dah lambat. Saya nak masuk kerja.” Nafisah melajukan langkah.
Wahab masih mengekori.
“Jangan sampai sekuriti tangkap awak dan hantar ke balai.”
Wahab berhenti melangkah. “Abang takkan putus asa. Abang akan datang lagi. Abang nak kita selesaikan hal ni.”
Nafisah berhenti melangkah. Dia menoleh. Namun, belum ada kekuatan untuk menatap wajah Wahab. Perasaan benci terhadap lelaki itu tidak pernah surut.
“Tak ada apa yang kita perlu selesaikan. Jangan kacau saya dan Nawal. Saya takkan teragak-agak nak sumbat awak dalam penjara sekali lagi.”
Wahab merenung wajah Nafisah dalam-dalam. Gugur sebahagian rindunya terhadap wanita itu. Walau dalam keadaan marah-marah, masih nampak cantik.
Wahab angguk. Dia akan datang lagi. Dia akan pujuk sehingga berjaya. Wahab kembali ke keretanya.
Nafisah menoleh. Lega apabila Wahab tidak mengekorinya.
AKAUN Facebook dinyahaktifkan buat sementara waktu. Makan hati saja bila melihat post kawan-kawan. Sekejap berdating, tengok wayang, bercuti dan menyambut hari jadi bagai.
Bukan cemburu, tetapi dia terkilan dengan sikap Hanan.
Mereka tak ubah seperti pasangan yang sudah lebih 20 tahun berkahwin. Beza umur dia dan Hanan tidaklah terlalu besar. Tetapi, karakter Hanan mengalahkan mak cik-mak cik yang dah menopaus.
Hanan mencuri pandang wajah keruh Nawal. Apalah yang bermain dalam fikiran Nawal. Khalil ke? Lelaki itu sudah seminggu tidak kelihatan di kafe. Mereka berdua bergaduh ke?
Biasanya kalau tak ada melibatkan perasaan bagai, jarang nak bergaduh. Hanan mula ditimpa rasa bimbang. Hubungannya dengan Nawal juga sedikit renggang apabila umi ada. Banyak masanya dihabiskan menemani umi ke rumah saudara-mara.
Bukan tidak cuba memujuk, tetapi Nawal keras hati. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuatkan Nawal merajuk lama. Takkanlah isu cari telefon boleh melarat sampai seminggu?
Hanan menyambung tugasnya. Banyak lagi kerja yang perlu dibereskan. Tengah hari nanti dia perlu menghantar umi ke lapangan terbang.
Nawal masih terasa dengan sikap Hanan yang tidak mahu melayan keinginannya. Selepas melahirkan Qadeeja, dia rasa bagai terkurung sahaja di banglo dan kafe Hanan. Tak ada ke mana-mana. Bercuti, jauh sekali.
“Jauh termenung?”
Suara itu mengganggu lamunan Nawal. Dia agak terkejut apabila melihat gerangan insan yang menegurnya. Wajah itu tersengih, menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik.
“Lama tak datang. Ingat kut dah lupa jalan nak datang ke sini.”
Khalil merenung Nawal.
“Kenapa? Dah mula rindukan saya ke?” tanya Khalil sekadar untuk menduga.
Nawal terkedu.
“Gurau ajelah. Saya ingat pesan arwah ibu saya, jangan kacau isteri orang.”
“Lega saya dengar ayat awak,” ujar Nawal.
“Saya sebenarnya rindukan nasi tomato.”
Kamil yang melintas di hadapan kaunter menyembunyikan senyum. Kasihan lelaki itu. Nampak sangat sukakan Kak Nawal. Tapi, nasib baiklah lelaki itu sudah tahu yang Kak Nawal is not single and also not available.
Nawal senyum. Kali ini senyumannya ikhlas kerana hatinya lapang mendengar kata-kata Khalil tadi. Walaupun keikhlasan lelaki itu tidak dapat dipastikan.
“Kita masih boleh berkawan, kan?” tanya Khalil.
Baginya tidak salah kalau dia dan Nawal berkawan. Lagipun mereka berkongsi minat yang sama. Lagi satu, kalau tak berkawan, pastinya rasa janggal untuk terus datang ke kafe ini.
Nawal angguk. “Hari ni saya belanja awak nasi tomato. Tanda perkawanan kita.”
Khalil kerut kening. “Perkawanan?”
Nawal ketawa. Suara itu sampai ke telinga Hanan yang baru melangkah keluar dari pejabatnya. Perutnya berkeroncong. Niat untuk mengajak Nawal menemaninya makan tertangguh.
“Yelah, nak guna persahabatan macam tak sesuai,” ujar Nawal.
Daripada kenalan, Khalil dah jadi kawan. Tetapi, belum mencapai tahap sahabat.
“Kenapa saya tak boleh jadi sahabat awak?”
Soalan itu tak ubah seperti menyimbah minyak ke atas api. Ayat cari nahas. Hanan yang tidak tahu hujung pangkal cerita terus menapak ke arah Khalil.
“Boleh saya cakap dengan awak sekejap?” tanya Hanan kasar. Wajah Khalil dicerlung.
Wajah putih Hanan bak udang kena bakar. Merah! Cuma tak nampak asap keluar dari rongga hidung atau telinga Hanan saja.
Nawal cuak.
“Saya tak ada apa-apa nak bincang dengan awak. Saya datang sebab nak makan.”
“Tapi, bukan itu yang saya nampak. Awak datang nak menggatal dengan bini orang. Nawal ni bini saya.” Hanan menekankan perkataan bini.
Khalil tersenyum sinis. Macamlah dia tak tahu yang Nawal sudah berpunya. Dia pun sudah memujuk hati untuk tidak lagi meletakkan harapan. Dia sedang belajar menerima Nawal sebagai kawan.
“Kalau dia isteri orang, maknanya dia tak boleh nak cakap dengan saya? Undang-undang baru berumah tangga ke? Bekerja di kafe, tetapi tak dibenarkan bercakap? Macam mana tu? Saya confuse sekejap.”
Khalil menempelak Hanan. Dapat dilihat wajah itu merah padam.
Kecil besar, kecil besar sahaja Khalil pada pandangan Hanan. Dia mara selangkah.
Aksi acah-acah cari gaduh Hanan membuatkan Nawal kecut perut. Nawal berdiri di antara Hanan dan Khalil.
“Khalil, apa kata awak duduk dulu. Saya akan bawakan makanan awak.” Nawal mencelah.
Dia perlu meredakan ketegangan yang berlaku.
“Saya dah tak ada selera nak makan.” Khalil melangkah keluar dari kafe.