Sekali Lagi Cinta Kembali

BAB 6

  • Art
  • Anna Milia

HATI kecil Hayyat menangisi khilaf lalu. Semakin hampir ulang tahun perkahwinannya dengan Elina, rasa pedih mula terasa mencengkam.

Sungguh, dia merindui isterinya itu. Bukan kerana rasa cinta yang menggunung, tetapi lebih kepada rasa bersalah yang tidak pernah surut.

Hayyat meraup wajahnya. Ikan-ikan kap yang berenang dalam kolam tidak lagi menarik perhatiannya.

Zainab mencuit bahu anak sulungnya yang jelas kelihatan tertekan. Sudah berbuih mulutnya bertanya apa masalah anaknya itu, namun hampa. Hayyat tetap dengan sikap mengunci mulutnya sejak pulang ke tanah air lima tahun yang lalu.

Zainab tahu Hayyat telah berkahwin ketika belajar di luar negara. Namun, tidak pernah sekali pun dia bertemu dengan menantunya itu.

Ketika menjemput kepulangan Hayyat, sekali lagi dia kecewa. Hayyat pulang seorang diri. Entah apa yang berlaku pada rumah tangga anak itu.

“Kenapa ni, Yat?”

Hayyat tersenyum pahit. Dia menoleh sekilas kepada si ibu sebelum pandangan dibuang ke hamparan rumput yang menghijau.

“Tak ada apa-apalah umi.”

“Danisha ada call umi tadi. Dia kata rindu nak datang sini. Dia nak makan malam di sini.”

Hayyat mengeluh. Bilalah agaknya Danisha nak angkat bendera putih? Tak jemu-jemu ke sepupunya itu mengejar cintanya? Sudah dua kali dia menolak cinta Danisha, namun gadis itu tidak mengalah.

Cubalah mengurat Zafran. Ada juga faedahnya. Tambahan pula adiknya sedang memegang gelaran duda.

“Dia dah lama tunggu kamu, Yat.”

Kedengaran Hayyat mengeluh.

“Yat suka dia sebagai sepupu aje. Tak lebih daripada itu.”

“Sampai bila nak membujang?”

“Yat dah kahwin, umi.”

“Yalah dah kahwin. Tapi, mana isteri kamu? Hidup ke, mati ke, langsung umi tak tahu. Apa sebenarnya yang berlaku, Yat?”

Hayyat mengeluh lagi. Dia memicit pangkal leher yang memberat. Soalan umi dibiarkan tergantung tanpa jawapan.


ZAFRAN meraih lengan Amberlyn yang terdedah. Jelingan tajam wanita itu kepadanya tidak diendahkan.

Dia tidak perlukan wanita ini dalam hidupnya setelah apa yang berlaku antara mereka. Tetapi, Syafi sangat memerlukan Amberlyn. Kerana itu, dia mencemar duli datang ke studio untuk bertemu bekas isterinya itu.

“You tak kasihankan Syafi ke? Dia rindukan you.”

Amberlyn mendengus. Dia mengusir make-up artist yang sedang membetulkan solekan wajahnya. Rimas apabila Zafran menyebut tentang Syafi.

Dia tidak mahu orang luar tahu dia melahirkan anak bermasalah. Anak yang tidak sihat. Anak yang menjadi penghalang kepada kariernya.

“I dah malas nak tinggal di rumah umi. Penat.”

Zafran menggeleng. Penat? Semua kerja dilaku-kan oleh pembantu rumah.

“Kalau kita pindah, kasihan Syafi. Sekarang ni boleh juga dia bermanja dengan umi. Kalau pindah, you pula sibuk. Siapa nak jaga dia?”

“Biarlah dia di rumah umi. Kita berdua saja yang pindah.”

“No! Itu kerja gila.”

“Fine! Kalau you anggap gila, pergi balik sekarang. Banyak lagi kerja I yang belum siap.”

Amberlyn bangun untuk memulakan sesi fotografi.


ZAFRAN bertembung dengan Aina di kawasan parkir.

“Awak buat apa kat sini?” tanya Zafran.

“Encik Zafran buat apa? Cuba pujuk Puan Amberlyn?”

Soalan dijawab dengan soalan. Siap dengan pakej jongket kening dan bibir yang tersenyum sinis. Sakit mata dan hati Zafran melihatnya.

“Rungkaikan kekusutan yang awah dah buat tu,” bidas Zafran.

“Betullah tekaan saya tu. Dapat pujuk tak?”

Belum sempat Zafran menjawab, Aira menyambung kata.

“Saya rasa tak berjaya. Tengok muka Encik Zafran pun saya dah tahu.”

Zafran menggeleng. Perempuan ini memang menyakitkan hati.

“Kalau macam tu, apa kata awak guna teori awak yang kononnya hebat tu untuk pujuk isteri saya. Boleh?”

“Inilah yang saya cuba buat.”

Aira melintas di hadapan Zafran dengan penuh yakin, menuju ke studio.

Zafran membatalkan niatnya untuk pulang. Dia mengekori Aira, tetapi sehingga ke pintu sahaja. Dari kedudukan itu, dia menjadi pemerhati.

“You nak apa lagi, Ira?”

“Aira.”

Lantaklah apa nama you. Amberlyn tayang wajah like I really care.

“You nak apa? Tadi bekas suami I dah datang ganggu I. Sekarang you pula?”

“Saya dah bekerja di rumah Puan Zainab.”

Amberlyn menoleh. Dengan wajah ketat, dia mencerlung Aira.

“Kerja apa?”

“Jaga Syafi.”

Amberlyn berpura-pura ketawa.

“Dah tu, kenapa you datang sini? Nak minta izin I untuk jaga bapa dia juga? Baguslah.”

Zafran mengetap rahang.

“Sepanjang seminggu saya bekerja di sana, saya dapat lihat sikap sebenar Zafran. Dia seorang ayah yang baik. Mungkin peristiwa yang berlaku sebelum ni sesuatu yang di luar kawalan dia. Mungkin dia terlalu marah. Mungkin puan ada berkata sesuatu yang menyakitkan hati dia ke? Cuba puan ingat semula.”

Amberlyn tersenyum sinis.

“You menyibuk buat kerja kaunselor di sini, siapa yang jaga Syafi?”

“Saya dah habis kerja.”

Amberlyn memandang Aira. Siapa yang menjaga anak itu pada waktu malam? Bukankah selama ini Zafran menghalangnya keluar malam dengan alasan menjaga Syafi?

“Syif you sampai pukul berapa?”

“6.00 petang.”

Amberlyn melirik jam dinding dalam studio. Baru pukul 6.00, tetapi dah terpacak di sini? Amberlyn menuding jarinya ke arah jam.

“Saya dapat keizinan umi untuk keluar lebih awal.”

Umi? Seriously?

“Umi? Wau!” Amberlyn bertepuk tangan.

Baru seminggu bekerja dah boleh panggil umi? Aku dahulu dah kahwin baru dibenarkan menggunakan panggilan itu.

“Eloklah tu. Daripada you pujuk saya, lebih baik pujuk Zafran supaya kutip you sebagai isteri dia.”

“Bahasa tu boleh cantik sikit tak? Saya bukan barang nak dikutip. Lagipun saya mencari rezeki di sana. Langsung tak ada niat nak mengurat Encik Zafran. Saya pikul tugas ini sebab saya rasa bersalah menyebabkan Syafi kehilangan ibu.”

“Whatever.”

Aira menggeleng kecewa. Dia sudah mula nampak sisi sebenar Amberlyn. Bongkak. Mungkin sebab itu Puan Zainab seperti reda sahaja Amberlyn pergi.

Hanya Syafi dan Zafran yang terkesan. Kasihan mereka berdua.

“Saya balik dulu. Maaflah mengganggu puan.”

“Bagi tahu Zafran jangan datang sini lagi. I tunggu habis idah aje. Banyak lagi lelaki lain yang jauh lebih kaya daripada dia dalam dunia ni. Tapi untuk perempuan penganggur macam awak ni, dia sangat sesuai.”

Zafran mengetap rahang. Dia menapak kembali ke keretanya. Zafran memandu perlahan-lahan meng-hampiri Aira yang berjalan keluar dari kawasan pekarangan studio. Cermin kereta diturunkan.

“Datang dengan apa?”

“Teksi.”

“Naik.”

“Tak apa Encik Zafran. Depan sana ada per-hentian teksi.”

“Masuk.” Suara Zafran naik beberapa oktaf.

Sebaik sahaja Aira melabuhkan duduk, Zafran bertanya tentang perbincangan yang berlangsung tadi.

“Dia masih berkecil hati dengan Encik Zafran. Nanti bila dah sejuk, okeylah tu.”

“Dia tak marah ke awak ganggu kerja dia?”

Aira senyum segaris.

“Taklah. Dia suka bila tahu Syafi sihat-sihat aje.”

Melalui ekor mata, Zafran memandang Aira. Dia memuji sikap gadis itu yang tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Aira juga menjalankan tugas dengan baik. Mungkin teori kaunseling gadis itu mengena. Syafi boleh menerima Aira.