AIRA melangkah ke laman. Zainab bersama anak-anaknya sedang berbual sambil menikmati minuman petang.
“Umi, Aira balik dulu,” ujar Aira.
Perbualan anak-beranak itu terganggu dek kehadirannya. Aira berpura-pura tidak perasan Zafran dan Hayyat yang sedang merenungnya.
“Esok umi bagi kamu cuti, ya.”
Laju sahaja Zafran menoleh kepada Aira.
“Kenapa awak nak cuti?” Zafran bertanya dalam nada kasar.
Aira memandang Zainab. Dia mengharapkan wanita itu menjawab soalan Zafran.
“Pergilah balik. Mendung ni. Takut nanti tak sempat sampai perhentian bas pula.”
Aira membuka sedikit tote bag miliknya untuk mencari payung lipat. Ada. Aira mengukir senyuman kepada Zainab lalu menapak ke pagar.
“Perempuan sewel tu nak pergi mana umi? Baru lima hari bekerja dah nak bercuti?” tanya Zafran.
Aira memejamkan matanya. Anak ayam betullah Zafran ni. Suka hati saja panggil orang sewel. Aira menyepak tayar kereta lelaki itu.
Hayyat terkejut.
Zafran menjerit dari dalam gazebo. “Kau apa hal?”
“Sewel,” ujar Aira sebelum melangkah pergi.
“Sedar pun yang dia tu sewel,” komen Hayyat.
Zainab mencerlung anak sulungnya. Itu bukan Hayyat yang dia kenal. Kalau Zafran yang mengeluarkan kenyataan itu, dia boleh terima. Zafran seorang yang outspoken. Berbeza dengan Hayyat. Anaknya itu jarang melabel orang lain, lebih-lebih lagi dengan perkataan yang tidak baik.
“Kenapa ni Hayyat? Masih tak puas hati ke pasal dia tuduh kamu pencuri?”
Zafran memandang Hayyat.
“Dia tuduh kau pencuri?” tanya Zafran dengan lagak terkejut besar.
Hayyat angguk.
“Mula-mula tu dia ingat aku tukang kebun. Lepas tu dia tuduh pula aku mencuri.”
“What the heck...” Zafran menggeleng kepala.
Hayyat terkenang kembali bagaimana Aira tanpa berkedip memandang tubuhnya. Langsung tak ada rasa nak cover-cover sikit. Bukan main lagi meratah tubuhnya tanpa segan-silu. Dari situ, dia tahu Aira perempuan jenis yang macam mana.
“Esok Amberlyn nak datang sini luangkan masa dengan Syafi.” Zainab memulakan cerita.
Zafran mengoyak senyuman lebar. Pandangannya dengan Hayyat bersabung.
Hayyat senyum segaris. Lamunan tentang Aira bertempiaran lari.
“Umi nak solat.”
Hayyat membantu ibunya berdiri. Tongkat kaki empat dihulurkan kepada wanita itu. Yakin yang Hayyat mahu menemaninya ke dalam rumah, Zainab menegah.
“Kamu temankan Zafran. Tarbiyah dia sikit. Jangan nanti bila Amberlyn datang, dia cari pasal pula,” ujar Zainab.
Dia meninggalkan anak-anaknya.
“Umi tak tahu pasal Amberlyn.” Zafran bersuara.
Hayyat menggeleng lemah.
“Aku tahulah. Kalau umi tahu yang Amberlyn curang, mati hidup balik pun dia takkan benarkan Amberlyn jejakkan kaki ke sini lagi,” ujar Hayyat.
“Perempuan sewel tu pun tak tahu. Dia ingat kita orang bercerai sebab aku pukul Amberlyn.” Zafran menyambung kata.
“Aku tahulah kau nak buat dia rasa bersalah sebab nasihat dia buat kau orang bercerai. Tapi berbaloi ke upah dia jaga Syafi? Kau tahu tak hari tu dia biar Syafi main daun kesenai?”
Zafran ketawa lucu.
“Okeylah tu. Sebelum itu lagi teruk. Masa aku balik daripada kerja, dia sedang tidur terbongkang kat sini. Syafi dibiarkan ke hulu ke hilir. Mujur budak tu tak masuk kolam.”
“Memang sewel,” ujar Hayyat. Sekeping bingka ubi disumbat ke mulutnya.
“Dah tu, kau masih nak gajikan dia?” tanya Hayyat.
Zafran merenung jauh.
“Entahlah. Syafi tu macam ada chemistry dengan dia. Umi pun setuju. Tak sampai seminggu, dia dah boleh buat Syafi sukakan dia. Bangun aje daripada tidur, dia cari perempuan tu.”
“Pandai pulak Syafi ni pilih orang. Mentang-mentanglah perempuan sewel tu lawa, terus dia suka.”
Zafran ketawa. Ini kali pertama dia mendengar abangnya memuji kecantikan wanita setelah lebih lima tahun mengunci mulut.
“Aku ingat kau dah tak ada deria terhadap wanita.”
Wajah Hayyat tiba-tiba bertukar keruh.
Zafran tidak mahu memanjangkan cerita. Dia tahu ada peristiwa yang menimpa abangnya ketika belajar di luar negara dahulu. Cuma dia terlalu sibuk untuk menyiasat tentang perkara itu.
Umi juga sering bertanyakan perkara yang sama kepadanya. Nanti-nantilah dia siasat.
“Aku masuk dulu,” ujar Hayyat.
SYAFI langsung tidak mahu berenggang dengan Amberlyn. Terpaksalah wanita itu bermalam di rumah Zainab.
Hayyat awal-awal lagi sudah pulang ke apart-mennya demi mengelak bertemu dengan Amberlyn. Dia memang tidak sukakan wanita itu. Lebih-lebih lagi setelah mereka bertengkar di studio minggu lalu.
Hayyat mengerling jam tangannya. Perut sudah mula terasa lapar, minta diisi. Hayyat membelok masuk ke sebuah kawasan perumahan sebaik sahaja mata tertancap pada sebuah pasar raya. Dia memarkirkan kereta.
Aira melangkah keluar dari sebuah pasar raya. Dia menjinjit beg plastik yang kelihatan berat. Langkah yang diatur cukup perlahan. Aira menuju ke arah sekumpulan pekerja kebersihan yang sedang berehat di bawah pokok.
Tanpa sengaja, Hayyat terpandangkan Aira. Mata difokuskan kepada gadis itu. Aik, macam manalah boleh terserempak dengan minah ni? Sebelum ini tak pernah nampak pun di kawasan ini.
Aira berhati-hati melangkah di celah-celah mesin pemotong rumput. Kehadirannya menjadi tumpuan kumpulan itu.
Hayyat mengintai dari dalam kereta. Apabila kelibat Aira terlindung dengan pokok-pokok renek, Hayyat melangkah keluar dari keretanya. Mahu lihat apa yang cuba dilakukan oleh Aira. Tekanya, gadis itu mahu membuat jualan langsung di situ. Entah apalah yang dijualnya.
“Assalamualaikum.”
Salam Aira dijawab oleh seorang lelaki berbangsa Melayu yang berusia lewat 50-an. Mungkin ketua kumpulan itu kerana yang lainnya adalah pekerja warga asing.
Hayyat menapak lagi beberapa langkah. Apa yang cuba dilakukan Aira menarik minatnya.
“Saya nak sedekah air minuman ni kepada pak cik dan mereka semua,” ujar Aira berhemah.
Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut, namun kemudian mengoyak senyuman lebar.
“Alhamdulillah. Terima kasihlah. Bhai, angkat itu air. Kasi sama kawan-kawan.”
Lelaki itu memberikan arahan kepada pekerja-nya. Beg plastik bertukar tangan.
Hayyat terkedu. Jual minuman isotonik ke? Memang menangguk di air keruh betullah minah ni.
Masing-masing mengucapkan terima kasih.
Tidak ada jual beli. Hayyat senyum sendiri. Hati-nya memuji Aira. Dia melangkah masuk ke dalam pasar raya sebelum Aira menyedari kehadirannya di situ.
Masuk sahaja dalam pasar raya, Hayyat menoleh lagi.
“Adik manis, ini ada aloo bhorta. Ambillah. Kasi rasa. Sedap. Saya punya isteri masak.”
Aira tayang sengih. Bekas makanan yang telah dibuka penutupnya menjamah pandangan Aira. Nampak lembik semacam dan bewarna cerah. Macam adunan cucur yang belum digoreng.
“Ini kentang penyet,” ujar salah seorang daripada mereka.
Sengihan masih menghiasi wajah Aira.
“Terima kasih. Saya diet low carbo,” bohong Aira.
Semua mata memandang Aira. Tidak faham apa yang diperkatakan oleh gadis itu.
Lelaki tadi masih menghulurkan bekas makanan kepadanya.
“Rasalah. Pak cik dah biasa makan. Sedap.”
Aira sengih lagi. Dia menggeleng.
Hayyat melangkah keluar dari pasar raya setelah membeli sebungkus roti putih dan sebotol susu segar. Aira masih dalam kelompok lelaki tadi.
Buntang mata Hayyat tatkala melihat Aira mengambil sesuatu dari bekas makanan yang dihulurkan. Apabila melihat Aira memasukkan sesuatu ke dalam mulut, Hayyat melangkah ke arah kumpulan itu.
Dia sendiri tidak pasti kenapa dia berbuat begitu. Semuanya sudah terlambat apabila dia sedar yang dirinya sudah pun berdiri di sebelah Aira.
“Sedap,” ujar Aira dengan mulut yang penuh.
“Awak buat apa kat sini?” Hayyat bertanya.
Aira menoleh. Terus tersedak.
Hayyat kalut apabila melihat Aira seperti hilang nafas. Penutup botol segera dibuka lalu susu yang baru dibelinya dihulurkan kepada Aira.
Aira minum dengan rakus agar kentang penyet tadi melepasi tekaknya. Sesaat kemudian, semua isi dalam kerongkong Aira meledak keluar.
“Wooooo!” Hayyat berundur beberapa langkah.
Lelaki-lelaki warga asing tadi turut berdiri, cuba mengelak daripada terkena muntah Aira.
“Air, air, air.” Aira meminta daripada pak cik yang baru dikenalinya itu.
Aira merasa lega apabila rasa susu yang melekat dalam kerongkongnya dapat dibilas.
Sunyi.
“Saya minta maaf.” Aira terpandangkan seluar dan kasut Hayyat yang kotor.
Aira tayang wajah bersalah. Aira menggunakan air yang masih berbaki untuk menjirus kaki seluar dan kasut lelaki itu.
Hayyat terkejut. Botol dirampas dengan kasar.
“Maaflah kalau kawan saya mengganggu pak cik dan kawan-kawan pak cik,” ujar Hayyat.
Dia menarik tangan Aira ke keretanya. Sempat Aira menoleh kepada kumpulan pekerja tadi dan melambai.