Sekali Lagi Cinta Kembali

BAB 5

  • Art
  • Anna Milia

ZAFRAN menghulurkan kontrak kepada Aira. Dia menunggu reaksi gadis itu.

“Saya perlu sentiasa berada di sisi Syafi tanpa mengira waktu?”

Zafran tidak memberikan respons kepada soalan Aira kerana dia yakin gadis itu bercakap sendiri.

“Saya perlu memastikan Syafi sentiasa ceria dan dalam keadaan terurus? Saya tidak diberikan cuti? Saya perlu kerja tujuh hari seminggu? Saya perlu menemani Syafi bermalam di hospital dan sentiasa ada ketika kes-kes kecemasan? Banyaknya perlu saya patuhi. Habis tu, apa tanggungjawab awak sebagai ayah dia? Semuanya nak diserahkan kepada saya.”

“Tanggungjawab saya bagi gaji kepada awak.”

Tatkala mendengar jawapan balas Zafran, mata Aira terpandang jumlah gaji yang tercatat pada klausa berikutnya. Mak ai, RM2500. Banyak ni. Namun, Aira cuba mengawal reaksi wajahnya.

“Kenapa tak ambil saja jururawat untuk jaga dia?”

“Dia perlukan ibu. Bukan jururawat. Dia perlu-kan kasih sayang, bukan sekadar penjaga.”

“Saya tak mampu buat semua tu.”

Zafran menarik kontrak, tetapi dihalang oleh Aira.

“Kalau tak mampu, bagi balik kontrak ni. Awak boleh balik sekarang.”

Aira melepaskan kontrak.

“Satu lagi pesan saya. Kalau apa pun kerja yang awak buat lepas ni, tolong jangan runtuhkan rumah tangga orang lain. Banyak hati yang terluka. Anak-anak jadi mangsa.”

Aira tunduk. Setiap kali Zafran mengungkit kesalahannya, Aira dihambat rasa bersalah.

“Balik nanti tolong ingatkan Doktor Halina agar bersedia dengan pelan kontigensi kalau pusat terapi dia ditutup.”

Usai menuturkan ayat berbaur ugutan itu, Zafran melangkah.

“Tunggu!”

Zafran yang sudah pun membelakangi Aira, tersenyum sinis. Taktiknya menjadi.

“Saya akan cuba dulu dalam masa seminggu. Gaji saya dibayar mengikut hari,” ujar Aira.

Kalau dikira gaji mengikut bulan, mahu lesap gajinya. Nak makan apa nanti? Mahu mati kering dia.

Zafran menoleh. Dia tayang wajah serius. Aira ditilik dari atas ke bawah. Umi sukakan Aira. Alasan umi kerana Aira suka berceloteh.

Mungkin umi sunyi kerana anak-anaknya semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Itu yang suka sangat apabila Aira bekerja di rumah mereka. Lagipun umi tidak mempunyai anak perempuan.

Tapi, macam mana kalau Hayyat tidak setuju? Abangnya itu bukan boleh diramal.

“Kalau awak tak setuju, terpulanglah,” ujar Aira. Dia cuba bermain tarik tali.

Terus sahaja Zafran mengangguk setuju. Janji masalahnya untuk minggu ini selesai.


BERMULALAH tugas Aira secara rasmi di rumah Zainab. Rutinnya tidak padat, tetapi sikap Syafi yang suka buat perangai membuatkan Aira tertekan.

“Syafi, berapa kali acik nak cakap? Kena makan ubat dulu sebelum keluar.”

Zainab tersenyum mendengar suara Aira yang naik beberapa oktaf. Bunyi enjin mesin pemotong pokok membuatkan Aira terpaksa menaikkan ton nada suaranya.

Syafi angguk. Dia mahu melihat bunyi bising yang terhasil dari laman rumah.

Aira memimpin tangan Syafi ke laman. Seorang lelaki yang memakai topeng muka, berseluar tentera dan berkemeja-T hitam sedang memangkas pokok kesenai.

Syafi berlari menghampiri pokok itu. Ranting yang bertaburan di atas tanah dicapai oleh Syafi lalu digunakan untuk melibas Aira.

Aira ketawa. Dia tunduk mengutip sebatang ranting lalu membalas tindakan Syafi.

Apabila enjin mesin pemangkas pokok dimatikan, hanya suaranya yang sedang bergelak ketawa dengan Syafi kedengaran.

Aira perasan dirinya sedang ditenung. Barangkali inilah Razi, tukang kebun yang sudah dua kali memungkiri janji untuk datang membersihkan laman, desis hatinya.

Lelaki yang dibebel oleh Zainab sejak dua hari lepas.

“Syafi, buang daun tu. Nanti gatal,” jerkah Hayyat.

Apabila Syafi berdegil, dia menerpa ke arah anak itu. Ranting di tangan Syafi dirampas lalu dicampak ke tanah.

“Awak ni siapa?” tanya Hayyat kepada Aira.

Sedetik kemudian, barulah dia teringat cerita Zafran. Inilah perempuan yang dipaksa bekerja di sini.

Belum sempat Aira menjawab, soalan lain pula menyapa telinganya.

“Awak tak tahu ke pokok ni mengeluarkan getah? Syafi ni tak sihat. Sepatutnya awak jaga dia dalam rumah. Bawa dia masuk sekarang.”

Aira menjeling tajam wajah Hayyat.

“Hek eleh! Tukang kebun aje pun. Berlagak nak mampus.”

Terbeliak mata Hayyat mendengar komen Aira. Betullah cerita Zafran. Perempuan ni memang jenis mulut tak ada insurans.

Aira membawa Syafi ke dalam rumah. Anak itu kelihatan gelisah dan mula menggaru-garu lengan, leher dan kakinya.

“Gatal eh Syafi?”

Anak itu angguk. Aira terus menanggalkan pakaian Syafi lalu anak itu dimandikan. Kegatalan yang dialami oleh Syafi semakin parah apabila air membawa getah ke seluruh tubuh anak itu.

Aira cemas. Dia membawa Syafi ke bilik Zainab.

“Ambil bedak dalam bilik Hayyat.” Zainab mem-berikan arahan.

Aira angguk. Hayyat adalah abang kepada Zafran. Mereka belum pernah bertemu meskipun sudah tiga hari dia bekerja di rumah itu. Menurut Zainab, anak sulungnya itu lebih gemar menetap di apartmennya.

Aira melihat pintu bilik ditutup. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu. Si tukang kebun bajet tentera sedang mencari sesuatu di dalam almari. Selepas satu, satu laci ditarik. Mungkin mencari barang berharga.

“Hoi! Mencuri ke?” jerkah Aira.

Hayyat yang sedang membongkok meluruskan tubuhnya. Dia berpaling.

Barulah Aira sedar lelaki itu tidak memakai baju. Butang seluar juga telah ditanggalkan menampakkan bahagian atas seluar dalam lelaki itu. Aira menelan liur.

Masya-Allah! Kacaknya lelaki ini, desis hati Aira. Badan pun berketak-ketak.

Pandangan mereka berlaga agak lama. Tanpa Aira sedar, panahan matanya melekat ke payudara Hayyat. Memang tak boleh nak alih ke bahagian lain. Walaupun hati berbisik nakal agar pandangan dijatuhkan ke bawah sedikit. Ke kawasan bawah pusat.

Aisy! Aira tersedar akan kealpaannya apabila lelaki itu segera membutangkan seluar.

“Saya akan bagi tahu umi yang awak menceroboh bilik Encik Hayyat.”

Aira berlari keluar dari bilik.

Hayyat tidak sempat menjelaskan keadaan sebenar. Perempuan yang baru dikenalinya itu memang jenis kalut tidak tentu arah. Tapi, macam pernah jumpa dengan perempuan ini.

Ting! Dah ingat. Mereka bertemu di studio.


ZAINAB ketawa kecil mendengar cerita Aira. Ada ke patut Aira membuat tuduhan begitu? Dia menggeleng.

“Itulah Hayyat. Umi minta tolong dia trim pokok kesenai tu.”

“Handsome gila anak umi yang itu. Kalah Zafran.”

Zainab ketawa lagi mendengar komen Aira.

“Tapi rasanya, kami pernah jumpalah. Dia ada pergi jumpa Amberlyn.”

“Dah, pergi minta bedak tu daripada Hayyat. Dia yang selalunya simpan bedak tu.”

Aira tersengih seperti kerang busuk. Imej seksi Hayyat mengetuk-ngetuk ruang ingatannya.

“Tak naklah umi. Takut.”

Zainab memanggil Dewi.

Aira menarik nafas lega. Figura Hayyat muncul lagi. Lelaki kurus kering macam Imran pun boleh curang, tambahan pula lelaki sekacak Hayyat.

Untuk sekian kalinya Aira membius hatinya dengan ubat antiseptik agar lelaki itu dinyahkan dari-pada fikiran.


“TAK mengapa Dewi, saya akan hantar bedak ni,” ujar Hayyat.

Dia perlu tengok keadaan Syafi. Pada masa yang sama, boleh tengok perempuan sewel tadi.

“Ini yang saya cari tadi. Tak pernah lagi orang masuk curi bedak.” Sempat Hayyat menyindir Aira.

Hayyat menyapu bedak ke tubuh Syafi.

Aira menjadi pemerhati. Tadi dah berjaya nyah-kan lelaki ini. Tapi, sekejap saja. Ini dah datang balik keinginan untuk kenal lelaki ini dengan lebih rapat.