Cinta Yang Tertangguh

BAB 8

  • Art
  • Zaza Qry

“SAYA dah tolong awak bayar hutang, jadi awak berhutang dengan saya. Awak nak bayar hutang 200 ribu tu macam mana?” tanya Adrish.

Hanania tahu dia sudah melangkah masuk ke dalam mulut anakonda. Tunggu masa saja anakonda jantan ini mahu menelannya.

Hanania telan liur. Sejak tadi asyik menelan liur saja selepas bertemu dengan lelaki di depannya ini. Takutnya mengalahkan ketakutan kepada along tadi.

“Saya pun tak tahu. Tapi, boleh kan saya bayar secara ansuran?” tanya Hanania.

Adrish ketawa terbahak-bahak. Mimpi ke apa balu abangnya ini?

“Gila? Kau ingat duit tu sikit ke? Esok lusa dah boleh habis?”

Adrish memandang Hanania atas bawah. Dia masih ingat kedatangan perempuan ini berbelas tahun dulu ke rumah mama dan papanya. Kenapa nampak tinggi sedikit? Ah, masa sudah lama berlalu.

Di mana budak perempuan yang datang hari itu? Mungkin seiras dengan perempuan di depannya ini.

“Aku nak kau!” ujarnya selamba.

Adrish tak kira. Perempuan bertudung macam ini perlu diajar. Jangan anggap diri baik walaupun bertudung. Abangnya baru saja meninggal dunia, dia sudah terjebak dengan hutang along. Tak kiralah hutang itu hutang siapa.

“Apa maksud encik?” tanya Hanania, terkebilkebil memandang Adrish.

“Kaulah.” Adrish tunjukkan tubuh Hanania atas dan bawah.

“Saya? Nak buat apa?” tanya Hanania tak faham.

“Lelaki dan perempuan kalau bersama, apa yang mereka buat? Satu saja yang boleh berlaku…” Adrish jilat bibirnya.

Jantung Hanania berdegup kencang. Ya Allah, lelaki ini meminta dirinya. Ya, dia tahu apa maksud lelaki ini. Dia tak bodoh untuk mentafsirkan jilatan bibirnya.

Hanania pejam mata. Membayangkan dia disentuh lelaki ini tanpa ikatan. Menggigil-gigil tubuhnya.

“Tapi…”

“Tak ada tapi, tapi lagi. Kalau tak, aku ambil anak kau sebagai cagaran. Aku boleh buat apa saja dengan anak kau. Kalau jual, aku dapat untung. Cepat letakkan anak kau dalam bilik lain.”

Adrish mengeluarkan arahan. Dia jegil mata kepada Hanania.

“Hah!”

Hanania mahu menangis saat itu juga. Tak sanggup dia serahkan dirinya kepada lelaki ini tanpa ada ikatan yang sah. Tapi, belum pun sempat lelaki itu berbuat apa-apa kepadanya, telefonnya berdering.

Dia mendengus selepas beberapa minit bercakap di telefon. Adrish menghampiri Hanania.

“Kau kena buat ujian HIV.” Adrish kerling Hanania.

“HIV!” Terjerit Hanania.

Sampai macam tu sekali ke? Rasanya tak ada pula orang nak buat ‘projek’ kena buat ujian HIV.

“Kena pastikan ujian kau tu bersih. Kalau tak, tak dapatlah aku nak nikmati kau.”

Adrish berkata sinis. Mata helangnya memandang Hanania dari atas ke bawah.

Hanania malu dengan apa yang ada dalam kepala lelaki itu. Tapi, dia nak apakan lagi? Lelaki ini telah menolong dia melangsaikan hutang Abang Rash. Tapi, dia akan cuba melepaskan diri demi maruahnya.

“Kau jangan ingat kau akan lepas daripada aku!”

Adrish memberi amaran. Terus saja Adrish melangkah ke keretanya.

Hanania memandang lelaki yang telah menaiki keretanya itu. Hanania menampar pipinya sekali. Mana tahu ini hanya mimpi. Pipinya terasa pijar. Dia tidak bermimpi rupanya. Matanya tidak lepas memandang lelaki itu yang telah pergi.

“Mamma,” panggil Mya.

Hanania menoleh ke arah Mya yang sedang duduk. Dia mengusap kepala Mya. Mya, lepas ni kita takkan tinggal di dalam rumah ini lagi. Mak usu tak tahu kehidupan yang bagaimana kita akan lalui. Tapi, mak usu yakin kita akan dapat meneruskan kehidupan. Hatinya bermonolog.


HANANIA telah pun siap mengemas barang-barang yang penting. Hanya separuh daripada barang-barang di dalam rumah itu yang dapat dibawanya. Separuh itu sudah pun dia hantar ke rumah sewa baru. Rumah flat dua bilik yang jauh dari tempat ini.

Hanania memandang kalendar. Sudah empat hari berlalu. Tapi, lelaki itu tidak datang untuk menuntut janjinya. Hanania sudah bersedia. Tapi jika lelaki itu tidak datang, dia akan lega.

Namun, hatinya tetap tidak sedap kerana lelaki itu telah menolongnya tanpa banyak bicara. Biarpun dia meminta balasan dengan cara yang paling tak masuk akal. Tak ingat halal dan haram.

Ketika Hanania mahu keluar dari rumahnya itu, sebuah kereta muncul di depannya. Baru sebentar tadi aku berbicara tentangnya, desis hati Hanania. Hanania menanti lelaki itu keluar dari keretanya.

Hari ini pertama kali Hanania betul-betul memandangnya. Dia memakai kemeja biru laut yang padan dengan tubuhnya yang tegap itu. Dipadankan pula dengan jean. Walaupun bukan dengan slek, tetap nampak kacak.

Memang patutlah artikel tentang dirinya dimuatkan di dalam majalah. Mungkin disebabkan statusnya dan juga rupa parasnya yang memang kacak itu. Figura itu betul-betul membiaskan kebijaksanaan dan ketampanannya.

“Saya tahulah saya kacak, tapi takkanlah sejak tadi diam aje,” kata Adrish, masuk bakul angkat sendiri.

Hanania terkejut. Macam mana pula lelaki ini boleh perasankan pandangannya itu? Yang matanya ini pun satu. Berpusat ke arah satu benda saja.

“Awak dah bersedia?” tanyanya.

Adrish memaku pandang ke arah Hanania. Dia tahu perempuan di depannya ini faham. Tak ada salahnya kerana dia janda.

“Hari ini ke?” tanya Hanania.

Tak sangka lelaki ini datang menuntut janjinya. Jantungnya berdegup kencang. Ingat dosa berzina. Ujian HIV itu pun tidak dibuatnya. Dia yakin dengan dirinya kerana dia tidak pernah dekat dengan lelaki.

“Kalau tak, hari lain ke? Saya dah siap buat janji temu dengan pejabat kadi.” Selamba Adrish menuturkannya.

“Nak buat apa kat pejabat kadi?” tanya Hanania pelik.

Hairan betul.

“Aku tahu halal dan haramlah. Kau ingat aku pergi kelab malam tu minum arak, lepas tu bawa perempuan balik rumah dan tidur dengan mereka?”

Adrish mencebik. Tipikal pemikiran perempuan bertudung. Tapi, itulah fikiran orang kolot macam perempuan di depannya ini.

“Jadinya?” Hanania masih tidak dapat mencerna apa yang dimaksudkan oleh Adrish.

“Kahwin!”

Hanania terlopong. Kahwin langsung tidak termasuk dalam perancangannya. Dia masih ada tanggungjawab kepada Mya dan Syaqer.

Dia tidak suka, tetapi dia tidak mahu terhutang budi seumur hidupnya. Terpaksa mengorbankan hidupnya yang satu sebagai isteri kepada lelaki yang baru dikenalinya. Tapi, sekurang-kurang jika mereka bersama pun, tidak dikira zina.

Jika itu dapat membayar hutang itu, dia rela menyerahkan hidupnya kepada lelaki yang dia langsung tidak kenal ini.

“Jomlah,” kata Hanania.

Dia kena buat apa yang perlu. Asalkan dia tidak terjebak dengan hutang dan ini lebih baik daripada dia ditiduri tanpa ikatan yang sah.

Lelaki itu melangkah ke keretanya.

Hanania hanya membuntutinya. Pintu belakang kereta lelaki itu dibukanya. Kali pertama menaiki kereta lelaki ini, dia sudah mensyaratkan Hanania duduk di tempat duduk belakang. Hanania tidak ambil pusing semua itu kerana dia sudah terbiasa dengan arwah abang iparnya yang memang hanya mahukan kakaknya sahaja menjadi pendampingnya di dalam kereta.


“OKEY, seminggu lagi saya datang jemput awak. Kita kahwin.”

Ingatkan nak kahwin koboi. Tapi, mereka mengikut prosedur yang ditetapkan. Buat ujian HIV dan segalanya. Borang nikah sudah diserahkan ke pejabat agama.

Segalanya selesai dalam masa satu jam. Mujurlah semuanya lengkap dan mereka berdua tidak perlu menunggu lebih lama.

Hanania sendiri tidak tahu dengan alasan apa yang Adrish berikan kepada orang di dalam pejabat agama. Seminggu lagi mereka akan datang ke sini.


ADRISH bertemu dengan dua orang lelaki sementara dia menanti di tepi kereta. Adrish berbual-bual dengan lelaki itu. Mata mereka pun asyik memandang ke kereta Adrish.

“Kau ni buat kerja gilalah, Rish,” kata kawannya yang bernama Jaf.

“Gila atau tak, yang pasti aku dah kahwin,” balas Adrish. Dia sengih memandang Jaf dan Fazil.

“Kau nak hancurkan hidup dia ke?” tanya Jaf lagi.

Dia pandang perempuan yang bertudung dan nampak naif itu. Kerana dendam kepada perempuan yang bertudung, sanggup pula Adrish menghancurkan hidup perempuan lain.

“Semua perempuan bertudung tak sama dengan Zakirah, Rish. Zakirah perempuan murah. Perempuan tu, kau tengoklah, nampak baik saja. Kalaupun kau nak hancurkan perempuan bertudung, tak perlulah sampai kahwin dengan dia, lepas tu kau ceraikan dia lepas kau dah sedut madu dia.”

Panjang lebar Jaf memberi nasihat.

“Dia hutang aku 200 ribu. Memang patutlah aku buat apa yang aku nak,” balas Adrish.

Dia memegang dagunya sementara tangan yang sebelah lagi berada di dalam kocek seluarnya. Malas dia nak heboh-heboh kepada Jaf dan Fazil itu adalah bekas isteri abangnya.

“Kau jumpa dia kat mana?” tanya Fazil.

Tak sangka pula Adrish jumpa perempuan secantik itu.

“Aku jumpa di kelab malam,” beritahunya.

Serentak mereka berpaling memandang Hanania.

“Takkanlah kelab malam, Rish. Bertudung bagai.” Fazil tidak percaya.

Jaf juga terkejut. Baru saja tadi dia mengatakan perempuan itu naif. Naif apa macam tu kalau masuk kelab malam.

“Yalah. Kenapa? Sebelum ni, kau tak pernah nampak orang pakai tudung masuk kelab malam ke?” tanya Adrish.

“Pernahlah, tapi itu pun minah sesat. Aku tak percayalah.” Fazil masih tidak percaya.

“Betullah. Buat apa pula aku nak tipu?” Adrish sengih.

“Biar betul!” Jaf dan Fazil masih tidak percaya.

Mereka terkejut juga apabila Adrish membelikan tiket kapal terbang untuk mereka berdua datang dari Penang. Ingatkan mahu enjoy di Kuala Lumpur, ruparupanya mahu mereka menjadi saksi perkahwinannya.

“Baik-baik Rish, tak kenal hati budi, tapi kau dah ambil dia jadi bini. Entah-entah satu hari nanti dia tuntut nafkah beratus ribu baru kau tahu,” kata Fazil ketawa, diselangi ketawa Jaf.

“Aku dah bagi dia beratus ribu dah. Tu sebab dia setuju dengan syarat kahwin dengan aku. Lagipun daripada firasat akulah, dia tak berani buat pelik-pelik,” ujar Adrish lagi.

Dia yakin perempuan itu sanggup pun kerana anaknya. Anak dengan abang kandungnya. Kalaulah Abang Rash tahu isterinya ini macam mana... Adrish pejam matanya.

Maafkan Rish abang, sebab lambat cari abang. Dia membuka matanya semula.

“Aku bimbang aje. Orang perempuan sekarang bukannya boleh percaya. Macam-macam. Bertudung, tapi tak semuanya sebaik mereka yang menutup aurat. Takut jadi macam Zakirah.”

Fazil ungkit lagi cerita pasal Zakirah. Adrish menjegil.

Fazil tunduk. Ah, silap pula sebut pasal Zakirah. Sudahlah Adrish pantang dengan sepotong nama tersebut.

“Dahlah, jom.” Adrish menolak kedua-dua kawannya itu ke dalam kereta.

Jaf duduk di belakang bersama dengan Hanania. Dia senyum sekilas kepada Hanania yang kebetulan memandangnya.

“Saya Jaf. Awak memang asal orang sini ke?” tanya Jaf ingin tahu.

Kalau mahu mengharapkan Adrish bercerita, jauh panggang dari api. Silap hari bulan, Adrish tak ambil tahu pun siapa sebenarnya perempuan ini.

Satu yang pasti, Adrish sudah hampir dengan misinya mahu mengambil anak abangnya. Dan sudah pasti perempuan ini akan hancur hidupnya kerana anaknya akan dirampas. Takkanlah nak biarkan dia besarkan anak abangnya dalam serba kekurangan.

“Hmm.” Hanania hanya menggumam. Dia tidak tahu mahu menjawab apa.

“Maaflah, kawan saya ni memang macam ni. Kerek dengan orang,” beritahu Jaf.

“Kau cakap baik-baik sikit Jaf, jangan cerita yang buruk-buruk.”

Adrish berpesan sambil ketawa kecil.

“Ceritalah yang buruk pun, bukannya kau nak kahwin selamanya dengan dia,” sahut Fazil, turut ketawa.

Hanania terasa seperti dipersenda. Hanya kerana dia seorang perempuan.

“Maaflah, kami memang cakap lepas sikit,” balas Fazil semula.

Dia pandang Hanania melalui cermin depan. Pada pandangan Fazil, manis juga perempuan ini.

“Awak memang bernasib baik jumpa dengan Rish. Dia nak kahwin dulu dengan awak. Kalau orang lain, memang awak dah kena,” kata Jaf perlahan sambil keningnya dinaikkan.

Dia memandang nakal ke arah Hanania.

Hanania diam. Mereka semua memang suka cakap lepas. Tidak langsung berfikir tentang dirinya yang masih anak dara itu.

Wajah itu yang kemerahan ditilik Jaf. Pemalu rupanya.

“Saya nak minta tolong sikit boleh?” tanya Hanania.

Dia betul-betul sudah hampir waktu untuk menjemput Mya.

“Apa?” tanya Adrish yang tenang memandu.

“Saya nak jemput anak saya di nurseri.”

“What? Awak dah ada anak?” Hampir bergegar kereta dengan jeritan Fazil dan Jaf.

Haisy! Mereka ni macam perempuanlah pula. Nak jadikan keretanya pusat membawang ke apa? Tahulah netizen Malaysia kalau bab membawang memang nombor satu. Sampaikan orang yang dibawang boleh menutup laman media sosial. Jaf dan Fazil nak masuk dalam carta netizen membawang mungkin.

Fazil dan Jaf terlopong. Oh! Dah ada anak rupanya. Patutlah Adrish macam tak kisah sahaja. Janda rupanya.

“Woi! Perlahanlah sikit. Macamlah tak pernah tengok janda ada anak. Bukan dulu masa kat uni kau berkenankan janda anak satu ke, Fazil?” ejek Adrish.

“Dah lepaslah. Cinta monyet tu. Janganlah ungkit lagi,” kata Fazil.

Dia memang mahu melupakan kisah yang memalukan itu. Padahal perempuan itu tidak tahu apaapa pun. Dia yang terhegeh-hegeh cintakan perempuan itu.

“Awak kahwin umur berapa?” tanya Jaf ingin tahu.

Sungguh dia berminat ingin tahu pasal perempuan ini. Nampak gayanya, Hanania perempuan baik-baik. Tapi, kenapa dia boleh berhutang dengan Adrish pula? Itu yang pelik.

Hanania diam. Malas membalas pertanyaan Jaf. Bagi Hanania, itu bukannya hal yang penting pun. Sungguhpun ramai yang beranggapan dia janda anak seorang, tapi dia tidak kisah. Budi arwah kakak dan abang iparnya hanya dapat dibalas apabila dia menjaga mereka berdua dengan baik, walaupun itu sebenarnya belum cukup untuk membalasnya.

“Cakaplah, saya tengok awak masih lagi muda lagi,” desak Jaf, masih tidak berputus asa.

Rasanya perempuan ini muda daripada mereka bertiga.

“Tak payah tahulah. Kita bukannya kenal rapat pun,” kata Hanania perlahan.

Dia rimas dengan pertanyaan daripada Jaf, namun dia tidak mampu untuk melarikan dirinya. Terkurung di dalam kereta yang sedang bergerak ini membuatkan Hanania sesak nafas. Kalaulah Allah ambil ingatannya tika ini, dia amat-amat bersyukur. Tak perlu melalui apa yang dia lalui sekarang dan bakal dilaluinya selepas ini.

Hanania memejamkan matanya. Tiba-tiba Hanania terasa kereta yang mereka naiki itu dihentam di sebelah kanan dan secara tiba-tiba membelok ke kiri jalan dan selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi.