Sekali Lagi Cinta Kembali

BAB 8

  • Art
  • Anna Milia

HAYYAT merenung tajam wajah Aira.

“Dah terdesak sangat ke cari suami sampai-kan awak pergi mengurat mamat-mamat Bangla tu?” tanya Hayyat setelah menghampiri kereta.

Aira menjulingkan mata ke atas.

“Ikut suka awaklah nak kata apa pun. Di rumah Puan Zainab, saya anggap awak sebagai majikan. Tapi hari ni saya tak kerja, jadi tak perlulah awak nak mengajar saya.”

Hayyat mengetap rahang.

“Kalau awak tak menyibuk tadi, tak adanya saya nak tersedak. Mujur tak mati tercekik tadi.” Aira meluahkan rasa tidak puas hati.

Kerana lelaki itulah dia terminum susu tadi. Sejak kecil, dia memang tidak minum susu tanpa perisa.

“Saya tak menyibuklah. Kalau jadi apa-apa pada awak tadi, macam mana? Lapar sangat ke sampai perlu makan makanan yang entah apa-apa tu?”

Hayyat membela diri. Entah apa masalah perempuan di hadapannya ini. Tak fikir ke kalau makanan tadi mengandungi sesuatu yang membahaya-kan?

“Suka hati aje ambil makanan orang. Pantang dipelawa.”

“Orang tua-tua kata, rezeki jangan ditolak.”

Hayyat menghulurkan roti putih kepada Aira.

“Lapar sangat kan? Tak nak tolak rezeki? Ambil roti ni. Pergi balik. Esok jangan lupa datang kerja.”

Dengan selamba Aira mengambil roti yang dihulurkan. Dia melangkah pergi.

Hayyat masuk ke dalam kereta. Baru beberapa langkah, lelaki warga asing tadi menghampiri Aira. Dia menghulurkan bekas makanannya kerana simpati kepada gadis itu yang memuntahkan kentang penyek tadi.

Aira terkedu. Dia memandang lelaki tadi. Bersungguh-sungguh lelaki itu mengharapkan pemberiannya diterima. Aira pula tidak tergamak menghampakan lelaki itu. Bekas makanan bertukar tangan.

Hayyat memandang dengan rasa tidak percaya. Minah ni memang spesies pelik. Muka sahaja cantik, tapi otak senget.

Hayyat tidak menunggu lagi. Dia memandu meninggalkan kawasan itu. Beli roti di kedai lain pulalah.

Aira melangkah semula ke dalam pasar raya.

“Dah siap?” tanya Aira sebaik sahaja ternampak Amirah yang menjinjit dua beg berisi bahan kek menghampirinya.

Amirah angguk.

Aira menggeleng. Macam susah sahaja mahu bawa barang-barang itu pulang menaiki motosikal.

“Apa tu?”

“Kentang penyek.”

“Mana dapat?”

“Mamat Bangla bagi.”

“Yang kau sedekah air tadi?”

Aira angguk.

Amirah menggeleng kecil. Aira memang suka bersedekah. Nilai sedekah tidak besar, tetapi setiap hari gadis itu akan bersedekah. Aira selalu berpesan kepadanya. Setiap kali bersedekah, mohonlah doa agar dipecahkan batil-batil yang ada dalam hati.

Aira menyumbat bekas makanan dan roti putih ke dalam beg plastik. Dia membuntuti langkah Amirah.


AIRA meletakkan roti bakar di atas meja makan. Dia kembali ke dapur. Pembantu rumah yang sedang mem-bancuh minuman dipandang.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?” tanya Aira kepada Seri.

Syafi masih tidur. Bolehlah dia membantu Seri di dapur. Dewi pula sedang mengemas rumah.

Seri menggeleng.

Puan Zainab dan anak-anaknya melangkah ke bilik makan. Melihatkan kehadiran mereka, segera Seri membawa teko ke meja makan.

Penampilan dua jejaka itu menarik perhatian Aira. Dia membuat penilaian. Si abang lebih kacak, tetapi lokek dengan senyuman. Adiknya pula sentiasa tersenyum meskipun mempunyai banyak masalah.

Bukan itu sahaja, Zafran lebih manja dengan Zainab. Hayyat macam kayu. Keras saja.

Hayyat mengambil roti bakar berinti. Setelah makanan itu dikunyah beberapa kali, barulah dia memandang isi roti. Sedap. Tak pernah pula Seri menghidangkan makanan ini kepada mereka sekeluarga.

Dari dapur, Aira menjadi pemerhati. Dia mengukir senyuman apabila melihat Hayyat menjamah sarapan yang disediakannya.

“Sedaplah roti ni, bibik,” puji Hayyat.

Seri senyum meleret. “Bukan bibik yang masak, tapi Aira.”

Hayyat membesarkan anak matanya. Wajah Seri dipandang.

“Dia dah sampai ke?” Zafran menyampuk, men-capai roti.

Seri angguk.

“Panggil dia ke sini.” Zainab pula mencelah.

Seri angguk.

Aira menghampiri meja makan. Zainab ter-senyum memandang Aira.

“Duduk. Makan bersama-sama kami. Nanti kalau Syafi dah bangun, tak sempat pula kamu nak makan,” pelawa Zainab.

Aira tayang sengih. Dia berasa segan. Tidak layak rasanya untuk duduk makan semeja dengan keluarga itu. Dia menolak dengan berhemah.

“Sedap roti ni. Awak yang buat ya, Aira?” tanya Zafran.

Aira angguk.

“Apa intinya?” Zainab bertanya.

“Kentang penyek.”

Hayyat tidak jadi mengunyah. Dia memandang Aira.

“Roti tu Encik Hayyat yang bagi. Intinya kawan saya bagi. Ini resipi dari Bangladesh.”

Hayyat mencapai tisu. Makanan dalam mulut diluahkan, dibungkus lalu diletakkan di pinggan. Sehelai lagi tisu ditarik untuk mengesat bibirnya. Matanya tidak lepas memandang Aira.

Zainab dan Zafran memandang Hayyat.

Lelaki itu memberikan roti kepada Aira? Aik! Macam pelik saja ni. Bila mereka jumpa?

“Ini yang mamat Bangla pekerja kontrak semalam bagi?”

Aira angguk.

“Sedap kan?” tanya Aira tanpa rasa bersalah walaupun memang niatnya mahu mengenakan Hayyat.

Jika tidak, tidak ada mahunya dia datang kerja awal.

Hayyat berdiri. Kerusi ditolak kasar ke belakang. Zainab dan Zafran terpinga-pinga. Seketika kemudian, Zarfan turut meluahkan makanannya.

“Kenapa awak tak habiskan aje makanan ni? Bodoh ke apa? Atau awak nak kenakan kita orang? Makanan yang entah dari mana. Siapa yang masak? Entah bersih ke tidak, awak bagi kita orang makan?”

“Saya pun makanlah. Sihat aje sampai pagi ni.”

“Ini makanan semalam,” tukas Hayyat.

“Saya masukkan dalam peti sejuk. Elok lagilah.”

“Aira.”

Suasana sunyi tatkala Zainab bersuara.

“Lain kali jangan bawa apa-apa makanan ke sini lagi,” pesan wanita itu.

Aira angguk.

“Angkat roti ni dan bawa ke dapur.”

Sekali lagi Aira angguk.

Hayyat mati selera. Menu yang disediakan oleh Seri tidak diusik.

“Hayyat pergi kerja dulu.”

Zafran terkocoh-kocoh mengejar langkah abangnya.

“Kau jumpa Aira ke semalam?”

“Nantilah aku cerita. Sebelum tu, aku nak warning kau. Perempuan tu...”

Hayyat menoleh sekeliling. Gayanya macam mahu memberitahu rahsia besar.

“Senget.”

Zafran mengerutkan dahi.

“Baik kau berhati-hati. Ini melibatkan nyawa Syafi. Jangan cakap aku tak ingatkan kau.”

Zafran menghela nafas berat. Lebih baik dia bertanya sendiri kepada Aira. Setelah Hayyat pergi, Zafran masuk semula ke dalam rumah.

Aira memandang wajah-wajah yang sedang menantikan jawapan daripadanya. Terpaksalah Aira membuka cerita.

Zafran senyum. Hayyat menunjukkan perkem-bangan positif. Adakah abangnya yang telah berubah 360 darjah sebelum ini kembali berminat dengan perempuan?

“Kenapa kamu suka-suka makan makanan orang lain? Bahaya tu.”

“Taklah, umi. Isteri dia yang masak. Pak cik tu pun cakap, dia dah biasa makan. Mamat tu cuma nak buat baik sebab Aira sedekahkan air kepada dia. Lagipun mungkin dia simpati sebab Aira tak sempat makan. Semuanya salah Encik Hayyatlah.”

Zafran senyum. Comellah pula Aira apabila ber-cakap dalam nada manja begitu.

Belum sempat Zainab menegur lagi, Aira terlebih dahulu bersuara.

“Lagipun mereka tu seagama dengan kita. Aira yakin makanan tu suci.”

Ambik kau. Aira guna perkataan suci, bukannya bersih. Harap majikannya faham.

Mulut Zainab terkunci. Dia memandang Aira dengan rasa kagum.

Kalaulah dia tahu Aira tak jamah pun kentang penyet itu.